Sunday, January 16, 2011

Kes bunuh warga emas disiasat

SEREMBAN 16 Jan. 2011 - Polis masih meneruskan siasatan berhubung kes pembunuhan seorang warga emas yang mati dibunuh oleh sekumpulan penjenayah remaja di Felda Palong 2, Jempol malam Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, empat suspek termasuk seorang perempuan berusia 15 hingga 18 tahun masih direman bermula Jumaat lalu sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Polis kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini.

"Kita juga sedang melakukan soal siasat dan merakam keterangan suspek serta saksi kejadian bagi melengkap kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, sepasang suami isteri, Mohtar Yusoh, 71, dan Halimah Yasin, 57, tidak menyangka kepulangan mereka ke rumah di Felda Palong 2 selepas menghadiri majlis tahlil disambut tragedi.

Mohtar mati ditikam oleh salah seorang daripada empat remaja yang memecah masuk rumah mereka, manakala isterinya turut dicederakan dengan objek keras sehingga menerima 30 jahitan di bahu, dada dan lengan.

Turut terlibat dalam kes itu dipercayai cucu pasangan tersebut yang berusia 17 tahun dan kumpulan suspek terbabit sempat melarikan sebuah beg milik Halimah yang berisi barang kemas dan wang tunai bernilai lebih RM10,000.

Menurut Hamdan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment