Oleh NORAZMAN ABDUL RAHIM
utusanjohor@utusan.com.my
ANGGOTA polis membawa mayat wanita yang dipercayai dibunuh sebelum dibakar di Pantai Sekakap, Mersing, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
MERSING 10 April – Hajat dua anggota tentera untuk menangkap ikan di Pantai Sekakap di sini, terbantut apabila mereka menjumpai mayat seorang wanita dalam keadaan rentung pagi ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Nor Rasid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota tentera terbabit kira-kira pukul 10.30 pagi memaklumkan penemuan mayat tersebut.
Menurutnya, mayat itu ditemui ketika kedua-dua anggota tentera itu mencari kayu untuk memasang jaring ikan di belukar pantai berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari Jalan Mersing-Sekakap.
“Mayat berkenaan dikenal pasti sebagai wanita berdasarkan jam tangan dan gelang kaki pada tubuh mangsa yang 95 peratus hangus terbakar.
“Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain kurang 24 jam lalu sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam beg pakaian lalu dibakar di kawasan pantai yang terletak kira-kira 50 meter dari Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sekakap dan satu kilometer dari Kem Iskandar, dekat sini,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Mohd. Nor berkata, mangsa dipercayai berumur lingkungan 25 tahun berdasarkan keadaan fizikalnya manakala bahagian kaki yang tidak terbakar menunjukkan mangsa berkulit cerah.
Selain itu, katanya, terdapat seutas rantai pada leher mangsa yang tertera perkataan Suemzar.
“Pihak polis masih menyiasat motif pembunuhan berkenaan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Mayat dihantar ke Hospital Mersing untuk proses bedah siasat dan akan ditempatkan di bilik mayat hospital berkenaan sementara menunggu pengecaman ahli keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Nor meminta waris atau ahli keluarga yang kehilangan anak perempuan terutama remaja di bawah umur 25 tahun kurang daripada 24 jam lalu menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Abd. Aziz Che Embong di talian 07-7993507 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, 07-7994222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sunday, April 10, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment