Monday, January 24, 2011

Kolam ikan air tawar dituba

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my



R. Sugurabala terpaksa menutup hidung kerana bau terlalu busuk ekoran beribu-ribu ikan mati akibat cecair tidak diketahui di Ipoh, Perak, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



IPOH 24 JAN. - Rasa curiga seorang pemandu lori terhadap tindakan dua lelaki melemparkan sebotol cecair ke dalam kolam terbiar akhirnya terjawab apabila ribuan ikan ditemui terapung dalam sebuah kolam di Batu 15, Tambun dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, S. Bala, 42, berkata, dua lelaki dalam lingkungan umur 30 dan 40 tahun dilihat menghampiri kolam itu sebelum melemparkan cecair di dalam botol yang disyakinya sebagai tuba ke dalam kolam.

Tidak lama selepas itu, pelbagai jenis ikan air tawar antaranya tilapia dan haruan mula timbul sebelum kesemuanya dikaut menggunakan jaring dan dimasukkan ke dalam guni untuk dibawa pulang.

"Saya tidak tahu apa kandungan di dalam botol itu, tapi tidak lama selepas ia dilemparkan ke dalam kolam, banyak ikan mula timbul dan kedua-dua lelaki itu mengaut ikan-ikan itu dengan jaring besar.

"Saya lihat ikan-ikan itu dimasukkan ke dalam tiga buah guni besar sebelum mereka membawanya pergi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, kolam yang terletak berhampiran Tanah Perkuburan Kristian Tambun itu dahulunya merupakan kolam ternakan ikan sebelum ia ditutup.

Namun, kolam yang mengandungi pelbagai jenis ikan air tawar itu terus menjadi pilihan apabila saban minggu masih dikunjungi kaki pancing.

Bala berkata, akibat tindakan tidak bertanggungjawab itu, ikan-ikan yang masih tidak diambil akhirnya masuk ke dalam longkang besar berhampiran tasik sehingga menimbulkan bau busuk dan mengganggu masyarakat setempat.

Keadaan itu, tambahnya, berlaku apabila hujan lebat menyebabkan air kolam melimpah sehingga menghanyutkan ikan-ikan itu ke dalam longkang tersebut.

"Keadaan di sini sangat busuk namun tiada tindakan diambil untuk membersihkan kawasan longkang yang dipenuhi bangkai ikan ini.

"Saya berharap akan ada pihak yang datang untuk membantu menyelesaikan masalah ini sebab kami sudah tidak tahan dengan bau busuk lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment