Tuesday, March 8, 2011

3 lelaki Iran telan 40 ketul syabu

3 lelaki Iran telan 40 ketul syabu

Oleh ANGELINA SINYANG dan ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Mac - Hanya kerana ingin menambah wang belanja melancong di negara ini, tiga lelaki warga Iran sanggup bergadai nyawa menelan 40 ketulan dadah jenis syabu.

Helah mereka menyeludup dadah itu bagaimanapun sia-sia apabila mereka ditahan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketiga-tiga suspek ditahan selepas dikesan menelan ketulan dadah berkenaan sejurus mereka tiba melalui penerbangan dari Qatar, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, suspek ditahan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di KLIA.

Menurutnya, pelancong berusia 25, 31 dan 37 tahun itu tiba untuk kali pertama di negara ini ketika ditahan.

"Selepas tidak menemui sebarang bukti pada fizikal suspek, polis kemudian membawa ketiga-tiga lelaki berkenaan untuk dilakukan X-ray.

"Hasilnya, 40 ketulan berisi dadah jenis syabu ditemui di dalam perut ketiga-tiga mangsa. Ketulan dadah tersebut dikeluarkan selepas itu melalui proses pembuangan air besar," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Noor Rashid menambah, kesemua dadah jenis syabu seberat 400 gram yang dibawa oleh warga Iran terbabit dianggarkan bernilai RM700,000.

Beliau memberitahu, hasil siasatan mendapati tujuan ketiga-tiga suspek datang ke negara ini adalah untuk melancong.

"Tetapi bagi menambah wang belanja, mereka (suspek) menyeludup dadah yang dibeli sekitar RM50,000 hingga RM60,000 sekilogram di Iran.

"Suspek dipercayai akan menjual dadah tersebut kepada kenalan senegara sebelum meneruskan aktiviti perlancongan," ujarnya.

Beliau berkata, suspek-suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment