Tuesday, January 25, 2011

3 penjenayah geledah kereta diberkas

IPOH 25 Jan. 2011 - Tindakan pantas sepasukan anggota kereta peronda polis berjaya memberkas tiga penjenayah yang cuba melarikan diri selepas menggeledah sebuah kereta di Sungai Pari di sini Jumaat lalu.

Ketiga-tiga penjenayah berusia lingkungan 20-an itu ditahan pada pukul 2.22 pagi selepas anggota peronda terbabit menerima laporan daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kesemua penjenayah itu melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna perak.

"Siasatan awal mendapati, kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah dan semasa ditahan tiada senjata ditemui," katanya.

Azisman berkata, kesemua suspek yang ditahan kini disiasat di bawah Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau turut meminta seorang lelaki, Ong Ching Chye, hadir bagi menjadi saksi satu kes samun di Sungai Senam baru-baru ini.

Katanya, alamat terakhir lelaki berusia 44 tahun itu adalah di Nombor 147, Sentul Pasar Dalam, Kuala Lumpur.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Inspektor Mohd. Razalee Mohd. Yatim di talian 012-9527439

No comments:

Post a Comment