Thursday, January 20, 2011

Sorok ganja dalam kayu pelampung

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
pengarang@utusan.com.my



Abdul Rahim Abdullah (kiri) memeriksa ketulan ganja yang cuba diedarkan dari sebuah bot nelayan di Kuala Perlis, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KANGAR 20 Jan. - Jika dilihat, ia hanya sebatang kayu panjang berpelampung dan berlampu yang lazim digunakan sebagai penanda pukat di laut, tetapi siapa pun tidak tahu di bawahnya tersembunyi bungkusan plastik lutsinar berisi ganja.

Itu antara taktik pengedaran ganja yang dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Utara yang merampas dua kilogram dadah berkenaan dalam satu operasi di perairan Kuala Perlis awal pagi ini.

Ketua Penguat Kuasanya, Kapten Maritim Abdul Rahim Abdullah berkata, ganja tersebut dikesan lima anggota Maritim Malaysia dari Pangkalan Kuala Perlis yang membuat rondaan dan penguatkuasaan maritim di perairan tersebut sejak pukul 11 malam tadi.

Menurut beliau, kira-kira pukul 3.30 pagi, sebuah perahu yang berada dalam keadaan gelap dan mencurigakan dikesan membuang sesuatu objek ke dalam laut sebelum meninggalkan kawasan tersebut kerana menyedari kehadiran pasukan peronda itu.

"Sebaik sahaja dihampiri kawasan itu yang terletak kira-kira 3 batu nautika (5.5 kilometer) dari pantai Kuala Perlis, pihak kami ternampak kayu panjang berpelampung serta berlampu di kawasan itu dan selepas diangkat, terdapat satu objek berbungkus plastik lutsinar dibalut dengan jaring.

"Setelah diperiksa, bungkusan itu mengandungi dua ketulan tumbuh-tumbuhan kering mampat yang disyaki ganja seberat dua kilogram," katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Maritim Malaysia Kuala Perlis hari ini.

Menurut beliau, ganja tersebut dianggarkan bernilai RM2,400 sekilogram dan ia diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, tidak ada tangkapan dilakukan berhubung kes tersebut namun ia merupakan percubaan mengedar ganja yang pertama pada tahun ini.

Sehubungan itu, kata Abdul Rahim, pihaknya akan meningkatkan rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara bagi mencegah aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim.

"Kami juga meminta kerjasama orang ramai supaya melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment