2011/01/10
PELABUHAN KLANG: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pelabuhan Klang merampas 2,700 kartun rokok kretek bernilai RM1.2 juta termasuk cukai dan menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam satu operasi di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Pulau Banting, Teluk Bunut, Banting dekat sini.
Pegawai Pemerintah PGM Wilayah 1 Pelabuhan Klang, DSP Norzaid Muhammad Said, berkata kejayaan itu dicapai hasil operasi khas yang dilakukan unit risikan PGM di kawasan ladang itu kira-kira 12.30 tengah malam tadi hasil maklumat orang ramai.
Beliau berkata, unit itu terserempak dengan sebuah PROTON Wira serta lori satu tan dalam keadaan mencurigakan semasa di kawasan ladang itu dan mereka terus menahan ketiga-tiga suspek yang berumur 25 dan 48 tahun untuk diperiksa.
"Mereka kemudiannya menemui muatan rokok kretek pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam lori berkenaan yang dipercayai untuk diseludup masuk dan dijual di pasaran tempatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Antara rokok yang dirampas ialah Gudang Garam Nusantara Hijau (1,500 kartun), Gudang Garam Surya (720 kartun) dan Gudang Garam Nusantara Merah (480 kartun).
Norzaid berkata, semua barang rampasan dibawa ke markas operasi PGM di Pulau Indah di sini untuk disita, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (A) Akta Kastam 1967.
Beliau berkata, ketika menjalankan operasi itu anggota PGM diekori beberapa individu yang dipercayai "tonto" yang cuba mengganggu dan mengertak kerana tidak berpuas hati dengan rampasan rokok kretek berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, anggota PGM tetap meneruskan operasi itu dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Kami akan teruskan operasi, tidak kira melalui darat atau perairan dalam usaha menangani membendung aktiviti penyeludupan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang tiba musim perayaan," katanya. - BERNAMA
Monday, January 10, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment