Tuesday, March 15, 2011

Tiada CCTV sukar kesan taktik kotor amah

Tiada CCTV sukar kesan taktik kotor amah


2011/03/16
KUALA LUMPUR: Pelbagai taktik kotor dikesan digunakan segelintir pembantu rumah Indonesia dan Kemboja, termasuk mendakwa dicabul dan diseksa ahli keluarga majikan sebagai alasan untuk pulang ke negara asal sebelum kontrak tamat.

Difahamkan, taktik itu sering digunakan terhadap majikan yang tidak memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman atau premis perniagaan mereka, sekali gus menyukarkan mereka membuktikan dakwaan dilemparkan pembantu rumah masing-masing. Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong, juga mendedahkan ada pembantu rumah warga asing mencampurkan air kencing dalam sup dihidangkan kepada majikan kerana tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan pulang ke negara asal mereka sebelum tempoh kontrak berakhir. “Ini adalah sebahagian daripada kes pembantu rumah menganiaya majikan yang saya terima. Justeru, saya meminta majikan yang mahu mengambil pembantu rumah warga asing melengkapkan rumah atau premis mereka dengan CCTV.

“Penggunaan CCTV penting bagi mengelakkan kita terperangkap dalam perangkap mereka, termasuk ada yang mendakwa dicabul dan diseksa. saya juga dapat maklumat, ada pembantu rumah sanggup menoreh tangan sendiri dan menuduh anak majikan melakukannya,” katanya di sini, semalam.

Chong berkata, pihaknya menerima 11 aduan berhubung taktik pembantu rumah itu sepanjang tahun lalu, selain tiga kes tahun ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati pembantu rumah itu bertindak demikian disebabkan mahu pulang ke negara asal sebelum kontrak perkhidmatan mereka tamat,” katanya.
Seorang ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Chong, 40, turut mengalami nasib sama, berkata pembantu rumahnya berusia 20-an yang baru diambil November tahun lalu hanya berkhidmat selama dua bulan sebelum melarikan diri Januari lalu.

“Lebih mengejutkan, dia (pembantu rumah) mengadu kepada ejen mengatakan tidak tahan bekerja dengan alasan saya mencabulnya. Perkara itu diketahui apabila ejen menghubungi saya untuk pengesahan.

“Walaupun berulang kali menidakkan perkara itu, saya tidak dapat membuktikannya kerana tiada CCTV di rumah. Saya kemudian membuat laporan polis supaya polis dakwaan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment