Tuesday, March 8, 2011

Culik suami isteri: Polis buru tiga lelaki

Culik suami isteri: Polis buru tiga lelaki
KUALA LUMPUR 8 Mac - Polis sedang memburu tiga lelaki yang menculik sepasang suami isteri ahli perniagaan ketika mangsa keluar dari rumah di Sunway Kinrara, Puchong dekat sini, pada Khamis lalu.

Mangsa yang berusia 51 dan 46 tahun, ditahan dan digari sebelum dikurung dalam sebuah pondok kecil berhampiran sebuah rumah pengamal perubatan tradisional di Kundang, Gombak.

Bagaimanapun, mangsa lelaki yang merupakan pesara tentera berpangkat kapten dan isterinya berjaya melepaskan diri dari pondok itu pada Sabtu lalu.

Mangsa yang mengalami kecederaan akibat dipukul dengan objek keras dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, dalam kejadian itu, tiga penjenayah itu menyamar sebagai pegawai polis dan meminta pasangan suami isteri itu mengikut mereka ke balai polis menaiki kereta Proton Perdana hitam.

"Ketika dibawa dalam kenderaan itu, suspek meminta mangsa mengeluarkan wang simpanannya sebanyak RM2,000 di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, hari ini.

Menurut Abd. Razak, suspek kemudian membawa pasangan itu dalam keadaan tangan bergari ke sebuah pondok kecil di Kundang sebelum mengurung mereka.

Katanya, sebaik sahaja menerima laporan itu, polis menahan seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun merupakan pengamal perubatan tradisional itu bagi membantu siasatan.

"Kita sedang memburu tiga suspek yang terlibat dalam kejadian itu. Siasatan polis mendapati, motif penculikan pasangan suami isteri itu adalah bagi menuntut wang tebusan," katanya.

Menurut beliau, kes ini disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment