Thursday, January 13, 2011

Lelaki Iran telan 137 kapsul syabu ditahan

2011/01/14
PUTRAJAYA: Cubaan seorang lelaki Iran untuk menyeludup dadah ke negara ini dengan menelannya, terbongkar selepas 137 kapsul dipercayai syabu ditemui dalam perutnya selepas dibedah, pagi semalam.

Lelaki berusia 52 tahun itu mendarat di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 7 petang kelmarin, sebelum mengadu sakit perut selepas keluar terminal. Kakitangan LCCT yang melihat keadaan lelaki itu kemudian menghantarnya ke sebuah hospital swasta berdekatan KLIA sebelum dihantar ke HPj untuk rujukan lanjut. Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata hasil pembedahan di HPj, doktor menjumpai 137 kapsul dipercayai berisi syabu seberat kira-kira 750 gram di dalam perut lelaki itu.

Berikutan itu, katanya, polis menahan lelaki berkenaan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menyeludup dadah yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

"Polis masih menunggu dia sihat untuk melakukan siasatan lanjut, termasuk untuk mengetahui dari mana dia datang dan destinasi seterusnya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Difahamkan, keadaan lelaki itu masih kritikal dan polis tidak menolak kemungkinan sebahagian daripada kapsul yang ditelannya pecah menyebabkannya mengalami sakit perut

No comments:

Post a Comment