Monday, March 28, 2011

Akhirnya buruan polis Man Dayak dicekup

Akhirnya buruan polis Man Dayak dicekup


MOHD. Nor Rasid menunjukkan hasil rampasan dadah di Mersing, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



MERSING 28 Mac - Setelah menjadi buruan polis sejak sekian lama, akhirnya Man Dayak, seorang lelaki yang amat dikehendaki kerana dipercayai terlibat dalam kes pengedaran dadah di daerah itu berjaya dicekup, semalam.

Serbuan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing itu diketuai Cif Inspektor Kennneth Oliver Samual.

Penjenayah yang berusia 40 tahun itu terperangkap dalam serbuan ke atas sebuah setor di sebuah rumah di Endau, dekat sini pukul 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Nor Rasid berkata, Man Dayak yang mempunyai 14 rekod jenayah berjaya ditangkap hasil intipan dan risikan pihak polis selama tiga bulan.

"Polis membuat serbuan ke rumah berkenaan dan hasilnya kita berjaya merampas 583 gram dadah jenis heroin dan 3.75 gram syabu bernilai RM12,000.

"Selain itu, wang hasil pengedaran sebanyak RM5,850 turut dirampas," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mohd. Nor memberitahu, suspek yang berasal dari daerah ini dan bekerja sebagai petani pernah menjalani hukuman di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas dan buang daerah sebanyak tiga kali berkaitan kes dadah sejak 1989.

Katanya, polis percaya dengan tertangkapnya suspek dapat melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah terbesar di Mersing.

Tambahnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari serta akan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

No comments:

Post a Comment