Wednesday, January 5, 2011

Pengawal bank didakwa curi RM203,400

SEREMBAN 5 Jan. 2010 - Seorang pengawal keselamatan sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melarikan wang RM203,400 daripada peti besi premis tersebut bulan lalu.

Tertuduh, Suliman Saliban, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Suliman didakwa mencuri wang tersebut daripada peti besi milik majikannya di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Ampangan, Seremban, antara pukul 12 tengah malam dan 6.30 pagi, 22 Disember lalu.

Tertuduh yang berasal dari Sikamat di sini, di dakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan akhbar, kira-kira pukul 1 petang pada tarikh itu, polis dan bomba menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap bank berkenaan yang ketika itu musnah akibat kebakaran.

Namun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua wang berkenaan yang terdapat dalam peti besi premis itu lesap tanpa sebarang kesan umpil.

Berikutan itu, beberapa siri tangkapan dilakukan terhadap kakitangan dan pekerja kontrak yang melakukan kerja mengubah suai bank berkenaan sebelum menahan Suliman bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan, seorang suspek yang juga merupakan seorang polis bantuan dikatakan mengambil wang berkenaan secara bersendirian selepas melihat pintu peti besi tempat simpanan wang tidak berkunci.

Suspek juga dikatakan telah membelanjakan sejumlah wang berkenaan untuk memperbaiki motosikal dan basikal, membayar hutang dan bermain mesin judi mesin slot di sekitar bandar ini.

Dalam pada itu, polis juga berjaya menemui baki wang berjumlah RM196,400 setelah tangkapan dibuat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Marsilawati Mohd. Shah menetapkan 8 Februari ini bagi tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah membenarkan Suliman diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin.

No comments:

Post a Comment