Wednesday, March 16, 2011

Juruelektrik didakwa culik kanak-kanak

Juruelektrik didakwa culik kanak-kanak


WAN Chee How ketika hadir di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA TERENGGANU 16 Mac - Seorang juruelektrik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM50,000, lima tahun lalu.

Wan Chee How, 30, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah beralamat PT, 983K, Taman Ibai Indah, Kampung Tok Adis, Kuala Ibai di sini kira-kira pukul 12 tengah hari, 22 Oktober 2006.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa mengurung kanak-kanak berkenaan di dalam sebuah kereta dengan niat untuk menuntut wang tebusan tersebut.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Memandangkan kes ini melibatkan hukuman mati, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Majistret Nor Azizah Yusof menetapkan 28 April ini sebutan semula kes tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chooi Gaik manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Memetik laporan akhbar, lelaki itu dipercayai melarikan kanak-kanak itu ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah sebelum menuntut sejumlah wang tebusan.

Dia sebelum itu dilaporkan pernah bekerja memasang wayar di rumah ibu bapa kanak-kanak berkenaan yang bekerja sebagai peniaga.

Tertuduh ditahan dalam serbuan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah pada 1 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment