Thursday, January 13, 2011

Kaji Youtube pecah rumah

Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2011/01/14


SAIFUL AZLY (kiri) menunjukkan sebahagian barang rompakan Geng Banchik yang dirampas pada sidang media di Seremban, semalam.Belajar lepasi kawalan keselamatan

SEREMBAN: Satu kumpulan pecah rumah dikenali sebagai Geng Banchik di sini, mengaku mereka mendalami cara melakukan jenayah itu dengan mengkaji klip video nasihat keselamatan bagi pemilik kediaman dalam laman web Youtube sebelum mencari mangsa. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata ketua kumpulan itu yang ditahan hujung bulan lalu, mendakwa mereka cuba memahami semua langkah keselamatan yang diambil mangsa. “Mereka membuat kajian beberapa bulan melalui Youtube bagi mengetahui langkah keselamatan digunakan pemilik kediaman untuk mencari kelemahan yang boleh dipergunakan.

“Berdasarkan kajian itu, mereka membuat pemerhatian dan mencari sasaran di sekitar daerah ini terutama di Senawang, Paroi, Ampangan dan Rahang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Saiful Azly berkata, ketua kumpulan yang berusia 21 tahun itu ditahan jam 2.30 petang pada 30 Disember lalu, selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Marida, Senawang.

Beliau berkata, pemilik terbabit yang kebetulan tidak bekerja pada hari berkenaan, mengejar suspek yang cuba melarikan diri bersama seorang rakannya menaiki motosikal sebelum menghimpit mereka sehingga terjatuh.
Katanya, suspek kemudian diserah kepada polis, manakala rakannya yang sempat melarikan diri bersama seorang lagi ahli kumpulan terbabit diberkas beberapa hari kemudian.

Beliau berkata, siasatan mendapati kumpulan itu terbabit dalam sekurang-kurangnya 32 kes pecah rumah di daerah ini sejak Oktober lalu.

Sementara itu, Saiful Azly berkata, pihaknya menemui semula 28 motosikal curi dengan 12 daripadanya sudah dileraikan, selepas menahan enam lelaki termasuk ketua kumpulan Geng Sepet Gate di Pedas, dekat sini, pada 11 hingga 13 Disember lalu.

Polis percaya, penahanan mereka menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 kes curi motosikal yang kebanyakannya jenis Honda EX 5 dan Yamaha RXZ.

No comments:

Post a Comment