Monday, March 28, 2011

Pasangan Leftenan Komander TLDM disamun

Pasangan Leftenan Komander TLDM disamun
SITIAWAN 28 Mac - Pengalaman disamun empat lelaki bersenjatakan parang mungkin sesuatu yang sukar dilupakan buat pasangan Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Laut (TLDM) ini kerana turut diacukan parang di leher.

Namun dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Banjar, Gelong Gajah, dekat sini awal pagi ini, juga disifatkan sesuatu jarang berlaku apabila suspek menunjukkan sifat-sifat belas kasihan.

Suspek-suspek bukan sahaja bercakap dalam nada yang rendah tetapi membuka ikatan bagi membenarkan isteri mangsa menyusukan bayi selain mendukung anak keduanya dan memberi kain telekung kepada pembantu rumah untuk menutup tubuhnya yang terdedah.

Dalam kejadian pukul 3.10 pagi itu, Leftenan Komander, Razali Mohd. Arsad, 34, dan Leftenan Komander, Mahazean Mat Lawi, 32, yang sedang tidur diserbu empat lelaki disyaki rakyat tempatan bersenjatakan parang dengan berpakaian ala ninja.

Menurut Razali, suspek-suspek menyuruhnya berkumpul dalam sebuah bilik sebelum diikat manakala dua adik perempuan isterinya diselimutkan dengan sehelai kain cadar.

"Mujurlah ketika bayi, Nor Batrisya Najwa berusia tiga bulan, merengek, suspek membuka tali dan membenarkannya menyusukan anak kami.

"Mereka tidak menengking cuma meminta kami supaya diam dan memberikan kerjasama. Selain itu mereka juga mengugut membakar rumah jika kami membuat laporan polis," katanya ketika ditemui di kediaman mertuanya di sini hari ini.

Razali memberitahu, kumpulan suspek itu didapati memecah masuk dengan mengumpil tingkap sebuah bilik sebelum menggunakan tong gas bagi memecah masuk ke biliknya.

Beliau kerugian hampir RM15,000 apabila komputer riba, telefon bimbit, barangan kemas dan wang tunai dilarikan.

"Keempat-empat lelaki itu diyakini merupakan orang tempatan berdasarkan gaya bahasa walaupun ada antara mereka cuba mengelirukan dengan menggunakan dialek Indonesia," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment