Oleh FAUZI MOHD.
pengarang@utusan.com.my
ROSLAN Abd. Wahid (kanan) memerhati anggota polis, Mohamad Hafizan Sofian menunjukkan dadah yang ditemui di dalam seluar seorang lelaki di IPK Kuala Terengganu, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA TERENGGANU 16 Jan. - Meskipun pernah merengkok dalam penjara selama 34 tahun enam bulan dan dikenakan 16 sebatan, seorang duda anak dua tidak serik mengulangi perbuatannya mengedar dadah.
Lelaki berusia 55 tahun itu ditahan di tempat letak kereta di hadapan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, dekat sini petang Khamis lalu dan kali ini dia mungkin berdepan hukuman gantung sampai mati.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui sembilan botol berisi dadah jenis heroin dalam poket seluar dan 10 botol lagi ditemui dalam kereta milik lelaki itu.
"Keseluruhan rampasan, polis menemui dadah 96.95 gram bernilai RM30,000 serta wang tunai berjumlah RM3,100," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Roslan memberitahu, suspek kini ditahan untuk siasatan dan akan didakwa mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Katanya, suspek yang berasal dari Kuala Besut, Besut itu baru sahaja dibebaskan dari Penjara Marang pada penghujung bulan Jun tahun lalu.
"Dia juga mula menagih dadah sejak tahun 1977 sehingga ditangkap pada tahun itu," katanya.
Beliau berkata, pada tahun 1982, suspek pernah dipenjara selama 20 tahun dan dikenakan enam sebatan mengikut Seksyen 39(B) akta yang sama.
"Pada tahun 1998 pula, suspek dipenjara selama 10 tahun dan 10 sebatan mengikut Seksyen 39 (A)(2) dan seterusnya dihukum penjara empat tahun lagi pada tahun 2007 mengikut Seksyen 39(A)(1) akta yang sama.
"Suspek juga pernah dipenjara selama enam bulan pada tahun 1997 atas kesalahan khalwat," katanya.
Berdasarkan soal siasat polis, kata beliau, suspek secara aktif mendapat bekalan dari negara jiran dengan menjadikan Daerah Besut dan Hulu Terengganu sebagai kawasan tumpuan bagi pengedaran dadah.
Sunday, January 16, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment