BESUT 23 Jan. 2011 - Polis menahan empat lelaki dan merampas tiga laras senapang angin buatan sendiri setelah memeriksa sebuah kereta dalam Ops Poket, di Kampung Padang Bual, Pasir Akar, dekat sini semalam.
Kenderaan dari arah Pasir Akar menuju ke Keruak, Hulu Besut itu ditahan kira-kira pukul 4 petang setelah didapati dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis daerah, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, kesemua senjata itu ditemui disimpan di dalam tempat letak barang di bahagian belakang kereta Proton Saga tersebut.
"Turut ditemui dua plastik mengandungi 141 biji bebola besi yang diletakkan dalam sebuah besen plastik manakala 134 biji lagi ditemui di bawah tempat duduk pemandu.
"Suspek yang berusia 18 hingga 37 tahun itu kini ditahan reman untuk siasat lanjut," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, kesemua suspek merupakan penduduk tempatan dan salah seorang daripada mereka mengaku menggunakan senjata tersebut untuk menjaga kebun milik arwah neneknya di Pasir Akar.
"Dua daripada mereka mengaku senapang itu milik mereka manakala dua lagi mendakwa tidak mengetahui apa-apa mengenai senjata tersebut," katanya.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sunday, January 23, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment