Pelbagai jenis dadah bernilai RM53,500 dirampas
ALOR SETAR 28 Mac - Polis memberkas empat lelaki termasuk seorang remaja bawah umur dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM53,500 dalam tiga operasi berasingan pada 25 Mac lalu dan kelmarin.
Menurut Ketua Polis Negeri, Datuk Ahmad Ibrahim, operasi pertama pada 25 Mac pukul 10.35 malam berjaya memberkas seorang lelaki warga Afrika di stesen bas Shahab Perdana di sini.
"Hasil pemeriksaan fizikal ke atas suspek menemui 15 ketulan mampat disyaki ganja seberat 14.75 kilogram (kg) bernilai RM37,500 di dalam sebuah beg dibawanya.
"Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan reman sehingga 1 April ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri di sini hari ini.
Ahmad menambah, remaja bawah umur berusia 17 tahun itu ditahan dalam operasi kedua pada pukul 3.30 pagi bersama seorang lelaki berusia 28 tahun di Changloon, semalam.
"Pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan yang mereka naiki menemui pelbagai jenis dadah termasuk 17.25 gram heroin, 8.7 gram ganja, 3.47 gram syabu dan 40 biji pil yang bertulis WY dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM7,000.
"Remaja tersebut dipercayai sudah tidak bersekolah sementara rakannya mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk kesalahan dadah," jelas beliau.
Katanya, kes tersebut juga disiasat di bawah seksyen dan yang sama dan boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Dalam operasi ketiga katanya, seorang penganggur ditahan di sebuah rumah di Taman Seruling Sungai Petani kerana memiliki 24.5 gram dadah jenis syabu, semalam.
"Pemeriksaan lanjut di rumah tersebut turut menemui sepucuk pistol semi automatik dan sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Ayer Itam, Pulau Pinang.
"Ujian air kencing ke atas lelaki berusia 33 tahun itu juga positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Menurut Ahmad, suspek ditahan di bawah Seksyen 39A (1), Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama dan Seksyen 8 Akta Senjata Api.
Monday, March 28, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment