Monday, March 14, 2011

Dua sepupu dipenjara 10 tahun, 10 sebatan

Dua sepupu dipenjara 10 tahun, 10 sebatan
KUALA TERENGGANU 13 Mac - Dua sepupu dihukum penjara masing-masing 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah.
Hassan Harun, 38, dan Rosli Latip, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datuk Mohd. Yazid.
Bagaimanapun seorang lagi tertuduh iaitu isteri Hassan yang merupakan warga Thailand, Yothaka Yakoh, 30, terselamat daripada dikenakan sebarang hukuman apabila pertuduhan yang dikenakan terhadapnya ditarik balik.
Hassan dituduh memiliki 136 botol heroin seberat 126.78 gram ketika mereka ditangkap di dalam sebuah kereta jenis Proton Gen2 pada 4 Mac 2010, pukul 12.30 tengah malam di hadapan sebuah klinik di Kuala Ibai dekat sini.
Ketika tangkapan dilakukan, wanita itu turut berada di dalam kereta tersebut bersama anak lelakinya yang ketika itu berusia setahun lima bulan.
Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.
Bagaimanapun, Hassan dan Rosli mengaku dadah itu milik mereka dan menegaskan bahawa ia tiada kaitan dengan Yothaka.
Hakim Mohd. Yazid berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kesanggupan kedua-dua tertuduh mengaku salah dan memberitahu sudah benar-benar insaf.
Bagaimanapun, beliau turut mengambil kira beberapa faktor lain seperti sifat tamak kedua-dua tertuduh yang menyebabkan mereka terjebak dalam jenayah tersebut.
"Sepatutnya faktor ada ibu, anak dan isteri jadi penghalang daripada melakukan kesalahan ini dan kedua-dua tertuduh juga sudah matang untuk memikirkan baik buruk perbuatan itu," katanya dalam penghakiman.
Oleh itu, jelasnya, adalah wajar untuk mahkamah menjatuhkan hukuman yang agak berat ke atas mereka berdua memandangkan mahkamah juga perlu menepati jangkaan orang ramai berhubung hukuman atas kesalahan tersebut.
Katanya, hukuman penjara yang bermula dari tarikh tangkapan itu juga diharap dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Ooi Chooi Gaik dan tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed.

No comments:

Post a Comment