Monday, January 3, 2011

Ditahan sembunyi dadah dalam kerusi

BATU PAHAT 3 Jan. 2010 - Hari terakhir sebelum menyambut tahun baru menjadi titik hitam bagi sepasang kekasih yang ditahan dan berdepan kemungkinan dihukum gantung kerana disyaki mengedar pelbagai jenis dadah bernilai RM140,750.

Polis yang menahan pasangan itu di sebuah stesen minyak di Jalan Labis-Segamat di sini kira-kira 2.30 petang, kemudiannya melakukan pemeriksaan di rumah yang disewa pasangan itu di Taman Bukit Perdana di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, hasil pemeriksaan menemui dadah tersebut disembunyikan dalam kerusi kayu di bilik rumah itu.

"Suspek lelaki yang ditahan berusia 40 tahun dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala pasangannya berusia 26 tahun.

"Kita telah merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu seberat 435.28 gram (gm) yang dianggarkan bernilai RM120,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.

Ibrahim berkata, turut dirampas 752.32gm heroin dianggarkan bernilai RM18,000, 434.19gm ganja (RM1,250) dan 100 biji pil eramin 5 (RM1,500).

Beliau berkata, suspek lelaki itu berasal dari daerah ini manakala pasangannya dari Segamat.

Menurutnya, pasangan berkenaan yang merupakan penganggur itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum gantung sampai mati.

No comments:

Post a Comment