Monday, June 28, 2010

Peniaga maut ditembak, suspek ditahan

2010/06/29
SERI KEMBANGAN: Seorang ahli perniagaan maut selepas terkena dua das tembakan pada jarak dekat di rusuk kanan dan belakang kepala oleh seorang lelaki dalam kejadian di Jalan 2/6, di sini, malam semalam.

Kejadian kira-kira jam 7 malam itu disedari dua anggota polis yang secara kebetulan berada di lokasi berhampiran sebelum menemui mangsa, Lee Fah, 51, dalam keadaan berlumuran darah. Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata dua anggota polis yang tiba di tempat kejadian itu melihat suspek dipercayai berusia 51 tahun sedang cuba melarikan diri menaiki Proton Iswara. Anggota terbabit nekad berlari mengejar suspek berikutan keadaan lalu lintas sesak sebelum ditembak empat das oleh suspek, namun tidak mengenai sasaran.

Bimbang dengan keselamatan diri, seorang anggota polis yang mengejar hampir 500 meter itu melepaskan satu das tembakan mengenai kaki kanan menyebabkan suspek jatuh dan berjaya ditahan, katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Omar berkata, hasil tangkapan itu, polis merampas sepucuk pistol jenis .9m dan beberapa butir peluru serta sebuah kereta yang dinaiki suspek.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan.

Kadar jenayah babit pelajar, kanak-kanak meningkat

2010/06/29
KUALA LUMPUR: Walaupun kadar indeks jenayah negara menunjukkan penurunan ketara iaitu 15.1 peratus dalam tiga bulan pertama tahun ini, namun perlakuan jenayah membabitkan kanak-kanak dan pelajar termasuk jenayah berat seperti rogol dan bunuh amat membimbangkan.

Lebih mengejutkan, ada kanak-kanak yang terjebak dalam jenayah seawal usia tujuh tahun. Statistik Bukit Aman mendedahkan sepanjang empat bulan pertama tahun ini, kanak-kanak dan pelajar serta remaja tidak bersekolah berusia 7 hingga 18 tahun terbabit dalam 18 kes bunuh, 198 (rogol), dua (rompak berkumpulan bersenjata api), 185 (rompak berkumpulan tanpa senjata), 19 (rompakan) dan 141 (mendatangkan kecederaan). Mereka turut terbabit dalam 382 kes kecurian, 584 kes curi kenderaan termasuk 558 membabitkan motosikal, 28 (ragut), 17 (pecah rumah siang hari) dan 232 (pecah rumah malam hari).

Dalam tempoh sama tahun lalu, mereka terbabit dalam 13 kes bunuh, 181 (rogol), tujuh (rompak berkumpulan bersenjata api), 74 (rompak berkumpulan tanpa senjata api); 132 (mendatangkan kecederaan), 324 (curi), 385 (curi kenderaan), 25 (ragut), 28 (pecah rumah malam hari) dan 158 (pecah rumah siang hari).

Secara keseluruhannya, mereka yang berusia tujuh hingga 18 tahun terbabit dalam 1,817 kes jenayah dengan 604 daripadanya adalah murid dan pelajar sekolah sepanjang Januari hingga April tahun ini, berbanding 1,343 kes membabitkan 453 murid dan pelajar bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 50 kes membabitkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, 507 kes (13 hingga 15 tahun) dan 1,360 kes (16 hingga 18 tahun) dengan 42 kes dilakukan perempuan.
Mengulas mengenainya, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata polis memerlukan bantuan ibu bapa, pentadbiran sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membendung jenayah kanak-kanak dan remaja yang dilihat semakin meningkat.

Beliau juga mencadangkan supaya satu kajian ilmiah dibuat secara bersama oleh semua pihak berkaitan bagi mengenalpasti punca masalah itu dan cara menanganinya.

Bagi saya, masalah ini tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada polis. Tanpa bantuan masyarakat kita akan gagal dalam mengatasi masalah ini, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata perangkaan itu memberi isyarat betapa seriusnya masalah sosial dan perlakuan jenayah di kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah.

Bagi saya, faktor utama yang mendorong peningkatan kadar jenayah dan salah laku remaja ialah kurangnya pengawasan dan pemantauan ibu bapa terhadap pergerakan dan aktiviti anak, selain pengaruh filem, televisyen dan internet, katanya

Warga Argentina tawar rasuah ditahan

KUALA LUMPUR 28 Jun 2010 - Bimbang ditangkap kerana melakukan kesalahan samun, seorang lelaki warga Argentina tanpa berfikir panjang nekad menawarkan rasuah RM20,000 kepada dua anggota polis yang menahannya di Kelab Ukay, Ampang di sini petang semalam.

Namun, pemuda berusia 25 tahun itu tersilap memilih mangsa kerana dua anggota polis yang cuba dirasuah itu, jujur dan komited terhadap tugas membanteras jenayah.

Malah, hasil kebijaksanaan dua anggota berpangkat konstabel yang masing-masing berusia 24 dan 26 tahun itu, suspek bersama teman wanitanya seorang rakyat tempatan berjaya ditangkap bersama wang tunai RM17,500.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, dua anggota polis peronda dari Balai Polis Hulu Klang itu sedang melakukan rondaan dan terserempak dengan suspek memandu sebuah Toyota Avanza dalam keadaan mencurigakan bersama tiga rakannya pada pukul 2.30 petang.

Beliau berkata, menyedari kehadiran polis, suspek bertindak memecut kenderaannya sejauh kira-kira dua kilometer sebelum kereta Avanza itu terbabas di tepi jalan di hadapan Kelab Ukay.

"Suspek yang memandu kereta tidak sempat melarikan diri dan berjaya ditangkap namun tiga rakannya dapat meloloskan diri.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta suspek, polis menemui televisyen skrin paparan kristal cecair (LCD) dan set teater rumah dipercayai baru disamun dari sebuah rumah di Bukit Antarabangsa," katanya di sini hari ini.

Abdul Jalil berkata, polis turut menemui pelbagai jenis peralatan digunakan oleh kumpulan penjenayah terbabit untuk memecah masuk rumah mangsa manakala nombor pendaftaran kenderaan pula didapati palsu.

Ketika diperiksa, kata beliau, suspek mengambil kesempatan menawarkan wang tunai RM10,000 kepada dua anggota terbabit supaya membebaskannya.

Namun, katanya, anggota terbabit tidak 'gelap mata' dengan wang yang banyak itu tetapi dalam masa sama berpura-pura setuju menerima tawaran tersebut bertujuan memerangkap suspek.

"Mereka berpura-pura setuju menerima wang rasuah itu setelah suspek sanggup menaikkan nilai tawaran kepada RM20,000 dan menghubungi teman wanitanya meminta datang menyerahkan wang itu di Balai Polis Hulu Klang pada pukul 5.30 petang.

"Teman wanita suspek berusia 41 tahun berasal dari Petaling Jaya kemudian datang ke balai bersama bungkusan berisi wang RM17,500 dan dia ditangkap semasa menyerahkan wang tersebut," katanya.

Abdul Jalil berkata, siasatan mendapati, wanita terbabit turut mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan samun.

Beliau berkata, pasangan kekasih ini didapati turut mempunyai kaitan dengan kumpulan rakyat Amerika Latin yang ditangkap polis kerana terlibat dalam kejadian pecah rumah di sekitar Ampang baru-baru ini.

PDRM siasat modus operandi seludup kereta ke Dubai

Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Mohd Iskandar Ibrahim

2010/06/29
Sindiket antarabangsa disyaki dalang utama

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan rapi berhubung 24 kenderaan dari Malaysia berjaya diseludup ke Dubai dipercayai didalangi sindiket antarabangsa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, ketika dihubungi Berita Harian berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada agensi berkaitan dan pihak berkuasa Dubai bagi mengetahui lebih lanjut modus operandi yang digunakan sindiket terbabit. Beliau berkata, pihaknya juga akan menyiasat untuk mengenal pasti di mana lokasi kereta itu diseludup keluar dari negara ini sebelum dihantar ke luar negara selain mengesan dalang yang disyaki terbabit. Buat masa ini, kita (polis) masih belum mendapat sebarang maklumat berhubung perkara itu. Bagaimanapun, kita (polis) akan menjalankan siasatan terperinci, katanya di sini, semalam.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan kenderaan itu yang disita kastam Dubai ketika cuba diseludup ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) beberapa tahun lalu sudah diserah kepada polis Malaysia.

Konsul Besar Malaysia di Dubai Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata kebanyakan kenderaan berkenaan adalah daripada jenis trak pikap dan kenderaan pelbagai guna SUV.

Semua kenderaan itu dalam perjalanan ke Malaysia dan dijangka tiba tidak lama lagi, katanya.
Media di UAE melaporkan kastam Dubai berjaya mengesan kenderaan terbabit sebelum ia memasuki pasaran auto rantau itu hasil kecekapan pegawai dan penggunaan alat pengimbas berteknologi tinggi.

Laporan media itu juga menyebut siasatan mendapati usaha menyeludup itu didalangi sindiket antarabangsa.

Syed Mohamad Hasrin berkata, kes pertama diketahui Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi pada 2007 manakala Pejabat Konsul Besar di Dubai pula diwujudkan pada 2008.

Hanya baru-baru ini pegawai dari kastam Dubai datang menemui saya untuk bertanya sama ada kita mahu melupuskan kenderaan terbabit atau dihantar balik ke Malaysia, katanya.

Beliau berkata, dua pegawai PDRM datang ke Dubai selepas dimaklumkan mengenai perkembangan dan memeriksa kenderaan terbabit.

Selepas diperiksa mereka bersetuju agar semuanya dihantar balik untuk tindakan lanjut, katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kastam Dubai dan kedutaan di atas kerjasama mereka

Pemandu dihukum gantung bunuh anak teman wanitanya

28/06/2010 6:21pm


KUALA LUMPUR 28 Jun – Seorang pemandu yang juga bekas pengawal peribadi seorang “Datuk” hari ini dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah didapati bersalah membunuh anak perempuan teman wanitanya yang berusia dua tahun dan 11 bulan pada 2005.

Hakim Datuk Ghazali Cha berkata, pihak pembelaan yang mewakili Davender Singh Sher Singh, dari Taman Ibu Kota, Gombak, yang sudah beristeri telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Ghazali berkata, peruntukan undang-undang di dalam pertuduhan membunuh adalah jelas, iaitu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan hanya dimaktubkan satu hukuman sahaja iaitu digantung sehingga mati.

Davender Singh, 49, didakwa membunuh Nur Farah Adila Ridzuan di No TA-12, Jalan Mewah 3, Taman Ampang, di antara 16 Jun hingga 1 Julai 2005.

Ghazali berkata, adalah mustahil bagi tertuduh untuk tidak mengetahui bahawa perbuatannya boleh menyebabkan maut kepada si mati.

Beliau menjelaskan keterangan saksi utama iaitu ibu mangsa Noriahanim Udin, 38, seorang pekerja hotel, bahawa Davender merupakan orang yang bertanggungjawab melakukan siri “rawatan”, yang mendatangkan kecederaan serius sehingga rusuk kanan dan kiri si mati patah.

"Laporan perubatan dan bedah siasat juga menunjukkan pankreas si mati sudah bernanah dan hampir semua organnya tidak berfungsi akibat dipukul dengan suatu objek tumpul,” jelas Ghazali. – Bernama

Sunday, June 27, 2010

Lelaki maut terjun bangunan

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Jun - Seorang lelaki yang melarikan diri atas bumbung sebuah rumah kedai selepas menikam dirinya, maut setelah dia bertindak nekad terjun dari bangunan setinggi 15 meter itu di Jalan Bandar, Taman Melawati di sini hari ini.

Lelaki berusia 30 tahun tersebut sebelum itu mengamuk dan membunuh seorang pekerja sebuah kedai tayar, Fong Chee Kong, 32, di tingkat tiga rumah kedai berkenaan.

Sebelum terjun, lelaki berasal dari Sabah itu, Johnny Dusok sempat melambai ke arah sekumpulan anggota polis yang cuba memujuknya untuk menyerahkan diri kira-kira pukul 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, lelaki itu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 6.25 petang ini akibat kecederaan parah akibat terjun dari bangunan rumah kedai itu.

Menurutnya, suspek yang bekerja di Perak dikatakan datang untuk bertemu abangnya yang tinggal di tingkat dua premis berkenaan sejak semalam.

Namun, katanya, suspek bertindak mengamuk dan menikam perutnya dengan sebilah pisau, kira-kira pukul 8 pagi ini.

Beliau berkata, abang suspek yang gagal mengawal adiknya terpaksa membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati selepas dia dilihat menikam dirinya dan mengamuk sambil membawa sebatang besi.

Katanya, sepasukan polis yang tiba di tempat kejadian mendapati suspek tiada di tingkat dua premis sebelum naik ke tingkat tiga dan terlihat mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah.

"Mangsa yang bekerja di sebuah bengkel tayar di kawasan ini mati di tempat kejadian dipercayai akibat hentakan teruk di kepala.

"Siasatan awal mendapati, mangsa dipukul menggunakan objek keras dan tumpul dipercayai batang besi digunakan suspek," katanya di tempat kejadian hari ini.

Tambah Abdul Jalil, selepas diperiksa, suspek dikatakan telah naik ke atas bumbung premis itu sebelum bertindak nekad untuk terjun.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek panik selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri dan naik ke atas bumbung melalui lubang siling yang terdapat pada premis terbabit.

"Kita memujuk suspek selama 10 minit supaya dia menyerah diri dari jarak 10 meter. Namun, suspek berundur sambil berjalan ke belakang sedikit demi sedikit sebelum terjun.

"Mayat mangsa dibawa ke HKL manakala suspek yang berada dalam keadaan kritikal turut menerima rawatan di hospital yang sama sebelum meninggal dunia petang ini," katanya.

Jelas beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa rakan mangsa berada di dalam bilik itu tetapi pergi menyelamatkan diri apabila melihat suspek mengamuk.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 dan 309 Kanun Keseksaan

Pil ecstacy bernilai RM86,000 dirampas

2010/06/28
JOHOR BAHRU: Polis merampas 2,165 pil ecstacy bernilai kira-kira RM86,600 dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Bandar Baru Permas Jaya, di sini awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.40 pagi itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan pemilik premis berusia 40-an bagi membantu siasatan berhubung penemuan pil terbabit. Ketua Operasinya, Deputi Superintendan Aida Abdul Hamid berkata, pil khayal itu ditemui di dalam beg plastik di premis terbabit dan dipercayai untuk dijual kepada pelanggan yang datang ke pusat itu dengan harga tertentu. “Berdasarkan siasatan awal, kita dapati pil terbabit dijual kepada pengunjung pusat hiburan dengan harga RM40 sebiji atau RM100 untuk tiga biji.

“Setakat ini kami masih lagi meneruskan usaha mengesan dalang yang menjadi pemilik atau pengedar dadah terbabit, " katanya di sini, semalam.

Aida berkata, ketika serbuan, pihaknya turut menahan 126 pengunjung untuk menjalani ujian saringan air kencing dan daripada jumlah itu, 74 individu berusia antara 20 hingga 60 tahun positif mengambil syabu, ketamin serta amphetamine.

“Selain itu, kita turut menahan dua wanita warga China dengan seorang daripadanya positif dadah dan seorang lagi tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.
Aida berkata, pemantauan terhadap premis terbabit sudah dijalankan sejak seminggu lalu sebelum serbuan membabitkan 35 anggota termasuk unit Urusetia Tatatertib Bukit Aman itu dibuat.

“Melihat pada hasil serbuan, kita percaya operasi kali ini merekodkan jumlah rampasan terbesar pil ecstacy pada tahun ini, ” katanya.

“Individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Larkin untuk siasatan lanjut mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis juga mengeluarkan saman terhadap premis kerana didapati beroperasi melebihi tempoh yang dibenarkan, ” katanya

Penagih tikam, jerut ibu tiri

2010/06/28
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki bertindak kejam menikam ibu tirinya berusia 52 tahun dengan pisau di rumah mangsa di Kampung Durian Burung, di sini, petang Khamis lalu akibat tidak berpuas hati apabila permintaannya mendapatkan wang tidak dipenuhi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa bukan saja ditikam di belakang badan hingga terpaksa menerima empat jahitan, malah suspek berusia 34 tahun itu juga tergamak pula menjerut leher ibu tirinya dengan rantai motosikal. Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata pada mulanya, mangsa didatangi anak tirinya seorang penagih dadah meminta sejumlah wang dipercayai untuk mendapatkan bekalan dadah bagi melepaskan gian. Bagaimanapun, katanya, wanita yang juga isteri kedua bapa suspek mengetahui tabiat buruk anak tirinya itu dan memberi wang RM10, sebelum suspek kemudian beredar dari rumah mangsa.

“Suspek yang tidak bekerja datang semula ke rumah mangsa tidak lama kemudian dan ketika itu, mangsa berada di dapur rumah dan tidak menyedari kehadirannya.

“Suspek kemudian mengambil pisau di dapur dan menghampiri serta menikam ibu tirinya menggunakan pisau itu di belakang badan mangsa dan kemudian merebahkan mangsa ke lantai lalu menjerut lehernya dengan rantai motosikal,” katanya.

"Dalam keadaan bergelut dengan anak tirinya, mangsa sempat menjerit meminta tolong sebelum kejadian disedari anak lelaki mangsa berusia 19 tahun yang kemudian meleraikan pergelutan itu. Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri," katanya.
Manoharan berkata, melihat kecederaan ibunya, anak mangsa segera menghantar ibunya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, dan mangsa menerima empat jahitan akibat tikaman itu.

Beliau berkata, polis sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 307 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan cubaan bunuh

Thursday, June 24, 2010

Sembilan lelaki mengaku sebabkan kematian warga India

SHAH ALAM 24 Jun 2010 - Sembilan bersaudara termasuk empat adik beradik mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pemilik restoran warga India tiga tahun lalu.

T. C. Letchumanan, 31, Anan Babu, 24, Rajendran, 25, Rajasegaran, 28, serta K. Bagavathy, 22, A. Poovendren, 21, S. Kumarasevam, 22, G. James, 23, dan V. Avindran, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid.

Mereka sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh R. Praphukumar yang merupakan bapa saudara kepada adik beradik terbabit di hadapan Restoran Triple 8 Corner, No. 55G, Taman Segar Perdana, Batu 9, Cheras dekat sini pada pukul 12.30 malam, 3 Mac 2007.

Mereka bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah selepas pendakwaan menawarkan pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 149 dan 304 (a) Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Pertuduhan pindaan menyebut, mereka didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang telah menyebabkan kematian Praphukumar pada masa dan tempat yang sama.

Menurut fakta kes, mangsa telah diserang di hadapan restoran miliknya setelah dikatakan mencabul kehormatan adik perempuan empat bersaudara.

Akibatnya mangsa meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital pada 10 Mac 2007 ekoran kecederaan pada bahagian kepala dan badan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Isa Hassim sementara empat beradik itu diwakili peguam Roy Angau anak Gingkoi manakala yang lain diwakili K. A. Ramu, S. S. Ruben dan J. T. Sambathan dan P. Krishnan.

Mahkamah menetapkan Isnin ini untuk mendengar rayuan lanjut sebelum menjatuhkan hukuman

17 penyamun 7 Eleven tumpas selesaikan 22 kes

PETALING JAYA 24 Jun - Polis berjaya menumpaskan dua kumpulan penjenayah yang aktif menyamun kedai serbaneka 7 Eleven dengan tertangkapnya 17 lelaki dalam beberapa serbuan di sekitar daerah ini sejak 26 Mac lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, geng samun pertama tumpas setelah kesemua 11 anggotanya yang berusia 15 hingga 25 tahun termasuk seorang pelajar berjaya ditangkap.

"Tangkapan ini membolehkan kita menyelesaikan 14 kes samun di kedai 7 Eleven dilaporkan berlaku di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Kuala Lumpur.

"Geng samun kedua pula dipercayai dianggotai oleh tujuh lelaki berusia 19 hingga 25 tahun tetapi hanya empat orang dapat ditangkap setakat ini," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan daripada tujuh lelaki yang ditahan, polis berjaya menyelesaikan 22 kes samun di kedai 7 Eleven.

Katanya, kedua-dua kumpulan penjenayah ini menggunakan pisau atau topi keledar sebagai senjata semasa menyamun wang tunai dan rokok dari kedai berkenaan.

Arjunaidi berkata, kesemua yang ditahan kini dikenakan perintah sekatan di daerah tertentu manakala pelajar berusia 15 tahun pula dikenakan sekatan di rumah iaitu tidak dibenarkan keluar rumah selepas pukul 7 malam.

Dalam kes lain, seorang ibu membuat laporan polis terhadap teman lelaki anaknya setelah pemuda terbabit menghamilkan anak gadisnya yang berusia 17 tahun itu sehingga melahirkan bayi perempuan awal bulan ini.

Arjunaidi memberitahu, pelajar perempuan itu telah melahirkan seorang bayi perempuan di Hospital Sungai Buloh pada 2 Jun lalu.

Beliau berkata, bayi terbabit dipercayai hasil hubungan sulit antara remaja perempuan itu dengan kekasihnya yang belajar di sekolah yang sama.

"Bagaimanapun, remaja lelaki itu enggan bertanggungjawab terhadap teman wanitanya menyebabkan ibu gadis itu melaporkan perbuatannya kepada polis.

"Hasil siasatan, remaja perempuan itu mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya tanpa paksaan tetapi polis tetap mengklasifikasikan kes ini sebagai rogol kerana remaja ini masih bawah umur," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun belum ditahan kerana kini berada di Australia untuk melanjutkan pelajaran

Ketamin RM80,000 dirampas

Mohd. Shakaruddin Che Mood menunjukkan dadah yang dirampas daripada seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada sekatan polis, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Hulu Langat semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



HULU LANGAT 24 Jun - Tindakan seorang lelaki melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Bandar Mahkota Cheras dekat sini akhirnya membongkar kegiatannya mengedar dadah jenis ketamin bernilai RM80,000.

Selepas dikejar dan berjaya ditangkap di Sungai Long di sini kira-kira pukul 10 malam tadi, polis menemui sejumlah tujuh bungkusan plastik mengandungi ketamin dalam bakul motosikalnya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, suspek berusia 30-an itu cuba menyembunyikan dadah di dalam kotak minuman air mineral yang diletakkan dalam bakul kenderaan ditungganginya.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui tujuh kilogram dadah itu yang dibalut dengan surat khabar dan dianggarkan bernilai RM80,000.

"Kami turut merampas motosikal milik suspek, dua buah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM1,270," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek dipercayai penghantar dadah sejak awal tahun ini di sekitar Kajang, Bandar Mahkota Cheras dan Sungai Long namun tidak memiliki rekod jenayah.

Dalam satu lagi kes, kata beliau, Polis Selangor menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang disyaki mengedar dadah di Taman Suntex, Cheras malam tadi.

Ketika ditahan, katanya, suspek sedang menunggang motosikal dan apabila menyedari kehadiran polis dia cuba melarikan diri.

Ekoran itu, polis telah mengejarnya dan berjaya menahan suspek di Jalan Kijang dan hasil pemeriksaan, polis menemui 48 peket lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 123 gram bernilai RM3,000 dalam poket suspek.

Beliau memberitahu, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 30 Jun depan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rokok, minuman keras RM361,247 kena rampas

2010/06/24
SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan merampas rokok kretek, rokok putih, wiski dan bir pelbagai jenama bernilai RM361,247 dalam satu serbuan di sebuah rumah kosong di Shah Alam, Selangor, di sini, Selasa lalu.

Serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu dilakukan oleh pegawai Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM negeri dalam operasi dikenali Ops Outlet selepas intipan selama beberapa hari. Pengarah JKDM, negeri, Mohd Kassim Ismail, berkata pihaknya menemui sebanyak 2,027 karton rokok putih, rokok kretek (140), 7,560 tin bir dan 365 botol wiski yang disyaki belum diluluskan kastam. "Barang seludup berkenaan dianggarkan bernilai RM79,469 manakala nilai duti atau cukai dianggarkan sebanyak RM281,778.

"Siasatan lanjut mendapati semua rokok yang ditemui tidak mempunyai tanda setem cukai pada kotak dan bagi wiski dan bir, tiada label bertanda 'Brewed For Export'," katanya pada sidang media di JKDM, di sini, semalam.

Mohd Kassim berkata, tiada tangkapan dilakukan di rumah berkenaan kerana pihak terbabit mungkin menyedari pihak berkuasa sedang menjalankan intipan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, iaitu menyimpan barang yang belum lulus kastam.
"Syarikat atau individu yang terbabit dalam kes itu boleh didakwa di mahkamah, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau tidak lebih 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Mohd Kassim berkata, Ops Outlet sejak Mac lalu membabitkan pemeriksaan terhadap 170 premis, termasuk rumah bagi mengenal pasti bahan seperti rokok dan minuman keras yang melanggar akta JKDM.

"Daripada jumlah itu, kita mengesan sebanyak 60 kesalahan membabitkan minuman keras dan rokok," katanya yang meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan menghubungi mana-mana pejabat JKDM berdekatan

Duda mahu bertunang esok dijumpai mati kena tikam

2010/06/24
MELAKA: Hasrat seorang lelaki berusia 58 tahun untuk bertunang dengan wanita pilihannya, Sabtu ini (esok), tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dibunuh di rumahnya di Taman Saujana Seksyen 2, Bukit Katil, di sini, semalam.

Mayat Mohd Redzwan Ali ditemui dalam keadaan duduk di atas sofa bilik rehat rumahnya dengan tangan terikat dan dua kesan tikaman di dada. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 9.30 malam dan 3.15 pagi. "Tiada kesan pecah masuk ditemui di rumah mangsa. Kemungkinan rumah itu dimasuki oleh orang yang dikenali mangsa," katanya, di sini.

Mohd Adnan berkata, motif kejadian dipercayai rompakan kerana beberapa peralatan komputer seperti dua monitor LCD dan satu CPU komputer hilang.

Menantu mangsa, Suhaimi Sulong, 34, berkata mayat bapa mentuanya ditemui adik iparnya Ashraf Raznan, 27, selepas pulang daripada berniaga di warung makanan di kawasan Cheng, di sini, kira-kira jam 3.15 pagi dalam rumah yang berselerak.

Bakal tunang mangsa, Noraini Hassan, 30, berkata beliau tergamam ketika mengetahui kejadian itu daripada Ashraf Raznan dan sukar mempercayai kejadian itu berlaku kepada bakal tunangnya.
Beliau yang mengenali Mohd Redzwan lebih setahun lalu, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan bakal tunangnya itu, kelmarin ketika pergi membeli barangan keperluan untuk pertunangan mereka.

"Semalam (kelmarin) kami beli cincin dan tempah kek, cincin dia pegang, resit dia bagi saya, suruh saya simpan. Saya tidak boleh tahan rasa sedih bila ingat semua ini," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka, di sini.

Beliau berkata mereka merancang untuk melangsungkan perkahwinan bulan depan.

"Walaupun usianya jauh lebih tua daripada saya, itu tidak menghalang saya untuk menyayanginya kerana dia mempunyai hati yang baik dan selalu menggembirakan saya...dia amat suka bergurau," katanya. - Bernama

'Doktor' pecah rumah ditahan

Oleh Azidan Nahar

2010/06/24
Lelaki berusia 45 tahun miliki 18 rekod jenayah lampau

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang pernah menyamar sebagai doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ditahan selepas terbabit dalam kejadian pecah rumah di Kampung Ah Tong, Jementah, dekat Segamat, pada 16 Jun lalu.

Lelaki berusia 45 tahun yang memiliki 18 rekod jenayah sejak 1982 di beberapa negeri itu ditahan sepasukan polis peronda ketika dia keluar dari pintu belakang rumah seorang penduduk dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 1.30 petang. Suspek yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu dipercayai menggunakan kesempatan ketika pemilik rumah keluar untuk menghantar atau mengambil anak di sekolah bagi memecah masuk dan mencuri barangan milik mereka. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri (IPPK), berkata hasil pemeriksaan pihaknya menemui wang tunai berjumlah RM2,000 pada suspek, dipercayai dicuri dari rumah berkenaan.

Beliau berkata, lelaki terbabit juga memiliki 18 rekod jenayah lampau, termasuk kes pecah rumah, menyamar sebagai penjawat awam, curi dalam bangunan serta menceroboh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Md Ali ketika ditemui, berkata lelaki terbabit memiliki rekod jenayah sejak 1982 dan semua kegiatan terbabit dilakukan bersendirian.

"Dia pernah ditahan kerana menyamar sebagai seorang doktor selama tiga bulan di HKL, selain memiliki rekod jenayah di Selama dan Gopeng di Perak; Bukit Mertajam, Pulau Pinang serta Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.
Kata Abdul Majid, lelaki terbabit dipercayai sudah sebulan menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar kawasan terbabit dan dia dipercayai sering berpindah-randah bagi menjalankan kegiatan berkenaan manakala keluarganya berada di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, lelaki terbabit dibebas dengan jaminan polis pada 19 Jun lalu dan kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Sementara itu, seorang warga asing berusia 32 tahun ditahan pada 17 Jun lalu di rumah kongsi kebun sayur Bukit Nyamuk, Kluang kerana terbabit dalam sekurang-kurangnya 15 kes samun di daerah berkenaan, Segamat serta di Perak dan Negeri Sembilan.

Mohd Mokhtar berkata, polis turut merampas pelbagai barangan daripada suspek seperti sebuah komputer riba, dua telefon bimbit, sebuah motosikal, beberapa kad mesin juruwang elektronik, kad pengenalan dan dokumen mangsa

Tauke dobi maut, polis parah dirempuh

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

2010/06/25
GEORGETOWN: Seorang pengusaha kedai dobi yang dalam perjalanan mengutip pakaian pelanggannya terbunuh, manakala seorang anggota polis parah selepas dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki yang dipercayai cuba mengelak sekatan jalan raya di Jalan Masjid Negeri di sini, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 4.30 pagi itu, M Muniandy, 65, yang menunggang motosikal, yang baru diperiksa Konstabel Raja Rosanizam Raja Roslan, 23, dirempuh kereta Honda Civic yang dinaiki empat lelaki akibat hilang kawalan selepas terlanggar kereta Naza Forte. Rempuhan itu menyebabkan Muniady cedera parah dan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, jam 8 pagi semalam. Kereta terbabit yang dipandu seorang lelaki, dipercayai mabuk, turut merempuh Raja Rosanizam yang sebelum itu memeriksa motosikal yang ditunggang Muniandy dalam sekatan jalan raya di situ.

Akibat rempuhan berkenaan, anggota Pasukan Gerakan Am dari Kulim yang masih bujang, itu patah tulang rusuk dan tangan kanan. Beliau kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan masih belum sedarkan diri.

Wanita berusia 20-an yang memandu Naza Forte cedera ringan, manakala empat lelaki dalam kereta Honda Civic itu tidak mengalami kecederaan, tetapi pemandu berusia 27 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan termasuk dua kereta dan motosikal yang diperiksa dalam sekatan jalan raya.
Siasatan awal mendapati pemandu Honda Civic itu berada di bawah pengaruh alkohol yang tinggi. Dia ditahan bagi membantu siasatan, katanya ketika melawat Raja Rosanizam di HPP, semalam.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu sehingga menyebabkan kematian.

Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 44 akta yang sama kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Sementara itu, anak Muniandy, M Magendrajan, 31, yang bekerja sebagai pemandu ambulans di sebuah hospital swasta, berkata bapanya keluar awal untuk mengutip pakaian bagi mengelak kesesakan lalu-lintas.

Semalam, bapanya dalam perjalanan mengutip pakaian di sebuah restoran nasi kandar di Sungai Pinang di sini.

Wednesday, June 23, 2010

Sabah & Sarawak: Pencuri durjana

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2010/06/23
Rumah di Taman Bukit Sepanggar, kolej UMS kerap dipecah masuk

SEPANGGAR: "Rumah penduduk di Taman Bukit Sepanggar dan Kolej Kediaman Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Taman Indah Permai di sini sudah tidak selamat. Setiap malam ada saja rumah dipecah masuk. "Saya pernah kehilangan sebuah kereta jenis Honda City, komputer riba dan peti besi dengan kerugian dianggarkan lebih RM100,000 angkara pencuri durjana," begitulah luahan Masri Faizal, 30, penduduk Taman Bukit Sepanggar yang menjadi mangsa kes pecah rumah, minggu lalu. Masri yang menetap di taman itu sejak setahun lalu, berkata ketika kejadian beliau dan anggota keluarganya pulang kampung di Tawau dan terkejut apabila dimaklumkan jirannya kenderaannya sudah hilang.

Beliau terpaksa meminta jirannya memeriksa persekitaran rumah. Bagaimanapun, mereka terkejut apabila mendapati jeriji dapur rumahnya diumpil dan apabila memasuki rumah itu, pelbagai barangan berselerak.

Masri terpaksa bergegas balik ke rumahnya keesokannya. Apabila diperiksa, pelbagai barangan berharga hilang, termasuk barangan kemas hadiah perkahwinan kepada isterinya.

"Sebelum balik Tawau, ada beberapa lelaki bermotosikal dan pekerja binaan sebuah rumah berdekatan memerhati saya dan keluarga memunggah barang ke dalam teksi. Saya mengesyaki mereka dalang pecah rumah kami.
"Bagaimanapun, setakat ini tiada tindakan diambil polis menahan pekerja terbabit untuk membantu siasatan," katanya.

Masri yang bertugas di sebuah syarikat swasta di Kota Kinabalu, berkata ketiadaan pengawal keselamatan di laluan masuk lorong 5/3B memudahkan penjenayah memasuki kawasan berkenaan.

Beliau mendakwa, sebelum kejadian itu, ada penduduk meminta polis membuat rondaan tetapi polis memaklumkan kepada mereka, anggota polis tidak boleh memasuki kawasan perumahan, sebaliknya hanya meronda di luar.

Sementara itu, seorang pelajar UMS yang menetap di Kolej Kediaman universiti itu di Taman Indah Permai yang enggan namanya disiarkan, mendakwa beliau dan lima rakannya pernah menjadi mangsa curi apabila kehilangan dua komputer riba, sebuah kamera, pendingin komputer riba, tetikus dan sebuah beg pakaian berjenama dengan kerugian dianggar RM10,000, baru-baru ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di rumah pada jam 6 petang, mereka terkejut apabila mendapati pintu rumah terbuka serta engsel tombol pintu dipecahkan. Pemeriksaan lanjut mendapati pakaian dan barangan lain bertaburan di lantai.

"Saya menghubungi bapa saudara di taman perumahan berhampiran untuk memaklumkan kejadian itu dan beliau menghubungi polis.

"Kami hairan kerana barang yang hilang hanya dalam bilik kami sedangkan dalam sebuah bilik lagi tidak dicuri. Pencuri itu memang profesional kerana boleh memecahkan pintu tanpa merosakkan tombol dan jeriji.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kedua-dua kes berkenaan

3 mengamuk kad kredit tidak lulus

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/06/24
Pegawai bank cedera dibelasah, kereta dicuri

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan bank cedera dibelasah tiga lelaki selepas permohonan mereka untuk mendapatkan kad kredit ditolak dalam kejadian di Jalan Selar, Taman Cantik, Cheras, di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, malang berganda apabila tiga lelaki yang berusia antara 24 hingga 29 tahun itu turut melarikan kereta mangsa yang berusia 27 tahun. Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata ketika kejadian itu, mangsa dikatakan menemui salah seorang suspek untuk menyerahkan keputusan permohonan kad kredit yang ditolak oleh pihak bank, di Taman Tasik Permaisuri.

Katanya, ketika proses perbincangan dilakukan, dua lagi rakan suspek datang lalu duduk bersama mereka sebelum mangsa meminta diri untuk pulang.

“Dalam perjalanan pulang, mangsa diekori suspek dan dua rakannya sebelum kenderaan yang dinaiki mangsa ditahan di Jalan Selar, kira-kira jam 1 pagi.

“Suspek yang tidak berpuas hati terus mendesak mangsa berulang kali supaya meluluskan permohonannya, namun tidak diendahkan mangsa, sehingga menimbulkan kemarahan suspek dan memukul mangsa dengan batang besi sebelum melarikan kereta Proton Wira miliknya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Abdul Rahim berkata, mangsa yang cedera di badan dan muka diselamatkan orang awam sebelum membuat laporan polis di balai berdekatan.

Katanya, bertindak atas laporan yang diterima, pihaknya melancarkan gerakan menjejaki suspek sebelum berjaya mengesan mereka di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa, Ampang, kira-kira jam 11 pagi semalam.

“Ketika serbuan dilakukan, semua suspek sedang berehat dan ujian air kencing yang dijalankan mendapati kesemua mereka positif dadah.

“Polis juga menemui satu rantai kunci dan kereta dipercayai milik mangsa,” katanya yang semuanya ditahan reman enam hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan

10 lokasi tapak pendaratan haram

Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Ifwan Tun Tuah
bhnewsi@bharian.com.my
2010/06/24
Pergerakan pendatang diurus sindiket terancang

KUALA LUMPUR: Lebih 10 lokasi di seluruh negara dikenal pasti sebagai tapak pendaratan haram pendatang asing tanpa izin Indonesia untuk berulang alik ke negara asal mereka melalui jalan laut, terutama menjelang musim perayaan. Selain Tanjung Piai, Tanjung Pengelih, Pasir Gudang, Stulang Laut, Kukup, Selat Panjang dan Muar di Johor, lokasi turut dikenal pasti ialah Port Dickson (Negeri Sembilan); Pelabuhan Klang, Kuala Selangor dan Banting di Selangor serta Melaka. Difahamkan, pemilihan lokasi itu berikutan kedudukannya berhampiran beberapa bandar pelabuhan negara jiran termasuk Tanjung Pinang, Batam, Tanjung Balai Karimun, Pekanbaru, Dumai dan Bengkalis di Riau, selain Tanjung Balai Asahan (Sumatera Utara).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata pergerakan pendatang terbabit dijangka semakin aktif dalam tempoh terdekat, terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Inilah trend setiap tahun... mereka balik kampung menjelang puasa dan hanya kembali ke sini selepas raya, dengan setiap perjalanan keluar masuk itu dikendalikan sindiket terancang dipercayai turut membabitkan warga tempatan,” katanya kepada Berita Harian.

Katanya, walaupun menyedari tindakan itu berisiko tinggi, pendatang terbabit tidak mempunyai pilihan, malah ada di antara mereka sanggup membayar tinggi semata-mata mahu mendapatkan tempat.
“Jika menggunakan kapal terbang, sudah tentu mereka akan ditahan (Jabatan Imigresen) di lapangan terbang kerana memasuki negara ini secara haram. Di Sabah dan Sarawak lain ceritalah sebab mereka boleh menggunakan jalan tikus menyeberangi sempadan,” katanya.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Datuk Mohd Amdan Kurish, berkata sindiket kebiasaannya menggunakan bot pancung bagi memudahkan pergerakan di laut, termasuk melarikan diri dari pihak berkuasa.

“Hasil risikan kita mendapati kegiatan itu yang turut didalangi tekong warga tempatan hanya aktif sepanjang Ramadan dan Aidilfitri untuk menghantar pendatang pulang dan membawa mereka masuk semula ke Malaysia.

“Usaha sedang dipertingkatkan bagi mengenal pasti tekong warga tempatan yang mendalangi kegiatan ini kerana mereka memainkan peranan penting dalam kegiatan itu disebabkan memahami muka bumi Malaysia, terutama lokasi pendaratan yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, Komander Pasukan Gerakan Marin Bukit Aman, Datuk Isa Munir ketika dihubungi memaklumkan pihaknya mengenal pasti beberapa ketua sindiket kegiatan haram itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

“Mereka akan ditahan sebaik siasatan kita lengkap. Polis sentiasa memantau kegiatan ini dan sejak Januari lalu, dua ketua sindiket sudah ditahan mengikut Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah),” katanya

Tuesday, June 22, 2010

Ibu ajar dua anak kecil mencuri

KUALA LUMPUR 22 Jun 2010 – Sebagai seorang ibu, mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Namun, apa yang berlaku pada seorang wanita ini adalah sebaliknya apabila dia sanggup mengajar dua anak perempuannya yang masih kecil menjadi pencuri profesional.

Wanita yang tidak bekerja itu mempergunakan anak perempuan berusia dua dan 12 tahun untuk membantunya mencuri kad kredit milik pelanggan bank di sekitar Lembah Klang.

Kad kredit yang dicuri tiga beranak itu kemudian digunakan untuk membeli apa sahaja barangan termasuk barang kemas.

Namun, kegiatan wanita berusia 39 tahun yang diburu polis sejak Januari lalu akhirnya tumpas selepas dia ditangkap di sebuah bank di Seri Kembangan dekat sini kira-kira pukul 3.15 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Osman berkata, wanita terbabit diburu selepas sebuah bank di Cheras mengesan perbuatan jenayahnya dan membuat laporan polis pada awal tahun ini.

Beliau berkata, bertindak atas laporan dan maklumat pihak bank, sekumpulan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berjaya mengesan suspek di sebuah bank di Seri Kembangan petang semalam.

Katanya, semasa ditahan, suspek dipercayai sedang merancang memperdayakan pelanggan bank tersebut manakala dua anak perempuannya menunggu dalam kereta.

“Modus operandi wanita ini ialah pergi ke mana-mana bank dan berpura-pura berbual dengan pelanggan di situ.

“Ketika sedang leka berbual, anak perempuan suspek akan menyeluk beg atau poket seluar mangsa untuk mengambil dompet mereka tanpa disedari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pekerja warung warga asing jadi orang tengah

2010/06/23
KUALA LUMPUR: Pemilik kedai kopi di bandar besar di seluruh negara dikesan menggunakan warung mereka sebagai pusat operasi yang menawarkan pertaruhan haram bola sepak Piala Dunia 2010 secara konvensional menggunakan khidmat warga asing sebagai orang tengah.

Warga asing yang bekerja sebagai pembancuh kopi dan pelayan bukan saja menghulurkan kertas pertaruhan kepada pelanggan, malah memujuk mereka untuk bertaruh. Difahamkan, pemilik kedai kopi hanya menunggu di kaunter pembayaran, manakala kertas pertaruhan disimpan untuk bukti pembelian. Modus operandi ini dilakukan secara sulit bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa. Sumber berkata, pemilik kedai kopi menawarkan wang pertaruhan minimum RM50 untuk satu perlawanan dan jika menang mereka akan mendapat pulangan dua kali ganda.

“Jika bertaruh RM50 untuk satu perlawanan dan pasukan yang diramal menang, dia akan mendapat RM99, manakala RM1 diberikan kepada bookie iaitu pemilik kedai kopi terbabit. Tetapi, kebanyakan kaki judi bertaruh minimum RM1,000 untuk satu perlawanan. Ada juga yang hanya menghabiskan masa di kedai kopi dari jam 9 pagi hingga 2 pagi dengan menonton perlawanan kerana kedai kopi itu turut menyediakan televisyen untuk menarik pelanggan,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Beliau berkata, kertas pertaruhan dengan pasukan pilihan serta keputusan perlawanan yang diramalkan oleh kaki judi siap dicetak membuktikan pemilik kedai kopi terbabit memainkan peranan secara langsung mengendalikan perjudian itu.

Katanya, Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) di seluruh negara turut mengesan modus operandi sama oleh pemilik kedai kopi di Pulau Pinang dan Melaka.
“Siasatan awal mendapati komputer dan modem yang dirampas daripada kedai itu menemui beberapa bukti yang mengandungi perisian yang menjurus ke arah perjudian haram,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan polis bagi mengenal pasti tujuh orang kenamaan dipercayai Datuk yang sudah melarikan diri ke luar negara kerana bimbang ditahan polis.

“Kami akan sentiasa bekerjasama dan bertindak atas maklumat yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Mengenai kes ini, saya tidak menerima sebarang arahan rasmi menjalankan siasatan,” katanya.

Monday, June 21, 2010

Dalang judi lari ke luar negara

Oleh ASSIM HASSAN dan ASRULNA'IM ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Jun 2010 - Lebih tujuh orang kenamaan yang dipercayai terlibat dalam sindiket judi bola sepak Piala Dunia 2010 dikesan telah melarikan diri ke luar negara.

Berikutan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalinkan kerjasama risikan dengan polis antarabangsa (Interpol) sejak April lalu dan percaya akan dapat mengesan individu terbabit.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.

Menurut beliau, polis mengesan dua atau tiga sindiket besar yang menjalankan pertaruhan judi bola sempena kejohanan terbesar bola sepak itu yang melarikan diri ke luar negara.

"Bagaimanapun, kita percaya mereka masih meneruskan perjudian ini dengan menggunakan rangkaian Internet di luar negara dan pertaruhan menggunakan mata wang asing," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Baru-baru ini, Mohd. Bakri mendedahkan bahawa PDRM mengenal pasti empat sindiket besar di negara ini yang turut didalangi individu berpangkat Datuk menganjurkan pertaruhan judi bola sepak.

Sindiket itu dikesan mampu mengaut keuntungan mencecah RM1 bilion sepanjang kempen Piala Dunia berlangsung selama sebulan.

Malah, sejak dua minggu operasi 'Ops Soga' diadakan, khusus bagi membanteras kegiatan perjudian bola sepak haram, polis telah menumpaskan beberapa sindiket perjudian membabitkan jumlah pertaruhan sebanyak RM300.7 juta.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan 'Ops Soga', Mohd. Bakri berkata, pihaknya telah membuat sebanyak 156 serbuan dan menahan seramai 129 individu yang terlibat sebagai bookie dan kaki judi.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 30 serbuan dilakukan oleh polis Bukit Aman dan menahan 30 individu dengan nilai pertaruhan RM200 juta.

"Ada di kalangan individu yang ditahan berusia 15 tahun dan merupakan seorang pelajar. Hasil risikan mendapati, pertaruhan judi bola ini menggunakan dua kaedah iaitu secara manual dan talian terus (online).

"Setiap kaki judi akan membuat pertaruhan sekurang-kurangnya RM50 hingga ke RM2,000 bagi setiap perlawanan. Siasatan awal kita turut mendapati seramai 200,000 kaki judi akan membuat pertaruhan bagi setiap perlawanan," jelasnya.

Mohd. Bakri turut mendedahkan, anggaran jumlah yang dipertaruhkan untuk setiap sindiket adalah kira-kira RM100,000 bagi tiga perlawanan sehari, iaitu purata antara RM30,000 hingga RM40,000 bagi setiap perlawanan.

Katanya, kejayaan polis menumpaskan sindiket judi bola sepak ini turut dibantu oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Polis akan sentiasa memantau perkara ini dan telah mengarahkan semua kontinjen di seluruh negara melakukan siasatan serta serbuan jika mengesan pertaruhan judi bola sepak berlaku," tegasnya

Sunday, June 20, 2010

Sindiket curi, ragut tumpas

2010/06/21
BALIK PULAU: Polis menumpaskan satu sindiket mencuri audio kereta dan ragut yang dipercayai terbabit dengan 25 kes pecah kenderaan sejak tiga bulan lalu, apabila empat lelaki termasuk seorang pembeli ditahan dalam satu operasi khas sekitar Bayan Lepas, di sini, awal pagi semalam.

Penahanan semua suspek dalam tempoh empat jam bermula jam 12.45 tengah malam itu, membawa kepada penemuan 22 aksesori audio kereta pelbagai jenama terkenal seperti JVC, Kenwood, Sony, Clarion, Blaupunkt dan Pioneer serta dua pengawal audio (power 'M') jenama Brothers. Selain itu, turut ditemui sebuah motosikal Honda C70, tiga pemutar skru yang dipercayai digunakan sebagai senjata dan pelbagai barang kemas. Nilai keseluruhan rampasan melebihi RM25,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pemilik sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang memaklumkan pemain cakera padatnya dicuri selepas cerminnya dipecah di Pangsapuri Lavenia, Taman Sri Nibong, Bayan Lepas, Khamis lalu.

“Susulan itu, sepasukan polis yang menjalankan siasatan menyerbu sebuah premis di Sungai Nibong Kecil dan menahan dua lelaki sebelum menahan seorang lagi rakan suspek di tempat sama, sejam kemudian.

“Turut ditemui selepas penahanan suspek ketiga, pelbagai barang hasil ragut yang dipercayai dilakukan sekitar Barat Daya,” katanya di pejabatnya, di sini, semalam.
Lai berkata, siasatan hampir tiga jam ke atas ketiga-tiga suspek berjaya membawa kepada penahanan seorang pembeli di sebuah bengkel kereta di Lorong Aziz Ibrahim, di sini.

Nenek sembunyi dadah dalam coli

Oleh Faizul Azlan Razak

2010/06/21
Polis rampas 20 botol heroin, wang tunai

KUALA TERENGGANU: Seorang nenek muda berusia 43 menyembunyikan 20 botol dadah bernilai RM28,000 dalam coli ketika ditahan di kawasan stesen bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN), Roslan Abd Wahid, berkata dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi itu, wanita berstatus ibu tunggal dari Jalan Merdeka, Rantau Panjang, Kelantan bersama rakannya dilihat dalam keadaan mencurigakan di depan tandas awam stesen bas berkenaan. Beliau berkata, janda empat anak dan sudah mempunyai cucu itu bersama rakannya yang juga janda berasal dari Kampung Pinang, Sungai Besi, Kuala Lumpur dilihat cemas dan gelisah ketika didatangi anggota polis yang melakukan pemeriksaan selepas mendapat maklumat awam mengenai kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan terbabit. Katanya, hasil pemeriksaan oleh anggota polis wanita menemui 20 botol dadah jenis heroin nombor empat seberat 83 gram, masing-masing 10 pada coli sebelah kanan dan kiri wanita terbabit.

“Selain dadah, polis turut merampas wang tunai RM106, mata wang Thailand bernilai 1,410 bath daripada nenek terbabit hasil jualan bahan terlarang itu.

“Siasatan juga mendapati suspek aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini dan mempunyai dua taraf kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand. Rakannya berusia 30 tahun pula mempunyai seorang anak kecil dan kedua-dua mereka adalah penagih pil WY. Mereka juga dipercayai pengedar dadah yang mempunyai rangkaian di sempadan Rantau Panjang dan Golok, Thailand.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 23 Jun ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Roslan berkata, polis menahan seorang remaja berusia 19 tahun yang disyaki pengedar dadah dan merampas 166 pil WY bernilai RM5,000 dalam serbuan di rumah suspek di Kampung Petai Bubus, Manir, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Thursday, June 17, 2010

Disamun RM3,000 selepas tonton Piala Dunia

KUANTAN 17 Jun 2010 - Seorang pesara yang baru menonton perlawanan Piala Dunia kerugian sebanyak RM3,000 selepas disamun sekumpulan penyamun bersenjata tajam di rumahnya di Taman Kempadang Makmur, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, empat suspek yang bersenjatakan kapak, parang dan pisau memasuki rumah mangsa yang sedang nyenyak tidur.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, mangsa yang berusia 50-an itu tidur bersama anak lelakinya yang berumur 21 tahun di ruang tamu selepas menyaksikan perlawanan Piala Dunia manakala dua anak perempuannya yang berumur 15 dan 20 tahun tidur di loteng.

"Mangsa dan anaknya yang sedang nyenyak tidur tiba-tiba dikejutkan oleh salah seorang suspek yang pada masa itu telah berada di dalam rumahnya.

"Mangsa yang panik melihat empat suspek memegang kapak, parang dan pisau itu mendiamkan diri sebelum menurut arahan mereka," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Katanya, mangsa dan anaknya itu turut diikat kaki dan tangan dengan kain sebelum diarah menyerahkan wang tunai serta barangan berharga.

"Mujur suspek tidak menyedari kedua-dua anak perempuan mangsa yang tidur di loteng bahagian atas rumah tersebut," katanya.

Kamaruzzaman berkata, kesemua suspek yang berusia 30 hingga 40-an itu dipercayai mengumpil tingkap dapur sebelum memasuki ruang tamu mangsa.

"Ekoran kejadian, mangsa kehilangan wang tunai sebanyak RM600, dua komputer riba dan dua telefon bimbit yang jumlah keseluruhannya bernilai hampir RM3,000," katanya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan dan suspek melarikan diri melalui pintu sama.

Tambahnya, kesemua suspek kini diburu polis dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan rumah masing-masing dan memasang sistem penggera bagi mengurangkan kadar jenayah samun.

Wednesday, June 16, 2010

Balu mangsa dipukul polis dapat RM90,000

2010/06/17
KUALA LUMPUR: Balu kepada seorang pekerja kilang yang mati dipukul anggota polis dalam sekatan jalan raya di Puchong dekat sini, lapan tahun lalu, menerima pampasan RM90,000 daripada kerajaan.

Siti Rohana Mohamed, 27, iaitu balu kepada Ramli Othman bersetuju dengan tawaran kerajaan bagi menyelesaikan tuntutan saman kecuaian RM2 juta difailkannya terhadap kerajaan dan lima lagi di luar mahkamah. Peguamnya, M Manoharan berkata Mahkamah Tinggi sudah merekodkan penyelesaian kes itu dan pihaknya sedang menunggu pembayaran daripada kerajaan. Beliau berkata, kerajaan akan membayar pampasan itu bagi pihak Ketua Polis Balai Puchong, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Ketua Polis Negeri Selangor dan Ketua Polis Negara, semua defendan.

Bagaimanapun, anak guamnya meneruskan tuntutan saman sivil terhadap Konstabel Mohd Izwan Sahak yang sudah keluar penjara.

Pada 21 Ogos 2008, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Muhamad Ideres Muhamad Rapee, mengenakan hukuman penjara 10 tahun terhadap Mohd Izwan selepas dia didapati bersalah menyebabkan kematian Ramli di Batu 13, Puchong, jam 1 petang, 26 Mei 2002.

Dalam pernyataan tuntutan, Siti Rohana mendakwa ketika kejadian, Ramli sedang menunggang motosikal bersama Mohamed Fadelli Maulud melalui lorong motosikal di Batu 13, Puchong berdekatan plaza tol.
Mohd Izwan didakwa tanpa sebarang amaran menghayun kayu terkena kepala Ramli menyebabkannya mati tiga hari kemudian.

Siti Rohana mendakwa tindakan defendan pertama memukul Ramli sehingga menyebabkan kematiannya satu tindakan ganas, membuta tuli, berniat jahat, cuai dan dengan niat untuk membunuh.

Dakwanya lagi, Mohd Izwan tidak mempedulikan langsung keselamatan, nyawa dan kepentingan Ramli selepas melakukan tindakan ganas memukul kepala mangsa.

Mangsa bunuh hantar SMS selepas kena tikam

2010/06/17
KERTEH: Seorang mangsa bunuh sempat mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbunyi 'aku kena bunuh' kepada abangnya sejurus selepas ditikam, sebelum mayatnya ditemui di sebuah pondok di kebun buah-buahan di Kampung Pasir Gajah, di sini, Isnin lalu.

Abdul Halim Idrus, 19, yang dikatakan berjanji untuk bertemu dengan teman wanitanya di kebun berkenaan pada hari kejadian ditemui mati dengan kesan tusukan senjata tajam, dipercayai bermotifkan dendam atau cemburu cinta tiga segi. Abang mangsa, Mohd Haris, 27, berkata sebelum SMS yang disangka satu gurauan itu diterima, mangsa turut meminta tambah nilai kredit telefon bimbit RM1 daripadanya, sebelum beberapa SMS yang dihantarnya kepada mangsa tidak berbalas sehingga menimbulkan keresahan keluarganya. “Saya terkejut dan tergamam sebaik menerima SMS itu. Ia dihantar sejurus saya menghantar tambah nilai ke telefon bimbitnya. Selepas menerima SMS pelik itu, saya menghantar SMS berkali-kali bertanyakan keadaannya, namun gagal mendapat sebarang jawapan.

“Disebabkan bimbang, saya bersama bapa, Idris Long dan beberapa rakan mencari adik, tetapi tidak bertemu. Selepas seharian usaha mencarinya gagal, kami membuat laporan di Balai Polis Kampung Pasir Gajah dan kami dihubungi polis pada keesokan harinya memaklumkan mengenai penemuan mayat adik dan diminta membuat pengecaman,” katanya.

“Sebenarnya, adik saya ada memaklumkan untuk pergi menemui teman wanitanya. Selepas menerima panggilan telefon daripada gadis berkenaan, mereka berjanji untuk bertemu di sebuah pondok di kebun kelapa sawit di kampung berkenaan,” katanya yang ditemui di rumahnya di Felda Kerteh Empat dekat Bandar Ketengah Jaya, di sini.

Mohd Haris berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mereka sekeluarga tidak dapat menahan sebak dan sedih sebaik melihat jenazah mangsa yang berlumuran darah terbaring di atas sebuah tilam di dalam pondok berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Terengganu, Superintendan Mohd Zani Che Din berkata, polis masih berusaha menjejaki tiga saksi iaitu kenalan mangsa yang dikatakan ada menghantar SMS kepada mangsa sebelum kejadian bagi membantu siasatan.

Tuesday, June 15, 2010

Syabu dirampas, lelaki ditahan

2010/06/16
SHAH ALAM: Polis merampas dadah jenis syabu seberat 892 gram dianggarkan bernilai RM225,000, cuba diseludup masuk oleh seorang lelaki warga Iran, yang pertama kali masuk ke negara ini pada 11 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan pada badannya, kita menemui beberapa gumpalan tisu berisi 39 ketulan plastik kecil berisi dadah disyaki syabu dengan berat keseluruhan sebanyak 330 gram, diselitkan pada bahagian kiri dan kanan pinggang seluarnya,” katanya. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata suspek berusia 30 tahun itu kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk ujian imbasan sinar X dan menemui 64 lagi kapsul berisi syabu dalam perutnya. “Dalam masa tiga hari, semua kapsul dadah seberat 562 gram berkenaan berjaya dikeluarkan dari perut suspek selepas membuang air besar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Siasatan mendapati suspek diupah RM65 (AS$20) untuk setiap kapsul berisi dadah yang ditelan dan berjaya dibawa masuk ke negara ini seberat 10 kilogram (kg) bernilai hampir RM500,000 yang cuba diseludup masuk oleh tiga warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), dalam tiga tangkapan berasingan, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata tangkapan pertama dibuat kira-kira jam 5 petang pada 9 Jun di KLIA, membabitkan seorang penumpang lelaki warga India yang berada dalam keadaan mencurigakan ketika menolak keluar troli membawa sebuah kotak dan sebuah beg pakaian.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis Bahagian Narkotik KLIA kemudian membuat pemeriksaan terhadap kotak serta beg pakaian yang dibawa dan menemui 20 paket plastik mengandungi dadah disyaki ketamin seberat 4.75 kg bernilai RM145,000 disorok pada dinding kotak terbabit.
“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 43 tahun itu bekerja sebagai pemandu teksi tiga roda di negaranya dan pernah dua kali masuk ke negara ini sejak tahun lalu.

“Suspek dipercayai diupah membawa masuk dadah ke negara ini untuk diproses sebelum diseludup semula ke luar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Katanya, tangkapan kedua pada 11 Jun lalu pula membabitkan rampasan dadah jenis syabu seberat 892 gram dianggarkan bernilai RM225,000, cuba diseludup masuk oleh seorang lelaki warga Iran, yang pertama kali masuk ke negara ini.

“Hasil pemeriksaan pada badannya, kita menemui beberapa gumpalan tisu berisi 39 ketulan plastik kecil berisi dadah disyaki syabu dengan berat keseluruhan sebanyak 330 gram, diselitkan pada bahagian kiri dan kanan pinggang seluarnya,” katanya.

Nordin berkata, suspek berusia 30 tahun itu kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk ujian imbasan sinar X dan menemui 64 lagi kapsul berisi syabu dalam perutnya.

“Dalam masa tiga hari, semua kapsul dadah seberat 562 gram berkenaan berjaya dikeluarkan dari perut suspek selepas membuang air besar. Siasatan mendapati suspek diupah RM65 (AS$20) untuk setiap kapsul berisi dadah yang ditelan dan berjaya dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan ketiga dibuat pada 13 Jun lalu, membabitkan seorang lelaki warga India berusia 40 tahun di LLCT.

“Pemeriksaan pada beg pertama, polis menemui satu bungkusan plastik dadah disyaki ketamin seberat 2 kg dan kita turut menemui bungkusan dadah jenis sama seberat 1.9 kg pada beg kedua, semuanya bernilai RM120,000,” katanya.

Semua suspek kini direman hingga 19 dan 20 Jun depan untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan

Monday, June 14, 2010

Lima pengedar dadah tumpas

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusankota@utusan.com.my



Kang Chez Chiang (dua dari kanan) menunjukkan ketulan ganja mampat yang dirampas daripada lima orang suspek pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 14 Jun - Hanya dengan menggunakan seorang pengedar dadah wanita sebagai umpan, polis berjaya memerangkap lima pengedar dadah secara runcit yang aktif di sekitar Lembah Klang, sejak beberapa bulan lalu.

Kejayaan menjerat kelima-lima suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki berusia 30 hingga 38 tahun itu bermula dengan penahanan seorang wanita berusia 30 tahun di Setapak di sini kerana memiliki syabu seberat 125 gram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, kesemua suspek ditahan dalam tempoh 14 jam pada Khamis lalu.

Menurutnya, setelah menjalankan siasatan terhadap wanita yang merupakan suspek pertama itu, pihaknya menangkap dua lelaki di sebuah hotel di Jalan Haji Hussein yang sedang memproses 1.370 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan tiga gram syabu.

"Daripada penahanan itu, kita mendapat petunjuk bagi menahan seorang lelaki yang juga pemandu teksi limousin berusia 36 tahun di hadapan sebuah hotel di Jalan Pudu. Hasil pemeriksaan kita menemui 3 kg. ganja di dalam teksi tersebut.

"Dalam siasatan yang dijalankan terhadap rumah pemandu teksi berkenaan di Batu Caves selepas itu, kita menemui 2 kg. ganja lagi, sebelum menahan isteri suspek berusia 34 tahun yang berada di rumah ketika itu.

"Kita juga percaya pemandu teksi itu menjalankan kegiatan pengedaran ganja dengan menggunakan teksinya untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Chez Chiang menambah, hasil maklumat yang diberikan pemandu teksi terbabit, polis kemudian menahan suspek terakhir berusia 33 tahun kerana membawa lapan ketulan ganja seberat lapan kilogram.

Jelasnya, ganja itu ditemui di dalam kereta Perodua Kelisa yang dipandunya ketika dia berhenti di sebuah stesen minyak di Jinjang.

Beliau berkata, hasil daripada kesemua tangkapan dalam tempoh 14 jam itu, sebanyak 11.7 kg ganja dan 128 gram syabu bernilai RM76,000 telah dirampas.

Katanya, kesemua suspek yang terdiri daripada penganggur, pemandu sambilan, peniaga dan pelayan restoran terbabit telah direman antara empat dan tujuh hari bermula Jumaat lalu.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan yang dilakukan terhadap sebuah rumah di Taman Kobena, Cheras, Sabtu lalu, polis berjaya merampas sebanyak 841 gram heroin bernilai RM47,000.

Chez Chiang berkata, rampasan itu berjaya dilakukan setelah polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di Taman Maluri di sini.

"Pemeriksaan awal terhadap badan suspek ketika ditahan tidak menemui sebarang dadah yang dibawa, oleh itu kita melakukan pemeriksaan lanjut di rumahnya di Taman Kobena.

"Di situ, kita menemui dua ketulan mampat heroin yang belum diproses dan 194 peket heroin yang telah diproses," ujarnya.

Menurutnya, suspek telah direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Putus tangan ditetak perompak

2010/06/15
BUKIT MERTAJAM: Seorang eksekutif insurans putus pergelangan tangan kiri ditetak oleh sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan parang, dipercayai bermotifkan samun di Jalan Maju di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika mangsa berusia 36 tahun pergi ke keretanya untuk mengambil wang selepas minum sambil menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia bersama rakannya di sebuah restoran. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata sebaik tiba di keretanya, mangsa diserang tiga lelaki. Mangsa cuba menepis serangan itu tetapi tetakan lelaki terbabit terkena pergelangan tangan kiri hingga putus. Usaha mencari tangan mangsa di tempat kejadian menemui jalan buntu.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang.

“Setakat ini, tangan mangsa yang putus belum ditemui. Kami masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan

Perokok belasah pegawai

Oleh Nahar Tajri

2010/06/15
Tak puas hati kena notis kompaun merokok di surau hospital

ALOR SETAR: Seorang Pegawai Kesihatan Awam cedera akibat ditumbuk dan ditendang tiga lelaki yang tidak berpuas hati selepas dikenakan notis saman larangan merokok dalam operasi kesihatan awam di sebuah surau di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, seorang lelaki berusia 54 tahun yang sedang menghisap rokok di kawasan larangan terkejut apabila tiba-tiba dihampiri seorang pegawai penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah, Yan berusia 25 tahun yang kemudiannya mengeluarkan notis kompaun menghisap rokok di kawasan larangan terhadapnya. Akibat berang dikenakan tindakan itu lelaki berkenaan memanggil dua lagi rakannya yang berusia 40-an dan 50-an sebelum memukul mangsa bertubi-tubi menyebabkan muka dan badannya lebam. Difahamkan mangsa ditumbuk dua kali di muka dan ditendang di badan sehingga tersungkur sebelum menyelamatkan diri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Ong Aik Cheng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu kelmarin.

“Kami menerima laporan daripada seorang Penolong Pegawai Kesihatan Awam, Daerah Yan yang sedang menjalankan operasi larangan merokok di hospital berkenaan ditendang dan ditumbuk oleh tiga lelaki berusia antara 40-an hingga 50-an,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek yang memukul penjawat awam itu dan sedang menjalankan siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya

161 rakyat Malaysia hilang di luar negara

Oleh Hardi Effendi Yaacob

2010/06/15
Ramai dikesan diperalat sindiket antarabangsa

KUALA LUMPUR: Seramai 161 rakyat tempatan, dengan 97 daripadanya gadis dan wanita dilaporkan hilang di luar negara sejak dua tahun, dipercayai diperalatkan sindiket jenayah antarabangsa.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong ketika mendedahkan perkara itu berkata, kebanyakan individu terbabit hanya berjaya dikesan selepas ditahan pihak berkuasa di negara asing atas kesalahan pelbagai jenayah. “Seramai 117 individu berjaya ditemui semula oleh keluarga atau waris mereka hasil usaha sendiri atau dengan bantuan kedutaan dan Wisma Putra. “Seramai 39 individu lagi masih gagal dikesan hingga kini dan dipercayai berada di luar negara berdasarkan laporan dibuat keluarga mereka.

“Bagaimanapun, ada kes orang hilang itu yang hanya berjaya dikesan selepas mereka ditahan kerana melakukan jenayah, terutama membabitkan kesalahan dadah dan pemalsuan kad kredit didalangi sindiket antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya merekodkan lima kes individu hilang ditahan di China kerana menyeludup dadah.

“Ini termasuk seorang wanita berusia 50-an yang dipenjarakan di Naning, China sejak Disember 2008 selepas dimaklumkan suaminya yang meminta bantuan kami untuk menyelamatkan isterinya,” katanya.
Difahamkan, wanita itu memaklumkan kepada suaminya beliau ke Hanoi, Vietnam untuk bercuti pada Oktober 2008.

Bagaimanapun, apabila suaminya menunggu di lapangan terbang pada tarikh beliau dijadualkan pulang, wanita itu tidak muncul, selain gagal dihubungi sebelum meminta bantuan Biro Pengaduan Awam MCA dua bulan kemudian.

“Atas nasihat kita, mangsa meminta bantuan Wisma Putra sebelum dimaklumkan seorang pegawai bahawa isterinya ditahan di penjara di Naning, China atas kesalahan membawa dadah.

“Dia kini menunggu laporan daripada Wisma Putra untuk membebaskan isterinya,” katanya.

Chong mengesahkan wanita itu diperalatkan sindiket dadah antarabangsa yang memperdayakan mangsa dengan menawarkan pakej percutian secara percuma.

Justeru, Chong menasihatkan rakyat negara ini, terutama wanita tidak mudah terpedaya dengan mana-mana tawaran percutian secara percuma ke luar negara bagi mengelak diperalatkan sebagai keldai dadah atau untuk jenayah lain

Sunday, June 13, 2010

Bunuh bermotif dendam

KUALA LUMPUR 13 Jun 2010 - Siasatan polis percaya kes pembunuhan seorang pekerja restoran nasi kandar di Kota Damansara semalam bermotif dendam yang berpunca daripada satu hubungan sulit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Abdul Razak Elias berkata, setakat ini, polis menolak kemungkinan kejadian itu berunsurkan rompakan.

Katanya, ini kerana semua barang berharga milik mangsa tidak dilarikan oleh penjenayah terbabit.

''Kita percaya motif adalah membalas dendam. Mangsa adalah pekerja biasa di restoran nasi kandar itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, polis akan menggunakan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kedai-kedai berhampiran untuk menyiasat kes tersebut.

"Walaupun premis itu ada CCTV, kita berusaha untuk mendapatkan rakaman CCTV dari premis berhampiran.

"Ia supaya dapat mengenal pasti lebih jelas suspek dan nombor pendaftaran kereta digunakan," kata beliau.

Menurutnya, polis juga percaya suspek bukan pekerja dari India kerana berpendapat agak sukar bagi mereka bebas memiliki kereta dan senjata api.

Katanya, polis kini sedang menyiasat latar belakang mangsa yang pernah bekerja di Pulau Pinang.

"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya lagi.

Dalam kejadian tengah malam semalam, mangsa yang dikenali sebagai Rash, 30-an dari Chennai, India, mati akibat ditembak di perut ketika pulang dari tempat kerja.

Ketika kejadian pukul 12.04 tengah malam, mangsa sedang menaiki tangga ke asrama penginapannya di tingkat dua bangunan sederet dengan restoran tempat dia bekerja.

Berdasarkan rakaman CCTV yang terdapat di premis kejadian, suspek yang bertopi keledar, berjaket biru dan berseluar panjang melepaskan tembakan ke arah mangsa dan melarikan diri menggunakan sebuah kereta Proton Perdana hitam

Mati ditikam rakan senegara

KLANG 13 Jun 2010 - Akibat perselisihan faham, seorang warga Nepal sanggup menikam rakan senegaranya sehingga mati di Pangsapuri Bandar Sultan Sulaiman, di sini malam semalam.

Mangsa yang juga rakan serumahnya ditikam dengan pisau di rusuk kiri, meninggal dunia pada pukul 11.50 malam itu.

Difahamkan, suspek yang berusia 20 tahun dan mangsa, 31, berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya menerima laporan mengenai pergaduhan itu daripada seorang awam.

Katanya, namun sejurus tiba, polis mendapati mangsa telah tidak bernyawa.

"Kita menahan suspek di situ dan menemui sebilah pisau di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.

Tambah Mohamad, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, Mohamad menambah, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

''Kita akan memanggil tiga saksi yang juga rakan serumah mangsa untuk membantu siasatan," ujarnya

Guna kemeja sorok dadah

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my
2010/06/14
Polis patahkan taktik sembunyi 15 botol heroin dalam poket

KUALA TERENGGANU: Taktik seorang pengedar dadah tegar untuk mengaburi pihak berkuasa dengan menyorokkan bahan terlarang itu dalam baju korporatnya yang digantung dalam kereta gagal apabila dia ditahan berhampiran Dataran Shahbandar di sini, Jumaat lalu. Ketua Jabatan Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid, berkata pengedar berasal dari Bukit Rambai, Melaka berusia 38 tahun itu menyorokkan 15 botol heroin nombor empat seberat 66 gram bernilai RM21,000, dipercayai bagi diedarkan di beberapa kawasan di bandar raya ini. Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, polis menahan kereta suspek di hadapan sebuah bangunan dan pemeriksaan dalam kereta Proton Wira dipandu suspek membawa kepada penemuan bahan terlarang itu.

“Suspek juga dipercayai aktif mengedar dadah di beberapa kawasan iaitu di Pulau Duyong, Losong dan Batu Rakit,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Roslan berkata, suspek yang memiliki rekod jenayah narkotik lampau pernah dikenakan tahanan dua tahun pada 1998 di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor dan didapati masih meneruskan kegiatan pengedaran dadah.

“Selepas dibebaskan, suspek kembali aktif mengedar dadah tahun lalu sehingga ditangkap Jumaat lalu. Pada Mac lalu, dia yang juga penagih ditangkap kerana memiliki dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
“Selepas tamat tempoh Langkah-Langkah Pencegahan Khas di Simpang Renggam, suspek dikenakan sekatan di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu direman selama seminggu sehingga 18 Jun ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Sementara itu, Roslan berkata sepanjang tempoh dua minggu ini, polis berjaya menahan 273 orang yang terbabit dengan pelbagai kesalahan dadah

Friday, June 11, 2010

4 lelaki bersenjata larikan barang kemas RM150,000

TAMPIN 11 Jun 2010 - Empat lelaki bersenjatakan parang dan tukul besi mengambil kesempatan ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat merompak sebuah kedai emas di pekan Gemas di sini tengah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang, penjenayah itu sempat melarikan sejumlah barangan kemas bernilai kira-kira RM150,000.

Ketua Polis daerah, Supritendan Wooi Kooi Cheng memberitahu, ketika kejadian, terdapat tiga orang pekerja dan seorang pelanggan di dalam premis berkenaan.

"Empat lelaki bertopeng yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira warna kelabu berhenti di hadapan kedai itu.

"Tiga daripada mereka, masing-masing bersenjatakan parang dan tukul besi kemudian menyerbu ke dalam premis berkenaan lalu memecahkan cermin pameran sebelum melarikan sejumlah barangan kemas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Kooi Cheng memberitahu, kumpulan penjenayah itu kemudian melarikan diri dengan kereta sebelum kenderaan yang mereka naiki itu ditinggalkan di satu lokasi kira-kira 3 kilometer dari tempat kejadian.

Menurutnya, polis percaya penjenayah itu bertindak menukar baju mereka sebelum melarikan diri menaiki dua buah kereta lain, iaitu Honda City berwarna hitam dan Honda Stream putih.

"Berdasarkan siasatan, kesemua kereta yang digunakan oleh penjenayah berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kita juga sedang menyiasat kemungkinan kenderaan itu juga adalah kereta curi," ujarnya.

Tambahnya, polis juga menjumpai beberapa helai baju dan dua bilah parang yang ditinggalkan di dalam kereta Proton Wira berkenaan.

Menurutnya, kejadian rompakan kedai emas tersebut merupakan yang pertama dalam tempoh tujuh tahun di daerah itu. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

"Kita sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu untuk mengenal pasti suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan," jelasnya.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata

Rumah ahli majlis dibom

Oleh Rasmi Abdullah
pengarang@utusan.com.my



KESAN terbakar di hadapan pintu masuk rumah S. Selvadurai akibat dilontar dengan bom api 'molotov cocktail' di Jalan Bungur, Pelabuhan Klang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



SHAH ALAM 11 Jun - Seorang Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan ahli keluarganya terselamat walaupun rumah mereka dilempar dengan dua bom api 'molotov cocktail' di Jalan Bungur Off Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang di sini tengah malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 12.10 tengah malam ketika ahli majlis terbabit, S. Selvadurai (gambar), 48, sedang menonton televisyen manakala isterinya, V. Kanniamah, 45, dan anak lelaki mereka, S. Dhivagar, 13, berada di ruang lain di rumah tersebut.

Selvadurai memberitahu, kejadian itu disedarinya apabila terdengar bunyi benda pecah dan tiba-tiba dia ternampak api di hadapan pintu rumahnya.

"Namun api itu berjaya dipadamkan dengan alat pemadam api. Kami sekeluarga terselamat cuma bahagian belakang kereta saya yang terbakar dalam kejadian ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, Selvadurai yang sudah 28 tahun terlibat dalam politik memberitahu, beliau tidak pernah menerima ugutan atau apa-apa ancaman daripada mana-mana pihak sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, anggotanya yang tiba di tempat kejadian menemui dua botol kaca berisi petrol dan salah satu daripadanya mengenai kereta mangsa.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak polis kini sedang memburu dua lelaki yang menaiki motosikal, dipercayai suspek bagi kejadian tersebut.

"Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih belum diketahui," tambahnya

Dua beranak diacu pedang penyamun

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2010/06/12
KUANTAN: Dua beranak berdepan detik cemas apabila diikat kaki, tangan dan mulut serta diugut dengan pedang sepanjang satu meter oleh enam lelaki yang memecah masuk rumah mereka, di Felcra Seri Makmur, Paloh Hinai, dekat Pekan, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, mangsa berusia 35 tahun dan ibunya, 65 tahun turut dikurung dalam bilik di rumah mereka selepas diikat enam lelaki dipercayai warga asing. Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata enam perompak yang memakai penutup muka merampas barang kemas dipakai warga emas itu bersama telefon bimbit membabitkan kerugian keseluruhan kira-kira RM12,000. Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika dua beranak itu tidur dalam dua bilik berasingan.

Katanya, anak lelaki mangsa menyedari suis lampu bilik dibuka, namun tidak mengendahkannya kerana menyangka ibunya yang masuk, tetapi sangkaan itu meleset sebaik saja ternampak kelibat seorang lelaki bertopeng bersenjatakan pedang meluru ke arahnya.

“Mangsa tidak sempat bertindak sebaliknya terpaksa mengikut arahan perompak itu kerana bimbang dicederakan sebelum tangannya diikat dan diheret masuk ke dalam bilik tidur ibunya.

“Ketika itu ibunya turut diikat, " katanya di sini, semalam. Noor Asyikin berkata, bimbang lelaki itu melawan, seorang daripada suspek terbabit turut mengikat kaki mangsa.

“Ketika itu masuk lima lagi rakan perompak memakai penutup muka sebelum mereka menggeledah rumah dan mencari barang berharga, manakala seorang daripada mereka merampas barang kemas dipakai wanita terbabit," katanya.

Katanya, selepas mendapat habuan mereka, perompak terbabit melarikan diri melalui pintu belakang rumah berkenaan.

Kerugian RM1 juta rumah diceroboh

KOTA KINABALU 11 Jun 2010 - Seorang ahli perniagaan kerugian hampir RM1 juta selepas rumahnya di Taman Golden Hill, Kepayan di sini dipecah masuk petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.45 petang ketika mangsa dan keluarganya tiada di rumah dan berada di Beaufort menguruskan persiapan kenduri kahwin adiknya.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Abudzar berkata, antara yang dilarikan ialah kereta mewah BMW Z4, barang kemas dan peralatan rumah.

"Saya hanya dimaklumkan rumah saya dirompak pada pukul 6 petang oleh jiran.

"Ketika kejadian, saya sekeluarga menguruskan persiapan kenduri kahwin adik yang akan berlangsung di Beaufort tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abuzar menambah, sejurus menerima panggilan itu, dia bergegas pulang ke rumah dan mendapati kenderaan mewahnya itu hilang.

Selain itu, dia berkata, bahagian dalam rumahnya dalam keadaan berselerak manakala pintu pagar dan rumah dibiarkan terbuka.

Pemangku Ketua Polis daerah, Supritendan Rowell Marung berkata, siasatan awal polis mendapati, kejadian itu dilakukan oleh lebih daripada seorang suspek.

"Anak mangsa membuat laporan polis tengah malam tadi dan polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Rowell turut menasihatkan orang ramai yang ingin meninggalkan rumah untuk tempoh yang lama ketika cuti sekolah ini supaya memaklumkan kepada balai polis berhampiran bagi membolehkan pihaknya membuat rondaan di kawasan rumah mereka

Pengurus kelab malam, teman wanita mati ditembak

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/06/12
sebelum - selepas

ANGGOTA forensik PDRM mencari bahan bukti pada kereta CRV pengurus kelab malam.CCTV rakam 2 lelaki tunggu mangsa

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus kelab malam bersama teman wanitanya mati ditembak dari jarak dekat di tempat letak kereta kondominium di Taman Maluri di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan baru pulang dari bekerja sebelum didatangi dua lelaki ke arah kenderaan jenis Honda CRV milik mereka. Difahamkan, sebaik menghampiri kenderaan terbabit kedua-dua lelaki berkenaan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa melalui tempat duduk bahagian pemandu sebelum melarikan diri.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata mayat pengurus kelab berusia 52 tahun dan teman wanitanya berusia 32 tahun ditemui pengawal keselamatan kondominium berkenaan sebelum menghubungi pihak berkuasa.

“Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dipercayai ditembak menggunakan pistol jenis automatik. Bagaimanapun, polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.

“Pemeriksaan yang dilakukan, polis menemui 13 kelongsong peluru berhampiran mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini.
Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu, ada dua lelaki dilihat sedang menunggu dalam tempoh lama sebelum bertindak menembak mangsa.

“Difahamkan, seorang pengawal keselamatan juga ternampak dua suspek melarikan diri dengan memanjat pagar belakang kondominium selepas mendengar beberapa das tembakan,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian masih disiasat tetapi tidak menolak ia bermotifkan dendam.

“Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh walaupun siasatan awal mendapati dompet dan dua utas rantai emas milik kedua-dua mangsa itu dilarikan suspek.

“Bagaimanapun, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran