Sunday, January 2, 2011

Pecah rumah: 3 beradik, rakan ditahan

KUALA TERENGGANU 2 Jan. 2010 - Tiga adik-beradik ini mungkin boleh dianggap sehati sejiwa apabila ditahan bersama seorang lelaki kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di Kuala Ibai, dekat sini kelmarin.

Dua daripada tiga beradik berusia 26 dan 35 tahun itu bekerja sebagai buruh dan seorang lagi masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dekat sini.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada buruh berkenaan positif dadah. Turut ditahan ialah seorang remaja berusia 19 tahun yang juga pelajar di IPT sama.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan, keempat-empat lelaki itu ditahan di depan sebuah kedai serbaneka di sekitar Gong Badak hasil maklumat orang ramai.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kereta yang mereka gunakan menemui sebilah parang dan sebuah pemain cakera video digital (DVD), dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.

"Kesemua mereka akan direman sehingga 5 Januari ini bagi membantu siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang kelmarin, sebuah rumah yang ditinggalkan selama tiga bulan oleh pemiliknya di Kuala Ibai telah dipecah masuk dipercayai dilakukan oleh suspek-suspek terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati beberapa barang berharga seperti pemain DVD dan wang tunai RM600 telah dilarikan.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kegiatan pecah rumah serta Seksyen 7 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

No comments:

Post a Comment