Monday, January 24, 2011

Pengantin edar dadah RM30,000

Oleh Nahar Tajri

2011/01/25
Pasangan dikesan ada rekod jenayah lampau

ALOR SETAR: Polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan yang baru seminggu berkahwin kerana kesalahan mengedar dadah jenis heroin seberat kira-kira 934 gram bernilai lebih RM30,000 di Kepala Bukit, Gurun, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika menaiki motosikal jenis Modenas Kris dalam satu operasi di laluan Plaza Tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Gurun, kira-kira jam 3 petang. Selepas membuat pemeriksaan, polis menemui dua bungkusan dadah jenis heroin yang dibungkus dengan plastik biskut seberat 910 gram disimpan dalam raga motosikal berkenaan. Timbalan Ketua Polis Negeri Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab, berkata penahanan lelaki itu membawa polis ke sebuah rumah yang didiami suspek bersama isterinya berusia 26 tahun dan menemui sembilan ketulan mampat heroin sebesar gula-gula seberat 24.2 gram.

Berikutan itu, katanya, polis menahan wanita berkenaan atas kesalahan memiliki dadah pada kira-kira jam 4 petang hari yang sama.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan dikenakan tindakan 'orang kena pengawasan'.

“Kita dapati lelaki berkenaan pernah ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 2002, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 39A(2) ADB 1952 pada 2010.
“Selain itu, wanita berkenaan turut mempunyai satu rekod jenayah, juga berkaitan dadah dan pernah ditahan mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB1952 pada 2007," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Kedah di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superintendan Baharom Othman.

Abdul Ghafar berkata, polis percaya dadah dirampas dibawa masuk secara haram ke negara ini dari negara jiran dan berkemungkinan diseludup secara menelannya berdasarkan penemuan dadah mampat yang dibungkus sebesar gula-gula.

“Kita percaya ia dibawa masuk ke negara ini dengan cara menelannya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Kedua-dua suspek di reman bermula kelmarin hingga 29 Januari untuk membantu siasatan," katanya.

No comments:

Post a Comment