Penganggur dituduh sebabkan kematian teman wanita
SUNGAI PETANI 15 Mac - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian teman wanitanya yang dipercayai enggan menyerahkan bayi mereka untuk dijual akibat kesempitan wang.
V. Vethnagaran, 22, didakwa membunuh tanpa niat ke atas K. Magasulie, 33, dengan menggunakan wayar kabel periuk nasi dan paip getah di sebuah rumah bernombor D-387, Jalan Indah 6, Taman Sejati Indah di sini kira-kira pukul 7 pagi, 4 Mac lalu.
Dakwaan terhadap lelaki itu mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Shazwani Syed Hussin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Hakim Zainol Saad membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 16 Mei ini.
Vethnagaran bagaimanapun terpaksa dihantar ke Penjara Pokok Sena setelah gagal membayar wang jaminan tersebut.
Akhbar pada 5 Mac lalu melaporkan, seorang wanita ditemui mati dengan kesan lebam di kepala setelah dipercayai bertengkar dengan teman lelakinya.
Perselisihan faham itu berlaku selepas wanita tersebut dipercayai enggan menyerahkan bayi mereka untuk dijual kepada orang lain akibat kesempitan hidup.
Pasangan tersebut memperoleh bayi tersebut selepas bersekedudukan sejak lebih setahun lalu
Tuesday, March 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment