Monday, January 3, 2011

Penyamun tebuk dinding tandas

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2011/01/04


YOKE CHOW menunjukkan lubang pada dinding pejabat yang ditebuk penyamun di Kuantan, semalam.Bungkusan duit syiling milik pasar raya lesap

KUANTAN: Sekumpulan penyamun menebuk dinding konkrit tandas sebuah pasar raya dekat Air Putih, di sini, sebelum menyusup masuk dan melarikan bungkusan mengandungi duit syiling di pejabat pasar raya berkenaan, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 2 pagi itu, penyamun dipercayai menebuk lubang dinding restoran bersebelahan yang bercantum dengan tandas pasar raya berkenaan. Pengurus cawangan pasar raya berkenaan, Gan Yoke Chow, berkata walaupun premis terbabit dilengkapi sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV), penyamun itu licik meloloskan diri.

“Saya hanya menyedari premis dipecah masuk jam 8.30 pagi ketika ingin memulakan perniagaan.

“Saya sangat terkejut apabila mendapati dinding berhampiran pintu pejabat berlubang sebelum memaklumkan kejadian itu kepada majikan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Yoke Chow berkata, beliau bersama majikannya kemudian membuat pemeriksaan lanjut sebelum menemui lubang dalam tandas serta mendapati beberapa bungkusan berisi syiling yang disimpan di dalam pejabat berkenaan hilang.
“Rakaman CCTV bagaimanapun gagal merakam pencuri itu kerana keadaan gelap kecuali hanya kelihatan cahaya lampu suluh digunakan mereka.

“Malah, mereka mungkin tidak masuk ke bilik bungkusan syiling terbabit disimpan sebaliknya mengaitnya menggunakan kayu bagi mengelak penggera berbunyi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

No comments:

Post a Comment