Wednesday, January 12, 2011

Sekumpulan anak-anak yatim dakwa dirogol, liwat dan cabul

Penghuni rumah anak yatim dakwa diliwat, dirogol
PULAU PINANG 12 Jan. - Sekumpulan kanak-kanak di sebuah rumah anak yatim di sini hari ini mendakwa mereka menjadi mangsa pemuas nafsu penghuni, pekerja dan guru sukarelawan di rumah tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Kebanyakan mangsa merupakan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang kematian ibu bapa serta menetap di rumah yang berusia lebih 100 tahun itu bukan sahaja dirogol, malah mendakwa turut diliwat dan dicabul individu terlibat.

Kejadian itu bagaimanapun terbongkar apabila mangsa mengadu kepada ahli keluarganya.

Salah seorang daripada ahli keluarga mangsa, seorang wanita berusia 41 tahun kemudian membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan Patani, di sini, petang ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Supritendan Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut dan berkata, polis akan menjalankan siasatan penuh berdasarkan maklumat yang diterima.

"Beri peluang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Setakat ini, kita menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol dan Seksyen 377E kanun yang sama iaitu kelucahan melampau," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di rumah anak yatim yang berusia 136 tahun itu mendapati, ia beroperasi seperti biasa dengan beberapa penghuni dan pekerja dilihat keluar masuk dari premis itu.

Difahamkan, rumah berkenaan dihuni kira-kira 35 kanak-kanak dan remaja berusia enam hingga 17 tahun.

Sementara itu, penasihat undang-undang kepada rumah berkenaan, John Hia berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan yang dibuat.

Katanya, beliau akan memberikan khidmat nasihat kepada rumah berkenaan dalam menghadapi situasi itu.

"Kita memang tidak tahu apa-apa tentang perkara ini, ia benar-benar mengejutkan.

"Setakat ini, kita sedang menunggu perkembangannya sebelum sebarang tindakan susulan dibuat," katanya ketika ditemui di rumah berkenaan hari ini.

Sementara itu, seorang pekerja rumah berkenaan yang enggan dikenali berkata, pihak terlibat perlu mengemukakan masalah itu kepada pengetahuan pihak pengurusan rumah anak yatim itu terlebih dahulu supaya siasatan dalaman dapat dilakukan.

Katanya, tindakan membuat laporan polis itu hanya akan memberi gambaran negatif tentang rumah anak-anak yatim berkenaan.

"Tindakan ini tidak adil. Buat laporan terhadap kami sedangkan kami tidak dimaklumkan langsung tentang tuduhan berkenaan.

"Tidak patut mereka buat begitu. Apa-apa pun, kami akan menunggu siasatan dilakukan pihak polis," katanya.

No comments:

Post a Comment