Monday, January 24, 2011

Sindiket warga Iran lupus 80kg dadah elak ditahan

Oleh Safeek Affendy Razali

2011/01/25
KUALA LUMPUR: Polis menyerbu dua kondominium mewah di ibu kota yang disyaki dijadikan stor menyimpan dadah jenis syabu, pagi semalam dan Jumaat lalu, membawa kepada penahanan empat warga Iran, termasuk sepasang suami isteri dan penemuan lebih 63 kilogram dadah.

Dalam serbuan pertama malam Jumaat lalu, sepasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menyerbu sebuah kondominium di Mont Kiara di sini dan menahan sepasang suami isteri. Bagaimanapun, pasangan itu yang dipercayai terbabit dengan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dikatakan mengepam dadah seberat 80 kilogram ke dalam mangkuk tandas selepas menyedari kehadiran polis. Polis dikatakan hanya menemui sebahagian kecil daripada dadah berkenaan.
Sumber berkata, pasangan suami isteri terbabit dipercayai menyimpan dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM10 juta di kondominium itu untuk dipasarkan ke luar negara.

Polis sedang menyiasat dari mana pasangan itu memperoleh dadah berkenaan dan destinasinya.

Pasangan itu kini ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas bagi membantu siasatan.
Dalam serbuan berasingan di sebuah rumah teres di Jalan Kiara 5, Mont Kiara, malam kelmarin, polis menahan dua lelaki warga Iran berusia 32 dan 37 tahun kerana disyaki turut terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.

Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek, membawa kepada serbuan susulan di sebuah lagi kondominium mewah Sefron Condominium di Jalan Sentul Indah, awal pagi semalam.

Serbuan ke atas unit kediaman di tingkat 20 kondominium itu membawa kepada penemuan sejumlah ketulan dadah jenis syabu seberat lebih 63 kilogram di salah sebuah bilik tidur.

Siasatan juga mendapati kediaman itu mencatatkan nama salah seorang suspek sebagai penyewa.

Dadah bernilai lebih RM7 juta itu dipercayai disimpan di kondominium berkenaan sebelum dihantar ke negara ketiga.

Polis mengesyaki kedua-dua sindiket itu menggunakan Malaysia sebagai negara transit untuk memasarkan bekalan mereka.

Sumber memberitahu, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti saki baki anggota sindiket ini yang disyaki warga Iran.

Kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber juga mendedahkan dadah jenis syabu dijual di Malaysia pada harga RM120,000 setiap kilogram dan mencapai lima kali ganda di pasaran antarabangsa

No comments:

Post a Comment