Monday, March 7, 2011

Ibu tunggal nyaris ditembak

Ibu tunggal nyaris ditembak

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

ALOR SETAR 7 Mac – Seorang ibu tunggal melalui saat-saat mencemaskan apabila dia nyaris ditembak ketika melarikan diri daripada seorang penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Taman Sinaran, Kuala Kedah di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi, mangsa, Low Sew Kiow , 45, bertindak nekad melepaskan diri daripada penjenayah tersebut yang cuba menculiknya ke bank untuk mengeluarkan wang simpanan.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Sew Kiow berkata, penjenayah bertopeng dan bersenjatakan pistol itu dikatakan tidak berpuas hati setelah gagal mendapat wang yang banyak ketika menyamun rumahnya.

“Saya dan keluarga diacu dengan pistol. Akibat takut, saya kemudian mengajak penyamun itu ke bank untuk mengeluarkan wang dan terus bergegas ke tingkat bawah.

“Saya kemudian menekan butang pintu pagar automatik sebelum berlari ke luar pagar dan menahan sebuah bas sekolah yang kebetulan melalui jalan di depan rumah. Penyamun yang panik melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, dia kemudian meminta pemandu bas memberhentikan kenderaannya kira-kira 100 meter dari rumah sebelum berpatah balik ke rumah.

Bercerita lanjut, kata Sew Kiow, dia sedang tidur di bilik utama di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu bersama seorang anak perempuan berusia 20 tahun serta seorang anak lelaki berumur 11 tahun ketika kejadian.

“Saya dikejutkan dengan bunyi bising. Tiba-tiba muncul seorang lelaki bertopeng, berbaju gelap dan berseluar jean mengacukan pistol,” katanya.

Tambahnya, semasa kejadian seorang lagi anaknya berusia 16 tahun berada di ruang tamu mengulang kaji pelajaran manakala pembantu rumahnya mengelap lantai dengan pintu rumah terbuka sementara pintu pagar tertutup.

“Seorang lagi anak lelaki saya berusia 22 tahun tidur di bilik berasingan. Penyamun ini dipercayai memanjat pagar rumah sebelum memasuki rumah.

“Dia kemudian mengarahkan kami semua masuk ke bilik utama sebelum mengunci kami dari luar dan menyelongkar rumah,” katanya.

Sew Kiow memberitahu, berikutan kejadian itu, dia kehilangan empat unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah ratusan ringgit dan kamera digital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Adzman Mohd. Jan berkata, polis sedang memburu penjenayah terbabit.

“Kesemua mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960 kerana melepaskan tembakan semasa melakukan samun,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya bersikap lebih berhati-hati walaupun berada di rumah dan jangan memberi peluang kepada penjenayah.

No comments:

Post a Comment