MOHD. Yatim Osman (kiri) bersama Penyelia Teknik Telekom RNO Rawang, Rosli Waruah Matollah (dua dari kiri) menunjukkan kabel-kabel yang berjaya dirampas di Balai Polis Bukit Sentosa, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
HULU SELANGOR 9 Jan. - Kegiatan sekumpulan 14 lelaki mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) Berhad sejak dua tahun lalu terbongkar apabila kesemua mereka ditahan polis kelmarin.
Kesemua suspek ditahan di Sungai Buaya di sini ketika sedang bersiap-sedia untuk membakar kabel yang baru dicuri di Gadek, Melaka, awal pagi semalam.
Jurucakap polis berkata, kesemua suspek berusia 15 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Hulu Selangor, Asisten Supritendan Mohd. Yatim Osman pada pukul 11.30 pagi.
Menurutnya, ketika serbuan semua suspek sedang memunggah sejumlah kabel yang telah dipotong daripada sebuah lori seberat tiga tan untuk dibakar.
"Hasil pemeriksaan, polis telah menemui 148 batang kabel di atas lori berkenaan. Panjang semua kabel tersebut adalah 990 meter.
"Siasatan lanjut mendapati suspek-suspek mencuri kabel tersebut yang ditanam sejauh hampir satu kilometer di Gadek, Melaka," katanya di sini hari ini.
Jurucakap itu menambah, pegawai Telekom Malaysia (TM) yang diminta memberi bantuan mengesahkan kabel tersebut milik syarikat berkenaan.
Jelasnya, menurut pegawai TM, kesemua kabel yang dicuri bernilai RM120,000.
"Polis percaya sindiket tersebut telah menjalankan kegiatan itu sejak dua tahun lalu berdasarkan kesan pembakaran kabel bagi mendapatkan tembaga di lokasi serbuan.
"Mereka juga dianggap licik kerana menggunakan lori yang mempunyai kren untuk menarik keluar kabel dari tanah sebelum mengangkat kabel ke atas lori," ujarnya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan jumlah keseluruhan kabel yang pernah dicuri sindiket tersebut sebelum ini.
Sunday, January 9, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment