Oleh RASMI ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 17 Jan. - Polis menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan dadah membabitkan warga Iran dengan penangkapan enam rakyat negara itu yang cuba menyeludup dadah jenis syabu dan ketamin bernilai RM8.5 juta masuk ke negara ini dalam tiga serbuan, baru-baru ini.
Dalam serbuan pertama, empat warga Iran yang cuba menyeludup dadah jenis syabu dan ketamin dan disorok dalam kain bengkung dicekup oleh polis di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang pada Khamis lalu.
Suspek terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita berusia antara 23 hingga 49 tahun ditahan kira-kira pukul 1.30 petang bersama 28.34 kilogram syabu dianggarkan bernilai lebih RM7 juta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, keempat-empat suspek dipercayai baru tiba dari Teheran, Iran. Dua daripada mereka pertama kali memasuki negara ini.
"Suspek mengikat bengkung di perut masing-masing berisi dadah disyaki jenis syabu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pada hari yang sama, seorang lagi lelaki warga Iran berusia 34 tahun ditahan bersama 3.5 kilogram dadah syabu bernilai RM850,000.
"Suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 3 petang. Polis menemui dadah yang disorok dalam sebuah beg pakaian dibawanya," katanya.
Dalam satu lagi rampasan, Nordin memberitahu, polis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah jenis ketamin setelah menahan seorang lelaki warga Iran di KLIA pada Sabtu lalu.
Katanya, suspek menyorok 25 kilogram dadah yang dianggarkan bernilai RM750,000 di dalam lipatan kain ela.
Setiap satu lipatan kain ela itu mengandungi satu kilogram dadah yang bungkusannya dijahit pada kain berkenaan, katanya.
Nordin berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga 20 Januari ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek yang membawa dadah ketamin ditahan reman sehingga 22 Januari depan.
Monday, January 17, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment