Thursday, January 20, 2011

Anak guna pisau ugut ibu dipenjara

2011/01/21


FAIZAL dipenjara gagal bayar denda RM6,000.KUALA TERENGGANU: Seorang anak yang mengugut ibunya dengan pisau selepas diminta memperlahankan televisyen menerima balasannya apabila Mahkamah Majistret di sini, semalam menghantarnya ke penjara.

Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap Faizal Mokhtar, 27, selepas dia mengaku salah mengugut ibunya dengan pisau pada jam 3 pagi, 15 Januari lalu. Bagaimanapun, Faizal dari Kampung Bukit Tok Beng di sini, tidak mampu membayar denda itu dan Nor Azizah mengarahkannya menjalani hukuman penjara selama lapan bulan. Sebelum memberi penghakimannya, Nor Azizah berkata, adalah sangat tidak wajar dan biadab bagi seorang anak mengugut ibunya apatah lagi diancam dengan pisau.

Mengikut fakta kes, tertuduh sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah mereka, tiba-tiba bertindak ganas dan mengugut ibunya dengan pisau selepas ditegur memperlahankan suara televisyen.

Ibunya, Syarifah Alawiyah Engku Ambak, 63, lari bersembunyi di bilik selepas diugut tertuduh dengan pisau dapur dan kemudian membuat laporan polis.

Faizal ditahan di rumahnya pada 17 Januari lalu dan ujian air kencing mendapati dia positif methamphetamine atau pil kuda.
Pendakwaan dilakukan Asisten Superintendan Ngaim Ooi Ming mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, manakala Faizal tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment