Wednesday, January 19, 2011

Buruh mati dibelasah empat lelaki

SUNGAI PETANI 19 Jan. 2011 - Seorang buruh yang parah selepas dibelasah dengan kayu besbol dan topi keledar oleh sekumpulan empat lelaki termasuk seorang kenalannya di sebuah rumah di Taman Mesra dekat Jalan Sekerat di sini, Ahad lalu meninggal dunia semalam.

S. Perumal, 53, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9 pagi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) selepas lebih 48 jam koma kerana mengalami pendarahan teruk di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi ketika mangsa sedang berehat di rumah bersama seorang anak saudaranya.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja mengambil upah tiba-tiba didatangi sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang, kayu besbol dan topi keledar.

Katanya, kumpulan lelaki berkenaan kemudian menjerit memanggil nama mangsa serta mengetuk rumah berulang kali.

"Suspek juga dikatakan menendang pintu rumah menyebabkan mangsa yang mahu membuka pintu jatuh terlentang sebelum dipukul beberapa kali.

"Mangsa ditarik keluar dari rumah sebelum dibelasah lagi oleh kumpulan lelaki terbabit dengan menggunakan kayu besbol dan topi keledar sebelum mereka beredar meninggalkannya kira-kira 50 meter dari pintu pagar rumah," katanya di sini hari ini.

Hashim berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian kemudian segera membawa mangsa ke HSAH untuk rawatan lanjut.

"Mangsa yang cedera parah di kepala berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sebelum meninggal dunia semalam," katanya.

Beliau memberitahu, ekoran kejadian tersebut, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes yang dipercayai berpunca daripada salah faham.

Katanya, suspek yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

"Selepas siasatan lengkap, suspek akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

No comments:

Post a Comment