Monday, January 17, 2011

Geng samun barang tembaga RM1.2 juta tumpas

MELAKA 17 Jan. 2011 - Tidak sampai setengah jam melakukan jenayah, polis berjaya menumpaskan satu sindiket samun yang melarikan dua buah kontena mengandungi barang tembaga bernilai RM1.2 juta di Terminal Kenderaan Berat, Durian Tunggal di Alor Gajah di sini awal bulan ini.

Kejadian berlaku pada 3 Januari lalu apabila sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang melarikan kedua-dua kontena itu dari terminal tersebut.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, bertindak daripada laporan kes samun itu yang diterima pada pukul 4.15 pagi, polis melancarkan gerakan mengesan kumpulan terbabit.

Tidak sampai setengah jam selepas kejadian itu, polis menahan kedua-dua lori kontena tersebut yang dipandu dua lelaki berusia 38 dan 42 tahun di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara.

"Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, polis berjaya menahan lima lelaki berusia antara 28 hingga 40 tahun di Johor pada Rabu lalu. Salah seorang daripada mereka dikesan memiliki rekod jenayah lampau.

"Sindiket ini dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun lori bermuatan tembaga di Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Dengan tertangkapnya kumpulan ini, kata Ghee Lye, polis percaya dapat menyelesaikan banyak kes samun lori di negeri-negeri berkenan.

Menurut beliau, kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, katanya, Polis Melaka berjaya menumpaskan sebuah lagi kumpulan samun yang melarikan tiga buah lori pembancuh simen di Sungai Udang, Alor Gajah pada 3 Januari lalu.

Ghee Lye berkata, kecurian itu dilakukan oleh 10 lelaki yang bersenjatakan parang.

Kata beliau, polis menemui semula dua buah lori itu dan menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di Slim River, Perak.

"Ketika ini, kita sedang mengesan sembilan lagi suspek," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta bantuan orang ramai untuk mengesan suspek dengan menghubungi polis termasuk Rakan Cop di talian 03-21159999 atau IPK Melaka di talian 06-2854222

No comments:

Post a Comment