Thursday, January 13, 2011

Ahli perniagaan ditembak selepas letak kereta

2011/01/13
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan cedera ditembak di paha dan rusuk ketika baru beberapa langkah berjalan untuk ke pejabat selepas meletakkan kereta di Jalan Siput Akek Taman Bilion, Cheras di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata dalam kejadian 11.30 pagi itu, ahli perniagaan yang berusia 52 tahun itu dilapor ditembak seorang dari dua lelaki yang menunggunya di kawasan parkir itu. "Ahli perniagaan itu dihantar ke hospital berhampiran dan keadaannya dilapor stabil. "Kami turut menemui kelongsong peluru 9 mm dari pistol jenis automatik di kawasan kejadian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif kejadian dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup berhampiran kawasan itu bagi mengesan suspek yang
dipercayai berumur dalam lingkungan 30an itu.

Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang menunggu dalam sebuah kereta itu adalah pembunuh upahan namun siasatan masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata polis menemui petunjuk positif berhubung kes tiga lelaki bersenjatakan pistol melarikan sebuah van keselamatan bersama wang tunai RM300,000 di Taman Segar, Cheras di sini Isnin lalu.

Polis percaya suspek masih berada di sekitar Lembah Klang, katanya.

Dalam kejadian itu tiga lelaki yang berpakaian seragam pengawal keselamatan mengarahkan dua pengawal keselamatan bersama seorang pemandu keluar dari van berkenaan, serta mengugut untuk menembak mereka jika enggan mengikut arahan.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika pengawal keselamatan sedang mengambil (karung berisi) wang di hadapan syarikat itu sebelum didatangi tiga suspek terbabit.

Sementara itu, Zulkifli berkata 402 rakyat asing melibatkan 349 lelaki dan 53 wanita ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas di Pasar Borong Selayang, baru-baru ini.

Beliau berkata antara kesalahan mereka ialah tiada dokumen, salah guna permit, pasport palsu dan tamat tempoh, jenayah culik dan dadah.

"Operasi itu dijalankan berdasarkan maklumat yang kami terima dari masyarakat bahawa tahap keselamatan mereka di kawasan itu diragui berikutan kehadiran warga asing yang rata-ratanya terdiri dari Myanmar itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment