KUALA LUMPUR 12 Jan. 2011 - Misteri penemuan mayat seorang lelaki yang memakai coli dan seluar jean biru di sebuah kondominium di Taman Dato Senu, Sentul, di sini hari ini, terungkai apabila dia sebelum itu didapati memecah masuk rumah penduduk.
Mayat mangsa berusia 26 tahun yang dipercayai terjatuh dari tingkat 12 bangunan itu ditemui pengawal keselamatan pada pukul 6.30 pagi.
Menurut penduduk yang enggan dikenali, mangsa telah memecah masuk sebuah rumah di tingkat itu melalui beranda bersama seorang rakannya.
Katanya, bagaimanapun kejadian itu disedari pemilik rumah yang terjaga menyebabkan kedua-duanya bertindak melarikan diri, namun mangsa terjatuh.
Difahamkan, polis tidak menemui sebarang pengenalan diri pada badan mangsa kecuali tiga buah telefon bimbit, tasbih dan serangkai kunci pendua rumah-rumah di situ.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi hari ini memberitahu, pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
"Pada awalnya si mati sukar dikenal pasti kerana tidak menjumpai sebarang pengenalan diri di badannya.
"Kami bagaimanapun menghubungi abang ipar si mati menerusi telefon bimbit dan dia datang ke kondominium itu untuk membuat pengecaman," katanya.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati si mati pernah mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.
"Si mati bukan penduduk kondominium terbabit dan siasatan sedang dijalankan tujuan dia berada di situ. Kita juga masih belum pasti dia terjatuh dari tingkat berapa," katanya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dijalankan pemeriksaan lanjut
Wednesday, January 12, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment