Thursday, October 28, 2010

Penoreh maut selepas 9 hari dipaksa minum racun

2010/10/29
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berusia 27 tahun dari Marang yang dipercayai dipaksa minum racun oleh keluarga teman wanitanya meninggal dunia jam 7.30 pagi semalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, selepas sembilan hari bersabung nyawa.

Mangsa, Muda Mohd yang bekerja sebagai penoreh getah dikatakan dipaksa empat lelaki yang ada talian persaudaraan dengan teman wanitanya berusia 16 tahun meminum racun kerana tidak berpuas hati lelaki itu menjalin hubungan dengan gadis berkenaan. Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata mangsa meninggal dunia selepas alami komplikasi malam kelmarin. “Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 pagi tadi (semalam) akibat komplikasi dalaman selepas dipercayai dipaksa minum racun berkenaan. Bagaimanapun kita masih menyiasat jenis racun yang digunakan suspek," katanya.

Beliau berkata, polis sempat merakamkan keterangan mangsa selepas sedar daripada koma Ahad lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan polis turut menahan tiga lelaki berusia 17, 39 dan 45 tahun di Kampung Gondang, Marang pada 19 dan 20 Oktober lalu.

“Ketiga-tiga suspek iaitu abang, bapa saudara dan bapa tiri gadis berkenaan dilanjutkan tahanan reman sejak kelmarin, manakala polis sedang memburu dua lagi suspek yang dipercayai turut terbabit dalam kes ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Manoharan berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian kerana keluarga gadis berkenaan tidak merestui mangsa berkawan dengan teman wanitanya.
Dalam kejadian pada 19 Oktober lalu, Muda dikatakan dipaksa minum racun oleh keluarga teman wanitanya sebelum mengadu sakit perut dan rebah di dapur rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Wakaf Tapai, Marang kira-kira jam 1 petang dan dikejarkan ke HSNZ.

Wednesday, October 27, 2010

DiGi tidak tahu kandungan SMS pelanggan

KUALA TERENGGANU 27 Okt. 2010 - Seorang pegawai DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa syarikat tersebut tidak mengetahui isi kandungan sesuatu khidmat pesanan ringkas (SMS) pelanggannya.

Ketua Bahagian Siasatan dan Pemeriksaan DiGi, Mohd. Faiz Ong Abdullah memberitahu, ini kerana setiap isi kandungan SMS tersebut hanya disimpan selama tujuh hari sebelum dihapuskan.

Beliau menyatakan demikian semasa disoal oleh peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berhubung rekod kegunaan telefon anak guamnya itu antara 13 dan 21 April tahun lalu.

Ahmad Ramzi dibicarakan atas tiga tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) pada tahun lalu.

Sementara itu, pemilik akaun aplikasi SMS yang digunakan untuk menghantar pesanan berbaur ugutan itu, Nor Irwan Zainal Abidin, 32, memberitahu, dia tidak menghantar dua SMS kempen Majlis Tertinggi UMNO yang terdapat dalam telefon Ahmad Ramzi.

Dia turut menafikan telah menggunakan akaun aplikasi SMS miliknya untuk menghantar dua pesanan daripada 'Pejuang UMNO' bertajuk 'Wahai para perwakilan yang budiman' dan 'ada yang bakar jambatan dan tak suka K'.

Nor Irwan bagaimanapun bersetuju kedua-dua SMS berkenaan dihantar menggunakan aplikasi yang sama.

Semalam, beliau memberitahu mahkamah akaun yang digunakan untuk menghantar SMS berbaur ugutan itu didaftarkan di bawah namanya selepas diminta berbuat demikian oleh Ahmad Ramzi.

Ahmad Ramzi didakwa menghantar ugutan jenayah menerusi SMS dengan mengancam mendatangkan kematian ke atas ADUN Paka, Mohd. Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit, dekat sini.

Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi ADUN, Abd. Halim Jusoh (Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Dia juga didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan Internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga ADUN tersebut.

Selain itu, Ahmad Ramzi dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff dan Nur Azimul Azami.

Perbicaraan di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid bersambung 9 November ini.

Peniaga dihukum gantung

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my.



OMAR Shaari diiringi polis keluar dari mahkamah selepas hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati di Georgetown, di sini semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 27 Okt. - Seorang peniaga kedai makanan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh jiran yang mayat wanita itu ditemui hampir reput di kawasan belukar, empat tahun lalu.

Ketika Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman tersebut, raut wajah Omar Shaari, 49, yang bertubuh sederhana dan tinggi lampai itu, langsung tidak menunjukkan kesedihan.

Tertuduh itu pada mulanya mendengar penghakiman tersebut dengan teliti sebelum dilihat berpusing memandang abang, isteri dan anaknya yang berada di galeri awam sambil mengangkat bahunya beberapa kali dan tersenyum lebar ketika hukuman dijatuhkan.

"Nasiblah,'' katanya beberapa kali sejurus prosiding selesai.

Isteri tertuduh pengsan ketika cuba berjalan ke arah suaminya itu. Omar kemudiannya dilihat mengusap-usap isterinya itu dan duduk berhampirannya sehingga pulih lima minit kemudian dengan bantuan beberapa anggota polis dan kakitangan mahkamah.

Omar yang berniaga nasi tomato di Taman Tun Sardon telah mengenali Faridah Mohd. Sharif, 46, selama 40 tahun didakwa membunuh mangsa antara pukul 11 pagi dan 2 petang, 12 September 2006, di rumah No. 307-1, Jalan Datuk Keramat di sini.

Dia yang berasal dari Perak dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, dalam penghakiman bertulisnya yang dibacakan hampir sejam bermula 9.30 pagi, Hakim Abdul Halim berkata, Timbalan Pendakwa Raya, Arik Zakri Abdul Kadir telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Menurut beliau, pembelaan tertuduh, bersifat penafian semata-mata tanpa sebarang bukti atau faktor yang boleh diambil kira bagi memberi manfaat kepadanya, selain mereka-reka cerita.

Hakim itu berkata, tertuduh juga cuba mengalihkan beban yang ditanggungnya dengan mengatakan kononnya Faridah telah dibunuh oleh pembantunya, Farouk Khan, 25, seorang rakyat Myanmar dan ia tidak boleh diterima akal.

"Untuk mengangkat mayat mangsa sejauh itu, dia sudah tentu memerlukan kereta dan di sini peranan sebenar tertuduh muncul. Tertuduh merupakan dalang dan Farouk Khan hanya bertindak sebagai pembantu.

"Ini jelas daripada keterangan saksi pendakwaan sebelum ini yang telah melihat sebuah kereta Proton Iswara diletakkan di hadapan rumah tertuduh ketika hari kejadian,'' kata beliau.

Menurut hakim, keterangan kedua-dua isteri tertuduh yang dibawa sebagai saksi pembelaan juga tidak langsung mencacatkan atau menggugat keterangan saksi-saksi utama pendakwaan.

Jelasnya, mereka berdua hanya memberikan penjelasan bagi membuktikan suami mereka itu tidak mempunyai masalah kewangan dan mempunyai simpanan hasil keuntungan berniaga setiap hari.

"Tetapi ingin saya ingatkan bahawa jenayah tidak mengira sama ada orang itu susah atau senang. Motifnya hanya tertuduh sahaja yang tahu dan mahkamah menyimpulkan ia hanya untuk mendapatkan barang kemas. Jelas perbuatan kamu membunuh mangsa yang telah dikenali sejak kecil amat tidak berperikemanusiaan.

"Saya harap kamu insaf dan bertaubat atas apa dilakukan. Justeru, hanya terdapat satu hukuman yang diperuntukkan untuk kamu bagi kesalahan ini. Kamu saya perintahkan dihukum gantung sampai mati,'' kata Abdul Halim.

Salah seorang adik mangsa, Zaharah Mohd. Shariff, 48, yang duduk di galeri awam dilihat gagal menahan tangisannya dan berlari keluar. Dia sebelum itu dilihat menangis teresak-esak sambil menutup muka menggunakan tudung yang dipakainya.

Ketika berada di luar mahkamah, Zaharah dilihat memeluk adiknya, Sarinah, 39, dan anak mangsa, Zanariah Razali, 29.

"Syukur kepada Tuhan. Setelah empat tahun, akhirnya kematian Faridah mendapat pembelaan,'' katanya.

Kena simbah cuka akibat tolak cinta

2010/10/28


KEADAAN Ain yang melecur 70 peratus di bahagian muka, tangan dan badan, di bilik rawatan Hospital Pulau Pinang. GEORGETOWN: Akibat cinta tidak berbalas, seorang lelaki menyimbah cuka getah ke muka bekas rakan sekerjanya bagi membalas dendam di depan rumah nenek wanita itu di Taman Cenderwasih, Seberang Prai Selatan, baru-baru ini.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Ain, 21, melecur 70 peratus di bahagian muka, tangan dan badan, masih dirawat di Hospital Pulau Pinang. Mangsa merancang mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya selepas sambutan Aidiladha bulan depan, buntu memikirkan masa depannya berikutan kecederaan dialaminya. Ain berkata, beliau tidak menyangka lelaki itu sanggup menyimbah asid kerana mahu membalas dendam akibat cinta tidak berbalas.

“Saya kecewa dengan perbuatannya dan berharap dia dikenakan tindakan sewajarnya, setimpal dengan kesalahan yang dilakukan," katanya.

Mengimbau kejadian itu, Ain berkata, kejadian berlaku jam 11 malam pada 17 Oktober lalu di depan rumah neneknya ketika beliau bersama ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah.

Katanya, ketika tiba di depan pagar rumah, beliau dihampiri motosikal suspek sebelum disimbah cuka getah ke muka sambil suspek mengejek ‘padan muka hang’ dan berlalu pergi.
"Saya tersentak dengan muka dan badan menjadi sejuk seketika sebelum bertukar panas dan seluruh kulit bertukar menjadi hitam dan terbakar dan membengkak. Suasana ketika itu sukar digambarkan kerana kesakitan yang amat sangat. Saya berlari ke rumah untuk meminta bantuan," katanya.

Katanya, beliau dihantar ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke HPP untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat, berkata suspek yang bekerja sebagai kelindan lori ditahan pada 20 Oktober lalu di rumahnya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana cintanya tidak berbalas.

Rakyat Malaysia ditahan seludup peledak bom

KUALA LUMPUR 27 Okt. 2010 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang warganegara ini telah ditahan polis Republik Indonesia kerana cuba menyeludup masuk kira-kira 7,000 unit peledak bom.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hussin Ismail dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata, siasatan mendapati bahan peledak buatan India itu dibawa masuk oleh suspek dari Selatan Filipina ke Tawau, Sabah.

Katanya, suspek kemudian menyeludupnya ke Sulawesi Selatan melalui Nunukan dengan menggunakan feri penumpang.

Beliau ketika dihubungi memberitahu, pihaknya masih menunggu laporan penuh siasatan kes berkenaan bagi mengetahui jenis peledak berkenaan.

"Setakat ini, pihak polis Indonesia masih menjalankan siasatan. Oleh itu, kita masih belum dimaklumkan tujuan dan jenis peledak yang diseludup masuk itu," katanya.

Ditanya sama ada suspek yang menyeludup bahan itu terlibat dalam aktiviti militan di negara berkenaan, Hussin berkata, ia masih dalam siasatan pihak polis Indonesia.

Katanya, PDRM sentiasa bekerjasama dengan polis Indonesia bagi membendung aktiviti militan dan hal-hal keselamatan kedua-dua negara.

Sebuah agensi berita asing hari ini dipetik sebagai berkata, Mohd. Nawawi Malong ditahan di Pelabuhan Parepare, Sulawesi Selatan, Rabu lalu.

Menurut Ketua Polis Bahagian Perhubungan Awam di Ibu Pejabat Polis Kebangsaan, Inspektor Iskandar Hasan, pihaknya sedang meneruskan siasatan kes. Suspek kini disoal siasat di bawah Perkara 1 Undang-Undang Darurat.

Iskandar berkata, tindakan menyeludup peledak itu menyalahi undang-undang walaupun ia hanya digunakan sebagai bom ikan.

"Kami sedang menyiasat sama ada ia ada kaitan dengan keganasan kerana pada 2000, saya pernah menemui peledak yang sama digunakan dalam aktiviti keganasan di Medan," katanya.

Tuesday, October 26, 2010

Lelaki tikam 32 kali dipenjara 20 tahun

2010/10/27


RAHIM dikawal anggota polis dibawa keluar selepas dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, semalam.KOTA BHARU: Seorang pemuda dihukum penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi semalam, selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang wanita dengan menikamnya sebanyak 32 kali di Kampung Pantai Senok, Tawang, Bachok, empat tahun lalu.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja kampung, Rahim Ngah, 33, selepas pihak pendakwa meminda tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama. Tertuduh dituduh dengan niat mencederakan Norazlina Awang, 31, sehingga menyebabkan kematiannya di sebuah rumah bernombor 1003, Kampung Pantai Senok, Tawang, Bachok, antara jam 8 hingga 9 pagi, pada 14 September 2006. Dalam penghakimannya, Ahmad Zaidi berkata, perbuatan yang dilakukan tertuduh berat kerana menyebabkan kematian selain mengambil kira serangan yang dilakukan terhadap mangsa dahsyat serta kejam.

“Mangsa ditikam sebanyak 32 kali dan saya tidak boleh bayangkan seksanya mangsa meninggal dunia dan sepanjang kerjaya saya sebagai hakim, ini adalah kes jenayah paling kejam pernah saya hakimi.

“Mangsa seorang perempuan yang tidak boleh mempertahankan diri dan lebih menyayat hati ia dilakukan di depan anak mangsa yang ketika itu berusia hampir setahun. Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum 20 tahun dari tarikh ditangkap dan kamu (tertuduh) bernasib baik tidak menerima hukuman gantung sampai mati selepas hukuman dipinda ke hukuman membunuh tanpa niat,” katanya.

Dalam prosiding semalam, pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anwar Wahab, manakala D Dorairaj mewakili tertuduh.
Sebelum itu, Dorairaj dalam rayuannya meminta supaya diberi pertimbangan terhadap hukuman yang dikenakan dan anak guamnya bersedia menerima hukuman dari tarikh ditangkap.

Khairul Anwar membantah permohonan dengan meminta supaya mahkamah memberikan hukuman yang mencerminkan pihak kehakiman mengambil berat perbuatan itu

Monday, October 25, 2010

Polis yakin dapat selesai 30 kes pecah rumah

2010/10/26
AMPANG: Polis yakin dapat menyelesaikan 30 kes pecah rumah sekitar Ampang yang berlaku sepanjang tahun ini, selepas berjaya menumpaskan Geng Pick-Up dengan menahan lima ahli kumpulan termasuk dua wanita masing-masing rakyat tempatan dan warga Thailand, tiga hari lalu.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik premis memaklumkan melihat kelibat seseorang di dalam pejabatnya dalam kejadian di Ampang Hilir di sini. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menahan seorang lelaki ketika bersembunyi di dalam pejabat itu.
“Hasil soal siasat terhadap suspek selama dua hari, polis menyerbu rumah sewa yang turut didiami empat lagi rakannya berusia dalam lingkungan 23 hingga 43 tahun di Taman Pandan Ria di sini, kira-kira jam 4 pagi.

“Polis merampas enam komputer riba, wang tunai, barang kemas, telefon bimbit dan jalur lebar selain peralatan pertukangan digunakan untuk mengumpil pintu rumah termasuk kunci pendua dan sebilah parang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, semalam.

Abd Jalil berkata, siasatan awal mendapati mereka mengakui sudah melakukan lebih 30 kes pecah rumah sekitar Ampang sepanjang tahun ini dengan anggaran barangan yang dirampas bernilai RM50,000.

Katanya, suspek mempunyai lima rekod lampau dan mereka aktif melakukan kerja pecah rumah pada siang hari ketika pemilik rumah keluar bekerja.
Semua yang ditahan direman selama tujuh hari sehingga 29 Oktober ini dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan

2 wanita Afrika ditahan miliki syabu RM2 juta

2010/10/26


NORDIN menunjukkan syabu yang dirampas di KLIA di IPK Selangor, semalam.SHAH ALAM: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas 7.2 kilogram (kg) syabu bernilai hampir RM2 juta selepas menahan dua wanita Afrika pada 19 dan 22 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata rampasan pertama membabitkan 3 kg syabu yang cuba diseludup seorang wanita warga Togo berusia 28 tahun. Katanya, suspek bekerja sebagai pencuci rambut di salun di negaranya ditahan ketika mahu menaiki teksi selepas melepasi semua pemeriksaan keselamatan.
“Selepas melakukan pemeriksaan rapi kami menemui sembilan botol berisi cecair dipercayai dadah dan dua bungkus beg plastik berisi syabu bernilai RM750,000 dalam beg pakaiannya.

“Suspek mendakwa cecair 7.2 liter dalam sembilan botol itu bahan membuat pewangi. Kami sebaliknya percaya ia dadah dalam bentuk cecair dan masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Nordin berkata, seorang lagi suspek warga Nigeria berusia 37 tahun pula ditahan kerana cuba menyeludup 4.2 kg syabu bernilai RM1 juta yang disorok di tempat rahsia di bawah lapik beg pakaiannya ketika menunggu teksi.

Katanya, suspek bekerja sebagai tukang cuci dan baru pertama kali datang ke negara ini mendakwa tujuannya ke sini untuk mencari pekerjaan.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek baru pertama kali masuk ke negara ini dengan menaiki penerbangan dari Doha dan masing-masing ditemani beberapa rakan.

Suspek warga Togo itu ditahan reman hingga hari ini manakala suspek warga Nigeria pula direman hingga 30 Oktober ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Sunday, October 24, 2010

Pengurus syarikat tayar mati ditembak

KUALA LUMPUR 24 Okt. 2010 - Seorang pengawal keselamatan di Taman Peringatan Nirvana Semenyih dekat sini terkejut apabila mendapati seorang lelaki yang mulanya disangka mabuk dan tertidur di pintu masuk tanah perkuburan itu, sebenarnya mati ditembak.

Pengawal berusia lingkungan 40-an itu menemui seorang lelaki tertiarap di pintu masuk tanah perkuburan tersebut sejak pukul 12.30 malam tadi, namun tidak mempedulikannya kerana menyangka lelaki itu mabuk dan tertidur di situ.

Dia bagaimanapun mula sangsi apabila lelaki terbabit tidak bergerak-gerak sehingga pukul 7 pagi ini lalu menghampirinya untuk memeriksa.

Alangkah terkejutnya dia apabila mendekati mangsa dan mendapatinya berlumuran darah. Pengawal tersebut kemudiannya menghubungi Balai Polis Semenyih untuk memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, polis yang tiba di tempat kejadian kemudian menjalankan siasatan dan mengesahkan mangsa mati akibat terkena tembakan di belakang badannya.

Beliau berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Kho Hock Kah, 51, pengurus sebuah syarikat pengeluar tayar di Taman Teknologi Kajang di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa dibawa ke tanah perkuburan terbabit dari tempat lain sebelum ditembak di situ.

"Terdapat satu kesan tembakan di belakang badan mangsa dipercayai dilepaskan dari pistol jenis automatik.

"Mangsa yang beralamat di Taman Ria, Sungai Jelok di sini sudah berpisah dengan isterinya," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih, di sini hari ini.

Mohd. Shakaruddin berkata, polis menemui satu kelongsong peluru berhampiran mayat mangsa manakala barangan peribadi seperti dompet dan dokumen pengenalan diri masih ada bersamanya.

Beliau berkata, motif mangsa ditembak masih dalam siasatan dan polis akan menyiasat dari semua sudut termasuk faktor cemburu, samun atau dendam.

Katanya, polis sedang mengesan kereta mangsa jenis Nissan Sentra warna perak bernombor pendaftaran WPX 2099.

"Sejak berpisah dengan isterinya, mangsa tinggal di pejabatnya di Taman Teknologi Kajang dan memandu kereta Nissan Sentra namun kereta itu hilang selepas kejadian," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa melihat kereta terbabit atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Polis rampas dadah RM20 juta

Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my
2010/10/25


OTHMAN (kiri), sambil diperhatikan Osman dan Ravichandran menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di Oakland, Seremban, semalam.Makmal proses Eramin 5 milik rakyat tempatan didalangi sindiket antarabangsa

SEREMBAN: Kira-kira 318 kilogram pil Eramin 5 bernilai RM20 juta dirampas dalam serbuan di sebuah rumah kedai yang dijadikan makmal haram di Pusat Komersial Oakland di sini, pagi kelmarin, iaitu rampasan terbesar dadah jenis itu tahun ini. Dalam serbuan jam 10.45 pagi itu, polis menahan dua lelaki termasuk seorang yang mempunyai kelulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal.
Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata polis turut menahan seorang wanita warga Vietnam di sebuah premis lain kawasan itu dan seorang lelaki dipercayai ketua sindiket terbabit di Lukut, Port Dickson.

Katanya, mereka yang ditahan berumur antara 23 dan 45 tahun dengan semua lelaki terbabit adalah warga tempatan, manakala warga Vietnam dipercayai teman wanita seorang anggota sindiket.

“Polis menyita harta bernilai RM512,000 iaitu dua kereta, sebuah rumah dan wang tunai dalam bank,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dan Ketua JSJN Negeri Sembilan, Superintendan P Ravichandran.
Othman berkata, rampasan Eramin 5 hasil operasi bersama JSJN Bukit Aman dan Negeri Sembilan adalah yang terbesar tahun ini, berbanding dua rampasan bernilai RM28 juta di Batu Pahat dan Ipoh sebelum ini.

Katanya, kejayaan itu memperlihatkan perubahan trend dengan rakyat tempatan mengambil alih kerja memproses Eramin 5 menggunakan peralatan canggih.

“Dalam serbuan di Johor pada 2008, pengendali makmal dadah itu warga Taiwan dan di Pulau Pinang tahun lalu, kerja itu dijalankan warga Indonesia,” katanya.

Katanya, pembabitan warga tempatan mungkin kerana serbuan dan penangkapan warga asing sebelum ini menyebabkan sindiket terbabit mengalami kerugian besar.

Othman berkata, makmal haram dadah di sini dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu dan mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa dengan dadah dihasilkan adalah untuk pasaran tempatan dan negara lain.

“Polis menyiasat pembelian sesetengah bahan mentah menghasilkan Eramin 5 yang diimport dan berstatus barangan kawalan,” katanya.

Semua yang ditahan, katanya disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Friday, October 22, 2010

Polis Johor cari 5 ahli geng samun tembaga

2010/10/22
JOHOR BAHRU: Polis sedang mencari lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian menyamun sebuah treler yang membawa muatan tembaga bernilai kira-kira RM800,000 di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang pada 11 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, lima yang lain ditahan pada 12 dan 13 Oktober dan beberapa hari kemudian. Mereka yang dikehedaki itu dikenali sebagai Jegan a/l Anbalagan, 21, Shanmugam Sundaran a/l Subramaniam, 32, Gurucharan Singh a/l Singara Singh, 23, Shanmugam a/l Rajagopal, 30, dan Maniarasan a/l Gopalakrishnan, 25.
"Dalam kejadian ini, dipercayai tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta telah memintas sebuah treler bersama muatan 19 tan tembaga ketika treler tersebut baru keluar kira-kira 500 meter dari sebuah kilang untuk menuju ke Taman Desa Cemerlang di Ulu Tiram.

"Mereka kemudiannya mengikat pemandu treler tersebut dan membawanya ke kawasan Nusajaya sebelum ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Pekan Lima Kedai, Gelang Patah.

"Pemandu treler yang turut mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan itu kemudiannya membuat laporan polis," katanya.

Mohd Mokhtar berkata, bertindak atas laporan tersebut, polis kemudiannya menahan seorang suspek di Taman Senai Utama, Senai pada 10 malam 12 Oktober lalu.
Daripada hasil siasatan terhadap suspek, polis menahan pula seorang pengurus pemasaran kilang pada pukul 8.30 pagi di sebuah premis di Sungai Tiram, Ulu Tiram esoknya.

"Di situ, polis turut menemui semua tembaga yang disamun itu," katanya.

Mohd Mokhtar berkata, polis kemudiannya menahan tiga lagi suspek di kawasan Kulaijaya.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua mereka yang ditahan itu turut terbabit dalam enam kes samun kargo sebelum ini iaitu dua kes di Kulaijaya, tiga di Kluang dan satu di Batu Pahat.

Semua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebatan. - BERNAMA

Thursday, October 21, 2010

Sindiket curi kenderaan ditumpas, 4 ditahan

A. thaiveegan (kanan) menunjukkan senjata dan peralatan yang digunakan oleh sindiket mencuri kenderaan selepas sidang akhbar di Gombak, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 21 Okt. – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan yang didalangi penarik kereta ekoran penahanan empat lelaki dalam satu operasi di sekitar kawasan Desa Jaya dekat sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, siasatan mendapati kesemua suspek dipercayai aktif dalam kegiatan jenayah itu sejak dua bulan lalu.

“Ekoran daripada peningkatan kes mencuri kenderaan, pihak kami menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membanteras kegiatan ini.

“Hasil maklumat yang diperolehi selama dua minggu, polis berjaya menangkap empat suspek tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, polis turut merampas dua buah lori dan menjumpai alat membuat kunci kenderaan yang digunakan setiap kali jenayah dijalankan.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap kereta Proton Satria milik suspek, pihak polis juga merampas 25 kunci pelbagai jenis selain menemui pelbagai senjata seperti parang samurai dan pisau,” ujarnya lagi.

Thaiveegan memberitahu, kesemua suspek yang ditahan berusia 26 tahun dan pernah memiliki rekod jenayah.

“Keempat-empat suspek mengaku mencuri dan menyamun kira-kira 20 buah lori di kawasan Desa Jaya dan Kepong bagaimanapun kesemuanya telah dijual di sebelah utara seperti di Batang Berjuntai, Changkat Jering dan Tambun Perak,” ujarnya lagi.

Tambahnya, siasatan masih diteruskan bagi mengesan seorang lagi suspek kes tersebut iaitu R. Yogendran, 26, memegang kad pengenalan bernombor 840518-14-6189 dan beralamat terakhir di D-06-08 Apartmen Mutiara Magna Kepong Baru, Kuala Lumpur.

Sementara itu, polis turut berjaya menahan tiga lelaki yang terlibat di dalam kes samun di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) San Yuk yang terletak di Rawang.

Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 46 tahun dipercayai pernah terlibat dalam kes samun rumah dan sekolah sejak awal bulan ini.

“Mereka berjaya ditahan pada 17 dan 18 Oktober lalu di rumah masing-masing di sekitar Rawang.

“Dengan tertangkapnya suspek kita berjaya menyelesaikan 15 kes samun di sekitar Rawang,” katanya lagi.

Kegiatan judi haram tumpas

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ctfa@bharian.com.my
2010/10/22
Sindiket dipercayai kutip pertaruhan bernilai hampir RM10 juta setahun

ALOR SETAR: Polis Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, menumpaskan kegiatan perjudian loteri tanpa lesen susulan penahanan tiga wanita tempatan di Jalan Bakar Bata, Lorong Kampung Pisang dalam 'Ops Dadu', di sini, kelmarin. Penguasa Pencegahan Cawangan D7 A Bukit Aman, Superintendan Maszely Min-had, berkata serbuan jam 6.45 petang itu disifatkan kejayaan terbesar polis membabitkan judi loteri tanpa lesen di zon utara tahun ini kerana sindiket terbabit dipercayai mengutip pertaruhan hampir RM10 juta setahun.
Katanya, tiga wanita tempatan berusia 30 hingga 48 tahun itu ditahan ketika sedang sibuk menguruskan operasi pusat judi loteri berkenaan, yang mana seorang daripada suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan dalang utama dan penganjur kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, polis turut merampas lima mesin faksimile, tiga komputer riba, empat pencetak, dua modem, satu WiFi, 147 keping kertas faksimile mengandungi angka, empat meja lipat serta alat tulis digunakan untuk operasi judi haram berkenaan.

“Bertindak daripada hasil risikan selama dua minggu, polis percaya pusat judi loteri haram itu beroperasi lebih setahun lalu. Kita percaya penganjur memperoleh keuntungan RM50,000 bagi setiap pertaruhan dan nilai kutipan pertaruhan mencecah RM9.6 juta setahun.

“Polis juga percaya penganjur cuba berselindung di sebalik rumah banglo kayu dua tingkat yang kelihatan seperti tidak berpenghuni digunakan untuk menjalankan operasi haram ber-kenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Maszely berkata, kegiatan perjudian loteri awam haram itu dipercayai mempunyai ejen di beberapa negeri lain termasuk Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

Katanya, semua suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 44 (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Polis akan meningkatkan operasi membanteras kegiatan perjudian loteri awam haram ini secara besar-besaran. Kita percaya kegiatan ini didalangi penduduk tempatan dengan menyasarkan orang ramai sebagai pelanggan kerana penganjur mengenakan kadar taruhan lebih rendah berbanding pusat loteri berdaftar,” katanya.

Remaja ugut guru ditahan

2010/10/22
TEMERLOH: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan selepas melakukan ugutan bunuh bermotifkan cemburu terhadap seorang guru tuisyen dengan menghantar satu kelongsong peluru kapur, di Mentakab, dekat sini Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi, remaja terbabit juga cuba membakar rumah didiami guru berkenaan yang juga berusia 19 tahun. Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor, berkata teman wanita suspek berusia 17 tahun belajar di rumah guru berkenaan dan polis tidak menolak cemburu menjadi punca tindakan suspek.
“Suspek membakar tayar kereta yang dibawanya sehingga menyebabkan tangga rumah mangsa terbakar dan merosakkan suis elektrik utama rumah,” katanya

Tuesday, October 19, 2010

Polis temui pistol, 327 peluru

2010/10/19
IPOH: Polis menahan seorang lelaki bersama pasangannya seorang wanita rakyat Thailand dan menemui dua pucuk pistol bersama 327 butir peluru hidup serta dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Hutan Melintang, kira-kira 100 kilometer dari sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang, berkata lelaki berusia 41 tahun dan pasangannya yang berumur 33 tahun itu disyaki menjalankan kegiatan pengedaran dadah. Beliau berkata, empat biji pil eramin-5 dan tiga paket plastik dadah jenis syabu seberat lebih 90 gram dijumpai dalam pemeriksaan di rumah pasangan itu.
Goh berkata, polis menemui dua kotak yang masing-masing mengandungi 40 butir peluru 0.22mm manakala dalam satu ruangan rahsia di bawah lantai, satu lagi kotak logam mengandungi 50 butir peluru 0.38mm dan dua bekas berisi 100 butir peluru 0.38 special.

"Dua bungkusan kertas akhbar berbahasa Thai yang dijumpai dalam rumah itu pula didapati mengandungi 80 butir peluru 0.38 special manakala sebuah kotak lagi turut ditemui berisi 40 butir peluru 9mm.

"Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah syabu," katanya.

Goh berkata, polis telah mendapatkan perintah reman selama tujuh hari ke atas kedua-dua suspek. -

Polis tahan 3 lelaki terbabit samun bersenjata api

2010/10/19
JOHOR BAHRU: Polis percaya berjaya menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata api selepas menahan tiga lelaki di Batu Pahat, dua hari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata dua daripada mereka, berumur 20 dan 23 tahun ditahan menerusi sekatan jalan raya di Jalan Yong Peng-Labis, kira-kira jam 3 pagi manakala seorang lagi rakan mereka yang berumur 24 tahun ditahan sejurus selepas itu. "Kedua-dua lelaki itu menaiki sebuah Proton Perdana dan pemeriksaan di dalam beg sandang salah seorang dari mereka menemui tiga peket serbuk putih serta sejumlah pil yang dipercayai dadah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Mohd Mokhtar berkata, siasatan lanjut terhadap mereka menemui sepucuk revolver bersama tiga peluru hidup, sepucuk pistol MOD 500 7.65mm mengandungi satu kelopak dengan dua butir peluru, sebuah kotak mengandungi 10 butir peluru hidup pelbagai jenis, tiga kunci allen serta dua pemutar skru.

"Semua lelaki berkenaan kini direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menahan empat pemandu bas ekspres kerana memandu di bawah pengaruh dadah jenis ganja menerusi "Operasi Ubah Sikap" di Plaza Tol Skudai, di sini dan Hentian Bas Yong Peng, dekat Batu Pahat, Isnin dan semalam.

Beliau berkata, semua pemandu berumur 35 hingga 57 tahun itu adalah antara 182 pemandu bas ekspres yang diperiksa menerusi operasi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan.
"Tiga daripada empat pemandu bas itu kini direman sehingga 31 Oktober ini. Seorang daripada mereka turut mempunyai dua rekod jenayah," katanya. -

Monday, October 18, 2010

Polis Terengganu tumpas sindiket edar heroin terbesar

2010/10/19
KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu melumpuhkan kegiatan pengedaran heroin terbesar di negeri ini, selepas menahan dua lelaki dan seorang wanita yang bekerja sebagai penjaga Pusat Asuhan Kanak-Kanak Terencat Akal di sebuah rumah di Kampung Padang Midin, di sini, Jumaat lalu.

Tiga suspek ditahan selepas sekumpulan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah yang menyerbu rumah berkenaan kira-kira jam 11.30 malam, dan menemui 287 botol dadah seberat kira-kira satu kilogram dalam kereta milik suspek berusia 39 tahun. Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pemeriksaan turut menemui 32 gram dadah disyaki ganja, sepucuk pistol separuh auto jenis Walther, kelopak peluru dan lapan peluru hidup .22 Caliber, selain rambut palsu, tali pinggang mempunyai logo polis dan sepucuk pistol tiruan.
Beliau berkata, polis turut merampas tiga botol dadah disyaki heroin kira-kira 10.5 gram, 46 pil dadah jenis Eramin 5 dan 51 peluru hidup jenis Caliber 9MM, serta sehelai jaket polis ketika pemeriksaan dilakukan dalam rumah sewa didiami lelaki berkenaan.

Katanya, hasil soal siasat polis melakukan pemeriksaan di pusat asuhan kanak-kanak dan merampas 21 peluru hidup jenis Caliber 9MM serta dua parang.

“Keseluruhan dadah jenis heroin dirampas dianggarkan bernilai RM418,640,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, siasatan lanjut mendapati suspek utama yang bekerja sebagai pendawai elektrik pernah ditahan di Skudai Johor kerana memiliki 10 kilogram ganja dan didakwa mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 2004.
Bagaimanapun katanya, dia dibebaskan mahkamah dan ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 2004 dan tamat sekatan di negeri ini dua tahun lalu.

“Wanita berusia 32 tahun berasal dari Taman Aman Lunas, Kulim, Kedah dipercayai teman wanita suspek utama dan bekerja sebagai penjaga di pusat asuhan itu, manakala lelaki berusia 27 tahun berasal dari Sungai Petani, Kedah adalah orang sekatan jenayah (PCO),” katanya.

Pegawai polis cedera ketika tahan pengedar dadah

2010/10/18
TEMERLOH: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor cedera selepas berlaku pergelutan ketika menahan seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah di kawasan paya, Kampung Lebak di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nor Mansor, berkata dalam kejadian 6.45 petang itu, sepasukan polis yang menerima maklumat daripada orang awam mengepung lelaki berusia 30-an itu di rumahnya di kampung berkenaan. "Lelaki terbabit yang bersenjatakan parang, bagaimanapun meloloskan diri dan lari ke kawasan paya berhampiran. Polis berjaya menahannya selepas berlaku pergelutan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, pegawai polis itu cedera di dahi dan pergelangan tangan akibat terkena parang dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

Mohd Nor berkata, hasil pemeriksaan di rumah lelaki terbabit, polis menemui lebih 15 gram dadah jenis syabu dan hasil pemeriksaan air kencing mendapati dia positif dadah.

"Lelaki terbabit juga pernah mencederakan seorang anggota polis yang cuba memberkasnya di Temerloh dua minggu lepas sebelum melarikan diri," katanya. -

Sunday, October 17, 2010

Lima penjenayah warga asing ditembak mati

KUANTAN 17 Okt. 2010 - Lima penjenayah warga asing yang amat dikehendaki kerana terbabit dalam sekurang-kurangnya sembilan siri rompakan di lima daerah di negeri ini mati ditembak polis di Indera Mahkota, berdekatan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini awal hari ini.

Sebelum kejadian pukul 4.15 pagi itu, sepasukan anggota polis yang menaiki kereta peronda terpaksa mengejar kereta Proton Waja dinaiki penjenayah sejauh 15 kilometer sebelum terbabas di kawasan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, T. Narenasagaran berkata, polis mengarahkan semua suspek menyerah diri tetapi mereka bertindak menyerang anggota berkenaan menggunakan parang.

"Semua suspek cuba menyerang polis menggunakan parang menyebabkan anggota polis tidak mempunyai pilihan lalu melepaskan tembakan.

"Pihak polis mengikut segala prosedur dan mengambil keputusan menembak mereka bagi tujuan mempertahankan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Narenasagaran, sebelum itu, suspek dipercayai telah menyamun sebuah rumah di Balok Baru di sini, pukul 3.30 pagi.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis yang membuat rondaan telah terserempak dengan kereta dinaiki oleh penjenayah itu di Jalan Kuantan By Pass dan berada dalam keadaan mencurigakan.

"Polis cuba menahan kereta terbabit tetapi mereka enggan mematuhi arahan sebaliknya terus memecut laju dan apabila sampai di jalan masuk ke bangunan KWSP, kereta itu terbabas," jelasnya.

Katanya lagi, identiti kesemua suspek masih lagi dalam siasatan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki suspek menemui tiga bilah parang, sebilah sabit, tiga telefon bimbit, masing-masing satu kuku kambing, pisau, pemutar skru, beg tangan, loket emas dan dua rantai tangan emas.

Katanya, kereta yang mereka naiki dilaporkan hilang di Cheras, Kuala Lumpur.

Tambah Narenasagaran, beliau percaya kesemua suspek tersebut terlibat dalam sembilan siri rompakan di lima daerah iaitu Maran, Jerantut, Temerloh, Bera dan Kuantan.

"Kumpulan itu amat berbahaya dan agresif serta sanggup mencederakan mangsa yang melawan mereka," katanya.

Bakal pengantin dicekup kes samun

2010/10/18


ABDUL GHAFAR (kiri) menunjukkan pistol mainan dan parang digunakan untuk menyamun 19 stesen minyak di daerah Kota Setar, Jitra, Pokok Sena dan Kangar di Alor Setar, semalam.ALOR SETAR: Seorang bakal pengantin dicekup kerana terbabit dalam kes samun bersenjata ke atas beberapa stesen minyak di sekitar Kota Setar, Jitra dan Kangar.

Suspek berumur 22 tahun itu dicekup di Gunung Keriang pada 8 Oktober lalu, iaitu dua hari sebelum dia berkahwin. Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Superintendan Abd Ghafar Rajab, berkata bakal pengantin itu turut dikehendaki berhubung satu kes rogol di Kuala Nerang dua tahun lalu.
Sehari sebelum suspek ditahan, seorang rakan suspek yang berumur 25 tahun turut ditahan di Pokok Sena.

Beliau berkata kedua-dua suspek aktif menyamun sejak April lalu dan sehingga ditangkap mereka didapati terbabit dengan 23 kes samun termasuk satu menyebabkan kecederaan parah apabila seorang juruwang stesen minyak ditikam daripada belakang kerana enggan memberi kerjasama.

Abd Ghafar berkata, berdasarkan siasatan awal suspek didapati pernah terbabit dengan 19 kes samun yang dilaporkan di daerah Kota Setar manakala tiga kes dilaporkan di daerah Jitra dan satu kes lagi dilaporkan di Kangar, Perlis.

Beliau berkata, berikutan tangkapan itu polis turut merampas dua pistol tiruan, sebilah pisau pemotong daging, tiga motosikal dan dua topi keledar dipercayai digunakan ketika menyamun.
“Maklumat awal juga mendapati suspek berusia 22 tahun seorang pekerja kontrak yang juga dikehendaki polis berikutan kes rogol pada 2008, manakala rakannya yang berusia 25 tahun pula tidak bekerja dan sudah berkahwin serta mempunyai seorang anak,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, semalam.

Anggota U3K akan ditambah kekang samseng jalan raya

2010/10/18
KUALA LUMPUR: Bagi memastikan kegiatan samseng jalan raya tidak berleluasa, anggota Unit Kuat Kuasa Khas (U3K) polis akan ditambah dalam masa terdekat, kata Pegawai Turus dan Operasi Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Ng Fook Long.

Beliau berkata, jumlah sedia ada seramai 13 anggota dan pegawai itu tidak mencukupi bagi membanteras kegiatan itu yang kini kian berleluasa. “Oleh kerana kegiatan samseng jalan raya kini semakin berleluasa, kita perlu menambah anggota U3K bagi membanteras gejala terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam operasi cegah samseng jala raya dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sekitar ibu negara, kelmarin.

Operasi yang bermula jam 11 malam itu turut menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya dengan melawan arus berhampiran Dataran Merdeka.

Sebelum ditahan, lelaki terbabit cuba memecut laju dengan melawan arus sebelum jatuh tersembam di tepi jalan raya.

Ketika ditahan, lelaki terbabit mendakwa motosikal yang dinaiki adalah milik rakannya, namun hasil pemeriksaan polis mendapati motosikal itu adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di Ampang, tahun ini.
Selain lelaki terbabit, turut ditahan dalam operasi itu, dua pelajar lelaki berusia 12 dan 14 tahun kerana memandu tanpa lesen.

Operasi yang tamat jam 3 pagi itu turut menyita 36 motosikal dan 309 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Ng berkata, sebanyak 563 motosikal dan 301 kereta diperiksa dalam operasi itu, manakala JPJ turut mengeluarkan 78 notis dan menyaman 18 kenderaan atas pelbagai kesalahan.

“JAS turut mengeluarkan saman ke atas lima kenderaan kerana kesalahan mengeluarkan asap kenderaan berlebihan,” katanya.

Beliau berkata, seramai 108 anggota dan pegawai dari empat agensi itu terbabit dalam operasi di empat lokasi di Jalan Tun Perak, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut dan Dataran Merdeka.

Thursday, October 14, 2010

Tembak 11 das tetapi gagal rompak

Oleh Faizul Azlan Razak dan Zawawi Mat Ail
bhkt@bharian.com.my
2010/10/15


PASUKAN forensik memeriksa beberapa kesan tembakan pada cermin kalis peluru di dalam sebuah kedai emas di Jalan Sura Gate, Dungun, semalam.Suspek berang tak dapat pecah cermin kaca

KUALA TERENGGANU: Seorang perompak bersenjatakan pistol berputih mata apabila 11 das tembakan gagal memecahkan kaca ruang pameran barang kemas di sebuah premis di Jalan Sura Gate, Dungin, petang kelmarin. Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata dalam kejadian jam 5.10 petang itu, perompak memasuki kedai dengan memakai sarung tangan, topeng ski serta menggalas beg sandang.
Katanya, selepas masuk ke premis yang tiada pelanggan, perompak mengacukan sepucuk pistol automatik dan meminta seorang daripada empat pekerja membuka kaca pameran barang kemas menyebabkan mereka tergamam tetapi sempat lari ke bahagian belakang premis.

Manoharan berkata, melihat keadaan itu, suspek berang dan melepas 11 das tembakan untuk memecah kaca rak pameran tetapi gagal.

“Selepas mendapati tembakannya tidak berjaya untuk memecahkan cermin bagi mengambil barang kemas itu, suspek melarikan diri ke arah belakang kedai terbabit dan dipercayai menaiki sebuah kenderaan yang sedia menunggunya,” katanya ditemui di sini, semalam.

Manoharan berkata, polis percaya suspek melakukan rompakan itu dengan kerjasama lebih seorang rakannya dan gerakan mengesan mereka sedang digiatkan.
Katanya, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat panggilan daripada orang awam.

“Pemeriksaan di tempat kejadian menemui 11 kelongsong peluru manakala semakan pada imej kamera litar tertutup (CCTV) belum dapat mengenal pasti wajah dan bangsa suspek,” katanya sambil menambah tindakan pemilik premis memasang sistem keselamatan seperti cermin kalis peluru berjaya menyelamatkan barang kemas daripada dilarikan perompak terbabit.

Sementara itu, seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Jayana berkata, dia dan tiga rakan sekerja tergamam apabila seorang lelaki yang masuk ke kedai itu mengacu pistol sambil menyuruh mereka membuka rak kaca pameran barang kemas.

“Walaupun panik dan terkejut dengan tindakan perompak, kami tidak mengendahkan arahannya untuk membuka rak barang kemas sebaliknya lari menyelamatkan diri ke stor di belakang,” katanya.

Pegawai Imigresen sekongkol sindiket berbahaya

14/10/2010 5:57pm


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Tujuh pegawai imigresen termasuk seorang berpangkat Timbalan Penolong Pengarah yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana bersekongkol dengan ketua-ketua sindiket yang sangat berbahaya serta boleh memudaratkan keselamatan negara, kata Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, penglibatan mereka bukan hanya melibakatkan penyeludupan manusia melalui pintu masuk utama tetapi juga terdedah kepada pelbagai jenayah serius lain seperti aktiviti pengganas, penyeludupan senjata api, dadah dan penyuluhan (pengintipan).


"Mereka telah dipantau lama oleh polis, dan penglibatan mereka dengan ketua-ketua sindiket ini sangat berbahaya dan serius.


"Saya memandang berat kes-kes penyeludupan ini kerana melibatkan soal keselamatan di pintu masuk negara sekali gus menjejaskan nama baik negara dan turut menimbulkan ancaman kepada keselamatan di rantau ini," katanya di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan tujuh pegawai imigresen itu dan dua warga asing mengikut ISA dalam operasi besar-besaran selama tiga hari bermula Ahad lepas. - Bernama

Wednesday, October 13, 2010

5 ‘tetamu’ samun ibu tunggal

2010/10/14
KUANTAN: Seorang ibu tunggal kerugian kira-kira RM15,000 selepas disamun lima lelaki yang berkunjung ke rumahnya dengan alasan tertarik dengan hiasan dalamannya di Bandar Indera Mahkota 13, di sini, tengah hari kelmarin.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa berehat dalam bilik tidurnya sebelum diberitahu pembantu rumahnya kehadiran dua lelaki yang tidak dikenali pada jam 12.20 tengah hari. Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan jenayah Negeri, Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, mangsa berusia 46 tahun bagaimanapun berang dengan tindakan suspek yang masuk tanpa membuka kasut lalu meminta mereka beredar.
“Selepas dua lelaki terbabit beredar, mangsa masuk semula ke bilik tidurnya sebelum pintunya diketuk tidak berapa lama kemudian,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa terkejut apabila mendapati dua suspek itu dengan tiga lelaki lain berada di pintu biliknya sambil seorang daripada mereka mengacukan pisau ke arah mangsa

Dua pemandu bas ekspres ditahan di bawah pengaruh dadah

2010/10/13
JOHOR BAHRU: Dua pemandu bas ekspres ditahan dalam kes berasingan kerana memandu di bawah pengaruh dadah di Terminal Pengangkutan Awam Larkin dan di Plaza Tol Sekudai, semalam.

Mereka yang berumur 42 dan 43 tahun ditahan semasa operasi polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan ke atas pemandu bas ekspres. "Kedua-dua pemandu bas ini didapati positif dadah ketika sedang membawa penumpang. Ia adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
"Salah seorang daripada mereka turut memiliki dadah dan polis sedang menyiasat kemungkinan kedua-duanya turut mempunyai rekod jenayah," kata Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Kedua-duanya adalah antara 272 pemandu bas ekspres yang diperiksa di bawah operasi tersebut.

Tuesday, October 12, 2010

Pesara dibunuh

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Okt. 2010 - Kejam dan tidak berperikemanusiaan. Sekumpulan penjenayah tergamak menembak mati seorang lelaki warga emas yang sudah uzur kerana bimbang mangsa mengenali mereka dalam satu kejadian samun di sebuah rumah di Kampung Keliang Kalumpang, Ulu Bernam dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.58 malam, mangsa, Saad Johari Yamin, 73, seorang pesara tentera mati setelah terkena tembakan di dada oleh penjenayah tersebut.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mangsa dipercayai ditembak setelah dia terserempak dengan penjenayah yang memecah masuk rumahnya.

"Penjenayah sebelum itu memasuki rumah mangsa dengan mengumpil pintu belakang menggunakan tukul besi.

"Mangsa yang terkejut dengan bunyi bising pintu rumahnya diumpil segera bangun untuk memeriksa apa yang berlaku. Terkejut apabila tuan rumah menyedari kehadiran mereka, penjenayah terbabit kemudian melepaskan tembakan dan mengenai dada kiri mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Norel Azmi, semasa kejadian, mangsa tinggal berdua bersama isterinya di rumah tersebut.

Beliau berkata, bunyi tembakan itu telah mengejutkan isteri mangsa lalu dia bergegas bangun untuk memeriksa apa yang berlaku.

Katanya, wanita itu kemudian terkejut apabila melihat suaminya terbaring berlumuran darah lantas menjerit meminta tolong.

"Penjenayah tersebut kemudian melarikan diri dalam kegelapan malam. Isteri mangsa pula tidak sempat melihat penjenayah terbabit dan berapa ramai yang terlibat dalam kejadian itu kerana keadaan ketika itu gelap," katanya.

Norel Azmi berkata, penjenayah melarikan diri tanpa sempat mengambil barang- barang dari rumah mangsa.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek menembak mangsa menggunakan senapang patah.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat

Pegawai hutan ditahan sindiket seludup kayu bakau setengah jam

2010/10/12
SHAH ALAM: Seorang pegawai Jabatan Perhutanan Selangor melalui 30 minit detik mencemaskan apabila ditahan dua lelaki, dipercayai anggota sindiket penyeludupan kayu bakau, di perairan Pelabuhan Klang, Khamis lalu.

Norizan Manan, 28, berkata ketika kejadian, beliau menunggu pegawai perhutanan lain untuk membawa keluar kayu bakau yang disita selepas ditemui di sebuah anak sungai di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini, dipercayai disorok pihak tertentu. "Saya ketika itu sedang memantau kayu bakau yang dirampas bersama seorang pemandu bot laju yang disewa untuk membawa keluar muatan kayu yang disita sementara menunggu pegawai lain tiba.
"Tiba-tiba dua lelaki menaiki bot kecil meluru ke arah saya, dan dalam masa yang singkat, seorang daripada mereka melompat ke arah saya sambil mengacukan parang di leher," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu bot laju yang berada bersamanya, terus memecut bot bagi mendapatkan bantuan, manakala dua lelaki yang dipercayai pendatang asing tanpa izin, mengarahkannya naik ke atas bot mereka.

Norizan yang ketakutan dan gugup ketika itu, hanya mampu berserah kepada tuhan serta menurut arahan dua lelaki terbabit, yang kemudian membawanya berlegar-legar hampir 30 minit di tengah laut.

"Mereka marah dan ugut saya berhubung operasi yang dijalankan oleh Jabatan Perhutanan negeri, dan berkata ia merupakan amaran awal kepada saya.
"Selepas hampir setengah jam, saya dilepaskan di kawasan darat berhampiran dan diingatkan supaya tidak meneruskan operasi terbabit, jika tidak, mereka akan lakukan lebih daripada itu," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi dan Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Selangor, Mohd Yussainy Md Yusop yang dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata pihaknya percaya kejadian itu ada kaitan dengan operasi besar-besaran yang dijalankan di kawasan berkenaan sejak dua bulan lalu yang digelar "Ops Jejak Bakau" apabila mendapati lebih 20,000 batang pokok bakau diseludup keluar setiap bulan.

Mohd Yussainy berkata selepas mendapati bilangan pokok bakau semakin berkurangan, pihaknya menyusuri setiap anak sungai di Pulau Ketam dan bertindak membakar rumah kongsi yang dibina Pati dalam kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi, turut mengesahkan menerima laporan daripada Norizan berhubung kejadian itu pada 7 Oktober lalu.

Katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan bagi menghalang tugas penjawat awam.

Monday, October 11, 2010

Kanak-kanak 11 tahun ditahan jual air ketum

KEMAMAN 11 Okt. 2010 - Jika dahulu ibu, bapa dan kakaknya ditahan kerana menjual air ketum, kali ini seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun pula mengikut jejak mereka menjual air berkenaan di sebuah warung di Kampung Lubuk Lesung, kelmarin.

Ketua Polis daerah, Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, kanak-kanak itu bagaimanapun ditahan di warung berkenaan yang terletak di Jalan Jerangau Jabor, diserbu hasil maklumat orang awam.

Katanya, polis turut merampas lapan peket bahan itu daripada kanak-kanak tersebut.

Katanya lagi, siasatan polis mendapati air ketum berkenaan diusahakan bapanya yang sebelum ini pernah ditangkap kerana kesalahan serupa.

"Kita dapati kanak-kanak itu tidak mahu lagi ke sekolah kerana seronok menjual air ketum yang mendatangkan hasil lumayan.

"Setiap peket air ketum dijual dengan harga RM2. Malah warung itu dibuka khusus untuk menjual air berkenaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau menambah, warung yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah keluarga kanak-kanak itu beroperasi 24 jam dan sentiasa dikunjungi oleh pelanggan.

Abdullah berkata, pada awal tahun ini kakak dan ibunya juga ditahan kerana menjual air ketum.

"Kita amat kecewa dengan keluarga berkenaan yang menjadikan air ketum sebagai punca pendapatan keluarga mereka," ujarnya.

Beliau menambah, kanak-kanak itu akan disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga empat tahun dan didenda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya

Calon PMR ditahan curi motosikal

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

YAN 11 Okt. - Ketika pelajar seusianya sibuk mengulang kaji untuk menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR), seorang calon peperiksaan itu di sini dan lapan rakannya yang juga pelajar, 'sibuk' mencuri motosikal.

Kegiatan mereka bagaimanapun tidak bertahan lama apabila semua mereka yang berusia 14 hingga 17 tahun itu diberkas dalam Ops Rejang Bersepadu bermula Khamis lalu hingga kelmarin.

Turut ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Yan itu ialah dua lagi rakan mereka berusia 19 dan 23 tahun.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ismail Abu berkata, ia rentetan penahanan seorang pelajar di Pekan Yan, Khamis lalu, ketika sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, motosikal ditunggang suspek merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang sejak lebih tiga bulan lalu.

Beliau berkata, polis kemudian melancarkan beberapa operasi sehingga kelmarin dan menahan para pelajar terbabit di rumah masing-masing.

"Turut ditemui sembilan motosikal curi dengan lima daripadanya telah dileraikan dan dibuang ke dalam Sungai Merbok, dekat Kampung Segantang Garam.

"Susulan itu, kita menahan dua lagi rakan mereka yang tidak bersekolah di Yan," katanya di sini hari ini.

Tambah Ismail, pemeriksaan pihaknya mendapati kumpulan remaja itu telah bergiat aktif mencuri dan menjual komponen motosikal sejak lebih tiga bulan lalu.

"Kebanyakan motosikal yang dicuri akan dileraikan dan diambil sebahagian komponen untuk dijual di kalangan kenalan mereka," jelasnya.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Calon PMR itu pula dibebaskan dengan jaminan agar boleh menduduki peperiksaan tetapi dikehendaki melaporkan diri bagi membantu siasatan selepas peperiksaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, polis turut menahan seorang lelaki berusia 20-an dalam satu sekatan jalan raya di sini, kelmarin.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan kemudian mendapati suspek menaiki motosikal dilaporkan dicuri di Kulim, sejak dua bulan lalu.

"Selain itu, polis turut menemui bungkusan dadah dipercayai ganja seberat 28 gram dalam raga motosikalnya," katanya.

Berikutan itu, katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana memiliki motosikal curi dan Seksyen 39B dan 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ismail turut menasihatkan ibu bapa agar mengawasi pergerakan anak masing-masing bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan gejala negatif termasuk kegiatan mencuri komponen motosikal .

Katanya, penjaga juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak membawa komponen motosikal curi ke rumah kerana perbuatan menyimpan barangan itu juga menyalahi undang-undang.

"Sejak kebelakangan ini, jenayah curi motosikal dan komponennya semakin berleluasa dilakukan oleh remaja sehingga polis terpaksa pergi ke rumah keluarga suspek untuk mendapatkan bukti," ujarnya.

Thursday, October 7, 2010

Sebabkan kematian: Dua sahabat dipenjara 8 tahun

08/10/2010 12:56pm


KUALA LUMPUR 8 Okt. 2010 – Dua sahabat yang merupakan chef di sebuah hotel di Genting Highlands dipenjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini setelah mereka mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang pekerja di Aquaria, dua tahun lalu.

Anwar Imran Mohd. Nasir dan Mohd. Khairull Azim Anuwar, masing-masing berusia 29 tahun, didakwa menyebabkan kematian Wan Hazlan Wan Mohd, 33.

Hukuman tersebut diperintahkan oleh hakim Datuk Ghazali Cha bermula dari tarikh tangkapan, 16 dan 17 Julai 2008. - Utusan

Ahli kongsi gelap ‘Pneh’ mati ditembak

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 7 Okt. – Selepas bermaharajalela terlibat dalam sekurang-kurangnya 13 kes jenayah ugut dan kekerasan, seorang ahli kongsi gelap dipercayai penjenayah yang paling dikehendaki polis, mati dalam kejadian berbalas tembakan di Taman Rozhan, dekat Alma, di sini malam tadi.

Chew Kun Hi, 37, dari Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah, yang juga ahli kumpulan kongsi gelap ‘Pneh’, mati di tempat kejadian selepas berbalas tembak dengan polis pada pukul 11.45 malam.

Selain mempunyai 13 rekod jenayah lampau, suspek yang pernah ditahan sebanyak tiga kali di Simpang Renggam, Johor kerana terlibat dalam jenayah kekerasan, turut dikehendaki dalam beberapa kes ugut wang perlindungan di negeri ini.

Ketua Siasatan Jenayah negeri, Datuk Wan Abdullah Tuanku Said berkata, sejurus tiba di sebuah lorong berhampiran taman itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Siasatan Khas (D9) negeri memintas kenderaan jenis BMW yang dinaiki suspek.

“Selepas memperkenalkan diri, polis memberi amaran supaya berhenti tetapi suspek enggan berbuat demikian sebaliknya memecut kenderaannya sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

“Sebagai langkah keselamatan, polis membalas tembakan sehingga kereta suspek terhenti di tepi pagar simen sebuah rumah di lorong tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui sepucuk revolver .38 bersama tiga butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru.

Menurutnya, suspek yang bekerja sambilan sebagai penarik kereta dipercayai ada kaitan dengan penemuan enam pucuk pistol dalam serbuan sebuah makmal memproses dadah oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Batu Feringgi, baru-baru ini.

Dalam serbuan itu, JKDM turut merampas dadah jenis heroin, ketamin dan syabu yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

Wan Abdullah berkata, polis turut menerima beberapa maklumat sejak sebulan lalu mengenai kegiatan suspek yang meminta wang perlindungan daripada mangsa-mangsa dengan menggunakan pistol.

Suspek juga katanya, dilihat tidak takut sekiranya identitinya dikenali apabila sentiasa memandu kereta BMW putih tersebut malah menggunakan nombor pendaftaran yang sama ketika meminta wang perlindungan.

Dalam kejadian terbaru Isnin lalu katanya, seorang pengadu mendakwa suspek datang ke rumahnya kira-kira pukul 9.30 pagi dan meminta wang RM10,000 sambil mengugut akan membunuh ahli keluarganya jika tidak berbuat demikian.

“Selepas mengetahui pengadu ketika itu tiada di rumah, suspek dengan menggunakan pistol meminta supaya anak pengadu memberitahu bapanya supaya membayar hutang jika tidak mahu seluruh ahli keluarganya dibunuh.

“Sebelum ini suspek ada menelefon pengadu meminta wang tetapi tidak diberi kerana pengadu mendakwa dia tidak berhutang. Pengadu juga mengenali identiti suspek yang memandu kenderaan yang sama,” katanya

Gadis mati ditikam

Oleh Hassan Omar
hassanomar@bnharian.com.my
2010/10/08
Lelaki 37 tahun ditahan bantu siasatan

KOTA KINABALU: Remaja berusia 14 tahun dijumpai mati dengan kesan tikaman di perut dan belakang badan di dapur rumahnya di Kampung Biah, Keningau tengah hari kelmarin. Mayat Nassirah Jasto dijumpai ibunya dalam keadaan terlentang apabila wanita itu pulang ke rumah selepas mengambil anaknya dari sekolah. Ketua Polis Daerah Kenin gau, Deputi Superintendan Zahari Mohamad yang dihubungi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, berkata ketika kejadian mangsa yang tidak bersekolah dipercayai sedang memasak, manakala bapanya keluar bekerja di kilang papan di Keningau dan ibunya keluar mengambil seorang lagi anaknya dari sekolah.

“Ibu mangsa yang pulang ke rumah jam 12.30 tengah hari terkejut apabila mendapati anaknya terlentang dalam keadaan berlumuran darah, lalu menjerit meminta tolong daripada jiran.

“Siasatan awal mendapati mangsa mati akibat ditikam dengan senjata tajam di perut dan beberapa bahagian belakang badannya,” katanya.

Polis turut menjumpai sebilah parang di tepi mayat mangsa.
Polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang tinggal kira-kira 50 meter dari rumah mangsa kira-kira jam 5 petang, kelmarin, bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Keningau untuk dibedah siasat dan mengenal pasti sama ada dia dirogol.

Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh akibat cemburu, katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi IPD Keningau di talian 087-332222 bagi membantu siasatan

Wednesday, October 6, 2010

Penggembala lembu edar dadah dihukum gantung

embala lembu edar dadah dihukum gantung


ABDUL Rashid Abdul Rahman (kiri) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



TAIPING 6 Okt. - Seorang penggembala lembu dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar ganja seberat 5.89 kilogram, tiga tahun lalu.

Hakim Ridwan Ibrahim memutuskan demikian di akhir kes pembelaan selepas mendapati Abdul Rashid Abdul Rahman, 37, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

"Pihak pembelaan tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah dan saya berpendapat pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

"Oleh kerana Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya memperuntukkan satu hukuman sahaja, maka kamu selepas disabitkan, dihukum gantung sehingga mati," katanya.

Abdul Rashid dituduh mengedar ganja di tepi jalan besar, Jalan Kampung Dew, Simpang di sini kira-kira pukul 10.30 malam, 1 April 2007.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Mengikut fakta kes, penggembala lembu terbabit bersetuju menjual enam kilogram ganja berkenaan dengan harga RM1,700 bagi setiap kilogram kepada seorang pegawai polis yang menyamar.

Tertuduh yang masih bujang itu bagaimanapun ditahan pegawai polis terbabit bersama ketulan ganja berkenaan selepas proses jual beli tersebut selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah dan Mohd. Amril Johari sementara tertuduh diwakili peguam Manjit Singh

Sindiket ugut, ganggu pegawai imigresen baru

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2010/10/07
Kakitangan di Jeti Pulau Ketam terima ancaman, kereta dirosak

PUTRAJAYA: Sindiket yang turut membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, untuk membawa masuk dan keluar pendatang tanpa izin dikesan menggunakan taktik menakut-nakutkan kumpulan pegawai yang baru ditukarkan ke situ. Menyifatkan kumpulan 20 kakitangan imigresen yang baru ditukarkan ke jeti berkenaan sebagai penghalang kegiatan itu, sindiket terbabit dipercayai menggunakan kaedah ugutan menerusi telefon, selain memecahkan cermin kereta kakitangan imigresen baru berkenaan. Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, semalam yang berkata beliau menerima aduan daripada kakitangannya di jeti berkenaan bahawa mereka menerima ugutan dan ada kejadian cermin kereta dipecahkan beberapa hari selepas melaporkan diri di tempat baru itu.

Kumpulan kakitangan baru imigresen itu mula bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam pada 27 September lalu.

Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan itu dilakukan oleh sindiket berkenaan atau orang tengah yang berasa terdesak selepas gerakan pihak berkuasa membanteras kegiatan itu dan menganggap kakitangan baru yang ditukarkan pula menjadi penghalang.

"Ugutan dan gangguan itu mula dilaporkan beberapa hari selepas kakitangan baru bertugas. Mereka (sindiket) hanya memerlukan tiga hari untuk mengenal pasti kakitangan mana yang perlu diganggu atau diugut," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, imigresen menganggap kumpulan berkenaan mahu memberikan mesej bahawa mereka tidak akan beralah dan menghentikan kegiatan itu dengan mudah.

Bagaimanapun, katanya, imigresen belum membuat aduan polis kerana masih menyifatkan ia sebagai gangguan biasa yang belum menggugat keselamatan anggotanya.

Menjawab soalan kemungkinan ada orang dalam turut terbabit memaklumkan kepada anggota sindiket mengenai identiti serta kenderaan milik kakitangan yang perlu diganggu, Abdul Rahman berkata:

"Apabila ia membabitkan wang yang lumayan seperti dilaporkan media, meja dan kerusi di sekeliling kita pun boleh bercakap," katanya.

Berita Harian dalam beberapa siri laporan sebelum ini mendedahkan mengenai kegiatan rasuah di kalangan kakitangan imigresen di jeti berkenaan yang mendapat habuan sehingga RM20,000 seminggu selepas bersekongkol dengan orang tengah supaya melepaskan warga asing keluar dan masuk negara ini tanpa dokumen sah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga ini menahan tujuh kakitangan imigresen, lima di jeti berkenaan manakala dua di Port Dickson berhubung skandal itu, manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) menimbang untuk mengambil tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka terbabit.

Abdul Rahman berkata, jabatan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pegawainya yang didapati terbabit dengan skandal itu.

Mengenai cadangan KDN mengenakan tindakan ISA terhadap pegawainya yang didapati terbabit dengan skandal itu, Abdul Rahman berkata mereka yang belot terhadap keselamatan negara wajar menerima hukuman setimpal.

"Apa pilihan yang kita ada, tindakan tegas perlu dilakukan kerana isu ini membabitkan keselamatan negara dan tidak boleh tolak ansur.

"Saya akan melakukan apa saja untuk memastikan mereka yang terbabit dibawa ke muka pengadilan," katanya

Tuesday, October 5, 2010

Mahkamah perintah warga Indonesia diusir kerana menyamun

2010/10/05
KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan tiga buruh ladang warga Indonesia diusir dari negara ini sebaik selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyamun sebuah keluarga di Felda Bukit Kuantan di sini membabitkan nilai kira-kira RM150,000 pada Mei lalu.

Tertuduh, Idris, 44, dan Denni Irawan, 37, masing-masing dari Berakit dan Ceribon, Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta dua sebatan selepas mengaku bersalah atas tuduhan tersebut manakala seorang lagi rakan mereka, Zakaria Mohammad, 31, dari Makasar dikenakan hukuman lima tahun penjara dan dua sebatan. Hakim Irwan Suainbon memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 10 Mei lalu. "Selepas meneliti kes dan mengambil kira keselamatan orang awam, mahkamah memerintahkan supaya ketiga-tiga tertuduh diusir dari negara ini selepas selesai menjalani hukuman," katanya.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan di sebuah rumah bersebelahan stesen minyak BHP yang didiami empat beranak di Felda Bukit Kuantan, kira-kira 3.30 pagi pada 10 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati merampas barang milik keluarga berkenaan termasuk tiga gelang tangan emas, tiga rantai tangan emas, dua subang, empat rantai leher emas, lima telefon bimbit, pelbagai kad tambah nilai serta wang tunai lebih kurang RM87,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman sewajarnya ke atas tertuduh yang melakukan perbuatan menggugat keselamatan orang ramai.
"Tertuduh yang baru datang ke negara ini sejak Mei lalu menyalahguna kebenaran bekerja dengan melakukan jenayah sehingga mengancam keselamatan orang awam," katanya.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Rosal Azimin Ahmad.

Monday, October 4, 2010

Bunuh kenak-kanak: Bekas konstabel ke tali gantung

05/10/2010 11:47am


SHAH ALAM 5 0kt. 2010 - Bekas konstabel polis, Mohd. Nahar Abu bakar, 33, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh anak bekas Setiausaha UMNO Klang dan pengasuhnya tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd. Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah semasa memberi keterangan membela diri.

Mohd. Nahar didakwa membunuh Muhammad Nurosama Shohimi, 3 dan Siti Rohana Baharom, 34, di rumah No. 19, Tingkat 5, Flat Cempaka, Bandar Baru Klang dekat sini pada pukul 1 petang, 30 Disember 2003.

Tiga lagi kejadian ragut di RTP Bukit Goh

KUANTAN 4 Okt. 2010 - Selepas kejadian ragut yang menimpa seorang kerani, Wan Noresah Mat Isa, 24, pada Jumaat lalu sehingga menyebabkan mangsa parah di kepala, tiga lagi kes berlaku tidak jauh dari lokasi yang sama di Taman Impian di sini kelmarin.

Salah seorang mangsa, Sarina Abdul Basid, 31, dari Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh di sini berkata, dia turut menjadi mangsa ragut sehari selepas kejadian yang berlaku kepada Wan Noresah.

"Ketika kejadian pada pukul 5.30 petang, saya sedang menunggang motosikal dari Taman Impian melalui jalan kebun menuju ke rumah bersama anak ketiga saya yang baru berusia 11 bulan.

"Kira-kira dua kilometer dari rumah, sebuah motosikal jenis Yamaha Sport berwarna merah yang dinaiki dua lelaki cuba menghampiri saya.

"Sebaik sahaja diarahkan supaya memberhentikan motosikal, saya segera mengikut kerana bimbang dilanggar atau ditendang," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Tambahnya, dia yang merupakan seorang ibu tunggal merayu kepada dua lelaki berkenaan sambil memeluk anaknya agar tidak diapa-apakan.

Namun, katanya, dua peragut itu merampas dompet yang diletakkan di bawah baju sejuk dalam bakul motosikal sebelum melarikan diri.

"Ekoran kejadian itu, saya segera membuat laporan polis kerana kehilangan kad pengenalan, kad ATM dan wang tunai RM40," jelasnya.

Sehari sebelum itu, Wan Noresah dari Kampung Sungai Pinang di sini parah selepas dihentak dengan topi keledar sebelum diragut dalam kejadian pada pukul 9 malam Jumaat lalu selepas pulang dari tempat kerjanya.

Sementara itu, Nor Emylia Niza Zahid, 21, dari Taman Impian di sini turut mengalami kejadian yang sama ketika sedang menunggang motosikal bersama anak dan adiknya.

"Saya percaya penjenayah yang cuba meragut beg saya merupakan lelaki yang sama meragut Sarina. Ini kerana kejadian berlaku di tempat yang sama kira-kira sejam kemudian. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana sempat menjerit dan adik saya, Nor Zuriati, 19, memeluk erat anak saya, Wan Mazrizan Hakim Wan Mazran, 10 bulan ketika peragut itu menarik beg yang berada dalam bakul motosikal.

"Akibat jeritan saya, peragut itu melepaskan tali beg tersebut kerana bimbang dipukul penduduk yang mendengar jeritan saya," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Norhasmida Abdul Kadir, 20, dari kawasan perumahan yang sama turut menjadi mangsa apabila rantai emas yang dipakainya turut diragut ketika menunggang motosikal.

"Selain merentap rantai, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Legenda turut mengambil beg duit yang diletakkan di dalam bakul kira-kira pukul 12 tengah hari di tempat dan hari sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan berkata siasatan lanjut masih diteruskan.

Warga Indonesia di rumah kongsi miliki Mercedes-Benz

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Walaupun memasuki negara ini secara haram dan tinggal di rumah kongsi, seorang lelaki warga Indonesia mampu hidup mewah termasuk memandu kereta mewah jenis Mercedes-Benz.

Kenderaan model E200 yang bernilai lebih RM100,000 itu digunakan oleh suspek hasil kegiatan jenayah curi motosikal yang dilakukan bersama rakan senegaranya sejak beberapa tahun lalu.

Namun, rahsia kemewahan lelaki terbabit terbongkar apabila dia ditangkap polis dalam serbuan di Ladang Taman Tasik Puteri, Batu Arang dekat sini semalam.

Hasil tangkapan tersebut, polis mendapati suspek berusia lingkungan 30-an itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk masuk ke negara ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, polis berjaya memberkas suspek dalam 'Ops Lejang' yang diadakan di sebuah rumah kongsi di ladang kelapa sawit pada petang semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis telah merampas sebuah kereta Mercedes-Benz E200 dan enam motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.

"Siasatan mendapati kereta Mercedes-Benz yang ditemui itu menggunakan nombor pendaftaran palsu, manakala nombor casis pula sudah ditukar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, polis yang melakukan pemeriksaan lanjut di kawasan rumah kongsi terbabit kemudian menemui enam buah motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Klang, Petaling Jaya dan Brickfields.

Katanya, empat daripada motosikal tersebut dilaporkan hilang di Petaling Jaya, manakala masing-masing sebuah dicuri di Klang dan Brickfields.

Selain kenderaan terbabit, Abdul Rahim berkata, polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan suspek semasa menjalankan kegiatan jenayah.

"Suspek merupakan pekerja di ladang kelapa sawit terbabit namun pada masa yang sama dia turut terlibat dalam kegiatan curi motosikal.

"Kita kini sedang memburu saki baki rakan senegaranya yang terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut. Polis percaya motosikal itu dicuri sebelum dijual satu demi satu kepada pembeli yang dikenalpasti," jelas beliau.

Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri, kata Abdul Rahim

Polis lumpuh kumpulan curi motosikal di Terengganu

2010/10/04
MARANG: Polis menahan 12 lelaki dari kawasan Hulu Terengganu yang dipercayai anggota satu kumpulan pencuri motosikal dalam operasi sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata berikutan penahanan mereka yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 26 tahun itu, polis menemui enam motosikal, dua rangka motosikal dan satu enjin motosikal yang dipercayai dicuri di sekitar Kuala Terengganu dan Marang. "Kita masih memburu saki baki kumpulan ini yang kita percayai terbabit dengan lebih 60 kes curi motosikal di dua daerah tersebut sepanjang tahun ini," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini. Mohd Shukri berkata, kumpulan itu sangat cekap menjalankan aktiviti itu dan
dikatakan berupaya mampu menghidupkan enjin motosikal dalam masa 40 saat dengan menggunakan alat khas sebelum melarikannya. -

Polis rampas dadah RM1.5 juta cuba diseludup dari India

04/10/2010 3:18pm


SHAH ALAM 4 Okt. – Polis Selangor berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup masuk dadah ke negara ini yang dibawa dari India dengan nilai keseluruhan hampir mencecah RM1.5 juta, baru-baru ini.

Kejayaan itu berhasil setelah polis menahan dua lelaki, masing-masing warga India di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada Jumaat lalu dan di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) Sepang pada Khamis lalu.

Dua sahabat dihukum gantung edar heroin, morfin

2010/10/04
GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas dua sahabat kerana mengedar dadah jenis heroin seberat 50.3 gram dan morfin seberat 7.4 gram, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Nurmala Salim membuat keputusan itu selepas mendapati P Pathmanathan, 28, dan Bernard Louga Edward, 29, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Dalam penghakimannya, Nurmala berkata pembelaan yang dikemukakan kedua-dua tertuduh bersifat penafian semata-mata. Selain itu, beliau berkata mereka juga tampak seperti mereka-reka cerita supaya setiap keterangan yang diberikan, sama dengan apa yang terkandung dalam fakta kes.

Pathmanathan, seorang pengimpal dan Louga, seorang penternak kambing, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan rehat Juru pada 11.30 malam, 26 Februari 2007.

Mereka dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Pathmanathan diwakili peguam Datuk Haniff Hashim dan Louga oleh peguam RSN Rayer, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan G Jaya Prem.
Selepas prosiding kes itu selesai, kedua-dua tertuduh yang memakai kemeja T putih dan berseluar jeans biru bertemu anggota keluarga masing-masing dan dilihat saling menangis sambil berpelukan.

Seorang wanita, dipercayai ibu Pathamanathan, jatuh pengsan sewaktu mengekori anaknya itu yang dibawa beberapa anggota polis untuk dihantar semula ke penjara.

Wanita itu kemudian ditenangkan beberapa anggota keluarga lain dan didudukkan di atas kerusi roda. -

Polis rampas 45,000 liter minyak syabu bernilai RM4.6 juta

2010/10/04
KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dadah jenis syabu di negara ini yang didalangi warga Iran berikutan rampasan 45,000 liter minyak syabu yang boleh menghasilkan 27 kilogram syabu bernilai RM4.6 juta dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Megah Kepong, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, ACP Kang Chez Chiang, berkata serbuan hasil maklumat pemilik rumah sewa teres dua tingkat kira-kira 9.20 pagi itu juga menemui pelbagai peralatan memproses dadah seperti dapur elektrik, mesin pengisar, penimbang digital dan cerek elektrik. "Kita (polis) kini menjejaki penyewa rumah itu iaitu seorang lelaki warga Iran berumur 30-an yang juga dipercayai mempunyai kaitan dengan serbuan makmal memproses dadah di sebuah rumah di Hartamas, Julai lalu. "Kita percaya lelaki Iran itu menghuni lokasi ini (Kepong) untuk memproses dadah, selepas rumah yang disewa rakannya yang juga warga Iran, pada 22 Julai lepas di Hartamas berjaya diserbu polis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kang percaya lelaki paling dikehendaki itu masih berada dalam negara ini dan gerakan mencarinya giat dijalankan.

Pada 22 Julai lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Sri Hartamas dan menemui sembilan tong plastik berisi cecair berwarna kehitaman disyaki minyak syabu sebanyak 72 gelen (327.6 liter) yang boleh diproses menjadi 200kg syabu.

Berikutan itu, lelaki Iran berumur 39 tahun berjaya ditahan berdekatan sebuah restoran segera di Jalan Prima Kepong pada jam 8.50 malam.
Pada jam 2.50 petang esoknya, polis menahan isteri suspek itu yang juga rakyat Iran berusia 34 tahun di rumah milik mereka di Sunway SPK Damansara. - BERNAMA

Sembilan lelaki rompak gudang dipenjara 10 tahun

04/10/2010 2:35pm


SHAH ALAM 4 Okt. 2010- Sembilan lelaki termasuk seorang warganegara Myanmar dihukum penjara 10 tahun dan sebatan lima kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari selepas didapati bersalah atas tuduhan merompak sebuah gudang dengan melarikan minuman keras bernilai RM1.2 juta, lima tahun lalu.

Hakim Asmadi Hussin memutuskan demikian selepas berpuashati bahawa kesemua tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Mereka didakwa melakukan rompakan tersebut dengan bersenjatakan pisau dan kapak sehingga menyebabkan kecederaan kepada tiga orang pengawal keselamatan di Gudang Jasa Kita SVC Sdn. Bhd. di Pelabuhan Klang dekat sini pada 24 Oktober 2005.-Utusan

Rumah Ahli Parlimen Rasah dipecah masuk, mangsa selamat

04/10/2010 2:37pm


RASAH 4 Okt. – Kediaman Ahli Parlimen Rasah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lobak, Loke Siew Fook di Taman Yoon Chan di sini dipecah masuk tiga lelaki bersenjatakan parang, awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, tiga lelaki bertopeng dikatakan memasuki rumah teres dua tingkat mangsa dan melarikan sejumlah barangan berharga.

Mangsa dan keluarganya bagaimanapun terselamat. –

Sunday, October 3, 2010

Cederakan polis, pelajar didakwa

KUALA TERENGGANU 3 Okt. 2010 - Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan melanggar seorang anggota polis, bulan lalu.

Pelajar tingkatan tiga itu dituduh dengan sengaja mencederakan Konstabel Arizan Mohamad dalam sekatan jalan raya di Jalan Masjid Zainal Abidin di sini kira-kira 11.45 malam, 15 September lalu.

Prosiding pendakwaan terhadap pelajar itu dijalankan secara tertutup.

Dia didakwa mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Aznika Mohd. Anas membenarkan pelajar itu diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 November sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda.

Dalam kejadian berkenaan, anggota polis itu patah tulang selangka kiri dan juga tulang kaki kiri selain menerima 10 jahitan di kepala setelah dirempuh sebuah motosikal.

Friday, October 1, 2010

Mekanik disyaki menyamar anggota polis, edar dadah ditahan di Kangar

2010/10/01
KANGAR: Seorang mekanik ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyamaran termasuk sebagai anggota polis pagi tadi.

Lelaki berusia 23 tahun yang berasal dari Sanglang itu ditahan kira-kira jam 7.30 pagi, dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah. Penahanannya adalah selepas pemeriksaan dilakukan polis di kilometer 2, Jalan Kangar-Mata Ayer, dekat sini dan sepucuk pistol palsu ditemui, dua gari serta sejumlah dadah jenis syabu dalam pemilikannya. Selain tiga barangan itu, turut ditemui bersamanya beberapa barangan lain seperti dua alat penimbang kecil dan alat menghisap dadah, serta kad pengenalan milik individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dua kegiatan jenayah terbabit.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Zull Aznam Haron, berkata ketika ini, pihaknya sedang menyiasat kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan beberapa kes jenayah seperti samun terutama yang membabitkan penyamaran sebagai anggota polis.

Ia kerana, katanya, sepanjang tempoh sejak 2009 lalu, sejumlah lapan kes penyamaran polis dilaporkan berlaku di seluruh negeri, termasuk tiga daripadanya pada tahun ini.

"Masih terlalu awal untuk mengesahkannya. Namun, kita akan siasat jika semua lapan kes terbabit mempunyai kaitan, termasuk beberapa kes jenayah lain.
"Selain kes jenayah, kita juga percaya suspek turut memainkan peranan sebagai pengedar dadah berikutan penemuan empat paket syabu serta alat penimbang, selain alat menghisap dadah dalam milikannya," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mengulas kes berkenaan, Zull Aznam berkata, ketika ditahan suspek dikatakan tertidur di dalam kereta jenis Proton Iswara Aeroback di pinggir Jalan Kangar-Mata Ayer, sebelum didatangi dua anggota MPV yang kebetulan melakukan rondaan.

Selepas diperiksa, katanya, polis menemui sepucuk pistol palsu jenis Colt Automatik dengan satu kelopak berisi bebola plastik, dua pasang gari, empat paket lutsinar berisi dadah jenis syabu, dua alat penimbang dan alat menghisap dadah, kad pengenalan milik individu lain, dua telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM792 serta mata wang Singapura.

"Semua barang kemudian dirampas dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api palsu dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana pemilikan dadah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan, atau pernah menjadi mangsa kepada suspek diminta menghubungi polis di talian Rakan Cop Perlis 04-9711999 untuk membantu siasatan," katanya