3 penganggur dihukum gantung
Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my
P. THIAGARAJAM (kiri), K. Kukan (kiri, belakang) dan T. Gopal Khisnan (dua dari kanan) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
--------------------------------------------------------------------------------
SHAH ALAM 7 Mac - Tiga penganggur dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang mandur ladang dengan mengelar leher mangsa, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu terhadap K. Kukan, 26, P. Thiagarajam, 26, dan T. Gopal Khisnan, 21, selepas mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Kesemua tertuduh didakwa bersama dua lagi yang masih bebas membunuh R. Sankapillay, 56, di rumah No. 47, Rumah Murah, Taman Ladang Tanamera, Batang Berjuntai dekat sini pada pukul 7.40 malam, 5 Mac 2009.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
''Keterangan bersumpah kesemua tertuduh sukar dipercayai oleh mahkamah kerana gagal membuktikan bahawa mereka berada di lokasi seperti yang dinyatakan dalam notis alibi.
''Alamat yang dinyatakan oleh kesemua tertuduh dan saksi alibi masing-masing dalam keterangan bela diri adalah berbeza dengan alamat yang dinyatakan di dalam notis tersebut,'' kata beliau.
Menurut hakim tersebut, Kukan yang merupakan tertuduh pertama menyatakan ketika kejadian dia berada di tempat lain iaitu di Taman Mawar, Kuala Selangor namun di dalam notis alibi alamat yang dinyatakan adalah di Jalan KSU 2/2 Taman Kuala Selangor Utama.
Manakala bagi Thiagarajam, ibu saudaranya ketika memberikan keterangan pembelaan mendakwa tertuduh berada di rumahnya di Flat Damansara Damai namun dalam keterangan alibi alamat yang dinyatakan adalah Vista Apartmen Jalan PJU 10/3D, Damansara Damai.
Tertuduh ketiga, Gopal Khisnan turut memberikan alamat yang bercanggah dengan keterangan bela diri oleh bapa saudaranya iaitu di Batu Arang dan bukannya di Taman Bandar Tasik Puteri seperti didakwa bapa saudaranya.
Kukan dan Thiagarajam diwakili peguam K. Viknesvaran manakala Gopal Khisnan diwakili oleh peguam T. Joshua Sambanthan.
Sepanjang perbicaraan seramai 16 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan memberikan keterangan termasuk kesemua tertuduh.
Berdasarkan laporan bedah siasat yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong, mangsa mati disebabkan luka berganda di leher dan kepala serta tulang tengkorak terputus berpunca daripada senjata tajam.
Menurut keterangan oleh anak perempuan mangsa yang merupakan saksi pendakwa ketiga, ketika kejadian kesemua tertuduh menyerbu masuk ke rumahnya dan meletakkan parang ke leher mangsa.
Menurutnya saksi itu lagi, Gopal Khisnan (tertuduh ketiga) seterusnya menetak mangsa lebih kurang 10 minit dengan menggunakan parang panjang.
Selepas selesai prosiding, ketiga-tiga tertuduh dilihat menjerit kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu sambil memarahi jurugambar yang cuba merakamkan wajah mereka.
Monday, March 7, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment