Monday, March 14, 2011

Dua pengedar pil khayal pusat hiburan tumpas

Dua pengedar pil khayal pusat hiburan tumpas
PULAU PINANG 14 Mac - Satu sindiket pengedaran pil khayal di beberapa pusat hiburan di bandar ini yang dipercayai didalangi oleh dua lelaki tempatan tumpas apabila mereka ditahan dalam satu serbuan di Bukit Gambir di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Deputi Supritendan Lee King Chuan berkata, kedua-dua lelaki itu yang masing-masing berusia 21 dan 34 tahun itu ditahan ketika serbuan dilakukan di sebuah pangsapuri pada kira-kira pukul 2 petang.

Difahamkan, ketika ditahan, lelaki berkenaan sedang leka memasukkan pil khayal itu ke dalam beg untuk diedarkan kepada pelanggan pada sebelah malamnya.

"Hasil pemeriksaan di rumah mereka yang terletak di tingkat enam itu, polis merampas 14,150 biji dadah jenis Eramin 5 bernilai RM283,000 yang disimpan dalam sebuah bilik.

"Siasatan ke atas kedua-dua lelaki berkenaan mendapati mereka telah menjalankan aktiviti pengedaran Eramin 5 di pusat hiburan di negeri ini sejak enam bulan lalu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas King Chuan, pihaknya turut menyita kesemua barangan milik suspek iaitu sebuah kereta, komputer riba, barang kemas, pelbagai mata wang asing bernilai RM3,083, wang tunai berjumlah RM189,198, jam tangan Rolex dan Omega.

Kesemua barangan rampasan yang disita bernilai RM154,431.

Beliau berkata, kejayaan menumpaskan rangkaian pengedaran pil khayal tersebut adalah hasil daripada intipan pihaknya sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 18 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya iaitu mengedar dadah.

No comments:

Post a Comment