Tuesday, January 4, 2011

Lelaki menyamar polis sejak dua tahun diberkas

KUALA LUMPUR 4 Jan. 2010 - Setelah hampir dua tahun diburu kerana menyamar sebagai polis untuk menyamun, suspek akhirnya berjaya diberkas sejurus selepas melakukan kegiatan jenayah tersebut.

Suspek dipercayai penagih dadah berusia 31 tahun ditangkap selepas menyamun seorang pelajar lelaki yang memandu kereta bersendirian di sebuah kawasan di Pandan Perdana, Ampang Jaya, dekat sini pada pukul 3.30 pagi, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, dalam kejadian tersebut, suspek bersama seorang lagi rakan yang menaiki motosikal berasingan telah menahan mangsa kononnya mahu melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, mangsa yang percaya kedua-dua suspek itu anggota polis telah ditunjukkan kad mempunyai logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) lalu memberhentikan keretanya untuk pemeriksaan.

"Mangsa berusia 21 tahun tidak mengesyaki apa-apa kerana melihat seorang suspek memakai jaket berwarna kuning seperti anggota polis, manakala rakannya memakai jaket biasa dan mereka turut menunjukkan kad mempunyai logo PDRM.

"Sebaik sahaja mangsa membuka cermin tingkap kereta, suspek berpura-pura membuat pemeriksaan sebelum bertindak melarikan dua telefon bimbit dan wang RM20 miliknya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun tidak bernasib baik kerana semasa melakukan jenayah tersebut kebetulan sebuah kereta peronda polis melalui tempat kejadian dan melihat perbuatan mereka.

Amiruddin berkata, suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak memecut motosikal untuk melarikan diri tetapi seorang daripada mereka berjaya ditangkap.

Katanya, pemeriksaan terhadap suspek menemui semula barang-barang mangsa yang disamun, sejumlah dadah, alat renjatan elektrik dan pisau lipat.

"Siasatan mendapati motosikal digunakan suspek pernah dilaporkan hilang di Salak Selatan, Cheras dan dia turut dikehendaki oleh polis daerah Cheras kerana mempunyai 10 rekod kesalahan lampau iaitu menyamar sebagai polis untuk menyamun," ujarnya.

Menurut Amiruddin, tangkapan suspek membolehkan polis menyelesaikan tujuh kes yang sama di daerah Ampang.

Beliau berkata, suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan rakannya yang masih bebas giat dilakukan

No comments:

Post a Comment