Monday, January 10, 2011

'Pengawal keselamatan' larikan wang RM300,000

Van milik syarikat keselamatan yang dirompak tiga penjenayah dalam rompakan nekad di Jalan Manis, Cheras, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 10 Jan. - Sekumpulan tiga penjenayah berpakaian pengawal keselamatan melarikan sebuah van keselamatan membawa wang tunai RM300,000 dalam rompakan nekad di Jalan Manis, Cheras, di sini petang ini.

Kejadian berlaku pada pukul 6.10 petang, ketika van yang dinaiki tiga pengawal keselamatan itu berhenti di hadapan sebuah premis syarikat telekomunikasi di sini untuk memungut wang perniagaan.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, ketika itu muncul tiga lelaki berpakaian pengawal keselamatan berwarna biru gelap lalu mengacukan pistol.

"Ketiga-tiga suspek yang memiliki pistol mengugut ketiga-tiga pengawal keselamatan itu serta meminta mereka keluar dari van berkenaan.

"Akibat panik, tiga pengawal keselamatan terbabit terpaksa membiarkan suspek-suspek melarikan van tersebut bersama wang tunai berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menambah, penjenayah terbabit bagaimanapun meninggalkan van tersebut di sebatang lorong yang terletak 120 meter dari tempat kejadian sebelum melarikan wang tunai.

Menurut Khairi, hasil siasatan awal, polis menemui sepucuk pistol dan selaras senapang milik pengawal keselamatan tersebut yang ditinggalkan suspek di dalam van tersebut.

"Polis kini giat mengesan arah suspek melarikan diri selepas mereka meninggalkan van tersebut.

"Kita juga akan mendapatkan lakaran wajah suspek dengan bantuan tiga mangsa bagi mengesan mereka secepat mungkin," jelas beliau.

No comments:

Post a Comment