KEPALA BATAS 20 Jan. 2011 - Sudah hampir sebulan, hidup Mohd. Rashidi Mohd. Rashid diselubungi kebimbangan mengenai keselamatan anak perempuannya yang hilang selepas dipercayai dilarikan teman lelakinya sejak 25 Disember lalu.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha dilakukan keluarga Mohd. Rashidi untuk mencari Norhafiza, 21, termasuk mengesan teman lelakinya yang hanya dikenali sebagai Faizal tetapi tidak berhasil.
Lebih membimbangkan, Norhafizah dikatakan ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) minggu lalu merayu supaya dia diselamatkan ekoran sikap panas baran teman lelaki yang baru dikenalinya tiga bulan lalu.
Mohd. Rashidi, 45, yang tinggal di Kampung Paya Keladi di sini memberitahu, SMS tersebut adalah yang terakhir diterima daripada Norhafiza.
Berikutan kehilangan anaknya itu, keluarganya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara pada 27 Disember lalu.
Menurut Mohd. Rashidi, Norhafiza yang juga anak kedua daripada lapan beradik, pernah berkahwin pada Disember 2009 tetapi bercerai hujung tahun lalu sebelum berkenalan dengan Faizal ketika bekerja di sebuah kilang di Sungai Petani, Kedah.
"Faizal sebenarnya pernah datang ke rumah dan kami sekeluarga sebenarnya tiada mempunyai apa-apa halangan dalam hubungan mereka tetapi saya menasihatkan supaya mereka berkahwin secepat mungkin.
"Kami tidak pernah minta dia sedia duit (hantaran) tinggi-tinggi, yang penting mereka ada ikatan. Kalau dia ikhlas, kahwinlah dengan cara elok, tidak perlu melarikan diri begini," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Mohd. Rashidi berkata, ibunya, Bariah Ahmad, 63, ada beberapa kali menghubungi Norhafiza dan cuba memujuk cucunya itu untuk pulang ke rumah tetapi tidak berhasil kerana dipercayai dihalang oleh Faizal.
Malah katanya, Faizal sendiri ada menghantar SMS kepada seorang lagi anaknya, Norfatini, 16, supaya tidak masuk campur dalam hal tersebut sambil menegaskan bahawa Norhafiza tidak akan pulang ke pangkuan keluarganya.
"Saya ada menghubungi sendiri Faizal tetapi dia kata anak saya tiada bersamanya. Saya tahu ia satu pembohongan kerana baru-baru ini Norhafiza ada menghantar SMS menggunakan nombor telefon bimbit Faizal," jelasnya.
Mohd. Rashidi juga memberitahu, dengan bantuan polis, dia berjaya mengesan alamat sebuah rumah di Kampung Bukit Merah, Perak, tempat Faizal dipercayai membawa Norhafiza.
Bagaimanapun, katanya, usaha keluarga ke rumah itu akhirnya sia-sia apabila diberitahu bahawa Faizal sudah keluar dari rumah tersebut dan berpindah ke tempat lain.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengetahui mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai-balai polis berhampiran atau memaklumkannya kepada keluarga Mohd. Rashidi di talian 013-4603636 atau 017-4935106.
Thursday, January 20, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment