Cubaan tujuh lelaki rompak kapal dagang gagal
JOHOR BAHRU 9 Mac - Kecekapan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan berjaya menggagalkan cubaan tujuh lelaki warga asing untuk merompak sebuah kapal dagang yang sedang berlabuh di perairan Pengerang, Kota Tinggi, awal pagi ini.
Kejadian pukul 3.15 pagi itu melibatkan kapal MT Front Queen ketika berlabuh di kedudukan 2.8 batu nautika (5 kilometer) dari Pulau Mungging.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata, semasa insiden, bot Kilat pasukan itu sedang meronda di perairan berdekatan sebelum mendengar siren kecemasan dari kapal berkenaan.
Katanya, bot Kilat itu lalu bergegas ke kapal tersebut dan melihat tujuh lelaki di dalam sebuah bot kayu sedang membuang dua batang galah panjang serta sejumlah barangan di dalam plastik ke dalam laut.
Tambahnya, kesemua mereka dipercayai berbuat demikian untuk menghilangkan bukti.
"Anggota bot Kilat kemudian meminta bantuan sebuah lagi bot laju, bot Petir, sebelum kesemua sembilan anggota tersebut menahan tujuh lelaki itu yang disyaki baru selesai melakukan rompakan.
"Pemeriksaan awal menemui sebilah kapak, pisau, beberapa batang sepana, dompet, topeng dan barangan lain," katanya pada sidang akhbar di Jeti Tanjung Puteri, di sini hari ini.
Difahamkan, motif utama rompakan tersebut adalah untuk mendapatkan alat ganti kapal selain barangan berharga milik anak kapal.
Zulkifli berkata, siasatan mendapati, seorang anak kapal MT Front Queen berjaya melarikan diri ke anjung kapal sebelum bertindak menghubungi pegawai bertugas untuk membunyikan siren kecemasan.
Menurutnya, kesemua 20 anak kapal MT Front Queen yang berdaftar di Pulau Majuro dan kaptennya, warganegara Rusia tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Suspek-suspek yang berusia 28 hingga 33 tahun dari negara jiran itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan dan kami juga akan mendapatkan kerjasama daripada pihak polis.
"Kita masih menyiasat sama ada kesemua suspek turut terlibat dalam kejadian rompakan terhadap kapal dagang lain di kawasan tersebut," katanya.
Sementara itu, Zulkifli memberitahu, sepanjang Januari hingga kini, sebanyak 11 kes rompakan termasuk tiga kes cubaan merompak kapal dilaporkan di sekitar perairan Johor.
Pihaknya akan terus menggiatkan usaha termasuk meningkatkan jaringan komunikasi bersama komuniti maritim di sekitar perairan selatan tanah air bagi membendung kegiatan jenayah itu daripada terus berleluasa.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah seumpama itu boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Wilayah Selatan di talian 07-2199401.
Wednesday, March 9, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment