Sunday, January 30, 2011

Pembantu kedai kopi ke tali gantung edar kanabis

2011/01/31
GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pembantu kedai kopi yang didapati bersalah mengedar kanabis 13 tahun lalu.

Hakim Nurmala Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamed Musa Amanullah, 38, selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah. Ini adalah kali kedua Mohamed Musa dijatuhi hukuman itu oleh mahkamah terbabit, selepas dia dibicarakan semula terhadap tuduhan mengedar 35,040.5 gram kanabis, di Jalan Akuarium, Gelugor di sini, pada 4 Januari 1998, kira-kira jam 9.30 malam. Mohamed Musa yang pertama kali disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu pada 2004 membuat rayuan perbicaraan semula di Mahkamah Rayuan sebelum dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Tan Guan Cheng sementara Mohamed Musa diwakili peguam Jagdeep Singh. - BERNAMA

Tuesday, January 25, 2011

Sindiket dadah Iran tumpas

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 25 Jan. 2011 - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa setelah menahan 15 warga Iran termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan minggu lalu.
Kesemua mereka yang ditahan dipercayai kurier dan pengedar dadah berusia 20 hingga 40 tahun.
Ekoran kejayaan itu, pihak polis merampas 78.7 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang bernilai RM15.7 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah kondominium di Ampang, Selangor, Selasa lalu.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga Iran serta merampas 13kg dadah jenis syabu.
Beliau berkata, serbuan ke atas kondominium itu turut membongkar sebuah makmal mini yang dipercayai digunakan suspek bersama beberapa lagi rakannya memproses dadah sebelum diedarkan.
"Hasil soal-siasat kita menahan tiga lelaki dan seorang wanita juga warga Iran yang merupakan ahli kumpulan itu.
"Mereka dikesan aktif menjadi kurier membawa masuk dadah ke negara ini melalui KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Noor Rashid, susulan itu, pihaknya telah membuat tangkapan ke atas dua lelaki warga Iran di KLIA yang dipercayai baru tiba ke negara ini dan membawa dadah dengan cara menelan ketulan kapsul syabu itu.
Katanya, kedua-dua suspek terbabit dibawa ke hospital dan pihaknya berjaya mengeluarkan 174 ketulan kapsul dadah jenis syabu seberat 1.5kg.
Tambahnya, pada hari sama, pihaknya menahan tiga lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah di Pandan Indah, Ampang dan merampas 984 gram syabu.
"Kesemua dadah itu diisi dalam dua peket plastik dan disembunyikan di dalam sebatang besi," katanya.
Beliau memberitahu, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua lagi lelaki warga Iran di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, kelmarin.
"Soal-siasat kemudian membawa polis ke sebuah kondominium di Sentul, di sini yang dijadikan stor menyimpan dadah dan menahan dua lelaki serta menemui 33 bungkusan syabu seberat 63.19kg," katanya.

3 penjenayah geledah kereta diberkas

IPOH 25 Jan. 2011 - Tindakan pantas sepasukan anggota kereta peronda polis berjaya memberkas tiga penjenayah yang cuba melarikan diri selepas menggeledah sebuah kereta di Sungai Pari di sini Jumaat lalu.

Ketiga-tiga penjenayah berusia lingkungan 20-an itu ditahan pada pukul 2.22 pagi selepas anggota peronda terbabit menerima laporan daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kesemua penjenayah itu melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna perak.

"Siasatan awal mendapati, kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah dan semasa ditahan tiada senjata ditemui," katanya.

Azisman berkata, kesemua suspek yang ditahan kini disiasat di bawah Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau turut meminta seorang lelaki, Ong Ching Chye, hadir bagi menjadi saksi satu kes samun di Sungai Senam baru-baru ini.

Katanya, alamat terakhir lelaki berusia 44 tahun itu adalah di Nombor 147, Sentul Pasar Dalam, Kuala Lumpur.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Inspektor Mohd. Razalee Mohd. Yatim di talian 012-9527439

Monday, January 24, 2011

Penahanan remaja lelaki 16 tahun selesaikan kes bunuh 3 remaja

2011/01/25
MELAKA: Polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan membabitkan tiga remaja yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Jalan Paya Mengkuang, Kampung Solok Binjai, Pengkalan Balak, Masjid Tanah dekat sini, malam Jumaat lalu apabila menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, malam ahad lalu.

Ketua polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata remaja dikenali sebagai Ling Jun Hon itu ditahan di kawasan Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur kira-kira jam 9.30 mlm apabila beliau menyerah diri kepada pihak polis selepas dipujuk oleh ibu bapanya. "Penahanan remaja yang dipercayai suspek utama bagi kes ini, polis turut menemui sebilah pisau yg dpercayai dgunakan oleh suspek dalam kes pembunuhan berkenaan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat polis kontinjen negeri di Bukit Beruang dekat sini, semalam.

Kolam ikan air tawar dituba

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my



R. Sugurabala terpaksa menutup hidung kerana bau terlalu busuk ekoran beribu-ribu ikan mati akibat cecair tidak diketahui di Ipoh, Perak, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



IPOH 24 JAN. - Rasa curiga seorang pemandu lori terhadap tindakan dua lelaki melemparkan sebotol cecair ke dalam kolam terbiar akhirnya terjawab apabila ribuan ikan ditemui terapung dalam sebuah kolam di Batu 15, Tambun dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, S. Bala, 42, berkata, dua lelaki dalam lingkungan umur 30 dan 40 tahun dilihat menghampiri kolam itu sebelum melemparkan cecair di dalam botol yang disyakinya sebagai tuba ke dalam kolam.

Tidak lama selepas itu, pelbagai jenis ikan air tawar antaranya tilapia dan haruan mula timbul sebelum kesemuanya dikaut menggunakan jaring dan dimasukkan ke dalam guni untuk dibawa pulang.

"Saya tidak tahu apa kandungan di dalam botol itu, tapi tidak lama selepas ia dilemparkan ke dalam kolam, banyak ikan mula timbul dan kedua-dua lelaki itu mengaut ikan-ikan itu dengan jaring besar.

"Saya lihat ikan-ikan itu dimasukkan ke dalam tiga buah guni besar sebelum mereka membawanya pergi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, kolam yang terletak berhampiran Tanah Perkuburan Kristian Tambun itu dahulunya merupakan kolam ternakan ikan sebelum ia ditutup.

Namun, kolam yang mengandungi pelbagai jenis ikan air tawar itu terus menjadi pilihan apabila saban minggu masih dikunjungi kaki pancing.

Bala berkata, akibat tindakan tidak bertanggungjawab itu, ikan-ikan yang masih tidak diambil akhirnya masuk ke dalam longkang besar berhampiran tasik sehingga menimbulkan bau busuk dan mengganggu masyarakat setempat.

Keadaan itu, tambahnya, berlaku apabila hujan lebat menyebabkan air kolam melimpah sehingga menghanyutkan ikan-ikan itu ke dalam longkang tersebut.

"Keadaan di sini sangat busuk namun tiada tindakan diambil untuk membersihkan kawasan longkang yang dipenuhi bangkai ikan ini.

"Saya berharap akan ada pihak yang datang untuk membantu menyelesaikan masalah ini sebab kami sudah tidak tahan dengan bau busuk lagi," katanya.

Sindiket warga Iran lupus 80kg dadah elak ditahan

Oleh Safeek Affendy Razali

2011/01/25
KUALA LUMPUR: Polis menyerbu dua kondominium mewah di ibu kota yang disyaki dijadikan stor menyimpan dadah jenis syabu, pagi semalam dan Jumaat lalu, membawa kepada penahanan empat warga Iran, termasuk sepasang suami isteri dan penemuan lebih 63 kilogram dadah.

Dalam serbuan pertama malam Jumaat lalu, sepasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menyerbu sebuah kondominium di Mont Kiara di sini dan menahan sepasang suami isteri. Bagaimanapun, pasangan itu yang dipercayai terbabit dengan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dikatakan mengepam dadah seberat 80 kilogram ke dalam mangkuk tandas selepas menyedari kehadiran polis. Polis dikatakan hanya menemui sebahagian kecil daripada dadah berkenaan.
Sumber berkata, pasangan suami isteri terbabit dipercayai menyimpan dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM10 juta di kondominium itu untuk dipasarkan ke luar negara.

Polis sedang menyiasat dari mana pasangan itu memperoleh dadah berkenaan dan destinasinya.

Pasangan itu kini ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas bagi membantu siasatan.
Dalam serbuan berasingan di sebuah rumah teres di Jalan Kiara 5, Mont Kiara, malam kelmarin, polis menahan dua lelaki warga Iran berusia 32 dan 37 tahun kerana disyaki turut terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.

Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek, membawa kepada serbuan susulan di sebuah lagi kondominium mewah Sefron Condominium di Jalan Sentul Indah, awal pagi semalam.

Serbuan ke atas unit kediaman di tingkat 20 kondominium itu membawa kepada penemuan sejumlah ketulan dadah jenis syabu seberat lebih 63 kilogram di salah sebuah bilik tidur.

Siasatan juga mendapati kediaman itu mencatatkan nama salah seorang suspek sebagai penyewa.

Dadah bernilai lebih RM7 juta itu dipercayai disimpan di kondominium berkenaan sebelum dihantar ke negara ketiga.

Polis mengesyaki kedua-dua sindiket itu menggunakan Malaysia sebagai negara transit untuk memasarkan bekalan mereka.

Sumber memberitahu, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti saki baki anggota sindiket ini yang disyaki warga Iran.

Kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber juga mendedahkan dadah jenis syabu dijual di Malaysia pada harga RM120,000 setiap kilogram dan mencapai lima kali ganda di pasaran antarabangsa

Pengantin edar dadah RM30,000

Oleh Nahar Tajri

2011/01/25
Pasangan dikesan ada rekod jenayah lampau

ALOR SETAR: Polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan yang baru seminggu berkahwin kerana kesalahan mengedar dadah jenis heroin seberat kira-kira 934 gram bernilai lebih RM30,000 di Kepala Bukit, Gurun, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika menaiki motosikal jenis Modenas Kris dalam satu operasi di laluan Plaza Tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Gurun, kira-kira jam 3 petang. Selepas membuat pemeriksaan, polis menemui dua bungkusan dadah jenis heroin yang dibungkus dengan plastik biskut seberat 910 gram disimpan dalam raga motosikal berkenaan. Timbalan Ketua Polis Negeri Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab, berkata penahanan lelaki itu membawa polis ke sebuah rumah yang didiami suspek bersama isterinya berusia 26 tahun dan menemui sembilan ketulan mampat heroin sebesar gula-gula seberat 24.2 gram.

Berikutan itu, katanya, polis menahan wanita berkenaan atas kesalahan memiliki dadah pada kira-kira jam 4 petang hari yang sama.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan dikenakan tindakan 'orang kena pengawasan'.

“Kita dapati lelaki berkenaan pernah ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 2002, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 39A(2) ADB 1952 pada 2010.
“Selain itu, wanita berkenaan turut mempunyai satu rekod jenayah, juga berkaitan dadah dan pernah ditahan mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB1952 pada 2007," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Kedah di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superintendan Baharom Othman.

Abdul Ghafar berkata, polis percaya dadah dirampas dibawa masuk secara haram ke negara ini dari negara jiran dan berkemungkinan diseludup secara menelannya berdasarkan penemuan dadah mampat yang dibungkus sebesar gula-gula.

“Kita percaya ia dibawa masuk ke negara ini dengan cara menelannya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Kedua-dua suspek di reman bermula kelmarin hingga 29 Januari untuk membantu siasatan," katanya.

Sunday, January 23, 2011

4 lelaki ditahan bersama tiga laras senapang angin

BESUT 23 Jan. 2011 - Polis menahan empat lelaki dan merampas tiga laras senapang angin buatan sendiri setelah memeriksa sebuah kereta dalam Ops Poket, di Kampung Padang Bual, Pasir Akar, dekat sini semalam.

Kenderaan dari arah Pasir Akar menuju ke Keruak, Hulu Besut itu ditahan kira-kira pukul 4 petang setelah didapati dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis daerah, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, kesemua senjata itu ditemui disimpan di dalam tempat letak barang di bahagian belakang kereta Proton Saga tersebut.

"Turut ditemui dua plastik mengandungi 141 biji bebola besi yang diletakkan dalam sebuah besen plastik manakala 134 biji lagi ditemui di bawah tempat duduk pemandu.

"Suspek yang berusia 18 hingga 37 tahun itu kini ditahan reman untuk siasat lanjut," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kesemua suspek merupakan penduduk tempatan dan salah seorang daripada mereka mengaku menggunakan senjata tersebut untuk menjaga kebun milik arwah neneknya di Pasir Akar.

"Dua daripada mereka mengaku senapang itu milik mereka manakala dua lagi mendakwa tidak mengetahui apa-apa mengenai senjata tersebut," katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Polis tahan lelaki kes bunuh 3 sahabat

Oleh AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my



Raja Shahrom Raja Abdullah (kiri) menunjukan gambar Ling Jun Hon dari Lubok Cina di IPK Melaka, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



MELAKA 23 Jan. - Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh tiga sahabat yang mayat mereka ditemui dengan beberapa kesan tikaman di Kampung Solok Binjai, Pengkalan Balak, Jalan Paya Mengkuang, Masjid Tanah, kelmarin.

Kesemua lelaki berusia 17 hingga 37 tahun itu yang ditahan di sekitar Masjid Tanah sejurus kejadian juga telah direman selama seminggu.

Sehubungan itu, polis juga memburu seorang remaja berusia 16 tahun, dipercayai dapat membantu menyelesaikan kes pembunuhan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, remaja itu ialah Ling Jun Hon dengan nombor kad pengenalan 950328-04-5237 dan menetap di Lubok Cina.

Menurutnya, remaja terbabit amat dikehendaki yang dipercayai dapat membantu polis menyelesaikan kes pembunuhan tiga sahabat itu.

Sehubungan itu, beliau meminta bantuan orang ramai atau mana-mana individu yang mengenali Jun Hon supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

"Remaja terbabit disyaki telah menghilangkan diri dan tidak pulang ke rumahnya sejak berlakunya kejadian itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, tiga sahabat mati dibunuh dipercayai akibat diserang oleh sekumpulan lelaki.

Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Taman Paya Mengkuang ialah Chong Sang Keong, 17, Tai Chi Yong, 18, dan Lan Ee Shen, 20.

Dua daripada mangsa ditemui terbaring di bahu jalan dengan beberapa kesan tikaman di badan manakala seorang lagi mati dalam perjalanan ke Hospital Terendak ketika dibawa oleh bapanya.

Thursday, January 20, 2011

Anak guna pisau ugut ibu dipenjara

2011/01/21


FAIZAL dipenjara gagal bayar denda RM6,000.KUALA TERENGGANU: Seorang anak yang mengugut ibunya dengan pisau selepas diminta memperlahankan televisyen menerima balasannya apabila Mahkamah Majistret di sini, semalam menghantarnya ke penjara.

Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap Faizal Mokhtar, 27, selepas dia mengaku salah mengugut ibunya dengan pisau pada jam 3 pagi, 15 Januari lalu. Bagaimanapun, Faizal dari Kampung Bukit Tok Beng di sini, tidak mampu membayar denda itu dan Nor Azizah mengarahkannya menjalani hukuman penjara selama lapan bulan. Sebelum memberi penghakimannya, Nor Azizah berkata, adalah sangat tidak wajar dan biadab bagi seorang anak mengugut ibunya apatah lagi diancam dengan pisau.

Mengikut fakta kes, tertuduh sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah mereka, tiba-tiba bertindak ganas dan mengugut ibunya dengan pisau selepas ditegur memperlahankan suara televisyen.

Ibunya, Syarifah Alawiyah Engku Ambak, 63, lari bersembunyi di bilik selepas diugut tertuduh dengan pisau dapur dan kemudian membuat laporan polis.

Faizal ditahan di rumahnya pada 17 Januari lalu dan ujian air kencing mendapati dia positif methamphetamine atau pil kuda.
Pendakwaan dilakukan Asisten Superintendan Ngaim Ooi Ming mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, manakala Faizal tidak diwakili peguam.

Sorok ganja dalam kayu pelampung

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
pengarang@utusan.com.my



Abdul Rahim Abdullah (kiri) memeriksa ketulan ganja yang cuba diedarkan dari sebuah bot nelayan di Kuala Perlis, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KANGAR 20 Jan. - Jika dilihat, ia hanya sebatang kayu panjang berpelampung dan berlampu yang lazim digunakan sebagai penanda pukat di laut, tetapi siapa pun tidak tahu di bawahnya tersembunyi bungkusan plastik lutsinar berisi ganja.

Itu antara taktik pengedaran ganja yang dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Utara yang merampas dua kilogram dadah berkenaan dalam satu operasi di perairan Kuala Perlis awal pagi ini.

Ketua Penguat Kuasanya, Kapten Maritim Abdul Rahim Abdullah berkata, ganja tersebut dikesan lima anggota Maritim Malaysia dari Pangkalan Kuala Perlis yang membuat rondaan dan penguatkuasaan maritim di perairan tersebut sejak pukul 11 malam tadi.

Menurut beliau, kira-kira pukul 3.30 pagi, sebuah perahu yang berada dalam keadaan gelap dan mencurigakan dikesan membuang sesuatu objek ke dalam laut sebelum meninggalkan kawasan tersebut kerana menyedari kehadiran pasukan peronda itu.

"Sebaik sahaja dihampiri kawasan itu yang terletak kira-kira 3 batu nautika (5.5 kilometer) dari pantai Kuala Perlis, pihak kami ternampak kayu panjang berpelampung serta berlampu di kawasan itu dan selepas diangkat, terdapat satu objek berbungkus plastik lutsinar dibalut dengan jaring.

"Setelah diperiksa, bungkusan itu mengandungi dua ketulan tumbuh-tumbuhan kering mampat yang disyaki ganja seberat dua kilogram," katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Maritim Malaysia Kuala Perlis hari ini.

Menurut beliau, ganja tersebut dianggarkan bernilai RM2,400 sekilogram dan ia diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, tidak ada tangkapan dilakukan berhubung kes tersebut namun ia merupakan percubaan mengedar ganja yang pertama pada tahun ini.

Sehubungan itu, kata Abdul Rahim, pihaknya akan meningkatkan rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara bagi mencegah aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim.

"Kami juga meminta kerjasama orang ramai supaya melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini," tambah beliau.

Anak hilang dilarikan teman lelaki sejak 25 Disember lalu

KEPALA BATAS 20 Jan. 2011 - Sudah hampir sebulan, hidup Mohd. Rashidi Mohd. Rashid diselubungi kebimbangan mengenai keselamatan anak perempuannya yang hilang selepas dipercayai dilarikan teman lelakinya sejak 25 Disember lalu.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha dilakukan keluarga Mohd. Rashidi untuk mencari Norhafiza, 21, termasuk mengesan teman lelakinya yang hanya dikenali sebagai Faizal tetapi tidak berhasil.

Lebih membimbangkan, Norhafizah dikatakan ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) minggu lalu merayu supaya dia diselamatkan ekoran sikap panas baran teman lelaki yang baru dikenalinya tiga bulan lalu.

Mohd. Rashidi, 45, yang tinggal di Kampung Paya Keladi di sini memberitahu, SMS tersebut adalah yang terakhir diterima daripada Norhafiza.

Berikutan kehilangan anaknya itu, keluarganya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara pada 27 Disember lalu.

Menurut Mohd. Rashidi, Norhafiza yang juga anak kedua daripada lapan beradik, pernah berkahwin pada Disember 2009 tetapi bercerai hujung tahun lalu sebelum berkenalan dengan Faizal ketika bekerja di sebuah kilang di Sungai Petani, Kedah.

"Faizal sebenarnya pernah datang ke rumah dan kami sekeluarga sebenarnya tiada mempunyai apa-apa halangan dalam hubungan mereka tetapi saya menasihatkan supaya mereka berkahwin secepat mungkin.

"Kami tidak pernah minta dia sedia duit (hantaran) tinggi-tinggi, yang penting mereka ada ikatan. Kalau dia ikhlas, kahwinlah dengan cara elok, tidak perlu melarikan diri begini," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Mohd. Rashidi berkata, ibunya, Bariah Ahmad, 63, ada beberapa kali menghubungi Norhafiza dan cuba memujuk cucunya itu untuk pulang ke rumah tetapi tidak berhasil kerana dipercayai dihalang oleh Faizal.

Malah katanya, Faizal sendiri ada menghantar SMS kepada seorang lagi anaknya, Norfatini, 16, supaya tidak masuk campur dalam hal tersebut sambil menegaskan bahawa Norhafiza tidak akan pulang ke pangkuan keluarganya.

"Saya ada menghubungi sendiri Faizal tetapi dia kata anak saya tiada bersamanya. Saya tahu ia satu pembohongan kerana baru-baru ini Norhafiza ada menghantar SMS menggunakan nombor telefon bimbit Faizal," jelasnya.

Mohd. Rashidi juga memberitahu, dengan bantuan polis, dia berjaya mengesan alamat sebuah rumah di Kampung Bukit Merah, Perak, tempat Faizal dipercayai membawa Norhafiza.

Bagaimanapun, katanya, usaha keluarga ke rumah itu akhirnya sia-sia apabila diberitahu bahawa Faizal sudah keluar dari rumah tersebut dan berpindah ke tempat lain.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengetahui mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai-balai polis berhampiran atau memaklumkannya kepada keluarga Mohd. Rashidi di talian 013-4603636 atau 017-4935106.

Wednesday, January 19, 2011

Gadis dakwa jadi hamba seks bapa tiri

2011/01/20
DUNGUN: Seorang gadis mendakwa diperlakukan seperti hamba seks bapa tirinya sejak beberapa bulan lalu selepas diugut supaya tembelang jahat itu tidak didedahkan kepada sesiapa, termasuk ibunya sendiri.

Bagaimanapun rahsia perbuatan keji itu terbongkar apabila gadis berusia 15 tahun yang tidak tahan diperlakukan sedemikian menceritakan perbuatan terkutuk bapa tirinya kepada ibunya, petang kelmarin. Difahamkan gadis berkenaan mengadu dia dirogol lebih 20 kali bapa tirinya itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di rumahnya. Bapa tiri mangsa dikatakan mengambil kesempatan setiap kali ibu mangsa tiada di rumah. Gadis malang itu menjadi sasaran kerja durjana bapa tirinya itu di beberapa lokasi antaranya dalam bilik tidur, bilik air, dapur, dalam kereta termasuk dalam semak.

Mangsa dikatakan tidak berani menceritakan perbuatan itu kepada sesiapa kerana bapa tirinya itu bengis, panas baran dan keadaan itu menyebabkan mangsa takut hingga menyimpan rahsia berkenaan.

Mangsa dikatakan menuruti saja kehendak bapa tirinya itu seolah-olah nafsu bapa durjana itu mengatasi segala-galanya kerana langsung tidak menunjukkan sikap insaf dan menyesali perbuatan terkutuknya itu.

Tidak tahan dengan perbuatan itu, mangsa akhirnya memberanikan diri mengadu perbuatan lelaki itu kepada ibunya sebelum mereka berdua membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Dungun pada hari sama. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan.
Berikutan laporan itu, polis menahan lelaki terbabit berusia 30-an dan direman tujuh hari sehingga 25 Januari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu

Guru mengamuk, 14 rakan bersembunyi dalam paya

Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my
2011/01/20
Hentakan pedang kejutkan penghuni tidur di kuarters guru

KOTA KINABALU: Empat belas guru, termasuk dua wanita bertarung dengan nyamuk dan pacat kira-kira 11 jam dalam hutan paya bakau di Kampung Sabur, Pulau Banggi, kira-kira 300 kilometer (km) dari sini, kerana bersembunyi daripada seorang guru lelaki yang mengamuk menggunakan pedang samurai, tengah malam kelmarin. Mereka terpaksa melompat keluar dari rumah dan kuarters guru setinggi dua meter di Sekolah Kebangsaan (SK) Sabur selepas dikejutkan dengan hentakan pedang di kediaman masing-masing sebelum melarikan diri ke hutan paya bakau bagi mengelak dicederakan dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu. Dua belas guru lelaki terbabit mengajar di sekolah itu antara dua hingga 10 tahun, manakala dua guru wanita itu baru berpindah ke sekolah berkenaan.

Saksi berkata, ketika kejadian kebanyakan guru di rumah dan kuarters diperbuat daripada papan itu nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan hentakan kuat pada dinding dan pintu, selain pekikan lelaki mengamuk.

“Sebaik membuka pintu, saya terkejut melihat guru lelaki berusia 30 tahun mengamuk dengan melibas pedang samurai dan menghentak pedang ke dinding dan pintu rumah kawan saya.

“Saya terus mengejutkan tiga rakan lain dan melompat keluar dari rumah papan setinggi kira-kira dua meter untuk melarikan diri ke dalam hutan paya bakau.
“Ketika menyelamatkan diri, saya nampak ada beberapa guru lain termasuk wanita turut melarikan diri ke dalam hutan.

"Sebelum melarikan diri, ada seorang kawan saya sempat mengambil telefon bimbit dan menghubungi polis tetapi polis hanya tiba kira-kira jam 12 tengah hari.

“Kami agak kecewa kerana polis dari Balai Polis Banggi di pekan Karakit hanya datang kira-kira 11 jam,” katanya ketika dihubungi di Pulau Banggi, semalam.

Pulau Banggi dengan keluasan 432 kilometer (km) persegi adalah pulau terbesar di Malaysia yang boleh dikunjungi dengan menaiki feri dari Kudat yang perjalanannya mengambil masa satu setengah jam.

SK Sabur mempunyai 18 guru dan lima kakitangan sokongan, kebanyakan guru adalah dari Semenanjung, manakala jumlah muridnya ialah 190 orang.

Saksi itu berkata, mereka hanya dapat keluar dari tempat persembunyian masing-masing selepas mendengar bunyi helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bot PDRM.

Difahamkan, guru yang mengamuk itu berasal dari Ranau dan sudah berkahwin dengan wanita tempatan. Dia dikatakan mengajar di sekolah itu sejak lapan tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kudat, Deputi Superintendan Dawi Ossen, mengesahkan guru berkenaan ditahan di rumahnya tidak jauh dari sekolah, tengah hari kelmarin.

"Ketika ditahan, suspek tidak melawan dan kita turut merampas sebilah senjata tajam daripadanya,” katanya.

Mengenai kelewatan anggota polis tiba di tempat kejadian, beliau berkata, angin kencang menyebabkan anggota dari Balai Polis Banggi terpaksa meredah ombak besar dan meminta bantuan Unit Udara PDRM.

Buruh mati dibelasah empat lelaki

SUNGAI PETANI 19 Jan. 2011 - Seorang buruh yang parah selepas dibelasah dengan kayu besbol dan topi keledar oleh sekumpulan empat lelaki termasuk seorang kenalannya di sebuah rumah di Taman Mesra dekat Jalan Sekerat di sini, Ahad lalu meninggal dunia semalam.

S. Perumal, 53, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9 pagi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) selepas lebih 48 jam koma kerana mengalami pendarahan teruk di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi ketika mangsa sedang berehat di rumah bersama seorang anak saudaranya.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja mengambil upah tiba-tiba didatangi sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang, kayu besbol dan topi keledar.

Katanya, kumpulan lelaki berkenaan kemudian menjerit memanggil nama mangsa serta mengetuk rumah berulang kali.

"Suspek juga dikatakan menendang pintu rumah menyebabkan mangsa yang mahu membuka pintu jatuh terlentang sebelum dipukul beberapa kali.

"Mangsa ditarik keluar dari rumah sebelum dibelasah lagi oleh kumpulan lelaki terbabit dengan menggunakan kayu besbol dan topi keledar sebelum mereka beredar meninggalkannya kira-kira 50 meter dari pintu pagar rumah," katanya di sini hari ini.

Hashim berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian kemudian segera membawa mangsa ke HSAH untuk rawatan lanjut.

"Mangsa yang cedera parah di kepala berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sebelum meninggal dunia semalam," katanya.

Beliau memberitahu, ekoran kejadian tersebut, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes yang dipercayai berpunca daripada salah faham.

Katanya, suspek yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

"Selepas siasatan lengkap, suspek akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Tuesday, January 18, 2011

Pemborong ikan ke tali gantung

2011/01/19
SHAH ALAM: Seorang pemborong ikan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 371.3 gram tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa tertuduh, T'ng Chee Woon, 37, jelas mempunyai kawalan dan pengetahuan mengenai dadah itu yang ditemui dalam but kereta yang dipandunya.
T'ng juga dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan selepas
didapati bersalah memiliki dadah jenis 3,4 Methylenedioxy menthampetamine
(MDMA) seberat 7.18 gram.

Dia juga dikenakan hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah
memiliki dadah jenis ketamin seberat 6.10 gram.
Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di kawasan padang Jalan Tembaga SD 5/2B,
Bandar Sri Damansara, Sungai Buloh dekat sini, jam 3 petang 13 November 2008.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar manakala
T'ng diwakili peguam Thong Seng Kong. - BERNAMA

Dua beradik, rakan ditahan disyaki pecah rumah

2011/01/18
MARANG: Tiga remaja termasuk dua beradik lelaki dan perempuan masing-masing berumur 14 dan 13 tahun yang disyaki terbabit dalam empat kes pecah rumah di sekitar Taman Perumahan Aquarius, dekat sini, berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, dua beradik itu dan rakan mereka berumur 14 tahun ditahan di rumah masing-masing pada Jumaat lalu. "Remaja yang berusia 14 tahun dan adik perempuannnya, 13, yang tidak bersekolah itu ditahan bersama pelajar lelaki tingkatan dua yang berasal dari Chendering, Kuala Terengganu dipercayai mula aktif dalam kegiatan pecah rumah
sejak November lalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati beberapa barangan curi ditemui semula antaranya televisyen 32 inci, kamera dan kamera video, peralatan komputer dan pakaian bernilai RM20,000 yang disembunyikan dalam semak berhampiran rumah dua beradik
itu.

Beliau berkata, kumpulan remaja itu dipercayai memasuki rumah mangsa melalui bumbung bilik mandi atau tandas sebelum mengumpil pintu belakang dari dalam rumah untuk mengangkut keluar barang curi ketika penghuni tiada di rumah.
Sementara itu, Ahmad Mazlan berkata, dalam 'Ops Lejang' yang diadakan
semalam, polis menahan dua pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di sini yang
disyaki terbabit dalam kes kecurian motosikal di daerah itu.

"Hasil siasatan terhadap dua remaja itu, hampir semua komponen motosikal
jenis Honda EX5 yang dilaporkan hilang di kawasan itu sejak Disember tahun lalu
berjaya ditemui semula," katanya. - BERNAMA

Kes rompak: Hakim tidak benarkan bekas pekerja kilang diikat jamin

2011/01/18
SHAH ALAM: Seorang bekas pekerja kilang tidak pernah serik walaupun pernah dua kali didakwa atas kesalahan merompak tahun lalu dan hari ini dia sekali lagi menghadapi dua pertuduhan merompak di dua Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh, Muhamad Junaidi Alias, 20, juga gagal mendapatkan simpati Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob untuk membenarkan dia diikat jamin berikutan tertuduh pernah didakwa di mahkamah yang sama sebelum ini. Muhamad Junaidi mengaku tidak bersalah bersama seorang lagi yang masih bebas merompak seorang jurujual, Lizasari Suwirman, 19, dengan mengambil beg tangan mangsa yang mengandungi dompet, telefon bimbit dan kad pengenalan di Jalan Besar Sri Batu Caves, Gombak, kira-kira 12.05 malam pada 9 Januari lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim membantah jaminan diberikan ke atas tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukannya serius.

Muhamad Junaidi yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkannya diikat jamin dengan alasan ibunya telah mendaftarkan dia di sebuah sekolah agama pondok di Tapah, Perak.

"Saya duduk belakang saja (ketika rompakan). Kawan saya yang tarik (beg tangan mangsa)...saya tidak sedar," katanya.
Wan Mohd Norisham yang kelihatan agak berang berkata: "Awak tidak sedar tetapi saya sedar bahawa awak pernah dituduh di mahkamah saya dan ketika itu awak marah mak awak supaya mengikat jamin awak. Ini kesalahan kali berapa ini?"

Tertuduh menjawab kali ketiga.

"Saya tidak benarkan jaminan. Jangan nak buat muka kasihan dengan saya. Kalau pertama kali dituduh kita boleh beri kelonggaran," kata Wan Mohd Norisham.

Beliau kemudian menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan bagi tertuduh melantik peguam.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Muhamad Junaidi turut didakwa bersama-sama seorang pelajar Giat MARA, Ismaalif Putra Ismail, 22, merompak sebuah telefon bimbit milik rakan mereka, Mohammad Aiman Ramli, 23, di sebuah rumah di Kampung Seri Gombak Indah, Gombak, pada 5.40 petang, 16 Disember tahun lalu.

Dalam kejadian itu mereka didakwa menggunakan topi keledar dan besi pengunci tayar serta telah menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hasbi Hasan.

Muhamad Junaidi bernasib baik apabila Hasbi membenarkan dia dan Ismaalif Putra diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis terdekat pada Sabtu pertama setiap bulan dan menetapkan 18 Feb depan untuk sebutan melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin. - BERNAMA

Monday, January 17, 2011

Mayat wanita rentung ditemui belakang restoran

2011/01/18
IPOH: Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan rentung, dipercayai dibakar penjenayah di belakang sebuah restoran di Jalan Pasir Putih di sini, jam 8 pagi tadi.

Mayat mangsa ditemui kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh di sebelah tong sampah besar. Ketua Polis Daerah Ipoh, Azisman Alias, mengesahkan penemuan mayat itu.

Seks 30 minit

Oleh Faridzwan Abdul Ghafar
faridzwan@bharian.com.my
2011/01/18


LOKASI premis yang berselindung di sebalik pusat kesihatan dipercayai menawarkan perkhidmatan seks di kalangan wanita tempatan di Jalan Penang. Sindiket pelacur tempatan di Jalan Penang, Lebuh Chulia

GEORGETOWN: Satu sindiket pelacuran beroperasi di sekitar Pulau Pinang dipercayai merekrut wanita tempatan untuk dijadikan pekerja seks atau 'teman wanita sementara' kepada pelancong asing dan rakyat tempatan yang berkunjung ke negeri ini. Kebanyakan gadis tempatan yang direkrut berusia 20-an dan mempunyai pekerjaan termasuk peniaga makanan, pekerja kilang, pengurus jualan langsung, kakitangan firma kewangan dan tidak ketinggalan kakitangan kerajaan. Mereka dibayar kira-kira RM110 bagi setiap 30 minit perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan. Bagi ejen yang berjaya membawa pelanggan akan dibayar RM80 iaitu RM50 ditanggung oleh pelanggan, manakala RM30 lagi dibayar oleh rumah urut.

Sindiket itu dikatakan sudah lama beroperasi di rumah urut berlesen di beberapa tempat seperti Jalan Penang dan Lebuh Chulia di sini, bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Sumber memberitahu, sindiket merekrut gadis tempatan itu dilakukan bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa dan juga orang ramai sekiranya mengambil warga asing.

Sebelum ini, sindiket mengambil wanita Filipina, China, Thailand dan Vietnam untuk bekerja tetapi kebanyakan mereka sudah dicekup pihak berkuasa. Sejak itu, sindiket membuat keputusan tidak lagi mahu menggunakan perempuan warga asing.
"Tindakan mengambil warga asing amat berbahaya dalam perniagaan ini dan ia juga menyebabkan senang dikesan pihak berkuasa,” katanya kepada Berita Harian.

Difahamkan, ramai gadis tempatan rela melakukan pekerjaan sebagai pekerja seks bagi mendapatkan pendapatan lebih, selain untuk berseronok mengadakan hubungan seks dengan pelanggan yang lazimnya pelancong asing.

"Semua perempuan dari setiap negeri di Malaysia ditawarkan kepada mana-mana pelanggan yang berminat. Malah, hampir semuanya boleh bertutur Bahasa Inggeris dengan baik.

"Sindiket pelacuran ini juga mempunyai kelebihan kerana pekerja seks terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina dan India termasuk perempuan etnik Sabah dan Sarawak," katanya.

Sumber memberitahu, sindiket berkenaan akan mendapatkan perempuan tempatan melalui ejen yang dilantik untuk melakukan tinjauan di kawasan pejabat, kilang dan kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah dan pusat rekreasi.

Katanya, ejen akan mendekati gadis yang difikirkan berpotensi untuk bekerja dengan sindiket dan akan menawarkan peluang pekerjaan menjadi 'teman wanita sementara'.

Beliau berkata, biasanya, mereka hanya mahu bekerja sementara dan tempoh bekerja ialah pada waktu malam saja.

"Malah, pernah berlaku beberapa gadis tempatan yang datang sendiri mahu berjumpa dengan tauke untuk memohon pekerjaan sebagai 'teman wanita sementara'.

"Gadis yang bekerja dengan sindiket akan diajar mengenai beberapa petua penting untuk menarik perhatian dan mengambil hati pelanggan yang datang mendapatkan perkhidmatan," katanya.

Geng samun barang tembaga RM1.2 juta tumpas

MELAKA 17 Jan. 2011 - Tidak sampai setengah jam melakukan jenayah, polis berjaya menumpaskan satu sindiket samun yang melarikan dua buah kontena mengandungi barang tembaga bernilai RM1.2 juta di Terminal Kenderaan Berat, Durian Tunggal di Alor Gajah di sini awal bulan ini.

Kejadian berlaku pada 3 Januari lalu apabila sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang melarikan kedua-dua kontena itu dari terminal tersebut.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, bertindak daripada laporan kes samun itu yang diterima pada pukul 4.15 pagi, polis melancarkan gerakan mengesan kumpulan terbabit.

Tidak sampai setengah jam selepas kejadian itu, polis menahan kedua-dua lori kontena tersebut yang dipandu dua lelaki berusia 38 dan 42 tahun di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara.

"Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, polis berjaya menahan lima lelaki berusia antara 28 hingga 40 tahun di Johor pada Rabu lalu. Salah seorang daripada mereka dikesan memiliki rekod jenayah lampau.

"Sindiket ini dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun lori bermuatan tembaga di Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Dengan tertangkapnya kumpulan ini, kata Ghee Lye, polis percaya dapat menyelesaikan banyak kes samun lori di negeri-negeri berkenan.

Menurut beliau, kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, katanya, Polis Melaka berjaya menumpaskan sebuah lagi kumpulan samun yang melarikan tiga buah lori pembancuh simen di Sungai Udang, Alor Gajah pada 3 Januari lalu.

Ghee Lye berkata, kecurian itu dilakukan oleh 10 lelaki yang bersenjatakan parang.

Kata beliau, polis menemui semula dua buah lori itu dan menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di Slim River, Perak.

"Ketika ini, kita sedang mengesan sembilan lagi suspek," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta bantuan orang ramai untuk mengesan suspek dengan menghubungi polis termasuk Rakan Cop di talian 03-21159999 atau IPK Melaka di talian 06-2854222

6 warga Iran dicekup

Oleh RASMI ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 17 Jan. - Polis menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan dadah membabitkan warga Iran dengan penangkapan enam rakyat negara itu yang cuba menyeludup dadah jenis syabu dan ketamin bernilai RM8.5 juta masuk ke negara ini dalam tiga serbuan, baru-baru ini.

Dalam serbuan pertama, empat warga Iran yang cuba menyeludup dadah jenis syabu dan ketamin dan disorok dalam kain bengkung dicekup oleh polis di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang pada Khamis lalu.

Suspek terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita berusia antara 23 hingga 49 tahun ditahan kira-kira pukul 1.30 petang bersama 28.34 kilogram syabu dianggarkan bernilai lebih RM7 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, keempat-empat suspek dipercayai baru tiba dari Teheran, Iran. Dua daripada mereka pertama kali memasuki negara ini.

"Suspek mengikat bengkung di perut masing-masing berisi dadah disyaki jenis syabu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pada hari yang sama, seorang lagi lelaki warga Iran berusia 34 tahun ditahan bersama 3.5 kilogram dadah syabu bernilai RM850,000.

"Suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 3 petang. Polis menemui dadah yang disorok dalam sebuah beg pakaian dibawanya," katanya.

Dalam satu lagi rampasan, Nordin memberitahu, polis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah jenis ketamin setelah menahan seorang lelaki warga Iran di KLIA pada Sabtu lalu.

Katanya, suspek menyorok 25 kilogram dadah yang dianggarkan bernilai RM750,000 di dalam lipatan kain ela.

Setiap satu lipatan kain ela itu mengandungi satu kilogram dadah yang bungkusannya dijahit pada kain berkenaan, katanya.

Nordin berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga 20 Januari ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek yang membawa dadah ketamin ditahan reman sehingga 22 Januari depan.

Pelajar hilang dibunuh kejam

Oleh SOPI SAMAILE
jenayah@utusan.com.my



MAYAT Taufik Abdul Rahim, 15, lengkap berpakaian dan berlumuran darah ditemui tertanam dalam tanah sedalam 0.5 meter. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

--------------------------------------------------------------------------------



SAMARAHAN 17 Jan. – Seorang remaja yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada Sabtu lalu ditemui mati dibunuh secara kejam hari ini.

Mayatnya ditanam dalam tanah sedalam kira-kira 0.5 meter di belakang rumah salah seorang suspek di Kampung Sadong Jaya dekat sini, hari ini.

Mangsa, Taufik Abdul Rahim, 15, seorang pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semera meninggal dunia selepas dipercayai dipukul di kepala dengan sebatang kayu oleh sekumpulan enam lelaki.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Supritendan Abdul Rahman Ahmad berkata, sebelum penemuan mayat remaja itu, bapanya yang berusia 42 tahun membuat laporan di Balai Polis Asajaya mengenai kehilangan anaknya pada pukul 1.30 petang semalam.

Menurutnya, dalam laporan tersebut, mangsa dikatakan tidak pulang seperti kebiasaan selepas keluar rumah dengan menunggang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.

“Bagaimanapun, polis telah menerima maklumat mengenai motosikal mangsa dilihat digunakan oleh seorang remaja lain di kawasan Sadong Jaya, malam tadi.

“Berdasarkan maklumat tersebut, polis telah melakukan siasatan hingga membawa kepada penangkapan seorang suspek berusia 19 tahun di kediamannya di Kampung Sadong Jaya, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pendam pada pukul 7 pagi ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, menerusi siasatan awal polis, suspek mengaku terbabit dalam kejadian tersebut dan turut mendedahkan lokasi di mana mangsa ditanam kira-kira 10 pagi ini.

Katanya, pemeriksaan awal di lokasi yang dinyatakan oleh suspek mendapati tanah di belakang rumah itu mempunyai kesan seperti baru digali.

Sepasukan anggota Forensik yang tiba di tempat kejadian menggali semula tanah berkenaan sebelum menemui mangsa yang masih lengkap berpakaian dan berlumuran darah di dalamnya.

Tambah beliau, polis turut menemui sebatang kayu yang dipercayai digunakan oleh kumpulan tersebut untuk memukul kepala mangsa.

“Siasatan awal polis mendapati, sebelum dipukul, sekumpulan lelaki yang dipercayai ahli geng sindiket curi motosikal dan pecah rumah cuba memujuk mangsa untuk menyertai kumpulan mereka, namun mangsa enggan.

“Suspek yang ditahan itu pula tinggal bersendirian di rumahnya dan dipercayai menjadi orang tengah untuk menjual barang-barang curi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman memberitahu, polis kini turut memburu suspek lain yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan berkenaan termasuk seorang daripadanya yang menjadi dalam utama dalam geng sindiket terbabit.

Mangsa merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik dan berasal dari Kampung Iboi, Sadong Jaya.

Sunday, January 16, 2011

Dadah: Duda tak serik 34 tahun penjara

Oleh FAUZI MOHD.
pengarang@utusan.com.my



ROSLAN Abd. Wahid (kanan) memerhati anggota polis, Mohamad Hafizan Sofian menunjukkan dadah yang ditemui di dalam seluar seorang lelaki di IPK Kuala Terengganu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA TERENGGANU 16 Jan. - Meskipun pernah merengkok dalam penjara selama 34 tahun enam bulan dan dikenakan 16 sebatan, seorang duda anak dua tidak serik mengulangi perbuatannya mengedar dadah.

Lelaki berusia 55 tahun itu ditahan di tempat letak kereta di hadapan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, dekat sini petang Khamis lalu dan kali ini dia mungkin berdepan hukuman gantung sampai mati.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui sembilan botol berisi dadah jenis heroin dalam poket seluar dan 10 botol lagi ditemui dalam kereta milik lelaki itu.

"Keseluruhan rampasan, polis menemui dadah 96.95 gram bernilai RM30,000 serta wang tunai berjumlah RM3,100," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Roslan memberitahu, suspek kini ditahan untuk siasatan dan akan didakwa mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Katanya, suspek yang berasal dari Kuala Besut, Besut itu baru sahaja dibebaskan dari Penjara Marang pada penghujung bulan Jun tahun lalu.

"Dia juga mula menagih dadah sejak tahun 1977 sehingga ditangkap pada tahun itu," katanya.

Beliau berkata, pada tahun 1982, suspek pernah dipenjara selama 20 tahun dan dikenakan enam sebatan mengikut Seksyen 39(B) akta yang sama.

"Pada tahun 1998 pula, suspek dipenjara selama 10 tahun dan 10 sebatan mengikut Seksyen 39 (A)(2) dan seterusnya dihukum penjara empat tahun lagi pada tahun 2007 mengikut Seksyen 39(A)(1) akta yang sama.

"Suspek juga pernah dipenjara selama enam bulan pada tahun 1997 atas kesalahan khalwat," katanya.

Berdasarkan soal siasat polis, kata beliau, suspek secara aktif mendapat bekalan dari negara jiran dengan menjadikan Daerah Besut dan Hulu Terengganu sebagai kawasan tumpuan bagi pengedaran dadah.

Polis trafik cedera kejar mat rempit

JAMSHAH Mustapa (kanan) melawat Md. Rudzki Mohd. Rozlan yang cedera akibat tertembak oleh rakannya sendiri di wad ICU Hospital Sultanah Nur Zahirah, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA TERENGGANU 16 Jan. - Seorang anggota polis trafik berpangkat koperal cedera di leher akibat tertusuk ranting pokok hiasan setelah terbabas ketika mengejar seorang remaja yang melanggar sekatan jalan raya di Gong Badak dekat sini hari ini.

Difahamkan, kejadian pukul 11.45 pagi itu berlaku ketika mangsa, Robuan Ahmad, 51, dan beberapa rakan setugasnya sedang mengadakan operasi sekatan jalan raya di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, ketika itu, muncul seorang remaja yang menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar dan nombor plat kenderaannya itu dalam keadaan meragukan.

Menurutnya, mangsa kemudian cuba menahan sebelum mengejar remaja itu yang tidak memberhentikan kenderaan sebaliknya terus memecut melarikan diri.

"Malangnya, ketika sedang mengejar suspek sambil menaiki motosikal, remaja itu tiba-tiba cuba merentasi pembahagi jalan untuk ke arah bertentangan.

"Keadaan itu menyebabkan motosikal yang dinaiki mangsa terlanggar belakang motosikal remaja itu sebelum terbabas lalu terjatuh di atas pokok hiasan sehingga sebatang ranting tertusuk di lehernya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Jamshah memberitahu, pihaknya sudah mengenalpasti identiti remaja terbabit tetapi setakat ini suspek masih belum ditangkap.

Ketika ditanya mengenai pembedahan di leher Robuan pula, Jamshah memberitahu, segalanya berjalan lancar berdasarkan kepada maklumat doktor yang bertugas.

"Keadaan beliau stabil. Kami mendoakan Koperal Robuan cepat sembuh dan kembali bertugas," ujar beliau.

Kes bunuh warga emas disiasat

SEREMBAN 16 Jan. 2011 - Polis masih meneruskan siasatan berhubung kes pembunuhan seorang warga emas yang mati dibunuh oleh sekumpulan penjenayah remaja di Felda Palong 2, Jempol malam Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, empat suspek termasuk seorang perempuan berusia 15 hingga 18 tahun masih direman bermula Jumaat lalu sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Polis kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini.

"Kita juga sedang melakukan soal siasat dan merakam keterangan suspek serta saksi kejadian bagi melengkap kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, sepasang suami isteri, Mohtar Yusoh, 71, dan Halimah Yasin, 57, tidak menyangka kepulangan mereka ke rumah di Felda Palong 2 selepas menghadiri majlis tahlil disambut tragedi.

Mohtar mati ditikam oleh salah seorang daripada empat remaja yang memecah masuk rumah mereka, manakala isterinya turut dicederakan dengan objek keras sehingga menerima 30 jahitan di bahu, dada dan lengan.

Turut terlibat dalam kes itu dipercayai cucu pasangan tersebut yang berusia 17 tahun dan kumpulan suspek terbabit sempat melarikan sebuah beg milik Halimah yang berisi barang kemas dan wang tunai bernilai lebih RM10,000.

Menurut Hamdan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Thursday, January 13, 2011

Kaji Youtube pecah rumah

Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2011/01/14


SAIFUL AZLY (kiri) menunjukkan sebahagian barang rompakan Geng Banchik yang dirampas pada sidang media di Seremban, semalam.Belajar lepasi kawalan keselamatan

SEREMBAN: Satu kumpulan pecah rumah dikenali sebagai Geng Banchik di sini, mengaku mereka mendalami cara melakukan jenayah itu dengan mengkaji klip video nasihat keselamatan bagi pemilik kediaman dalam laman web Youtube sebelum mencari mangsa. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata ketua kumpulan itu yang ditahan hujung bulan lalu, mendakwa mereka cuba memahami semua langkah keselamatan yang diambil mangsa. “Mereka membuat kajian beberapa bulan melalui Youtube bagi mengetahui langkah keselamatan digunakan pemilik kediaman untuk mencari kelemahan yang boleh dipergunakan.

“Berdasarkan kajian itu, mereka membuat pemerhatian dan mencari sasaran di sekitar daerah ini terutama di Senawang, Paroi, Ampangan dan Rahang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Saiful Azly berkata, ketua kumpulan yang berusia 21 tahun itu ditahan jam 2.30 petang pada 30 Disember lalu, selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Marida, Senawang.

Beliau berkata, pemilik terbabit yang kebetulan tidak bekerja pada hari berkenaan, mengejar suspek yang cuba melarikan diri bersama seorang rakannya menaiki motosikal sebelum menghimpit mereka sehingga terjatuh.
Katanya, suspek kemudian diserah kepada polis, manakala rakannya yang sempat melarikan diri bersama seorang lagi ahli kumpulan terbabit diberkas beberapa hari kemudian.

Beliau berkata, siasatan mendapati kumpulan itu terbabit dalam sekurang-kurangnya 32 kes pecah rumah di daerah ini sejak Oktober lalu.

Sementara itu, Saiful Azly berkata, pihaknya menemui semula 28 motosikal curi dengan 12 daripadanya sudah dileraikan, selepas menahan enam lelaki termasuk ketua kumpulan Geng Sepet Gate di Pedas, dekat sini, pada 11 hingga 13 Disember lalu.

Polis percaya, penahanan mereka menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 kes curi motosikal yang kebanyakannya jenis Honda EX 5 dan Yamaha RXZ.

Korban isteri, anak bayar hutang along

Korban isteri, anak bayar hutang along


2011/01/14
JOHOR BAHRU: Ada peminjam yang berhutang melebihi RM100,000 dengan along di negeri ini terpaksa menyerahkan isteri atau anak perempuan mereka untuk ditiduri atau dirogol sebagai ganti melangsaikan hutang.

Ia adalah sebahagian daripada 100 laporan ancaman along terhadap peminjam yang mempunyai hutang tertunggak hampir RM1.8 juta yang diterima oleh Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru sepanjang tahun lalu. Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay, berkata selain merampas isteri atau anak perempuan, beberapa pemilik pusat kesihatan dan kecantikan berdepan risiko kehilangan perniagaan mereka selepas dijadikan cagaran kepada along. “Walaupun terpencil, kejadian peminjam terpaksa membiarkan isteri atau anak perempuan ditiduri along adalah ancaman yang sangat serius. Ancaman itu sewajarnya menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya jangan berurusan dengan along,” katanya semalam.

Tay juga mendedahkan peminjam yang mempunyai hutang tertunggak biasanya dipaksa meminjam daripada ceti haram lain bagi melunaskan hutang pertama sehingga menyebabkan mereka menanggung hutang berlipat kali ganda dengan beberapa along.

“Dalam situasi itu, mangsa biasanya tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya menurut saja kerana tidak mahu di apa-apakan. |Malah, ada peminjam dikehendaki mencagarkan perniagaan jika berhutang dalam jumlah yang besar,” katanya.

Beliau juga mendedahkan ada seorang pengedar akhbar meninggalkan perniagaannya dan lari ke luar negara kerana ketakutan selepas berhutang RM20,000 dengan lapan orang along.
Lelaki berusia 50 tahun itu membiarkan isteri dan dua anak berusia lima dan lapan tahun meneruskan hidup serba kepayahan, demi menyelamatkan diri daripada ancaman along.

Lelaki Iran telan 137 kapsul syabu ditahan

2011/01/14
PUTRAJAYA: Cubaan seorang lelaki Iran untuk menyeludup dadah ke negara ini dengan menelannya, terbongkar selepas 137 kapsul dipercayai syabu ditemui dalam perutnya selepas dibedah, pagi semalam.

Lelaki berusia 52 tahun itu mendarat di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 7 petang kelmarin, sebelum mengadu sakit perut selepas keluar terminal. Kakitangan LCCT yang melihat keadaan lelaki itu kemudian menghantarnya ke sebuah hospital swasta berdekatan KLIA sebelum dihantar ke HPj untuk rujukan lanjut. Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata hasil pembedahan di HPj, doktor menjumpai 137 kapsul dipercayai berisi syabu seberat kira-kira 750 gram di dalam perut lelaki itu.

Berikutan itu, katanya, polis menahan lelaki berkenaan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menyeludup dadah yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

"Polis masih menunggu dia sihat untuk melakukan siasatan lanjut, termasuk untuk mengetahui dari mana dia datang dan destinasi seterusnya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Difahamkan, keadaan lelaki itu masih kritikal dan polis tidak menolak kemungkinan sebahagian daripada kapsul yang ditelannya pecah menyebabkannya mengalami sakit perut

3 warga Peru dipenjara 18 bulan

3 warga Peru dipenjara 18 bulan

Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
pengarang@utusan.com.my



NICANOR Edgar Areche Aquipa (depan), Sosaya Carraso Jose Wilfredo (kiri) dan Henry Fernando Carrascal Carlin (dua dari kiri) ketika dibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam. - Utusan/AZLAN BAHRUM

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA TERENGGANU 13 Jan. - Tiga lelaki warga Peru dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memperdayakan seorang wanita tempatan dan mengeluarkan wang mangsa sebanyak RM3,500 melalui mesin juruwang automatik (ATM) pada September tahun lalu.

Hakim M. Bakri Abd. Majid memutuskan demikian setelah ketiga-tiga tertuduh, Sosaya Carraso Jose Wilfredo, 57; Henry Fernando Carrascal Carlin, 44; dan Nicanor Edgar Areche Aquipa, 44, mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

Hukuman itu dijatuhkan selepas hakim mendengar rayuan tertuduh-tertuduh dalam bahasa Sepanyol yang diterjemahkan oleh penterjemah dari Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Norazrin Zakaria.

Norazrin dilantik sebagai jurubahasa memandangkan ketiga-tiga tertuduh tidak boleh berbahasa Inggeris dan hanya tahu berbahasa Sepanyol.

Ketiga-tiga lelaki itu mengaku secara bersama melakukan tiga pengeluaran pada mesin ATM Maybank Berhad berjumlah RM3,500 daripada akaun simpanan milik Ma Kalthum Salleh, 38.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di mesin ATM di Maybank Berhad, Lot 405 dan 406, Jalan Besar, Besut antara 11 pagi dan 12 tengah hari, 19 September tahun lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, semasa Ma Kalthum sedang membuat pengeluaran wang di mesin ATM itu, bahunya ditepuk oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menunjukkan terdapat beberapa keping wang kertas bertaburan di lantai.

Wanita itu kemudian tunduk dan mengutip wang tersebut tetapi setelah selesai membuat pengeluaran wang dan mengambil kembali kadnya dari mesin ATM, dia mendapati kad itu berlainan daripada kad miliknya.

Semakan dengan pihak bank mendapati RM3,500 daripada akaunnya telah dikeluarkan sebelum bank sempat membatalkan kad berkenaan.

Siasatan polis mendapati imej semua tertuduh dan Ma Kalthum terdapat dalam rakaman kamera litar tertutup bank itu.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh mendakwa telah insaf dan ingin meminta maaf kepada mangsa berikutan kesusahan yang terpaksa dihadapi selepas kejadian tersebut.

Di mahkamah berasingan, Carlin dihukum penjara enam bulan setelah mengaku bersalah menggunakan cop keselamatan palsu pada pasport miliknya ketika memasuki negara ini.

Hakim Tuan Azman Tuan Mustapha memerintahkan hukuman tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Shamril Afzan Mohamed Hasim yang dilantik oleh Kedutaan Peru

Ahli perniagaan ditembak selepas letak kereta

2011/01/13
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan cedera ditembak di paha dan rusuk ketika baru beberapa langkah berjalan untuk ke pejabat selepas meletakkan kereta di Jalan Siput Akek Taman Bilion, Cheras di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata dalam kejadian 11.30 pagi itu, ahli perniagaan yang berusia 52 tahun itu dilapor ditembak seorang dari dua lelaki yang menunggunya di kawasan parkir itu. "Ahli perniagaan itu dihantar ke hospital berhampiran dan keadaannya dilapor stabil. "Kami turut menemui kelongsong peluru 9 mm dari pistol jenis automatik di kawasan kejadian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif kejadian dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup berhampiran kawasan itu bagi mengesan suspek yang
dipercayai berumur dalam lingkungan 30an itu.

Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang menunggu dalam sebuah kereta itu adalah pembunuh upahan namun siasatan masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata polis menemui petunjuk positif berhubung kes tiga lelaki bersenjatakan pistol melarikan sebuah van keselamatan bersama wang tunai RM300,000 di Taman Segar, Cheras di sini Isnin lalu.

Polis percaya suspek masih berada di sekitar Lembah Klang, katanya.

Dalam kejadian itu tiga lelaki yang berpakaian seragam pengawal keselamatan mengarahkan dua pengawal keselamatan bersama seorang pemandu keluar dari van berkenaan, serta mengugut untuk menembak mereka jika enggan mengikut arahan.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika pengawal keselamatan sedang mengambil (karung berisi) wang di hadapan syarikat itu sebelum didatangi tiga suspek terbabit.

Sementara itu, Zulkifli berkata 402 rakyat asing melibatkan 349 lelaki dan 53 wanita ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas di Pasar Borong Selayang, baru-baru ini.

Beliau berkata antara kesalahan mereka ialah tiada dokumen, salah guna permit, pasport palsu dan tamat tempoh, jenayah culik dan dadah.

"Operasi itu dijalankan berdasarkan maklumat yang kami terima dari masyarakat bahawa tahap keselamatan mereka di kawasan itu diragui berikutan kehadiran warga asing yang rata-ratanya terdiri dari Myanmar itu," katanya. - BERNAMA

Wednesday, January 12, 2011

Sekumpulan anak-anak yatim dakwa dirogol, liwat dan cabul

Penghuni rumah anak yatim dakwa diliwat, dirogol
PULAU PINANG 12 Jan. - Sekumpulan kanak-kanak di sebuah rumah anak yatim di sini hari ini mendakwa mereka menjadi mangsa pemuas nafsu penghuni, pekerja dan guru sukarelawan di rumah tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Kebanyakan mangsa merupakan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang kematian ibu bapa serta menetap di rumah yang berusia lebih 100 tahun itu bukan sahaja dirogol, malah mendakwa turut diliwat dan dicabul individu terlibat.

Kejadian itu bagaimanapun terbongkar apabila mangsa mengadu kepada ahli keluarganya.

Salah seorang daripada ahli keluarga mangsa, seorang wanita berusia 41 tahun kemudian membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan Patani, di sini, petang ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Supritendan Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut dan berkata, polis akan menjalankan siasatan penuh berdasarkan maklumat yang diterima.

"Beri peluang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Setakat ini, kita menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol dan Seksyen 377E kanun yang sama iaitu kelucahan melampau," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di rumah anak yatim yang berusia 136 tahun itu mendapati, ia beroperasi seperti biasa dengan beberapa penghuni dan pekerja dilihat keluar masuk dari premis itu.

Difahamkan, rumah berkenaan dihuni kira-kira 35 kanak-kanak dan remaja berusia enam hingga 17 tahun.

Sementara itu, penasihat undang-undang kepada rumah berkenaan, John Hia berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan yang dibuat.

Katanya, beliau akan memberikan khidmat nasihat kepada rumah berkenaan dalam menghadapi situasi itu.

"Kita memang tidak tahu apa-apa tentang perkara ini, ia benar-benar mengejutkan.

"Setakat ini, kita sedang menunggu perkembangannya sebelum sebarang tindakan susulan dibuat," katanya ketika ditemui di rumah berkenaan hari ini.

Sementara itu, seorang pekerja rumah berkenaan yang enggan dikenali berkata, pihak terlibat perlu mengemukakan masalah itu kepada pengetahuan pihak pengurusan rumah anak yatim itu terlebih dahulu supaya siasatan dalaman dapat dilakukan.

Katanya, tindakan membuat laporan polis itu hanya akan memberi gambaran negatif tentang rumah anak-anak yatim berkenaan.

"Tindakan ini tidak adil. Buat laporan terhadap kami sedangkan kami tidak dimaklumkan langsung tentang tuduhan berkenaan.

"Tidak patut mereka buat begitu. Apa-apa pun, kami akan menunggu siasatan dilakukan pihak polis," katanya.

Misteri mayat lelaki pakai coli jatuh kondo terungkai

KUALA LUMPUR 12 Jan. 2011 - Misteri penemuan mayat seorang lelaki yang memakai coli dan seluar jean biru di sebuah kondominium di Taman Dato Senu, Sentul, di sini hari ini, terungkai apabila dia sebelum itu didapati memecah masuk rumah penduduk.

Mayat mangsa berusia 26 tahun yang dipercayai terjatuh dari tingkat 12 bangunan itu ditemui pengawal keselamatan pada pukul 6.30 pagi.

Menurut penduduk yang enggan dikenali, mangsa telah memecah masuk sebuah rumah di tingkat itu melalui beranda bersama seorang rakannya.

Katanya, bagaimanapun kejadian itu disedari pemilik rumah yang terjaga menyebabkan kedua-duanya bertindak melarikan diri, namun mangsa terjatuh.

Difahamkan, polis tidak menemui sebarang pengenalan diri pada badan mangsa kecuali tiga buah telefon bimbit, tasbih dan serangkai kunci pendua rumah-rumah di situ.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi hari ini memberitahu, pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

"Pada awalnya si mati sukar dikenal pasti kerana tidak menjumpai sebarang pengenalan diri di badannya.

"Kami bagaimanapun menghubungi abang ipar si mati menerusi telefon bimbit dan dia datang ke kondominium itu untuk membuat pengecaman," katanya.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati si mati pernah mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Si mati bukan penduduk kondominium terbabit dan siasatan sedang dijalankan tujuan dia berada di situ. Kita juga masih belum pasti dia terjatuh dari tingkat berapa," katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dijalankan pemeriksaan lanjut

Tuesday, January 11, 2011

Pekerja kilang maut selepas dibelasah

2011/01/12
LABIS: Seorang pekerja kilang yang hanya memakai tuala dibelasah hingga terkeluar najis oleh sekumpulan lelaki yang menyerangnya di depan rumah, sebelum melarikan mangsa dengan kereta dan ditinggalkan bogel di tepi jalan dekat sini awal pagi Isnin lalu, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Segamat (HS), pagi semalam.

Pekerja kilang kayu, Tajuddin Sajab, 47, yang tinggal di Taman Pelangi, meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi semalam akibat parah di kepala dan perut, selepas mendapat rawatan kecemasan sejak awal pagi Isnin lalu sejurus serangan kira-kira 12.30 pagi. Dalam serangan itu, mangsa yang hanya memakai tuala dipukul ketika keluar menemui sekumpulan lelaki di depan rumahnya, sebelum dibawa kumpulan itu dalam sebuah kereta dan ditinggalkan di depan sebuah rumah dekat Taman Perling, kira-kira 3 kilometer dari rumahnya yang juga lokasi kejadian. Kejadian itu disaksikan isteri dan beberapa jiran mangsa tetapi tidak berani tampil membantu berikutan bimbang terhadap keselamatan diri.

Mangsa dikejarkan ke HS oleh polis dengan ambulans yang berkejar ke lokasi sejurus menerima maklumat orang awam.

Kejadian itu dikatakan ada kaitan dengan perselisihan antara mangsa dengan seorang wanita, menyebabkan anak lelaki wanita terbabit yang tidak berpuas hati bertindak balas dengan membawa sekumpulan rakan menyerang balas.

Difahamkan isteri mangsa, Zanariah Tengop, 30-an, yang turut menyaksikan serangan itu hanya mampu merayu supaya suaminya tidak dipukul tetapi tidak mampu berbuat apa-apa apabila rayuannya tidak dihiraukan.
, manakala dua anak pasangan itu yang berusia enam hingga 19 tahun dipercayai tidak menyedarinya kerana sedang tidur.

Susulan kejadian terbabit, polis menahan kira-kira 10 lelaki bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.

Ketua Polis Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian terbabit dengan alasan masih menunggu hasil bedah siasat.

Wanita dirompak ketika buka pintu pagar

2011/01/11
ALOR SETAR: Seorang wanita yang ingin keluar menghantar anak lelakinya ke sekolah, dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki yang mengacukan parang dan pistol ke arahnya sebelum merompak rumah mangsa di Taman Pulasan di sini hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi tadi, mangsa yang enggan dikenali berkata, beliau sedang membuka pintu pagar rumahnya apabila tiba-tiba didatangi tiga lelaki bertopeng. Katanya, pada awalnya perompak berkenaan mengacukan sebilah parang ke arahnya, namun selepas mangsa menjerit, lelaki itu mengacukan sepucuk pistol dan mengarahkannya diam. "Suami mangsa yang berada di tingkat atas rumah keluar untuk memeriksa, bagaimanapun turut ditahan seorang daripada perompak yang mengarahkannya menunjukkan tempat simpanan wang," katanya.

Dalam keadaan panik itu, sebutir peluru terjatuh dipercayai daripada poket perompak berkenaan.

Mangsa berkata, seorang perompak itu kemudiannya melarikan laci berisi wang tunai dan kereta Perodua Myvi milik mangsa berwarna perak dengan nombor pendaftaran PJN 5733, manakala dua lagi perompak menaiki motosikal.

Ketiga-tiga mangsa selamat dan jumlah kerugian belum diketahui.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supt Baharom Abu, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit. - BERNAMA

Monday, January 10, 2011

'Pengawal keselamatan' larikan wang RM300,000

Van milik syarikat keselamatan yang dirompak tiga penjenayah dalam rompakan nekad di Jalan Manis, Cheras, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 10 Jan. - Sekumpulan tiga penjenayah berpakaian pengawal keselamatan melarikan sebuah van keselamatan membawa wang tunai RM300,000 dalam rompakan nekad di Jalan Manis, Cheras, di sini petang ini.

Kejadian berlaku pada pukul 6.10 petang, ketika van yang dinaiki tiga pengawal keselamatan itu berhenti di hadapan sebuah premis syarikat telekomunikasi di sini untuk memungut wang perniagaan.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, ketika itu muncul tiga lelaki berpakaian pengawal keselamatan berwarna biru gelap lalu mengacukan pistol.

"Ketiga-tiga suspek yang memiliki pistol mengugut ketiga-tiga pengawal keselamatan itu serta meminta mereka keluar dari van berkenaan.

"Akibat panik, tiga pengawal keselamatan terbabit terpaksa membiarkan suspek-suspek melarikan van tersebut bersama wang tunai berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menambah, penjenayah terbabit bagaimanapun meninggalkan van tersebut di sebatang lorong yang terletak 120 meter dari tempat kejadian sebelum melarikan wang tunai.

Menurut Khairi, hasil siasatan awal, polis menemui sepucuk pistol dan selaras senapang milik pengawal keselamatan tersebut yang ditinggalkan suspek di dalam van tersebut.

"Polis kini giat mengesan arah suspek melarikan diri selepas mereka meninggalkan van tersebut.

"Kita juga akan mendapatkan lakaran wajah suspek dengan bantuan tiga mangsa bagi mengesan mereka secepat mungkin," jelas beliau.

PGM rampas kretek RM1.2 juta

2011/01/10
PELABUHAN KLANG: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pelabuhan Klang merampas 2,700 kartun rokok kretek bernilai RM1.2 juta termasuk cukai dan menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam satu operasi di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Pulau Banting, Teluk Bunut, Banting dekat sini.

Pegawai Pemerintah PGM Wilayah 1 Pelabuhan Klang, DSP Norzaid Muhammad Said, berkata kejayaan itu dicapai hasil operasi khas yang dilakukan unit risikan PGM di kawasan ladang itu kira-kira 12.30 tengah malam tadi hasil maklumat orang ramai.
Beliau berkata, unit itu terserempak dengan sebuah PROTON Wira serta lori satu tan dalam keadaan mencurigakan semasa di kawasan ladang itu dan mereka terus menahan ketiga-tiga suspek yang berumur 25 dan 48 tahun untuk diperiksa.
"Mereka kemudiannya menemui muatan rokok kretek pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam lori berkenaan yang dipercayai untuk diseludup masuk dan dijual di pasaran tempatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Antara rokok yang dirampas ialah Gudang Garam Nusantara Hijau (1,500 kartun), Gudang Garam Surya (720 kartun) dan Gudang Garam Nusantara Merah (480 kartun).

Norzaid berkata, semua barang rampasan dibawa ke markas operasi PGM di Pulau Indah di sini untuk disita, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (A) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, ketika menjalankan operasi itu anggota PGM diekori beberapa individu yang dipercayai "tonto" yang cuba mengganggu dan mengertak kerana tidak berpuas hati dengan rampasan rokok kretek berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, anggota PGM tetap meneruskan operasi itu dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kami akan teruskan operasi, tidak kira melalui darat atau perairan dalam usaha menangani membendung aktiviti penyeludupan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang tiba musim perayaan," katanya. - BERNAMA

Kastam Pulau Pinang tahan warga Iran, rampas dadah RM875,000

2011/01/10
BUTTERWORTH: Kastam Pulau Pinang menahan seorang lelaki warga Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) semalam dan merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 3.5 kilogram bernilai RM875,00.

Timbalan Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) negeri, R Mariappa, berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira 11.30 pagi selepas imbasan pada bagasinya menunjukkan imej meragukan. "Hasil pemeriksaan yang dilakukan pasukan Penguatkuasa Narkotik berjaya menemui sekeping kertas keras berwarna putih yang disorokkan di ruang khas dalam beg itu. "Pemeriksaan lanjut ke atas kertas keras itu kita menemui sebungkus plastik lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu yang telah beberapa kali memasuki Pulau Pinang, terbang dari Doha, Qatar.

"Penerbangannya transit di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa KL) sebelum tiba di PIA," katanya.

Mariappa berkata, pihaknya percaya lelaki itu mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa berdasarkan jumlah dadah yang besar.
Katanya, lelaki itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut
Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sementara itu, mengulas isu berbeza Mariappa berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis barang larangan dan barang bercukai bernilai kira-kira RM28.8 juta dengan nilai cukai sebanyak RM55.4 juta.

"Bagi tempoh yang sama, Kastam Pulau Pinang juga merekodkan 385 kes yang membabitkan pelbagai kesalahan menurut Akta Kastam 1967 dan menahan 310 orang yang disyaki terbabit dalam kesalahan penyeludupan," katanya. - BERNAMA

Sunday, January 9, 2011

Abang maut, adik parah ditikam

2011/01/10

FAIZAL menerima rawatan selepas terbabit dalam pergaduhan di Pekan Inanam, semalam.
KOTA KINABALU: Kunjungan dua beradik ke sebuah pusat hiburan di Pekan Inanam, di sini, awal pagi semalam, berakhir tragedi apabila seorang mati ditikam, manakala seorang lagi parah.

Herman Abdul Rahman, 22, mati akibat cedera parah di rusuk kanannya, selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di pusat hiburan itu, manakala adiknya, Faizal, 19, parah ditikam dua kali di pinggang, dalam kejadian pada jam 1 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, berkata polis sedang mengesan beberapa suspek yang dikenal pasti terbabit dalam pergaduhan berkenaan.
“Kita percaya lebih seorang yang melakukan serangan, Kita juga yakin dapat melakukan tangkapan dalam masa terdekat kerana identiti beberapa suspek sudah diketahui,” katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.50 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, kita menemui seorang lelaki terdampar di atas jalan dengan kesan darah di bahagian rusuk kanan dipercayai akibat ditikam dengan menggunakan benda tajam,” katanya

990 meter kabel TM dirampas, 14 ditahan

MOHD. Yatim Osman (kiri) bersama Penyelia Teknik Telekom RNO Rawang, Rosli Waruah Matollah (dua dari kiri) menunjukkan kabel-kabel yang berjaya dirampas di Balai Polis Bukit Sentosa, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



HULU SELANGOR 9 Jan. - Kegiatan sekumpulan 14 lelaki mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) Berhad sejak dua tahun lalu terbongkar apabila kesemua mereka ditahan polis kelmarin.

Kesemua suspek ditahan di Sungai Buaya di sini ketika sedang bersiap-sedia untuk membakar kabel yang baru dicuri di Gadek, Melaka, awal pagi semalam.

Jurucakap polis berkata, kesemua suspek berusia 15 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Hulu Selangor, Asisten Supritendan Mohd. Yatim Osman pada pukul 11.30 pagi.

Menurutnya, ketika serbuan semua suspek sedang memunggah sejumlah kabel yang telah dipotong daripada sebuah lori seberat tiga tan untuk dibakar.

"Hasil pemeriksaan, polis telah menemui 148 batang kabel di atas lori berkenaan. Panjang semua kabel tersebut adalah 990 meter.

"Siasatan lanjut mendapati suspek-suspek mencuri kabel tersebut yang ditanam sejauh hampir satu kilometer di Gadek, Melaka," katanya di sini hari ini.

Jurucakap itu menambah, pegawai Telekom Malaysia (TM) yang diminta memberi bantuan mengesahkan kabel tersebut milik syarikat berkenaan.

Jelasnya, menurut pegawai TM, kesemua kabel yang dicuri bernilai RM120,000.

"Polis percaya sindiket tersebut telah menjalankan kegiatan itu sejak dua tahun lalu berdasarkan kesan pembakaran kabel bagi mendapatkan tembaga di lokasi serbuan.

"Mereka juga dianggap licik kerana menggunakan lori yang mempunyai kren untuk menarik keluar kabel dari tanah sebelum mengangkat kabel ke atas lori," ujarnya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan jumlah keseluruhan kabel yang pernah dicuri sindiket tersebut sebelum ini.

Thursday, January 6, 2011

Waspada individu menyamar pemeriksa meter TNB

2011/01/06
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan pihak yang menyamar sebagai pemeriksa meter syarikat utiliti negara berkenaan, berikutan terdapat laporan kes samun yang dilakukan pihak yang menyamar.

Menurut TNB, pemeriksa meter syarikatnya boleh dikenal pasti melalui pakaian yang dipakai mereka serta kad kuasa yang mereka miliki. "Anggota kerja TNB yang menjalankan tugas di premis pengguna diwajibkan memakai pakaian seragam syarikat berupa baju T berwarna merah yang mempunyai logo TNB beserta jaket biru dengan sulaman logo TNB berwarna merah dan mempunyai nama anggota kerja tersebut. "Anggota kerja TNB yang perlu memeriksa meter hanya akan masuk ke halaman rumah dengan kebenaran penghuni setelah menunjukkan kad kuasa," menurut TNB menerusi satu kenyataan.

Kad kuasa itu adalah kad pengenalan diri pekerja TNB yang memaparkan gambar anggota kerja beserta nombor kad pengenalan dan nombor pekerja berkenaan.

Dalam kejadian terbaru semalam, dua lelaki yang menyamar sebagai pekerja TNB dilaporkan menyamun seorang wanita warga emas di Teluk Kemang.

TNB juga menyatakan pemeriksaan oleh anggotanya hanya dapat dibuat setakat meter di luar premis dan mereka tidak dibenarkan membuat sebarang pemeriksaan pendawaian di dalam rumah kerana ia di luar bidang kuasa petugas syarikat berkenaan. - BERNAMA

Wednesday, January 5, 2011

Pengawal bank didakwa curi RM203,400

SEREMBAN 5 Jan. 2010 - Seorang pengawal keselamatan sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melarikan wang RM203,400 daripada peti besi premis tersebut bulan lalu.

Tertuduh, Suliman Saliban, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Suliman didakwa mencuri wang tersebut daripada peti besi milik majikannya di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Ampangan, Seremban, antara pukul 12 tengah malam dan 6.30 pagi, 22 Disember lalu.

Tertuduh yang berasal dari Sikamat di sini, di dakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan akhbar, kira-kira pukul 1 petang pada tarikh itu, polis dan bomba menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap bank berkenaan yang ketika itu musnah akibat kebakaran.

Namun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua wang berkenaan yang terdapat dalam peti besi premis itu lesap tanpa sebarang kesan umpil.

Berikutan itu, beberapa siri tangkapan dilakukan terhadap kakitangan dan pekerja kontrak yang melakukan kerja mengubah suai bank berkenaan sebelum menahan Suliman bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan, seorang suspek yang juga merupakan seorang polis bantuan dikatakan mengambil wang berkenaan secara bersendirian selepas melihat pintu peti besi tempat simpanan wang tidak berkunci.

Suspek juga dikatakan telah membelanjakan sejumlah wang berkenaan untuk memperbaiki motosikal dan basikal, membayar hutang dan bermain mesin judi mesin slot di sekitar bandar ini.

Dalam pada itu, polis juga berjaya menemui baki wang berjumlah RM196,400 setelah tangkapan dibuat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Marsilawati Mohd. Shah menetapkan 8 Februari ini bagi tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah membenarkan Suliman diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin.

Lelaki lewat bayar sewa rumah parah ditikam

2011/01/06
KUALA LUMPUR: Hanya kerana terlewat membayar sewa rumah, seorang lelaki cedera parah ditikam di belakang badan, leher, pipi dan lengan oleh pemilik rumah dalam kejadian di Kampung Kasipillay, Jalan Ipoh, di sini, pagi kelmarin.

Bagaimanapun, apa yang menimbulkan tanda tanya ialah mangsa berusia 35 tahun yang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), memiliki 54 keping wang palsu RM100 dan 30 keping RM50 pada badannya. Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, rakan mangsa yang tinggal di tingkat bawah rumah, naik ke tingkat atas selepas terdengar bunyi bising sebelum terkejut apabila melihat rakannya terbaring dalam keadaan berlumuran darah. Polis yang menjalankan siasatan sebaik mendapat laporan mengenai kejadian itu, menahan seorang lelaki yang juga pemilik rumah berkenaan berusia 41 tahun untuk siasatan lanjut.

Sumber polis berkata, pemeriksaan mendapati suspek mempunyai dua rekod dadah dan dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan itu.

“Hasil siasatan awal, suspek dipercayai meminta wang sewa rumah daripada mangsa kerana tidak membayar sewa selepas lebih sebulan tinggal di rumah suspek.

“Mangsa yang ditikam tiga kali di bahagian belakang badan, leher, pipi dan lengan sedang dirawat di HKL,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan wang palsu pada mangsa termasuk kaitannya dengan unsur jenayah dan akan mengambil keterangannya dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan

Tuesday, January 4, 2011

Lelaki menyamar polis sejak dua tahun diberkas

KUALA LUMPUR 4 Jan. 2010 - Setelah hampir dua tahun diburu kerana menyamar sebagai polis untuk menyamun, suspek akhirnya berjaya diberkas sejurus selepas melakukan kegiatan jenayah tersebut.

Suspek dipercayai penagih dadah berusia 31 tahun ditangkap selepas menyamun seorang pelajar lelaki yang memandu kereta bersendirian di sebuah kawasan di Pandan Perdana, Ampang Jaya, dekat sini pada pukul 3.30 pagi, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, dalam kejadian tersebut, suspek bersama seorang lagi rakan yang menaiki motosikal berasingan telah menahan mangsa kononnya mahu melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, mangsa yang percaya kedua-dua suspek itu anggota polis telah ditunjukkan kad mempunyai logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) lalu memberhentikan keretanya untuk pemeriksaan.

"Mangsa berusia 21 tahun tidak mengesyaki apa-apa kerana melihat seorang suspek memakai jaket berwarna kuning seperti anggota polis, manakala rakannya memakai jaket biasa dan mereka turut menunjukkan kad mempunyai logo PDRM.

"Sebaik sahaja mangsa membuka cermin tingkap kereta, suspek berpura-pura membuat pemeriksaan sebelum bertindak melarikan dua telefon bimbit dan wang RM20 miliknya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun tidak bernasib baik kerana semasa melakukan jenayah tersebut kebetulan sebuah kereta peronda polis melalui tempat kejadian dan melihat perbuatan mereka.

Amiruddin berkata, suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak memecut motosikal untuk melarikan diri tetapi seorang daripada mereka berjaya ditangkap.

Katanya, pemeriksaan terhadap suspek menemui semula barang-barang mangsa yang disamun, sejumlah dadah, alat renjatan elektrik dan pisau lipat.

"Siasatan mendapati motosikal digunakan suspek pernah dilaporkan hilang di Salak Selatan, Cheras dan dia turut dikehendaki oleh polis daerah Cheras kerana mempunyai 10 rekod kesalahan lampau iaitu menyamar sebagai polis untuk menyamun," ujarnya.

Menurut Amiruddin, tangkapan suspek membolehkan polis menyelesaikan tujuh kes yang sama di daerah Ampang.

Beliau berkata, suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan rakannya yang masih bebas giat dilakukan

Monday, January 3, 2011

Ditahan sembunyi dadah dalam kerusi

BATU PAHAT 3 Jan. 2010 - Hari terakhir sebelum menyambut tahun baru menjadi titik hitam bagi sepasang kekasih yang ditahan dan berdepan kemungkinan dihukum gantung kerana disyaki mengedar pelbagai jenis dadah bernilai RM140,750.

Polis yang menahan pasangan itu di sebuah stesen minyak di Jalan Labis-Segamat di sini kira-kira 2.30 petang, kemudiannya melakukan pemeriksaan di rumah yang disewa pasangan itu di Taman Bukit Perdana di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, hasil pemeriksaan menemui dadah tersebut disembunyikan dalam kerusi kayu di bilik rumah itu.

"Suspek lelaki yang ditahan berusia 40 tahun dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala pasangannya berusia 26 tahun.

"Kita telah merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu seberat 435.28 gram (gm) yang dianggarkan bernilai RM120,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.

Ibrahim berkata, turut dirampas 752.32gm heroin dianggarkan bernilai RM18,000, 434.19gm ganja (RM1,250) dan 100 biji pil eramin 5 (RM1,500).

Beliau berkata, suspek lelaki itu berasal dari daerah ini manakala pasangannya dari Segamat.

Menurutnya, pasangan berkenaan yang merupakan penganggur itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum gantung sampai mati.

Ibu latih anak jadi 'toyol' curi beg tangan

Ibu latih anak jadi 'toyol' curi beg tangan
KUALA LUMPUR 3 Jan. 2010 - Jika beg tangan wanita yang diletakkan bersebelahan pemilik ketika makan dan memilih barang di pusat membeli belah diambil oleh kanak-kanak ia akan dianggap budak itu sedang bermain bukannya mencuri.

Berikutan itu, seorang wanita warga Asia Barat dipercayai menggunakan kesempatan tersebut dengan melatih anak lelakinya berusia tujuh tahun untuk mencuri beg tangan wanita di beberapa pusat membeli belah terkemuka di ibu negara.

Kegiatan itu terbongkar selepas seorang pelajar perempuan berusia 25 tahun kehilangan beg tangan ketika sedang memilih kasut di Suria KLCC di sini kelmarin.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian pukul 3 petang itu, mangsa dan seorang sepupunya sedang memilih kasut sebelum menyedari didekati seorang wanita Asia Barat tengah memakai jubah dan purdah yang membawa anaknya.

"Mangsa yang mendapati suspek turut memilih kasut membiarkan kanak-kanak itu bermain berhampiran beg tangannya.

"Namun beberapa minit selepas itu, mangsa mendapati kanak-kanak tersebut hilang bersama beg tangan yang berisi wang tunai sebanyak RM3,000 itu," katanya di sini hari ini.

Jurucakap polis itu menambah, kejadian beg tangan hilang dicuri oleh kanak-kanak yang dipercayai dilatih ibu bukan perkara baru kerana terdapat laporan daripada mangsa lain.

"Siasatan awal percaya, suspek melatih anaknya untuk menjadi 'toyol' mencuri beg tangan yang diletakkan bersebelahan mangsa.

"Ini kerana, mangsa tidak akan curiga sekiranya kanak-kanak bermain berhampiran barangan berharga berbanding orang dewasa," jelasnya.

Penyamun tebuk dinding tandas

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2011/01/04


YOKE CHOW menunjukkan lubang pada dinding pejabat yang ditebuk penyamun di Kuantan, semalam.Bungkusan duit syiling milik pasar raya lesap

KUANTAN: Sekumpulan penyamun menebuk dinding konkrit tandas sebuah pasar raya dekat Air Putih, di sini, sebelum menyusup masuk dan melarikan bungkusan mengandungi duit syiling di pejabat pasar raya berkenaan, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 2 pagi itu, penyamun dipercayai menebuk lubang dinding restoran bersebelahan yang bercantum dengan tandas pasar raya berkenaan. Pengurus cawangan pasar raya berkenaan, Gan Yoke Chow, berkata walaupun premis terbabit dilengkapi sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV), penyamun itu licik meloloskan diri.

“Saya hanya menyedari premis dipecah masuk jam 8.30 pagi ketika ingin memulakan perniagaan.

“Saya sangat terkejut apabila mendapati dinding berhampiran pintu pejabat berlubang sebelum memaklumkan kejadian itu kepada majikan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Yoke Chow berkata, beliau bersama majikannya kemudian membuat pemeriksaan lanjut sebelum menemui lubang dalam tandas serta mendapati beberapa bungkusan berisi syiling yang disimpan di dalam pejabat berkenaan hilang.
“Rakaman CCTV bagaimanapun gagal merakam pencuri itu kerana keadaan gelap kecuali hanya kelihatan cahaya lampu suluh digunakan mereka.

“Malah, mereka mungkin tidak masuk ke bilik bungkusan syiling terbabit disimpan sebaliknya mengaitnya menggunakan kayu bagi mengelak penggera berbunyi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Sunday, January 2, 2011

Pecah rumah: 3 beradik, rakan ditahan

KUALA TERENGGANU 2 Jan. 2010 - Tiga adik-beradik ini mungkin boleh dianggap sehati sejiwa apabila ditahan bersama seorang lelaki kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di Kuala Ibai, dekat sini kelmarin.

Dua daripada tiga beradik berusia 26 dan 35 tahun itu bekerja sebagai buruh dan seorang lagi masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dekat sini.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada buruh berkenaan positif dadah. Turut ditahan ialah seorang remaja berusia 19 tahun yang juga pelajar di IPT sama.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan, keempat-empat lelaki itu ditahan di depan sebuah kedai serbaneka di sekitar Gong Badak hasil maklumat orang ramai.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kereta yang mereka gunakan menemui sebilah parang dan sebuah pemain cakera video digital (DVD), dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.

"Kesemua mereka akan direman sehingga 5 Januari ini bagi membantu siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang kelmarin, sebuah rumah yang ditinggalkan selama tiga bulan oleh pemiliknya di Kuala Ibai telah dipecah masuk dipercayai dilakukan oleh suspek-suspek terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati beberapa barang berharga seperti pemain DVD dan wang tunai RM600 telah dilarikan.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kegiatan pecah rumah serta Seksyen 7 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Lelaki nyaris putus tangan diserang

2011/01/03


MANGSA parah di muka dan tangan selepas diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah hotel di Jalan Persiaran Gurney, awal pagi semalam.GEORGETOWN: Tangan kanan seorang lelaki hampir terputus selepas ditetak dalam satu pergaduhan dipercayai bermotifkan dendam di hadapan sebuah hotel di Jalan Persiaran Gurney di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa yang berusia 29 tahun diserang sekumpulan lelaki menyebabkan mangsa parah di tangan, muka dan beberapa bahagian badan. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata pasukan polis yang tiba di tempat kejadian menemui mangsa dalam keadaan parah, manakala semua suspek sudah melarikan diri. “Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut. Siasatan di tempat kejadian menemui empat parang disembunyikan di bawah kerusi batu serta tepi pokok dan beberapa kesan tompokan darah.

“Kami turut menemui kesan darah di bahagian bonet kereta jenis BMW di depan hotel itu.

“Polis juga menemui kesan darah pada kereta jenis Nissan Frontier di sebuah flet di Lebuh Macallum dekat sini, dipercayai ditinggalkan di situ,” katanya.