Tuesday, March 1, 2011

30 ditahan dalam pesta dadah, arak

30 ditahan dalam pesta dadah, arak
KUALA LUMPUR 1 Mac - Majlis sambutan hari jadi yang diadakan di sebuah bilik hotel di ibu negara bertukar menjadi pesta liar apabila 30 individu yang terlibat dalam sambutan itu termasuk lima wanita ditahan kerana menagih dadah dan mengambil minuman keras.

Serbuan sepasukan anggota dan pegawai polis di sebuah hotel di Jalan Pudu, Cheras kira-kira pukul 4 pagi Sabtu lalu itu dibuat hasil maklumat orang awam yang tidak tahan dengan bunyi bising dan muzik yang kuat dari bilik hotel berkenaan.

Menurut sumber, mereka yang ditahan berusia antara 18 tahun hingga 30 tahun sedang menari dalam keadaan khayal dan mabuk ketika serbuan dilakukan.

Beberapa peket dadah jenis ketamin, heroin, Eramin 5 dan ekstasi selain berpuluh-puluh tin dan botol arak ditemui di atas lantai bilik hotel itu.

"Bilik hotel berkenaan dipercayai ditempah khusus untuk majlis sambutan hari jadi. Bagaimanapun ia bertukar liar selepas tengah malam.

"Bunyi bising muzik yang kuat dan jeritan suara mereka menganggu penghuni lain dan kakitangan hotel berkenaan menyebabkan mereka membuat aduan kepada polis," kata sumber itu lagi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan tangkapan tersebut.

"Hasil pemeriksaan air kencing mendapati, seramai 19 orang termasuk dua wanita daripada mereka positif mengambil dadah.

"Kesemua yang ditahan bekerja di sektor swasta dan sudah lama mengenali antara satu sama lain," katanya.

Beliau memberitahu, kesemua mereka kini ditahan reman sehingga Khamis ini dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Mohan menasihatkan ibu bapa agar mengambil tahu pergerakan dan aktiviti anak-anak mereka supaya tidak terpengaruh dengan budaya barat yang melampau.

"Pergaulan bebas tanpa batas dan pengunaan dadah dan arak bukan satu amalan hidup yang sihat. Ia bukan sahaja merosakkan diri dan masa depan, malah menjejaskan maruah keluarga," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment