Thursday, March 31, 2011

Penculik dihukum digantung

Penculikdihukum digantung
KUALA LUMPUR 31 Mac - Seorang pelajar cemerlang bukan sahaja diculik, malah dibunuh dan dibakar sebelum abu mayatnya dibuang di satu kawasan terpencil di Johor, tiga tahun lalu.

Begitu nasib malang yang menimpa Lai Ying Xin dalam usia 15 tahun dan lebih memeritkan lagi apabila perbuatan tersebut bukan dilakukan oleh orang yang tidak dikenalinya, tetapi oleh tiga rakan sekolah mangsa sendiri.

Namun, ketiga-tiga lelaki itu menerima pembalasan hari ini apabila Mahkamah Tinggi di sini mendapati mereka bersalah atas tuduhan menculik dan membunuh Ying Xin.

Seorang daripada mereka, Teh Kim Hong, 25, dihukum gantung sampai mati. Bagaimanapun, dua tertuduh lain, masing-masing berusia 17 tahun dan 16 tahun pada waktu kejadian dihukum penjara selama tempoh yang diperkenankan oleh Sultan Johor.

Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut.

Kim Hong yang merupakan seorang pendandan rambut dan dua rakannya didakwa bersama-sama membunuh Ying Xin di Lot 2841, Jalan Alor Bukit Kulai, Kulai Jaya, Johor di antara pukul 9.45 malam, 11 September 2008 dan 12 tengah malam keesokan harinya.

Mereka turut didakwa menculik mangsa bagi mendapatkan wang tebusan RM60,000 di hadapan Hypermarket, Jalan Kulai-Air Hitam, Kulai Jaya, Johor pada pukul 9.45 malam, 11 September 2008.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh dan Seksyen 3 Akta Culik 1961 bagi kesalahan menculik, masing-masing memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Negeri Johor, Umar Saifuddin Jaafar dan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan.

Kim Hong diwakili peguam Norman Fernandez, manakala tertuduh kedua dan ketiga diwakili peguam Sukhaimi Mashud.

Sebanyak 39 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2009.

Penyamun ditembak mati cuba serang polis

Penyamun ditembak mati cuba serang polis
JOHOR BAHRU 31 Mac - Polis menembak mati seorang daripada 10 penyamun yang cuba menyerang anggota dengan parang ketika kumpulan itu merompak sebuah pusat snuker di Bandar Baru Permas Jaya, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, seorang lagi rakannya yang terkena tembakan di bahagian kaki sempat melarikan diri bersama tujuh lagi suspek.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kumpulan penyamun tersebut disifatkan berbahaya kerana turut menetak tiga mangsa termasuk seorang daripadanya pekerja premis.

Menurutnya, salah seorang mangsa sempat melarikan diri dan ke balai polis berdekatan untuk meminta bantuan.

"Dua anggota polis bergegas ke pusat snuker itu dan setibanya di situ, kumpulan berkenaan cuba melarikan diri.

"Apabila diarah supaya menyerah, mereka enggan berbuat demikian, malah bertindak menyerang anggota polis.

"Bagi mempertahankan diri, polis melepaskan tiga das tembakan dan mengenai dua suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Katanya, semua mangsa yang ditetak kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kerugian membabitkan wang tunai berjumlah RM1,200, seutas rantai milik mangsa dan dua telefon bimbit.

Beliau meminta pihak klinik dan hospital sama ada kerajaan atau swasta melaporkan kepada polis jika menerima pesakit yang terkena tembakan atau cedera parah.

"Orang ramai juga perlu beri kerjasama kerana kumpulan penjenayah itu ganas dan amat bahaya. Mereka tidak teragak-agak menyamun dan menetak mangsa," katanya.

Wednesday, March 30, 2011

Seludup manusia ke Malaysia

Seludup manusia ke Malaysia
NEW DELHI 30 Mac — Seorang ahli politik India yang bersekongkol dengan seorang warga Pakistan yang berpangkalan di Malaysia, berselindung di sebalik sebuah agensi kebajikan sosial mungkin mendalangi siri penyeludupan manusia ke Malaysia, kata polis India.

Polis di daerah Kishanganj di Bihar percaya mereka dapat melumpuhkan kegiatan itu selepas empat pekerja India yang didakwa ditahan sebagai buruh, pulang ke kampung asal mereka Rabu lepas dan membuat pengakuan kepada polis mengenai pengalaman getir mereka.

"Kami menemui empat lelaki yang kembali ke Kishanganj dan kami berpendapat ada empat lagi di Malaysia.

"Berdasarkan cerita, mereka dipegang sebagai buruh kontrak dan bekerja di sebuah kilang pemasangan motosikal di sekitar Kuala Lumpur dan hanya dibayar RM50 hingga RM60 untuk makanan.

"Semasa soal siasat, kami menemui dokumen dan menunjukkan ini satu kes penyeludupan manusia. Kami telah memfailkan satu kes terhadap seorang ahli politik tempatan dan menyiasat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dijalankan oleh ahli politik itu," kata Penguasa Polis Kishanganj, Ranjit Kumar Mishra.

Siasatan awal polis menunjukkan kegiatan yang terancang itu beroperasi dari Bihar, Siliguri di Barat Bengal dan Chennai yang kerap digunakan penyeludup manusia dan dadah sebagai pintu masuk ke Malaysia.

Pendedahan mengejutkan ini hanya beberapa minggu selepas diplomat kanan Malaysia di Chennai memberi amaran bahawa agensi pengambilan tenaga kerja yang licik tersebar di seluruh India terbabit dalam memalsukan visa Malaysia untuk menghantar pekerja ke Malaysia.

Sekurang-kurangnya 95 kes pemalsuan visa Malaysia terbongkar sejak tiga bulan lepas, manakala berdozen lagi menyelinap ke Malaysia tanpa pengetahuan pihak berkuasa, kata Konsul Jeneral Malaysia yang berpangkalan di Chennai, Anuar Kasman awal bulan ini.

Episod Kishanganj mungkin hanya satu kebocoran kecil dalam kegiatan penyeludupan manusia yang menguntungkan atau malah operasi jenayah, memandangkan polis masih mengumpul keterangan yang mungkin mengaitkannya kepada jenayah yang lebih kejam.

"Kami sedang menyiasat jika ini ada kaitan dengan jenayah lain di negeri lain atau penyeludupan manusia digunakan sebagai satu alibi (untuk kegiatan lain)," kata Ranjit Kumar.

Ramai golongan lelaki dan wanita muda ingin mencari rezeki di seberang laut terus menjadi mangsa kepada penyeludup manusia yang licik, yang kerap menyamar sebagai agensi pencari tenaga kerja tulen yang terletak di kawasan pedalaman India.

Pada akhir 2008, lima wanita dari negeri termiskin di timur laut India mendakwa diambil bekerja oleh sebuah agensi berpangkalan di Singapura untuk bekerja di republik itu tetapi kemudiannya diminta untuk bekerja di kelab-kelab malam di Kuala Lumpur.

Kesemua mangsa dapat melepaskan diri daripada cengkaman penakluk mereka dan pulang ke kampung masing-masing.

Penyeludupan manusia antarabangsa itu kerap menggunakan Malaysia sebagai pusat transit strategik untuk menghantar mangsa mereka. — BERNAMA

Nenek dijatuhi hukuman gantung

Nenek dijatuhi hukuman gantung

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my



MARIAH Hamad menutup muka ketika keluar dari Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA TERENGGANU 30 Mac - Seorang nenek yang mempunyai tujuh cucu dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar heroin seberat 92.68 gram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mariah Hamad, 49, dari Rantau Panjang, Kelantan selepas beliau berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah atas tuduhan dihadapinya.

Mariah disabitkan dengan tuduhan mengedar dadah tersebut kira-kira pukul 3.45 petang, 3 Ogos 2009 di pekarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot dekat sini.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dengan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Hakim Mohd. Yazid dalam penghakimannya menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa tidak mengetahui kandungan bungkusan yang diambilnya daripada seorang wanita di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang pada hari kejadian.

Menurutnya, keterangan tertuduh bahawa dia hanya mahu membantu wanita itu menyerahkan bungkusan kepada seorang lelaki kerana dia bersama suami hendak pergi ke rumah waris suaminya pada hari tersebut juga boleh disangkal.

‘‘Ketika disoal pendakwa raya, tertuduh tidak kenal waris suami yang hendak ditemui di Kuala Berang itu dan tidak tahu kenapa mahu jumpa waris itu.

‘‘Mahkamah juga mendapati tidak munasabah guna jalan pantai untuk ke Kuala Berang tetapi jika hendak ke Masjid Padang Nenas memang perlu guna jalan pantai. Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh tidak bercakap benar,’’ katanya.

Mariah yang memakai baju kurung dan bertudung kelihatan tenang ketika hakim membacakan hukuman namun dia beberapa kali memandang ke galeri awam seperti mencari-cari ahli keluarganya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang @ Mamat manakala tertuduh diwakili peguam, Tara Singh Delip.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa seorang wanita bersama seorang anak dan ditemani suaminya cuba melakukan transaksi dadah bernilai kira-kira RM150,000.

Lima penjenayah guna treler curi rompak wayar emas

Lima penjenayah guna treler curi rompak wayar emas
SEREMBAN 30 Mac - Lima penjenayah bertindak nekad melarikan sejumlah wayar emas dari sebuah lori syarikat keselamatan, selepas kenderaan itu dirempuh menggunakan sebuah treler curi.

Kejadian berlaku di Lorong Senawang 2/3, Kawasan Perindustrian Senawang dekat sini kira-kira pukul 11.45 pagi ini.

Ketika kejadian, lori syarikat keselamatan itu yang dinaiki tiga pengawal keselamatan dalam perjalanan ke sebuah kilang syarikat semikonduktor di kawasan perindustrian itu.

Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, salah seorang daripada penjenayah yang memandu sebuah treler bertindak merempuh bahagian depan lori keselamatan berkenaan menyebabkan ia terhenti di lorong tersebut.

"Empat lagi rakannya yang bersenjatakan parang dan menaiki sebuah kereta muncul di belakang lori keselamatan itu sejurus selepas kejadian dan mengarahkan kesemua pengawal keselamatan tersebut menyerah diri.

"Mereka kemudian memecahkan pintu belakang lori keselamatan itu dan memindahkan wayar emas ke dalam kereta sebelum melarikan diri," katanya.

Menurut Mohd. Yusoff, pengawal keselamatan yang memandu lori berkenaan cedera ringan akibat impak pelanggaran, manakala dua rakannya tidak mengalami kecederaan.

Monday, March 28, 2011

Tiga dalang kes rompak ditahan

Tiga dalang kes rompak ditahan


2011/03/29


TUN HISAN menunjukkan senjata yang dirampas daripada kumpulan penyamun pada sidang media di IPD Serdang, semalam.SERI KEMBANGAN: Tiga lelaki yang disyaki mendalangi puluhan kes rompak di seluruh negara membabitkan kerugian nilai jutaan ringgit berjaya ditumpaskan polis selepas menyerbu sebuah Pangsapuri di Bandar Puchong di sini, Selasa lalu.

Kumpulan itu yang dipercayai terbabit sekurang-kurangnya 53 rompakan di Lembah Klang saja dengan menyamar sebagai anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya dikepung selepas hampir setahun dijejaki polis. Hasil penahanan mereka, polis turut merampas tiga kereta mewah jenama Mercedes-Benz, BMW, Lexus dipercayai hasil kegiatan curi, selain 17 nombor pendaftaran kenderaan, telefon bimbit, komputer riba dan sebilah parang. Turut dirampas di pangsapuri itu ialah parang dan tukul besi yang dipercayai digunakan untuk mengugut mangsa.

Modus operandi kumpulan itu ialah menempatkan seorang anggotanya di dalam bank untuk memerhati individu yang mengeluarkan jumlah wang yang banyak sebelum mengekorinya.

Sindiket yang dikatakan menggunakan kereta mewah dalam kegiatan mereka kemudian akan mengekori mangsa dan menunggu lokasi sesuai sebelum menahan mangsa sebelum melarikan wang tunai dibawa mangsa.

Dalam sebahagian kes, mereka turut menyamar sebagai anggota polis, JPJ dan SPRM untuk menahan mangsa sebelum merompak mereka.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata polis sudah lama menjejaki kumpulan itu yang dianggotai lelaki berusia 22 hingga 47 tahun sehingga memerangkap mereka di pangsapuri berkenaan jam 4.20 petang, Selasa lalu.

“Siasatan mendapati seorang daripada mereka mempunyai 25 rekod jenayah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Akhirnya buruan polis Man Dayak dicekup

Akhirnya buruan polis Man Dayak dicekup


MOHD. Nor Rasid menunjukkan hasil rampasan dadah di Mersing, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



MERSING 28 Mac - Setelah menjadi buruan polis sejak sekian lama, akhirnya Man Dayak, seorang lelaki yang amat dikehendaki kerana dipercayai terlibat dalam kes pengedaran dadah di daerah itu berjaya dicekup, semalam.

Serbuan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing itu diketuai Cif Inspektor Kennneth Oliver Samual.

Penjenayah yang berusia 40 tahun itu terperangkap dalam serbuan ke atas sebuah setor di sebuah rumah di Endau, dekat sini pukul 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Nor Rasid berkata, Man Dayak yang mempunyai 14 rekod jenayah berjaya ditangkap hasil intipan dan risikan pihak polis selama tiga bulan.

"Polis membuat serbuan ke rumah berkenaan dan hasilnya kita berjaya merampas 583 gram dadah jenis heroin dan 3.75 gram syabu bernilai RM12,000.

"Selain itu, wang hasil pengedaran sebanyak RM5,850 turut dirampas," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mohd. Nor memberitahu, suspek yang berasal dari daerah ini dan bekerja sebagai petani pernah menjalani hukuman di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas dan buang daerah sebanyak tiga kali berkaitan kes dadah sejak 1989.

Katanya, polis percaya dengan tertangkapnya suspek dapat melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah terbesar di Mersing.

Tambahnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari serta akan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

Pelbagai jenis dadah bernilai RM53,500 dirampas

Pelbagai jenis dadah bernilai RM53,500 dirampas
ALOR SETAR 28 Mac - Polis memberkas empat lelaki termasuk seorang remaja bawah umur dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM53,500 dalam tiga operasi berasingan pada 25 Mac lalu dan kelmarin.

Menurut Ketua Polis Negeri, Datuk Ahmad Ibrahim, operasi pertama pada 25 Mac pukul 10.35 malam berjaya memberkas seorang lelaki warga Afrika di stesen bas Shahab Perdana di sini.

"Hasil pemeriksaan fizikal ke atas suspek menemui 15 ketulan mampat disyaki ganja seberat 14.75 kilogram (kg) bernilai RM37,500 di dalam sebuah beg dibawanya.

"Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan reman sehingga 1 April ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri di sini hari ini.

Ahmad menambah, remaja bawah umur berusia 17 tahun itu ditahan dalam operasi kedua pada pukul 3.30 pagi bersama seorang lelaki berusia 28 tahun di Changloon, semalam.

"Pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan yang mereka naiki menemui pelbagai jenis dadah termasuk 17.25 gram heroin, 8.7 gram ganja, 3.47 gram syabu dan 40 biji pil yang bertulis WY dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM7,000.

"Remaja tersebut dipercayai sudah tidak bersekolah sementara rakannya mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk kesalahan dadah," jelas beliau.

Katanya, kes tersebut juga disiasat di bawah seksyen dan yang sama dan boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam operasi ketiga katanya, seorang penganggur ditahan di sebuah rumah di Taman Seruling Sungai Petani kerana memiliki 24.5 gram dadah jenis syabu, semalam.

"Pemeriksaan lanjut di rumah tersebut turut menemui sepucuk pistol semi automatik dan sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Ayer Itam, Pulau Pinang.

"Ujian air kencing ke atas lelaki berusia 33 tahun itu juga positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Menurut Ahmad, suspek ditahan di bawah Seksyen 39A (1), Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama dan Seksyen 8 Akta Senjata Api.

Pasangan Leftenan Komander TLDM disamun

Pasangan Leftenan Komander TLDM disamun
SITIAWAN 28 Mac - Pengalaman disamun empat lelaki bersenjatakan parang mungkin sesuatu yang sukar dilupakan buat pasangan Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Laut (TLDM) ini kerana turut diacukan parang di leher.

Namun dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Banjar, Gelong Gajah, dekat sini awal pagi ini, juga disifatkan sesuatu jarang berlaku apabila suspek menunjukkan sifat-sifat belas kasihan.

Suspek-suspek bukan sahaja bercakap dalam nada yang rendah tetapi membuka ikatan bagi membenarkan isteri mangsa menyusukan bayi selain mendukung anak keduanya dan memberi kain telekung kepada pembantu rumah untuk menutup tubuhnya yang terdedah.

Dalam kejadian pukul 3.10 pagi itu, Leftenan Komander, Razali Mohd. Arsad, 34, dan Leftenan Komander, Mahazean Mat Lawi, 32, yang sedang tidur diserbu empat lelaki disyaki rakyat tempatan bersenjatakan parang dengan berpakaian ala ninja.

Menurut Razali, suspek-suspek menyuruhnya berkumpul dalam sebuah bilik sebelum diikat manakala dua adik perempuan isterinya diselimutkan dengan sehelai kain cadar.

"Mujurlah ketika bayi, Nor Batrisya Najwa berusia tiga bulan, merengek, suspek membuka tali dan membenarkannya menyusukan anak kami.

"Mereka tidak menengking cuma meminta kami supaya diam dan memberikan kerjasama. Selain itu mereka juga mengugut membakar rumah jika kami membuat laporan polis," katanya ketika ditemui di kediaman mertuanya di sini hari ini.

Razali memberitahu, kumpulan suspek itu didapati memecah masuk dengan mengumpil tingkap sebuah bilik sebelum menggunakan tong gas bagi memecah masuk ke biliknya.

Beliau kerugian hampir RM15,000 apabila komputer riba, telefon bimbit, barangan kemas dan wang tunai dilarikan.

"Keempat-empat lelaki itu diyakini merupakan orang tempatan berdasarkan gaya bahasa walaupun ada antara mereka cuba mengelirukan dengan menggunakan dialek Indonesia," ujar beliau.

Wednesday, March 23, 2011

9 lelaki Iran, 1 gadis Thai ditahan

9 lelaki Iran, 1 gadis Thai ditahan

Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my



Kang Chez Chiang (dua dari kanan) menunjukkan syabu yang dirampas dalam beberapa serbuan di sekitar ibu negara di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 23 Mac - Polis menahan sembilan lelaki warga Iran dan seorang gadis Thailand bersama sejumlah 11.5 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM2.2 juta dalam beberapa serbuan di sekitar ibu negara, Ahad lalu.

Kesemua mereka berusia 18 hingga 39 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Kuala Lumpur, kira-kira pukul 10 malam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, kesemua suspek ditangkap di tiga lokasi iaitu Jalan Putra Mas, Jalan Tun Razak dan Jalan Bukit Bintang.

"Kumpulan ini dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dan kerap menjadikan kediaman mewah atau kondominium sebagai pusat kegiatan dadah mereka," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga merampas tiga buah kereta Perodua Myvi, Proton Gen2 dan Hyundai berserta wang tunai sebanyak RM25,000.

Chez Chiang memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua suspek memasuki negara ini sebagai pelancong, pelajar dan salah seorang bekerja sebagai penjual kasut.

"Saringan ujian air kencing turut dilakukan ke atas semua suspek dan menunjukkan mereka negatif dadah," katanya.

Tambahnya, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan reman mulai kelmarin hingga 27 Mac ini.

Kata beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah itu dan punca bekalan diperoleh.

Beliau memberitahu, setakat ini seramai 17 warga Iran telah berjaya ditahan di sekitar ibu negara membabitkan rampasan kesemuanya seberat 83.8 kilogram yang bernilai RM15.9 juta

Tuesday, March 22, 2011

Bekas pramugara, warga Nepal dituduh menculik

Bekas pramugara, warga Nepal dituduh menculik
Oleh Rafidah Mat Ruzki

2011/03/23


RUDHRA, Roshan dan Ramesh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Klang, semalam.Tuntut 10 jongkong emas RM 1.44 juta sebagai tebusan

KLANG: Seorang bekas pramugara dan dua warga Nepal dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam, atas tuduhan menculik seorang pengarah syarikat keselamatan dan menuntut tebusan sebanyak 10 jongkong emas bernilai RM1.44 juta, awal bulan ini.

Tertuduh C Rudhra, 37, yang juga pemilik firma keselamatan dan dua buruh warga Nepal, R Roshan dan T J Ramesh, kedua-dua berusia 29 tahun, dituduh menculik A Kanapathy, 64, di kawasan berhampiran Restoran Pulau Ketam, Persiaran Raja Muda Musa di sini, pada jam 9.30 pagi, 7 Mac lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Rudhra yang diwakili peguam K S Rathakrishna, manakala Roshan dan Ramesh Rai tidak diwakili peguam.

Majistret Liew Horng Bin kemudian menetapkan 25 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Iskandariah Md Tahir manakala hanya Rudhra diwakili oleh peguam K S Rathakrishnan.

Monday, March 21, 2011

Tauke bengkel jeriji maut kepala ditetak

Tauke bengkel jeriji maut kepala ditetak


2011/03/22
KLANG: Seorang pemilik bengkel membuat jeriji besi ditemui mati dibunuh dengan kepalanya hancur dan berlumuran darah dipercayai ditetak dengan senjata tajam di bengkelnya di Taman Sentosa, di sini, tengah malam kelmarin.

Mayat lelaki berumur 30 tahun itu ditemui pengawal keselamatan kira-kira jam 12.30 tengah malam selepas terlihat mangsa terbaring dengan kecederaan parah di kepala. Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini pagi semalam untuk bedah siasat. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata siasatan awal polis mendapati mangsa baru tiga bulan menjalankan perniagaan di situ dan masih memakai sarung tangan dipercayai diserang ketika bekerja.

Berdasarkan siasatan awal juga, katanya, mangsa yang menetap di Taman Sentosa, di sini dipercayai diserang dengan senjata tajam oleh lebih daripada seorang suspek.

“Pemeriksaan forensik menemui lebih lima tetakan di bahagian kepala mangsa.
“Kami percaya pembunuhan ini bukan bermotifkan samun sebaliknya balas dendam.
“Siasatan lanjut turut menjurus sama ada kes ini ada kaitan dengan pinjaman along atau kumpulan kongsi gelap,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

4 sekeluarga jadi hamba seks bomoh

4 sekeluarga jadi hamba seks bomoh
Oleh Shahrul Nizam Mohamad

2011/03/22
Mangsa dipukau, patuh setiap arahan suspek

ROMPIN: Polis menahan reman seorang pengamal perubatan tradisional yang dipercayai pengamal ajaran sesat, apabila memukau dan merogol seorang ibu tunggal dan tiga anaknya di sebuah kampung dekat sini sejak Januari lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata suspek berusia 40-an yang tinggal di daerah lain dipercayai memukau wanita berusia 50-an itu sehingga mangsa patuh dan taat setiap arahan lelaki terbabit. “Suspek dipercayai merogol mangsa di rumahnya sebelum memberitahu mahu ke rumah mangsa untuk ‘menurunkan’ ilmu agama kepada tiga anak perempuan ibu tunggal berkenaan. “Mangsa yang dipukau kemudian mengajak suspek ke rumahnya sebelum melakukan perbuatan sama terhadap tiga anak perempuan mangsa berusia 20-an dan 30-an,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Johari berkata, siasatan awal mendapati, tiga anak perempuan mangsa yang terkena ilmu pukau lelaki terbabit dikatakan mengikut setiap arahan, termasuk melakukan hubungan seks dengan suspek.

“Di rumah ibu tunggal itu, suspek terbabit dikatakan berulang-ulang kali merogol empat beranak itu sejak Januari, ketika semua mangsa terbabit berada dalam keadaan separuh sedar.

“Siasatan turut mendapati seorang daripada anak mangsa dirogol hampir tujuh kali,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu bagaimanapun terbongkar apabila menantu mangsa yang bekerja di Johor Bahru pulang ke rumah ibu mentuanya di sini selepas mengesyaki sesuatu tidak kena apabila mendapati isterinya sudah lama tidak pulang menemuinya.

Katanya, apabila menantu mangsa tiba di rumah itu 15 Mac lalu, didapati isterinya, ibu mentua dan ahli keluarga lain ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya sebelum berlaku pergelutan dengan suspek yang kebetulan berada di rumah mangsa.

Budak trauma dilari penjenayah

Budak trauma dilari penjenayah

Baljeet Singh melihat kenderaan yang cuba dicuri oleh penjenayah di Port Dickson, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


TELUK KEMANG 21 Mac - Seorang budak lelaki berusia empat tahun trauma setelah dilarikan hampir lima jam oleh seorang penjenayah yang menyamun kenderaan bapanya di Pekan Pasir Panjang, Port Dickson malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 8.25 malam ketika bapa mangsa meninggalkan kanak-kanak itu bersendirian dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser selama empat minit untuk membeli barang di sebuah kedai runcit.

Sebaik sahaja keluar dari kedai, bapa mangsa yang berusia 31 tahun terkejut apabila mendapati kenderaannya itu dilarikan seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

Ketua Polis daerah, Supritendan Baljeet Singh berkata, lelaki tersebut cuba mengejar kenderaannya dengan bantuan seorang penunggang motosikal, namun gagal kerana MPV tersebut dipandu laju.

"Setelah itu, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Pasir Panjang.

"Hasil tindakan pantas polis, kenderaan dan kanak-kanak itu akhirnya ditemui ditinggalkan di sebuah taman perumahan di Masjid Tanah, Melaka, kira-kira 50 kilometer dari lokasi kejadian," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ketika ditemui, kanak-kanak itu sedang berdiri di tempat duduk belakang kenderaan dan tidak mengalami kecederaan.

7 lanun dihukum penjara 12 tahun, tiga sebatan

7 lanun dihukum penjara 12 tahun, tiga sebatan
JOHOR BAHRU 21 Mac – Tujuh lanun warga Indonesia yang merompak sebuah kapal dagang di Pulau Mangging, Kota Tinggi pada awal bulan ini masing-masing dihukum penjara 12 tahun dan sebatan tiga kali oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di sini hari ini.

Tertuduh-tertuduh hanya dikenali sebagai Habsan, 23, Ali, 25, Hadi, 29 dan Selamat, 29, Herman, 30, Wasdiah, 31, dan Kusnan, 32.

Hakim Mahkamah Sesyen, Salawati Djambari menjatuhkan hukuman tersebut selepas semua tertuduh mengaku bersalah.

Kesemua tertuduh mengaku cuba melakukan rompakan berkumpulan terhadap kapal Mt. Front Queen di kedudukan kira-kira 3.2 batu nautika dari Pulau Mungging, Kota Tinggi pada pukul 3 pagi, 9 Mac lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mirza Mohamad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Utusan Malaysia pada 10 Mac lalu melaporkan kejayaan APMM Wilayah Selatan menumpaskan satu cubaan rompakan ke atas kapal Mt. Front Queen yang didalangi oleh tujuh lelaki Indonesia di perairan Pengerang tersebut.

Kejadian tersebut disedari oleh sekumpulan anggota APMM Wilayah Selatan yang sedang melakukan rondaan di kawsan itu.

Mayat dicampak di bahu jalan

Mayat dicampak di bahu jalan


ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang lelaki yang dijumpai dengan hanya memakai seluar dalam berhampiran puncak Gunung Jerai, Yan, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



YAN 21 Mac – Seorang lelaki dipercayai warga tempatan dibunuh kejam sebelum mayatnya dicampak ke bahu jalan berdekatan puncak Gunung Jerai di sini, awal pagi ini.

Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identiti ditemui kira-kira pukul 8 pagi oleh seorang lelaki yang sedang berjoging dalam keadaan separuh bogel dengan kecederaan tikaman di leher dan belakang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah (Bahagian Siasatan dan Perundangan), Supritendan Low Thiang Huat berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia lingkungan 40-an dibunuh di tempat lain sebelum dicampak di lokasi itu yang terletak kira-kira 5 kilometer dari puncak Gunung Jerai.

“Ketika ditemui, mayat itu hanya memakai seluar dalam berwarna merah. Pemeriksaan juga mendapati, leher mangsa ditikam sehingga tembus dan satu lagi tikaman di bahagian belakang badan.

“Berdasarkan semakan awal, mangsa dipercayai warga tempatan dan besar kemungkinan berketurunan Cina,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di talian 04-4655222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Cedera diserang isteri

Cedera diserang isteri
KOTA BHARU 21 Mac – Akibat tidak pernah melawat isteri pertama dan lima anak mereka selepas berkahwin sekali lagi pada Januari lalu, seorang pekerja kilang cedera ringan akibat diserang dengan sebilah golok oleh isterinya itu ketika berada di rumah keluarga isteri keduanya.

Dalam kejadian di Kampung Pasir Tok Kambing di sini pukul 8 pagi ini, mangsa bernasib baik apabila hanya mengalami calar di dahi selepas berjaya menepis serangan wanita itu yang berusia 31 tahun dan bekerja sebagai guru kelas Fardu Ain.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang enggan namanya disiarkan membuat laporan di Balai Polis Binjai pukul 9 pagi ini sebelum memfailkan cerai terhadap isteri pertamanya di Mahkamah Syariah.

“Isteri pertama saya muncul di rumah keluarga isteri kedua dan cuba menetak saya dengan sebilah golok. Saya sempat memegang tangannya dan merampas parang tersebut.

“Pergelutan berlaku hampir 15 minit sebelum dileraikan oleh ahli keluarga isteri kedua saya yang bergegas naik ke rumah selepas terdengar bunyi bising,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Syariah di sini.

Menurut lelaki itu, dia yang bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur tinggal bersama isteri keduanya yang berusia 19 tahun selepas mengahwininya Januari lalu.

Dia mendakwa, isteri pertamanya juga seorang yang sangat cemburu dan panas baran. Dia terpaksa meninggalkan isteri pertamanya itu selepas berkahwin kali kedua kerana tidak tahan dengan sikapnya.

Malah, katanya, dia juga sudah jauh hati untuk pulang ke pangkuan isteri pertama selain nekad untuk memfailkan penceraian.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut

Wednesday, March 16, 2011

Juruelektrik didakwa culik kanak-kanak

Juruelektrik didakwa culik kanak-kanak


WAN Chee How ketika hadir di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA TERENGGANU 16 Mac - Seorang juruelektrik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM50,000, lima tahun lalu.

Wan Chee How, 30, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah beralamat PT, 983K, Taman Ibai Indah, Kampung Tok Adis, Kuala Ibai di sini kira-kira pukul 12 tengah hari, 22 Oktober 2006.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa mengurung kanak-kanak berkenaan di dalam sebuah kereta dengan niat untuk menuntut wang tebusan tersebut.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Memandangkan kes ini melibatkan hukuman mati, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Majistret Nor Azizah Yusof menetapkan 28 April ini sebutan semula kes tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chooi Gaik manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Memetik laporan akhbar, lelaki itu dipercayai melarikan kanak-kanak itu ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah sebelum menuntut sejumlah wang tebusan.

Dia sebelum itu dilaporkan pernah bekerja memasang wayar di rumah ibu bapa kanak-kanak berkenaan yang bekerja sebagai peniaga.

Tertuduh ditahan dalam serbuan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah pada 1 Mac lalu.

Tukang urut maut, anak angkat parah ditikam penyamun

Tukang urut maut, anak angkat parah ditikam penyamun
JOHOR BAHRU 16 Mac – Seorang tukang urut maut manakala anak angkatnya yang dipercayai hamil tiga bulan cedera parah akibat ditikam dengan pisau dalam kejadian samun di rumah mereka di Kampung Seri Serdang Baru, Tampoi, di sini hari ini.

Dalam insiden pukul 2.30 petang itu, mangsa, Demah Cinak, 43, mati di tempat kejadian akibat tikaman di perut manakala anak angkatnya dikenali sebagai Mahmudah berusia lewat 20-an parah ditikam di belakang.

Menurut jiran mangsa, Norfarhana Zamir, 16, ketika kejadian dia yang berada di dalam rumah mendengar mangsa bertengkar dengan seseorang sebelum disusuli jeritan mangsa.

“Saya yang curiga terus keluar dari rumah dan ternampak seorang lelaki berlumuran darah dan sempat bertanyakan lelaki tersebut namun dia kelihatan cemas dan terus melarikan diri.

“Bila saya pergi ke belakang rumah, saya lihat seorang lagi lelaki sedang melarikan diri.

“Saya kemudian melihat kedua-dua mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di luar pintu belakang rumah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Norfarhana berkata, ketika ditemui, Mahmudah sempat memaklumkan dirinya ditikam oleh lelaki tersebut manakala Demah yang dipanggilnya Mak Demah pula dilihatnya sudah tidak sedarkan diri.

Katanya, dia difahamkan Demah yang sudah berpisah dengan bekas suaminya tiga tahun lalu tinggal di rumah tersebut dengan Mahmudah dan menantunya yang ketika kejadian tiada di rumah.

Sementara itu, seorang lagi anak angkat Demah, Sundessiayatulasanah Syamsuni, 18, berkata, meskipun tidak tinggal serumah, dia sering berhubung dengan ibu angkatnya tersebut.

Katanya, Demah yang merupakan warga Indonesia dan mempunyai taraf penduduk tetap (PR) itu membuat kerja sambilan mengurut orang.

“Kali terakhir saya berbual dengannya dua hari lepas dan ibu sangat ceria. Tak sangka pula begini jadinya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Anggota bomba padam kebakaran dipukul

Anggota bomba padam kebakaran dipukul
PULAU PINANG 16 Mac - Hanya kerana tidak berpuas hati kehendak mereka tidak dipenuhi, beberapa penduduk sekitar Jalan Bukit Dumbar di sini, sanggup memukul seorang pegawai bomba yang sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sebuah kilang papan di kawasan itu, hari ini.

Sikap tidak bertanggungjawab itu menyebabkan operasi pemadaman kira-kira pukul 8 pagi tersebut bertukar kecoh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tamat berkata, kejadian berpunca apabila penduduk mengarahkan anggotanya menyiram air di kawasan yang tidak disambar api berhampiran rumah mereka.

Bagaimanapun, katanya, anggota bomba yang sedang bertugas memadam kebakaran berkenaan enggan berbuat demikian.

"Tiba-tiba, datang seorang daripada lelaki terbabit berusia 50-an terus memaki hamun sebelum memukul seorang pegawai bomba berpangkat penyelia yang mengetuai operasi memadam kebakaran itu.

"Berlaku pergelutan antara pegawai bomba dan lelaki tersebut sebelum dapat dileraikan anggota bomba lain. Mereka kemudian menghubungi polis," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata Azmi, pegawai berusia 50 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Jelutong bagi pihak jabatannya kerana lelaki tersebut mengganggu tugas pasukan berkenaan.

Beliau yang kesal dengan insiden tersebut, bagaimanapun menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

"Saya menasihati orang ramai agar menghormati anggota bomba ketika mereka menjalankan tugas kerana semua anggotanya terlatih dan tahu apa yang harus dilakukan," katanya.

Azmi berkata, berdasarkan Seksyen 18 Akta Perkhidmatan Bomba 1988, seseorang pegawai bomba mempunyai kuasa untuk mengeluarkan orang awam dari tempat kejadian jika didapati mengganggu tugas bomba.

Selain itu, kata beliau, Seksyen 51 akta sama memperuntukkan kuasa kepada pegawai bomba untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap orang awam yang sengaja mencaci, menyerang, mengacau atau menghalang pegawai bomba melaksanakan tugas mereka.

Terdahulu, kata Azmi, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran sebuah bangunan kosong yang pernah dijadikan kilang papan di Jalan Bukit Dumbar pada pukul 7.45 pagi.

Katanya, empat jentera bersama 28 anggota yang dikejarkan ke tempat kejadian lima minit kemudian mengawal api daripada merebak ke bangunan-bangunan kilang kayu dan gaharu bersebelahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi hari ini mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu pihaknya menerima dua laporan berasingan mengenai kejadian tersebut.

Menurutnya, laporan itu masing-masing dibuat oleh pegawai bomba serta salah seorang penduduk tersebut dan kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan

Saksi kes jenayah larikan diri

Saksi kes jenayah larikan diri

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusann9@utusan.com.my



Selain pintu pagar IPD, dua kenderaan lain turut rosak akibat dilanggar kereta yang dinaiki oleh dua saksi yang melarikan diri dari IPD Seremban, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



SEREMBAN 16 Mac - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban semalam gempar apabila dua saksi kes jenayah yang dipanggil tiba-tiba bertindak melarikan diri dengan sebuah kereta dan merempuh pintu pagar utama kompleks tersebut.

Dalam kejadian pukul 5.40 petang, suspek lelaki bersama rakan wanitanya berusia lewat 20-an dipanggil ke IPD Seremban bagi membantu siasatan berhubung satu laporan palsu berkaitan kes samun.

Namun, setibanya di pekarangan IPD itu dengan sebuah kereta Proton Perdana V6 berwarna perak, mereka enggan keluar dari kenderaan walaupun diarah berbuat demikian oleh anggota bertugas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, kedua-duanya kemudian bertindak agresif dan melarikan diri dengan kereta tersebut.

"Ketika melarikan diri, kereta itu melanggar sebuah kereta seorang anggota polis, merempuh pagar utama dan sebuah lagi kereta milik orang awam.

"Mereka berjaya melarikan diri dan usaha polis untuk menghalangnya gagal," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Yusoff berkata, polis yang melancarkan gerakan memburu mereka menemui kereta itu ditinggalkan di sebuah pasar raya di Seremban 2.

"Kita percaya mereka melarikan diri dengan kenderaan lain. Siasatan mendapati nombor pendaftaran kereta itu palsu dan kenderaan berkenaan dilaporkan dicuri di Selangor, baru-baru ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Yusoff memberitahu, kedua-dua suspek berkenaan dipanggil ke IPD bagi membantu siasatan laporan palsu melibatkan pengadu berusia 55 tahun yang kononnya menjadi mangsa samun, Ahad lalu.

"Lelaki itu membuat laporan polis disamun tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira di sekitar bandar ini.

"Pengadu mendakwa beberapa barangan kemas miliknya bernilai RM4,000 disamun oleh suspek," katanya.

Mohd. Yusoff berkata, susulan laporan itu, polis menahan dua suspek berusia 20-an di sekitar Seremban pada keesokan harinya dan siasatan mendapati laporan berkenaan adalah palsu.

"Malah kedua-dua suspek itu dan pengadu saling mengenali antara satu sama lain. Kedua-dua lelaki yang dipanggil memberi keterangan itu kita tahan apabila ujian air kencing mendapati mereka positif dadah," jelasnya.

Katanya lagi, pihak polis kemudian memanggil semula pengadu dan dia juga ditahan selepas ujian air kencing mendapati dia turut positif dadah.

"Kita juga memeriksa rumah pengadu terbabit dan kita dapati semua barang kemas dilaporkan disamun masih berada dalam simpanannya kecuali satu gelang emas.

"Apabila soal siasat dilakukan semula pengadu memberitahu bahawa gelang emas berkenaan berada dalam sebuah kereta Proton Perdana milik rakannya," katanya.

Mohd. Yusoff memberitahu, pengadu kemudian menghubungi rakannya itu dan memintanya hadir di IPD Seremban bagi mengambil semula gelang emas yang didakwa berada dalam kenderaan itu sebelum lelaki dan pasangannya melarikan diri.

"Kita sedang giat memburu lelaki yang memandu kereta Perdana V6 terbabit bersama rakan wanita itu.

"Buat masa ini ketiga-tiga lelaki yang ditahan tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Kata Mohd. Yusoff, motif lelaki itu yang mendakwa disamun masih belum diketahui dan tindakan rakannya yang berani membawa masuk kereta curi ke dalam kawasan IPD sebelum melarikan diri juga masih misteri.

"Kita yakin semua itu akan terungkai apabila kedua-dua suspek berjaya ditahan dan kita meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi polis," ujarnya.

Abang pelakon Janet Khoo ditemui mati dibunuh

Abang pelakon Janet Khoo ditemui mati dibunuh
KUALA LUMPUR 16 Mac – Abang pelakon dan model popular, Janet Khoo ditemui mati dibunuh dalam keadaan badannya dibalut tilam manakala kakinya pula diikat di kawasan semak berhampiran Lembah Pangsun, Hulu Langat, dekat sini.

Menurut sumber, mayat Khoo Kim Leong, 47, seorang ahli perniagaan dari Kulim, Kedah, ditemui seorang lelaki yang terhidu bau busuk di kawasan tersebut pada pukul 11.40 malam, 6 Mac lalu.

Katanya, orang awam yang pada mulanya menyangka bau itu berpunca daripada bangkai haiwan bagaimanapun terkejut apabila menemui kaki manusia sebelum menghubungi polis.

“Difahamkan sebelum kejadian mangsa terlibat dengan satu pergaduhan dan kes itu dipercayai bermotifkan dendam.

“Mangsa dipercayai mati lebih daripada dua hari berdasarkan keadaan mayatnya yang berbau busuk.

“Kim Leong dipercayai dipukul, dicekik dan dipijak berdasarkan kesan lebam di beberapa bahagian badannya lalu dicampak di kawasan itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Janet Khoo ketika dihubungi hari ini mengesahkan kematian abang sulungnya daripada tujuh beradik.

Beliau yang masih bersedih dengan kejadian itu enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.

Sumber itu seterusnya berkata, setakat ini polis telah menahan dua suspek bagi membantu siasatan dan mereka mengenali antara satu sama lain.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Tuesday, March 15, 2011

Pelajar wanita cedera dikelar kekasih adik

Pelajar wanita cedera dikelar kekasih adik


2011/03/16
KULIM: Seorang pelajar wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, cedera di tengkuk dan tangan selepas dikelar dengan senjata tajam oleh seorang pelajar lelaki di kawasan asrama IPTA itu, malam Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, suspek yang berusia awal 20-an dikatakan bertemu dengan mangsa yang berusia 21 tahun untuk berbincang mengenai hubungan antara lelaki itu dengan adik mangsa yang juga pelajar di IPT sama. Difahamkan, dalam perbincangan itu mangsa melarang suspek berkawan dengan adik perempuannya kerana tidak mahu pengajiannya terganggu sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran, sebelum suspek yang naik berang mencederakan mangsa dengan senjata tajam. Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh, berkata mangsa dirawat di Hospital Kulim dan keadaannya dilaporkan stabil, manakala suspek ditahan reman untuk siasatan.

Tiada CCTV sukar kesan taktik kotor amah

Tiada CCTV sukar kesan taktik kotor amah


2011/03/16
KUALA LUMPUR: Pelbagai taktik kotor dikesan digunakan segelintir pembantu rumah Indonesia dan Kemboja, termasuk mendakwa dicabul dan diseksa ahli keluarga majikan sebagai alasan untuk pulang ke negara asal sebelum kontrak tamat.

Difahamkan, taktik itu sering digunakan terhadap majikan yang tidak memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman atau premis perniagaan mereka, sekali gus menyukarkan mereka membuktikan dakwaan dilemparkan pembantu rumah masing-masing. Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong, juga mendedahkan ada pembantu rumah warga asing mencampurkan air kencing dalam sup dihidangkan kepada majikan kerana tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan pulang ke negara asal mereka sebelum tempoh kontrak berakhir. “Ini adalah sebahagian daripada kes pembantu rumah menganiaya majikan yang saya terima. Justeru, saya meminta majikan yang mahu mengambil pembantu rumah warga asing melengkapkan rumah atau premis mereka dengan CCTV.

“Penggunaan CCTV penting bagi mengelakkan kita terperangkap dalam perangkap mereka, termasuk ada yang mendakwa dicabul dan diseksa. saya juga dapat maklumat, ada pembantu rumah sanggup menoreh tangan sendiri dan menuduh anak majikan melakukannya,” katanya di sini, semalam.

Chong berkata, pihaknya menerima 11 aduan berhubung taktik pembantu rumah itu sepanjang tahun lalu, selain tiga kes tahun ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati pembantu rumah itu bertindak demikian disebabkan mahu pulang ke negara asal sebelum kontrak perkhidmatan mereka tamat,” katanya.
Seorang ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Chong, 40, turut mengalami nasib sama, berkata pembantu rumahnya berusia 20-an yang baru diambil November tahun lalu hanya berkhidmat selama dua bulan sebelum melarikan diri Januari lalu.

“Lebih mengejutkan, dia (pembantu rumah) mengadu kepada ejen mengatakan tidak tahan bekerja dengan alasan saya mencabulnya. Perkara itu diketahui apabila ejen menghubungi saya untuk pengesahan.

“Walaupun berulang kali menidakkan perkara itu, saya tidak dapat membuktikannya kerana tiada CCTV di rumah. Saya kemudian membuat laporan polis supaya polis dakwaan itu,” katanya.

Penganggur dituduh sebabkan kematian teman wanita

Penganggur dituduh sebabkan kematian teman wanita
SUNGAI PETANI 15 Mac - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian teman wanitanya yang dipercayai enggan menyerahkan bayi mereka untuk dijual akibat kesempitan wang.

V. Vethnagaran, 22, didakwa membunuh tanpa niat ke atas K. Magasulie, 33, dengan menggunakan wayar kabel periuk nasi dan paip getah di sebuah rumah bernombor D-387, Jalan Indah 6, Taman Sejati Indah di sini kira-kira pukul 7 pagi, 4 Mac lalu.

Dakwaan terhadap lelaki itu mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Shazwani Syed Hussin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Hakim Zainol Saad membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 16 Mei ini.

Vethnagaran bagaimanapun terpaksa dihantar ke Penjara Pokok Sena setelah gagal membayar wang jaminan tersebut.

Akhbar pada 5 Mac lalu melaporkan, seorang wanita ditemui mati dengan kesan lebam di kepala setelah dipercayai bertengkar dengan teman lelakinya.

Perselisihan faham itu berlaku selepas wanita tersebut dipercayai enggan menyerahkan bayi mereka untuk dijual kepada orang lain akibat kesempitan hidup.

Pasangan tersebut memperoleh bayi tersebut selepas bersekedudukan sejak lebih setahun lalu

2 beradik kerugian RM70,000

2 beradik kerugian RM70,000

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my



Beginilah keadaan kereta dua beradik yang rosak teruk dalam kejadian samun di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 15 Mac – Ibarat babak dalam drama, dua beradik lelaki terpaksa memandu kereta sejauh kira-kira 20 kilometer bagi menyelamatkan diri daripada dikejar empat penjenayah yang cuba menyamun mereka di Lebuh Raya Seremban-Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur hari ini.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa yang berusia 20-an membawa wang tunai RM70,000 selepas mengeluarkannya dari sebuah bank di Sri Petaling, di sini.

Namun tanpa disedari, mereka diekori oleh empat suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Volvo.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mangsa yang menaiki kereta Honda Civic hanya mengetahui kehadiran penjenayah terbabit semasa berada di lebuh raya berkenaan apabila melihat kenderaan dinaiki suspek cuba mengejar dan menghimpit kereta mereka.

Beliau berkata, suspek terus mengejar dua-beradik terbabit sehingga ke Jalan Loke Yew di sini sehinggalah mangsa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan kereta mereka merempuh kenderaan lain.

“Setelah kereta mereka berhenti, si abang yang membawa wang cuba keluar dari kenderaan untuk melarikan diri namun dihalang oleh penjenayah yang membawa parang.

“Penjenayah kemudian merampas beg berisi wang dipegang mangsa dan cuba menetaknya namun mangsa bernasib baik kerana tangannya terkena pada bahagian parang yang tidak tajam menyebabkan dia hanya mengalami luka kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, penjenayah terus melarikan diri selepas memperoleh wang RM70,000 daripada mangsa.

Katanya, polis sedang berusaha mengesan suspek dan menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkawan tanpa senjata api.

Seorang rakan sekerja mangsa yang ditemui di tempat kejadian memberitahu, mangsa mengeluarkan wang tersebut untuk menyelesaikan urusan syarikat.

“Kami mengusahakan perniagaan membuat bingkai gambar di Sungai Besi di sini,” katanya.

Sementara itu, Utusan Malaysia sempat menemui dua-beradik terbabit di tempat kejadian namun mangsa enggan ditemuramah kerana masih terkejut dengan insiden menimpa mereka.

Mangsa ditetak dikenali sebagai Ng, 26, hanya berkata, dia tidak menyangka mereka menjadi sasaran penjenayah dan mahu membuat laporan polis selepas membersihkan luka di tangannya

Monday, March 14, 2011

21,390 pil kuda bernilai RM427,000 dirampas

21,390 pil kuda bernilai RM427,000 dirampas


MD. Azmi Othman (kanan) menunjukkan duit bernilai RM73,000 dirampas bersama pil kuda di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kota Bharu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU 14 Mac - Polis menahan seorang pengedar dadah dan merampas 21,390 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM427,000 dalam serbuan di rumahnya di Nilam Puri, dekat sini Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Narkotik negeri, Supritendan Md. Azmi Othman berkata, dalam rampasan terbesar tahun ini tersebut, polis turut menyita dua kenderaan milik suspek jenis Honda Civic dan Perodua Myvi.

Beliau berkata, polis juga menemui wang tunai RM73,711 dipercayai hasil urusan jual-beli dadah, dalam boot Perodua Myvi itu.

Jelasnya, ketika serbuan dibuat, suspek warga tempatan berusia 20-an sedang bersembunyi dalam tangki air bahagian atas rumahnya dan cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas.

"Polis bertindak atas maklumat awam dan ketika serbuan suspek seorang diri di rumah itu kerana ibu bapanya difahamkan sedang menjalankan perniagaan di Ketereh.

"Suspek cuba melarikan diri dengan menyorok di dalam tangki air di rumah itu, namun kita berjaya menahannya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, hari ini.

Md. Azmi berkata, suspek kini direman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, beliau memberitahu, bagi wang dirampas, suspek disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya Perlucutan Hak Harta 1988 kerana dipercayai hasil daripada urusan jual-beli dadah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menjadi pengedar dadah di negeri ini secara bersendirian tanpa mana-mana sindiket atau kumpulan.

"Suspek masih bujang dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing dilakukan terhadapnya menunjukkan hasil negatif.

"Kesemua dadah itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dengan nilai borong RM266,800 manakala hasil jualannya boleh mencecah RM427,000," ujarnya.

Dua pengedar pil khayal pusat hiburan tumpas

Dua pengedar pil khayal pusat hiburan tumpas
PULAU PINANG 14 Mac - Satu sindiket pengedaran pil khayal di beberapa pusat hiburan di bandar ini yang dipercayai didalangi oleh dua lelaki tempatan tumpas apabila mereka ditahan dalam satu serbuan di Bukit Gambir di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Deputi Supritendan Lee King Chuan berkata, kedua-dua lelaki itu yang masing-masing berusia 21 dan 34 tahun itu ditahan ketika serbuan dilakukan di sebuah pangsapuri pada kira-kira pukul 2 petang.

Difahamkan, ketika ditahan, lelaki berkenaan sedang leka memasukkan pil khayal itu ke dalam beg untuk diedarkan kepada pelanggan pada sebelah malamnya.

"Hasil pemeriksaan di rumah mereka yang terletak di tingkat enam itu, polis merampas 14,150 biji dadah jenis Eramin 5 bernilai RM283,000 yang disimpan dalam sebuah bilik.

"Siasatan ke atas kedua-dua lelaki berkenaan mendapati mereka telah menjalankan aktiviti pengedaran Eramin 5 di pusat hiburan di negeri ini sejak enam bulan lalu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas King Chuan, pihaknya turut menyita kesemua barangan milik suspek iaitu sebuah kereta, komputer riba, barang kemas, pelbagai mata wang asing bernilai RM3,083, wang tunai berjumlah RM189,198, jam tangan Rolex dan Omega.

Kesemua barangan rampasan yang disita bernilai RM154,431.

Beliau berkata, kejayaan menumpaskan rangkaian pengedaran pil khayal tersebut adalah hasil daripada intipan pihaknya sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 18 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya iaitu mengedar dadah.

Lagi gadis kita jadi keldai dadah

Lagi gadis kita jadi keldai dada
Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 13 Mac – Seorang gadis Malaysia berusia 20 tahun ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia kerana cuba menyeludup dadah jenis syabu ke negara jiran itu semalam.
Sumber polis berkata, suspek ditahan bersama syabu seberat 528 gram bernilai lebih RM200,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandara Juanda, Surabaya, Jawa Timur.
Beliau berkata, suspek yang baru tiba dengan penerbangan tambang murah dari Kuala Lumpur dikesan menyembunyikan syabu terbabit dalam tiga botol bedak bayi yang disimpan dalam bagasi pakaiannya.
“Suspek yang kononnya mahu melancong ke Surabaya ditangkap oleh pihak berkuasa lapangan terbang terbabit setelah dilihat bersikap mencurigakan semasa pemeriksaan di pintu masuk.
“Pemeriksaan ke atas bagasinya kemudian menemui tiga botol bedak bayi mengandungi 15 bungkusan kecil aluminium disyaki syabu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkata, setelah ditimbang, kesemua syabu terbabit didapati seberat 528 gram yang mengikut harga pasaran dianggarkan bernilai lebih RM200,000.
Beliau berkata, gadis terbabit apabila disiasat mengaku menerima upah lumayan daripada satu kumpulan sindiket untuk membawa dadah tersebut ke Madura, Indonesia.
Katanya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang giat berusaha untuk membendung kegiatan penyeludupan dadah menggunakan jalan udara.
“Kita percaya masih ada sindiket didalangi warga asing cuba menjadikan Malaysia sebagai transit untuk menyeludup dadah ke negara-negara jiran.
“Kes terbaru dilaporkan ini menunjukkan masih ada sindiket dadah antarabangsa menggunakan modus operandi lama iaitu mengeksploitasi gadis tempatan untuk dijadikan keldai dadah,” katanya.
Tambahnya, taktik digunakan suspek kali ini bagaimanapun berbeza kerana sebelum ini rakyat Malaysia yang ditangkap menyeludup dadah ke negara jiran menggunakan kaedah mengikat dadah di perut, menyumbat dalam dubur dan batang paip plastik PVC (Polyvinil Cloride).

Dua sepupu dipenjara 10 tahun, 10 sebatan

Dua sepupu dipenjara 10 tahun, 10 sebatan
KUALA TERENGGANU 13 Mac - Dua sepupu dihukum penjara masing-masing 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah.
Hassan Harun, 38, dan Rosli Latip, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datuk Mohd. Yazid.
Bagaimanapun seorang lagi tertuduh iaitu isteri Hassan yang merupakan warga Thailand, Yothaka Yakoh, 30, terselamat daripada dikenakan sebarang hukuman apabila pertuduhan yang dikenakan terhadapnya ditarik balik.
Hassan dituduh memiliki 136 botol heroin seberat 126.78 gram ketika mereka ditangkap di dalam sebuah kereta jenis Proton Gen2 pada 4 Mac 2010, pukul 12.30 tengah malam di hadapan sebuah klinik di Kuala Ibai dekat sini.
Ketika tangkapan dilakukan, wanita itu turut berada di dalam kereta tersebut bersama anak lelakinya yang ketika itu berusia setahun lima bulan.
Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.
Bagaimanapun, Hassan dan Rosli mengaku dadah itu milik mereka dan menegaskan bahawa ia tiada kaitan dengan Yothaka.
Hakim Mohd. Yazid berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kesanggupan kedua-dua tertuduh mengaku salah dan memberitahu sudah benar-benar insaf.
Bagaimanapun, beliau turut mengambil kira beberapa faktor lain seperti sifat tamak kedua-dua tertuduh yang menyebabkan mereka terjebak dalam jenayah tersebut.
"Sepatutnya faktor ada ibu, anak dan isteri jadi penghalang daripada melakukan kesalahan ini dan kedua-dua tertuduh juga sudah matang untuk memikirkan baik buruk perbuatan itu," katanya dalam penghakiman.
Oleh itu, jelasnya, adalah wajar untuk mahkamah menjatuhkan hukuman yang agak berat ke atas mereka berdua memandangkan mahkamah juga perlu menepati jangkaan orang ramai berhubung hukuman atas kesalahan tersebut.
Katanya, hukuman penjara yang bermula dari tarikh tangkapan itu juga diharap dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Ooi Chooi Gaik dan tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed.

Thursday, March 10, 2011

Rumah bersama perabot dicuri

Rumah bersama perabot dicuri


Seorang penduduk, Rasni Putih menunjukkan sebuah rumah papan dua tingkat yang hanya tinggal pelapik tiang dan kayu selepas dilarikan oleh pihak tidak bertanggungjawab di Kampung Bakau, Kangar, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KANGAR 10 Mac - Lazimnya dalam kes pecah rumah, barang-barang yang akan dilarikan namun di Kampung Bakau di sini, sebuah rumah milik seorang wanita turut 'hilang'.

Zuria Ali, 30, terkejut apabila mendapati rumah papan dua tingkat miliknya hilang selepas dia sendiri pergi ke kampung itu pada Jumaat lalu.

Wanita tersebut yang kini menetap di Perak datang ke kampung itu untuk melihat keadaannya setelah dimaklumkan oleh penduduk bahawa rumahnya yang disewa kepada orang lain 'hilang'.

Zuria pada mulanya tidak mempercayai cakap penduduk kampung tersebut tetapi selepas pergi sendiri ke rumah itu, dia mendapati rumah tersebut dengan perkakas di dalamnya seperti pinggan mangkuk, almari, perabot, meja makan dan peti ais telah lesap.

Zuria yang mendakwa tidak mendapat bayaran sewa rumah selama lima bulan hanya dapat melihat 24 pelapik tiang, cebisan kayu dan televisyen rosak di tapak rumahnya itu.

Berikutan itu, Zuria membuat laporan polis mengenai kehilangan rumah pusaka yang dianggarkan berusia lebih 60 tahun itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Wednesday, March 9, 2011

'Hilang dan Jumpa' taktik terbaru seludup dadah

'Hilang dan Jumpa' taktik terbaru seludup dadah
KUALA LUMPUR 9 Mac - Selepas pelbagai taktik dibongkar pihak berkuasa, sindiket pengedaran dadah antarabangsa kini dikesan menggunakan modus operandi (MO) baru menggunakan taktik 'Hilang dan Jumpa' bagi menyeludup masuk dadah melalui lapangan terbang negara.

Berikutan itu, polis merampas sejumlah 9.8 kilogram (kg) syabu bernilai 2.35 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dan menahan tiga orang termasuk dua wanita dalam tiga kes dari Sabtu lalu sehingga semalam.

Ini berikutan taktik menelan dadah atau mengubah suai bagasi yang dibawa mereka berjaya digagalkan pihak berkuasa melalui operasi penguatkuasaan yang ketat di semua pintu masuk negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim (gambar) berkata, melalui MO terbaru itu, sindiket dadah tidak membawa bagasi seperti biasa tetapi akan melaporkan kehilangan bagasi yang dibawa anggota sindiket atau penyeludup upahan.

Katanya, selang beberapa hari kemudian, anggota sindiket kembali ke lapangan terbang terbabit untuk menuntut bagasi yang dilaporkan 'hilang'.

Beliau berkata, MO itu berjaya dibongkar JSJN Bukit Aman dalam operasi di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) apabila mengesan sebuah beg berisi dadah ditinggalkan di kaunter 'Hilang dan Jumpa', Sabtu lalu.

"Hasil pemeriksaan ke atas beg pakaian di KLIA, kita berjaya menemui 4.2 kilogram dadah yang bernilai RM1.1 juta. Bagaimanapun, tiada individu ditahan ketika operasi itu," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Noor Rashid, kurang 24 jam selepas penemuan dadah itu, sepasang lelaki dan wanita warga Iran berjaya ditahan ketika datang ke kaunter 'Hilang dan Jumpa' bagi menuntut bagasi.

Katanya, curiga dengan tindakan suspek, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas dua buah beg dan menjumpai dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam beg bagasi itu.

"Salah satu beg berisi 1.4 kilogram dadah jenis syabu manakala sebuah lagi yang dibawa oleh wanita Iran itu seberat 1.2 kilogram syabu. Kesemua dadah itu bernilai RM500,000," katanya.

Noor Rashid memberitahu, hasil risikan pihaknya turut berjaya menahan seorang wanita warga Vietnam berusia 30 tahun yang turut menuntut bagasi di kaunter Hilang dan Jumpa, semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bagasi suspek, pihaknya menemui dadah jenis syabu seberat tiga kilogram bernilai RM750,000 yang disembunyikan di bawah beg suspek.

"Hasil siasatan, wanita terbabit datang dari Doha ke Kuala Lumpur menggunakan penerbangan Qatar Airways.

"Kita masih lagi menjalankan siasatan jika mereka terdiri dari sindiket yang sama," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Cubaan tujuh lelaki rompak kapal dagang gagal

Cubaan tujuh lelaki rompak kapal dagang gagal
JOHOR BAHRU 9 Mac - Kecekapan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan berjaya menggagalkan cubaan tujuh lelaki warga asing untuk merompak sebuah kapal dagang yang sedang berlabuh di perairan Pengerang, Kota Tinggi, awal pagi ini.

Kejadian pukul 3.15 pagi itu melibatkan kapal MT Front Queen ketika berlabuh di kedudukan 2.8 batu nautika (5 kilometer) dari Pulau Mungging.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata, semasa insiden, bot Kilat pasukan itu sedang meronda di perairan berdekatan sebelum mendengar siren kecemasan dari kapal berkenaan.

Katanya, bot Kilat itu lalu bergegas ke kapal tersebut dan melihat tujuh lelaki di dalam sebuah bot kayu sedang membuang dua batang galah panjang serta sejumlah barangan di dalam plastik ke dalam laut.

Tambahnya, kesemua mereka dipercayai berbuat demikian untuk menghilangkan bukti.

"Anggota bot Kilat kemudian meminta bantuan sebuah lagi bot laju, bot Petir, sebelum kesemua sembilan anggota tersebut menahan tujuh lelaki itu yang disyaki baru selesai melakukan rompakan.

"Pemeriksaan awal menemui sebilah kapak, pisau, beberapa batang sepana, dompet, topeng dan barangan lain," katanya pada sidang akhbar di Jeti Tanjung Puteri, di sini hari ini.

Difahamkan, motif utama rompakan tersebut adalah untuk mendapatkan alat ganti kapal selain barangan berharga milik anak kapal.

Zulkifli berkata, siasatan mendapati, seorang anak kapal MT Front Queen berjaya melarikan diri ke anjung kapal sebelum bertindak menghubungi pegawai bertugas untuk membunyikan siren kecemasan.

Menurutnya, kesemua 20 anak kapal MT Front Queen yang berdaftar di Pulau Majuro dan kaptennya, warganegara Rusia tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Suspek-suspek yang berusia 28 hingga 33 tahun dari negara jiran itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan dan kami juga akan mendapatkan kerjasama daripada pihak polis.

"Kita masih menyiasat sama ada kesemua suspek turut terlibat dalam kejadian rompakan terhadap kapal dagang lain di kawasan tersebut," katanya.

Sementara itu, Zulkifli memberitahu, sepanjang Januari hingga kini, sebanyak 11 kes rompakan termasuk tiga kes cubaan merompak kapal dilaporkan di sekitar perairan Johor.

Pihaknya akan terus menggiatkan usaha termasuk meningkatkan jaringan komunikasi bersama komuniti maritim di sekitar perairan selatan tanah air bagi membendung kegiatan jenayah itu daripada terus berleluasa.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah seumpama itu boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Wilayah Selatan di talian 07-2199401.

Bekas pramugara dalang geng culik

Bekas pramugara dalang geng culik

Oleh AZIAN AZIZ dan MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
pengarang@utusan.com.my



Tun Hisan Tun Hamzah menunjukkan satu daripada sepuluh kepingan emas yang dirampas daripada kumpulan penculik dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Klang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KLANG9 Mac – Polis berjaya memberkas kumpulan penculik yang diketuai seorang bekas pramugara kira-kira 15 minit selepas mereka menerima wang tebusan berupa 10 ketul emas bernilai RM1.44 juta dalam dua serbuan berasingan di bandar ini awal pagi ini.

Serbuan pertama yang melibatkan penahanan dua penculik dilakukan di Jalan Pos Baru di sini kira-kira pukul 1 pagi dan enam jam selepas itu tiga rakan jenayah mereka diberkas di Taman Sentosa.

Terdahulu, polis menyelamatkan seorang pengarah sebuah syarikat sekuriti berusia 62 tahun yang diculik kumpulan itu sejak Isnin lalu di lokasi dirahsiakan pada pukul 12.45 tengah malam iaitu kira-kira 48 jam selepas dia diculik.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pengarah syarikat terlibat yang menghidap penyakit kencing manis diculik di belakang sebuah restoran di Persiaran Raja Muda, Pelabuhan Klang di sini pada Isnin lalu.

Beliau berkata, selepas menculik mangsa, kumpulan penjenayah itu meminta 10 kilogram emas sebagai bayaran tebusan.

Menurut beliau, pihaknya yang menerima laporan berhubung kejadian telah menubuhkan pasukan khas dan berjaya memberkas mereka selepas bayaran tebusan diberi.

“Ketika diberkas kumpulan penculik itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang ditampal pelekat Unit K-9 dan sebuah motosikal jenis Kawasaki.

“Kesemua penculik, terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan yang pernah bertugas sebagai pramugara selama 13 tahun dan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Nepal.

“Kita juga menemui semula 10 ketul emas di dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang di sini petang ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah yang mengetuai serbuan dan Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof.

Tun Hisan turut menunjukkan 10 ketul emas yang dirampas selain kenderaan pacuan empat roda dan motosikal Kawasaki milik penculik, lima unit telefon bimbit, wang tunai RM45, topeng ski dan ‘teaser gun’.

Tambah beliau lagi, semasa soal siasat dibuat, ada di antara penculik mengaku sebagai pelatih anjing tetapi siasatan yang dibuat mendapati mereka menipu.

“Kita juga mendapati kenderaan pacuan empat roda yang digunakan didaftarkan atas nama isteri salah seorang penculik,” katanya sambil memberitahu kesemua penculik berusia 30-an ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta culik 1961.

Katanya, kesemua mereka juga direman selama seminggu bermula hari ini.

Tuesday, March 8, 2011

Culik suami isteri: Polis buru tiga lelaki

Culik suami isteri: Polis buru tiga lelaki
KUALA LUMPUR 8 Mac - Polis sedang memburu tiga lelaki yang menculik sepasang suami isteri ahli perniagaan ketika mangsa keluar dari rumah di Sunway Kinrara, Puchong dekat sini, pada Khamis lalu.

Mangsa yang berusia 51 dan 46 tahun, ditahan dan digari sebelum dikurung dalam sebuah pondok kecil berhampiran sebuah rumah pengamal perubatan tradisional di Kundang, Gombak.

Bagaimanapun, mangsa lelaki yang merupakan pesara tentera berpangkat kapten dan isterinya berjaya melepaskan diri dari pondok itu pada Sabtu lalu.

Mangsa yang mengalami kecederaan akibat dipukul dengan objek keras dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, dalam kejadian itu, tiga penjenayah itu menyamar sebagai pegawai polis dan meminta pasangan suami isteri itu mengikut mereka ke balai polis menaiki kereta Proton Perdana hitam.

"Ketika dibawa dalam kenderaan itu, suspek meminta mangsa mengeluarkan wang simpanannya sebanyak RM2,000 di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, hari ini.

Menurut Abd. Razak, suspek kemudian membawa pasangan itu dalam keadaan tangan bergari ke sebuah pondok kecil di Kundang sebelum mengurung mereka.

Katanya, sebaik sahaja menerima laporan itu, polis menahan seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun merupakan pengamal perubatan tradisional itu bagi membantu siasatan.

"Kita sedang memburu tiga suspek yang terlibat dalam kejadian itu. Siasatan polis mendapati, motif penculikan pasangan suami isteri itu adalah bagi menuntut wang tebusan," katanya.

Menurut beliau, kes ini disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Usia 51 tahun miliki 33 rekod jenayah

Usia 51 tahun miliki 33 rekod jenayah
CAMERON HIGHLANDS 8 Mac - Seorang lelaki berusia 51 tahun yang memiliki 33 rekod jenayah lampau nampaknya masih belum insaf apabila ditahan lagi kerana memecah masuk sebuah rumah di Kampung Raja di Cameron Highlands, semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 10 pagi ketika memecah masuk rumah itu semasa penghuninya keluar bekerja.

Menurutnya, sebelum ini, suspek berasal dari Ulu Cheras, pernah menceroboh dua buah rumah di kawasan tersebut Januari lalu dan perbuatannya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di situ.

"Hasil pemeriksaan CCTV, polis mengesahkan suspek pernah melakukan jenayah di kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Mohd. Zahari berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan alat pemotong dan pencungkil pintu gril selain memecahkan tombol sebelum menceroboh masuk rumah mangsa.

Tambahnya, kerugian yang membabitkan dua rumah sebelum ini dianggarkan RM15,000 hingga RM20,000, setelah suspek melarikan wang tunai, komputer riba dan telefon bimbit.

3 lelaki Iran telan 40 ketul syabu

3 lelaki Iran telan 40 ketul syabu

Oleh ANGELINA SINYANG dan ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Mac - Hanya kerana ingin menambah wang belanja melancong di negara ini, tiga lelaki warga Iran sanggup bergadai nyawa menelan 40 ketulan dadah jenis syabu.

Helah mereka menyeludup dadah itu bagaimanapun sia-sia apabila mereka ditahan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketiga-tiga suspek ditahan selepas dikesan menelan ketulan dadah berkenaan sejurus mereka tiba melalui penerbangan dari Qatar, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, suspek ditahan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di KLIA.

Menurutnya, pelancong berusia 25, 31 dan 37 tahun itu tiba untuk kali pertama di negara ini ketika ditahan.

"Selepas tidak menemui sebarang bukti pada fizikal suspek, polis kemudian membawa ketiga-tiga lelaki berkenaan untuk dilakukan X-ray.

"Hasilnya, 40 ketulan berisi dadah jenis syabu ditemui di dalam perut ketiga-tiga mangsa. Ketulan dadah tersebut dikeluarkan selepas itu melalui proses pembuangan air besar," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Noor Rashid menambah, kesemua dadah jenis syabu seberat 400 gram yang dibawa oleh warga Iran terbabit dianggarkan bernilai RM700,000.

Beliau memberitahu, hasil siasatan mendapati tujuan ketiga-tiga suspek datang ke negara ini adalah untuk melancong.

"Tetapi bagi menambah wang belanja, mereka (suspek) menyeludup dadah yang dibeli sekitar RM50,000 hingga RM60,000 sekilogram di Iran.

"Suspek dipercayai akan menjual dadah tersebut kepada kenalan senegara sebelum meneruskan aktiviti perlancongan," ujarnya.

Beliau berkata, suspek-suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut.

Monday, March 7, 2011

3 penganggur dihukum gantung

3 penganggur dihukum gantung

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my



P. THIAGARAJAM (kiri), K. Kukan (kiri, belakang) dan T. Gopal Khisnan (dua dari kanan) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------



SHAH ALAM 7 Mac - Tiga penganggur dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang mandur ladang dengan mengelar leher mangsa, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu terhadap K. Kukan, 26, P. Thiagarajam, 26, dan T. Gopal Khisnan, 21, selepas mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Kesemua tertuduh didakwa bersama dua lagi yang masih bebas membunuh R. Sankapillay, 56, di rumah No. 47, Rumah Murah, Taman Ladang Tanamera, Batang Berjuntai dekat sini pada pukul 7.40 malam, 5 Mac 2009.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

''Keterangan bersumpah kesemua tertuduh sukar dipercayai oleh mahkamah kerana gagal membuktikan bahawa mereka berada di lokasi seperti yang dinyatakan dalam notis alibi.

''Alamat yang dinyatakan oleh kesemua tertuduh dan saksi alibi masing-masing dalam keterangan bela diri adalah berbeza dengan alamat yang dinyatakan di dalam notis tersebut,'' kata beliau.

Menurut hakim tersebut, Kukan yang merupakan tertuduh pertama menyatakan ketika kejadian dia berada di tempat lain iaitu di Taman Mawar, Kuala Selangor namun di dalam notis alibi alamat yang dinyatakan adalah di Jalan KSU 2/2 Taman Kuala Selangor Utama.

Manakala bagi Thiagarajam, ibu saudaranya ketika memberikan keterangan pembelaan mendakwa tertuduh berada di rumahnya di Flat Damansara Damai namun dalam keterangan alibi alamat yang dinyatakan adalah Vista Apartmen Jalan PJU 10/3D, Damansara Damai.

Tertuduh ketiga, Gopal Khisnan turut memberikan alamat yang bercanggah dengan keterangan bela diri oleh bapa saudaranya iaitu di Batu Arang dan bukannya di Taman Bandar Tasik Puteri seperti didakwa bapa saudaranya.

Kukan dan Thiagarajam diwakili peguam K. Viknesvaran manakala Gopal Khisnan diwakili oleh peguam T. Joshua Sambanthan.

Sepanjang perbicaraan seramai 16 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan memberikan keterangan termasuk kesemua tertuduh.

Berdasarkan laporan bedah siasat yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong, mangsa mati disebabkan luka berganda di leher dan kepala serta tulang tengkorak terputus berpunca daripada senjata tajam.

Menurut keterangan oleh anak perempuan mangsa yang merupakan saksi pendakwa ketiga, ketika kejadian kesemua tertuduh menyerbu masuk ke rumahnya dan meletakkan parang ke leher mangsa.

Menurutnya saksi itu lagi, Gopal Khisnan (tertuduh ketiga) seterusnya menetak mangsa lebih kurang 10 minit dengan menggunakan parang panjang.

Selepas selesai prosiding, ketiga-tiga tertuduh dilihat menjerit kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu sambil memarahi jurugambar yang cuba merakamkan wajah mereka.

Ibu tunggal nyaris ditembak

Ibu tunggal nyaris ditembak

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

ALOR SETAR 7 Mac – Seorang ibu tunggal melalui saat-saat mencemaskan apabila dia nyaris ditembak ketika melarikan diri daripada seorang penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Taman Sinaran, Kuala Kedah di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi, mangsa, Low Sew Kiow , 45, bertindak nekad melepaskan diri daripada penjenayah tersebut yang cuba menculiknya ke bank untuk mengeluarkan wang simpanan.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Sew Kiow berkata, penjenayah bertopeng dan bersenjatakan pistol itu dikatakan tidak berpuas hati setelah gagal mendapat wang yang banyak ketika menyamun rumahnya.

“Saya dan keluarga diacu dengan pistol. Akibat takut, saya kemudian mengajak penyamun itu ke bank untuk mengeluarkan wang dan terus bergegas ke tingkat bawah.

“Saya kemudian menekan butang pintu pagar automatik sebelum berlari ke luar pagar dan menahan sebuah bas sekolah yang kebetulan melalui jalan di depan rumah. Penyamun yang panik melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, dia kemudian meminta pemandu bas memberhentikan kenderaannya kira-kira 100 meter dari rumah sebelum berpatah balik ke rumah.

Bercerita lanjut, kata Sew Kiow, dia sedang tidur di bilik utama di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu bersama seorang anak perempuan berusia 20 tahun serta seorang anak lelaki berumur 11 tahun ketika kejadian.

“Saya dikejutkan dengan bunyi bising. Tiba-tiba muncul seorang lelaki bertopeng, berbaju gelap dan berseluar jean mengacukan pistol,” katanya.

Tambahnya, semasa kejadian seorang lagi anaknya berusia 16 tahun berada di ruang tamu mengulang kaji pelajaran manakala pembantu rumahnya mengelap lantai dengan pintu rumah terbuka sementara pintu pagar tertutup.

“Seorang lagi anak lelaki saya berusia 22 tahun tidur di bilik berasingan. Penyamun ini dipercayai memanjat pagar rumah sebelum memasuki rumah.

“Dia kemudian mengarahkan kami semua masuk ke bilik utama sebelum mengunci kami dari luar dan menyelongkar rumah,” katanya.

Sew Kiow memberitahu, berikutan kejadian itu, dia kehilangan empat unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah ratusan ringgit dan kamera digital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Adzman Mohd. Jan berkata, polis sedang memburu penjenayah terbabit.

“Kesemua mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960 kerana melepaskan tembakan semasa melakukan samun,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya bersikap lebih berhati-hati walaupun berada di rumah dan jangan memberi peluang kepada penjenayah.

Samun treler: Pemandu lori parah ditetak

Samun treler: Pemandu lori parah ditetak
KUALA LUMPUR 7 Mac - Kejadian pemandu lori diculik dan disamun semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

Pada Jumaat lalu, dua pemandu lori dilaporkan menjadi mangsa samun dan culik sekumpulan lelaki di Bandar Baru Bangi dan di Pekan Batu Gajah, Perak.

Namun, kedua-dua mangsa bernasib baik apabila dibebaskan selain tidak mengalami kecederaan selepas disamun.

Semalam, seorang lagi pemandu lori mengalami nasib yang sama tetapi kali ini, mangsa cedera parah selepas ditikam di perut dan terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kejadian berlaku pukul 1 pagi ketika mangsa, Lee Kuan Hee, 47, memandu treler jenis Scania membawa muatan besi dari Kuantan, Pahang menghala ke ibu negara.

Beliau berkata, setibanya di Kilometer 29.5, Lebuh Raya Karak-Kuala Lumpur, dua lelaki bertopeng bertindak menghalang kenderaan mangsa dan menyamunnya.

"Selepas menikam mangsa, penjenayah itu bertindak melarikan diri bersama telefon bimbit dan treler berisi muatan besi sepanjang 12 meter bernilai RM200,000.

"Besi yang diikat dalam beberapa ikatan itu adalah milik projek Kuala Lumpur Sentral," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, Kuan Hee yang dicampak di tepi lebuh raya bernasib baik apabila ditemui oleh pemandu lain yang kebetulan melalui tempat kejadian tidak lama selepas itu.

Pengguna lebuh raya terbabit kemudian menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian itu dan mangsa dihantar oleh ambulans ke Hospital Selayang.

Sunday, March 6, 2011

Lelaki mati ditetak akibat cemburu

Lelaki mati ditetak akibat cemburu
Oleh Hardi Effendi Yaacob

2011/03/07
Mangsa, wanita diserang dalam bilik hotel

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan berketurunan India Muslim dibunuh kejam dipercayai akibat cemburu di sebuah hotel mewah di ibu negara, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, Ahmad Sharif Akhbar Shah, 26, bersama seorang wanita tidak dikenali dikatakan didatangi sekumpulan lelaki dipercayai anggota kumpulan samseng ke bilik penginapan dan berlaku pertengkaran. Mereka kemudian membelasah peniaga besi buruk itu dan menetaknya dengan parang menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk pada kepala dan mukanya. Wanita terbabit yang belum dipastikan hubungannya dengan mangsa atau kumpulan penyerang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika mengesahkan kejadian, berkata mayat mangsa yang berlumuran darah ditemui pekerja hotel.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa diserang menggunakan objek tumpul dan senjata tajam.

“Kita menolak kes bermotifkan samun kerana semua barang berharga milik mangsa tidak hilang. Kita juga tidak menolak kemungkinan mangsa dan wanita terbabit mengenali penyerang,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Rakan Cop 03-2115 9999 bagi membantu siasatan.

Lelaki bakar rumah dipenjara 5 tahun

Lelaki bakar rumah dipenjara 5 tahun
KUALA TERENGGANU 6 Mac - Gara-gara membakar rumahnya sendiri, seorang lelaki terpaksa meringkuk dalam penjara selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya bersabit kesalahan itu.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu setelah tertuduh, Maliki Mohamed 39, akhirnya mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

Dakwaan terhadapnya dikenakan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api dan jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

Tertuduh yang mengalami kecederaan di kaki serta tangan kanan akibat kejadian itu hanya menundukkan kepala ketika keputusan itu dibaca dan Maliki dihukum bermula tarikh dia ditangkap pada 27 Januari lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di No. 72, Kampung Balik Bukit, Bandar Permaisuri, Setiu pada pukul 12.30 malam, 26 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dikatakan nekad membakar rumahnya sendiri dengan menggunakan mancis setelah naik berang dengan isterinya ekoran pertengkaran yang berlaku antara mereka.

Terdahulu, tertuduh merayu agar hukuman terhadapnya diringankan kerana dia tidak berniat untuk membakar rumahnya sendiri.

"Saya hanya berniat nak bakar asap (ubat nyamuk).

"Tetapi masa nak keluar dari stor, saya tersepak tong petrol sampai minyak tumpah dan api merebak," katanya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mendapati alasan yang dikemukakan lelaki itu didapati tidak berasas serta kurang meyakinkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Zulfazliah Mahmud.

Berdasarkan laporan akhbar sebelum ini, ketika kejadian itu berlaku, isteri tertuduh yang berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pembantu di stesen minyak berhampiran tiada di rumah.

Wanita itu dilaporkan hanya ternampak kepulan asap tebal dari rumah mereka ketika berada di rumah jiran.

Dia mengesyaki kebakaran tersebut berpunca daripada suaminya kerana lelaki itu pernah mengugut berbuat demikian ketika mereka bertengkar sebelum ini.

Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah stor dan bengkel membaiki motosikal yang terletak berhampiran dan kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM100,000

Menculik di Kuala Terengganu, diberkas di Kota Kinabalu

Menculik di Kuala Terengganu, diberkas di Kota Kinabalu
KUALA TERENGGANU 6 Mac - Meskipun berjaya menyembunyikan diri selama lima tahun, seorang suspek yang dikehendaki polis negeri ini kerana menculik kanak-kanak berusia tiga tahun untuk tebusan di Kuala Ibai dekat sini, pada 2006, akhirnya berjaya diberkas di Sabah, Selasa lalu.

Suspek berusia 30 tahun yang merupakan juruelektrik ditahan dalam serbuan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Inanam, Kota Kinabalu, pukul 7.35 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, kejayaan itu diperoleh hasil kerjasama polis kedua-dua negeri tersebut.

"Hasil maklumat, kita berjaya mengenal pasti identiti dan alamat tempat tinggal suspek sebelum meminta bantuan polis Sabah untuk menahannya.

"Suspek yang berjaya ditahan itu dibawa ke Terengganu dan direman sehingga 9 Mac ini untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 22 Oktober 2006, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun telah dilarikan suspek ketika ibu bapa mangsa yang merupakan peniaga tidak berada di rumah.

Sejurus selepas kejadian, ibu bapa mangsa telah menerima panggilan yang menuntut wang tebusan RM200,000 untuk mendapatkan anaknya kembali.

Bagaimanapun, ibu bapa mangsa yang tidak mampu menyediakan wang itu, menyerahkan wang tunai RM20,000 selain cek bernilai RM22,800 kepada suspek.

Suspek kemudian melepaskan kanak-kanak berkenaan pada pukul 2 petang hari yang sama dalam keadaan baik sebelum menghilangkan diri.

Difahamkan, sebelum kejadian suspek dikatakan bekerja memasang wayar di rumah mangsa sebelum menculik kanak-kanak terbabit yang ketika itu tinggal bersama orang gaji.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961.

Pesara tentera dibelasah curi beras, tong gas

Pesara tentera dibelasah curi beras, tong gas
KUALA TERENGGANU 6 Mac - Seorang pesara tentera menerima padah dibelasah oleh orang ramai kerana mencuri tiga kampit beras dan satu tong gas memasak berhampiran sebuah pasar raya di Kuala Ibai, dekat sini, semalam.

Lebih malang, suspek berusia 37 tahun dipukul sehingga cedera di muka dan badan di hadapan anak dan isterinya yang sedang sarat mengandung.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, perbuatan jenayah suspek itu disedari seorang lelaki yang dipercayai pemilik sebuah kedai runcit.

Lelaki tersebut berjaya mengecam wajah suspek yang dikatakan pernah melakukan perbuatan sama di kedai runcitnya sebelum ini.

Menurut saksi yang ingin dikenali sebagai Hassan berusia 23 tahun, suspek terbabit pernah mencuri barangan keperluan asas seperti beras dan tong gas memasak dari beberapa buah kedai runcit di kawasan itu, beberapa hari lalu.

Katanya, berikutan itu, pemilik kedai runcit berkenaan mengecam wajah suspek dan kebetulan dia turut mengunjungi pasar raya berhampiran.

"Suspek mencuri beras dan tong gas memasak dengan memaklumkan kepada pekerja di sebuah kiosk berdekatan untuk tumpang meletakkan barang-barang berkenaan kerana sukar untuk membawanya menggunakan motosikal.

"Dia datang dengan sebuah kereta membawa isteri dan anak untuk ambil barang tapi selepas tahu barang itu dicuri, penduduk terus tangkap dan pukul dia," katanya ketika ditemui dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan ketika dihubungi hari ini mengesahkan kes berkenaan.

Katanya, semua barangan yang dicuri iaitu tiga kampit beras dan satu tong gas memasak berjaya dirampas daripada suspek.

"Siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah sama menggunakan modus operandi berpura-pura untuk membeli barang sebelum melarikan barang-barang terbabit ke kawasan lain," katanya.

Tambahnya, dalam kejadian berkenaan suspek yang bekerja sebagai buruh itu cedera di bahagian muka dan anggota badan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia tidak mengambil dadah," katanya.

Wednesday, March 2, 2011

75 ditahan, tujuh pusat judi digempur

75 ditahan, tujuh pusat judi digempur


2011/03/03


ANGGOTA polis mengangkat peralatan judi di premis perjudian di Taman Sentosa, Jalan Klang Lama, semalam.KUALA LUMPUR: Berpuluh-puluh kaki judi bertempiaran lari selepas Polis Kuala Lumpur menggempur tujuh premis perjudian di Jalan Sri Sentosa 8, Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini, petang semalam.

Bagaimanapun, 68 orang yang bermain judi mesin komputer berusia 20 hingga 80 tahun serta tujuh penjaga premis berjaya diberkas ketika sedang leka bermain mesin judi. Kejayaan operasi itu dikatakan berikutan taktik digunakan Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur yang membawa anggota dari luar daerah seperti Cheras, Sentul dan Dang Wangi untuk melakukan operasi. Dalam operasi itu, 79 komputer yang diubahsuai menjadi mesin judi dirampas dalam serbuan ke atas lapan premis di Taman Sri Sentosa.

Pegawai Turus D7, Deputi Superintendan Azman Mohd Isa, berkata ketujuh-tujuh premis itu disyaki sudah beroperasi sejak setahun lalu.

“Kita percaya, faktor kawasan perumahan yang banyak di sekitarnya mendorong dalang atau pemilik premis perjudian menjalankan aktiviti mereka dengan harapan mengaut keuntungan yang tinggi,” katanya.

Ekoran kejayaan operasi itu, polis akan mengusulkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil langkah menyita semua premis perniagaan terbabit kerana menyalahgunakan bangunan mereka untuk operasi haram.
Semua ditahan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka, manakala mereka yang ditahan kerana bermain judi dibawa ke Balai Polis Sri Petaling bagi proses dokumentasi.

Polis Sabah berjaya tumpaskan Geng Mamat

Polis Sabah berjaya tumpaskan Geng Mamat
KOTA KINABALU 2 Mac - Polis Sabah berjaya menumpaskan 'Geng Mamat', kumpulan penjenayah warga asing yang terlibat dalam 28 kes rompakan bersenjata di negeri ini, Johor dan Terengganu, selepas menahan lima ahli anggotanya baru-baru ini.

Kelima-lima penjenayah lelaki itu diberkas hasil serbuan polis di sebuah rumah banglo di Taman Palma, Jambatan Putih di Tawau pada 14 Februari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kumpulan itu dikatakan terlibat dalam 22 kes rompakan bersenjata di Tawau, lima di Johor dan satu kes di Terengganu sejak 2009.

"Polis Sabah menubuhkan satu pasukan khas untuk memburu 'Geng Mamat' ini selepas mereka dikatakan terlibat dalam satu rompakan di Tawau membabitkan kerugian RM65,000 pada 11 Februari lalu.

"Susulan daripada itu, kita berjaya memberkas lima warga asing ahli kumpulan tersebut yang berusia 22 hingga 27 tahun dalam Ops Rantau di Tawau baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini.

Menurut Hamza, siasatan lanjut mendapati hanya seorang daripada lima suspek itu memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Polis, kata beliau, sedang menyiasat bagaimana empat suspek lagi mampu bergerak di negeri ini selain memasuki Semenanjung untuk melakukan jenayah tersebut.

Ditanya mengenai modus operandi kumpulan itu, beliau berkata, mereka menggunakan pengumpil logam untuk memecah rumah mangsa sebelum merompak penghuni rumah itu dengan parang panjang atau pedang samurai.

Bagaimanapun, katanya, tiada kejadian bunuh yang dilapor melibatkan kumpulan penjenayah ini malah Geng Mamat juga tidak menggunakan senjata api ketika melakukan rompakan.

Kastam rampas rokok seludup RM4j

Kastam rampas rokok seludup RM4j

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my



ZULKIFLI Yahya (kiri) menunjukkan rokok yang dirampas dari sebuah kontena di Terminal Kontena Butterworth Utara pada sidang media di Bukit Mertajam, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



BUKIT MERTAJAM 2 Mac – Cubaan menyeludup rokok bernilai lebih RM4 juta dengan memalsukan dokumen oleh satu sindiket gagal apabila taktik itu berjaya dihidu oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Sebuah kontena yang ditahan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) diikrarkan sebagai mengandungi kertas tebal untuk kulit buku seberat 24.1 tan menggunakan alamat sebuah kilang di Perai dekat sini.

Namun, hasil pemeriksaan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendapati kontena sepanjang 12.1 meter dari Thailand itu mengandungi 760 kotak atau 7.6 juta batang rokok putih jenama Zon King.

Pengarah JKDM negeri, Datuk Zulkifli Yahya berkata, kesemua rokok seludup itu dianggarkan bernilai RM836,000 dan melibatkan cukai sebanyak RM3,888,160.

“JKDM bertindak hasil maklumat awam yang diterima pada pukul 3.10 petang pada 28 Februari lalu dan menahan kontena terbabit di NBCT.

“Berdasarkan Borang Kastam 1 yang diikrarkan, pengimport kontena itu adalah sebuah kilang di Perai namun hasil siasatan didapati syarikat terbabit tidak terlibat langsung dalam kegiatan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, sindiket berkenaan dipercayai cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengunakan alamat palsu pada borang ikrar. Pihaknya masih mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu.

Selain itu, beberapa kotak rokok yang diperiksa juga mempunyai tanda ‘Amaran Oleh Kerajaan Malaysia’ namun tiada setem cukai, dakwat keselamatan serta gambar amaran yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.

Tambah Zulkifli, tiada tangkapan dibuat setakat ini namun ejen perkapalan itu sedang disoal siasat mengenai pengimportan tersebut.

“Pengimportan rokok adalah dilarang di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 kecuali dengan lesen yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 (Semakan 1980) iaitu mengimport atau mengeksport apa-apa barang tak berkastam atau barang larangan,” ujarnya.

Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda maksimum 20 kali ganda nilai dagangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, seseorang boleh didenda maksimum 40 kali ganda nilai dagangan atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Warga Afrika Selatan monopoli sindiket pengedaran dadah

Warga Afrika Selatan monopoli sindiket pengedaran dadah
KUALA LUMPUR 2 Mac - Selepas kejayaan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah membabitkan warga Iran, kegiatan itu kini dikatakan didominasi oleh warga dari negara Afrika Selatan.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, berlaku peningkatan jumlah tangkapan dilakukan ke atas warganegara tersebut berbanding warga Iran yang kini dilihat semakin menurun.

Situasi ini berlaku berikutan perubahan modus operandi yang digunakan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang tidak lagi tertumpu kepada penyeludup warga Iran.

Perkara ini diakui sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim yang berkata, polis menyedari senario itu dan kini meningkatkan kawalan terhadap kemasukan warga dari negara tersebut.

"Tumpuan operasi tidak hanya tertumpu di lapangan-lapangan terbang sahaja malah pemantauan akan diadakan di perairan-perairan pintu masuk negara dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk memintas bekalan dadah masuk ke negara ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Noor Rashid bagaimanapun tidak menyenaraikan jumlah tangkapan membabitkan warga Afrika Selatan dalam sindiket pengedaran dadah di negara ini.

Beliau memberitahu, sepanjang dua bulan tahun ini, pihaknya berjaya melakukan tangkapan sebanyak 27,704 orang atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik di seluruh negara.

Noor Rashid memberitahu, pihaknya juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM48.08 juta pada bulan Januari dan Februari tahun ini.

"Daripada jumlah rampasan tersebut tersebut, dadah jenis syabu mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu sebanyak RM43.61 juta," ujarnya.

Noor Rashid memberitahu, pencapaian ini merupakan hasil kejayaan PDRM yang menjalankan pelbagai operasi bagi menggagalkan usaha penyeludupan masuk dadah selain membanteras segala aktiviti narkotik.