21,390 pil kuda bernilai RM427,000 dirampas
MD. Azmi Othman (kanan) menunjukkan duit bernilai RM73,000 dirampas bersama pil kuda di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kota Bharu, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
KOTA BHARU 14 Mac - Polis menahan seorang pengedar dadah dan merampas 21,390 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM427,000 dalam serbuan di rumahnya di Nilam Puri, dekat sini Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Narkotik negeri, Supritendan Md. Azmi Othman berkata, dalam rampasan terbesar tahun ini tersebut, polis turut menyita dua kenderaan milik suspek jenis Honda Civic dan Perodua Myvi.
Beliau berkata, polis juga menemui wang tunai RM73,711 dipercayai hasil urusan jual-beli dadah, dalam boot Perodua Myvi itu.
Jelasnya, ketika serbuan dibuat, suspek warga tempatan berusia 20-an sedang bersembunyi dalam tangki air bahagian atas rumahnya dan cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas.
"Polis bertindak atas maklumat awam dan ketika serbuan suspek seorang diri di rumah itu kerana ibu bapanya difahamkan sedang menjalankan perniagaan di Ketereh.
"Suspek cuba melarikan diri dengan menyorok di dalam tangki air di rumah itu, namun kita berjaya menahannya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, hari ini.
Md. Azmi berkata, suspek kini direman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Sementara itu, beliau memberitahu, bagi wang dirampas, suspek disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya Perlucutan Hak Harta 1988 kerana dipercayai hasil daripada urusan jual-beli dadah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menjadi pengedar dadah di negeri ini secara bersendirian tanpa mana-mana sindiket atau kumpulan.
"Suspek masih bujang dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing dilakukan terhadapnya menunjukkan hasil negatif.
"Kesemua dadah itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dengan nilai borong RM266,800 manakala hasil jualannya boleh mencecah RM427,000," ujarnya.
Monday, March 14, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment