Anggota bomba padam kebakaran dipukul
PULAU PINANG 16 Mac - Hanya kerana tidak berpuas hati kehendak mereka tidak dipenuhi, beberapa penduduk sekitar Jalan Bukit Dumbar di sini, sanggup memukul seorang pegawai bomba yang sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sebuah kilang papan di kawasan itu, hari ini.
Sikap tidak bertanggungjawab itu menyebabkan operasi pemadaman kira-kira pukul 8 pagi tersebut bertukar kecoh.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tamat berkata, kejadian berpunca apabila penduduk mengarahkan anggotanya menyiram air di kawasan yang tidak disambar api berhampiran rumah mereka.
Bagaimanapun, katanya, anggota bomba yang sedang bertugas memadam kebakaran berkenaan enggan berbuat demikian.
"Tiba-tiba, datang seorang daripada lelaki terbabit berusia 50-an terus memaki hamun sebelum memukul seorang pegawai bomba berpangkat penyelia yang mengetuai operasi memadam kebakaran itu.
"Berlaku pergelutan antara pegawai bomba dan lelaki tersebut sebelum dapat dileraikan anggota bomba lain. Mereka kemudian menghubungi polis," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata Azmi, pegawai berusia 50 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Jelutong bagi pihak jabatannya kerana lelaki tersebut mengganggu tugas pasukan berkenaan.
Beliau yang kesal dengan insiden tersebut, bagaimanapun menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.
"Saya menasihati orang ramai agar menghormati anggota bomba ketika mereka menjalankan tugas kerana semua anggotanya terlatih dan tahu apa yang harus dilakukan," katanya.
Azmi berkata, berdasarkan Seksyen 18 Akta Perkhidmatan Bomba 1988, seseorang pegawai bomba mempunyai kuasa untuk mengeluarkan orang awam dari tempat kejadian jika didapati mengganggu tugas bomba.
Selain itu, kata beliau, Seksyen 51 akta sama memperuntukkan kuasa kepada pegawai bomba untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap orang awam yang sengaja mencaci, menyerang, mengacau atau menghalang pegawai bomba melaksanakan tugas mereka.
Terdahulu, kata Azmi, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran sebuah bangunan kosong yang pernah dijadikan kilang papan di Jalan Bukit Dumbar pada pukul 7.45 pagi.
Katanya, empat jentera bersama 28 anggota yang dikejarkan ke tempat kejadian lima minit kemudian mengawal api daripada merebak ke bangunan-bangunan kilang kayu dan gaharu bersebelahan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi hari ini mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu pihaknya menerima dua laporan berasingan mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, laporan itu masing-masing dibuat oleh pegawai bomba serta salah seorang penduduk tersebut dan kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan
Wednesday, March 16, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment