Thursday, March 31, 2011

Penyamun ditembak mati cuba serang polis

Penyamun ditembak mati cuba serang polis
JOHOR BAHRU 31 Mac - Polis menembak mati seorang daripada 10 penyamun yang cuba menyerang anggota dengan parang ketika kumpulan itu merompak sebuah pusat snuker di Bandar Baru Permas Jaya, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, seorang lagi rakannya yang terkena tembakan di bahagian kaki sempat melarikan diri bersama tujuh lagi suspek.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kumpulan penyamun tersebut disifatkan berbahaya kerana turut menetak tiga mangsa termasuk seorang daripadanya pekerja premis.

Menurutnya, salah seorang mangsa sempat melarikan diri dan ke balai polis berdekatan untuk meminta bantuan.

"Dua anggota polis bergegas ke pusat snuker itu dan setibanya di situ, kumpulan berkenaan cuba melarikan diri.

"Apabila diarah supaya menyerah, mereka enggan berbuat demikian, malah bertindak menyerang anggota polis.

"Bagi mempertahankan diri, polis melepaskan tiga das tembakan dan mengenai dua suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Katanya, semua mangsa yang ditetak kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kerugian membabitkan wang tunai berjumlah RM1,200, seutas rantai milik mangsa dan dua telefon bimbit.

Beliau meminta pihak klinik dan hospital sama ada kerajaan atau swasta melaporkan kepada polis jika menerima pesakit yang terkena tembakan atau cedera parah.

"Orang ramai juga perlu beri kerjasama kerana kumpulan penjenayah itu ganas dan amat bahaya. Mereka tidak teragak-agak menyamun dan menetak mangsa," katanya.

No comments:

Post a Comment