Tuesday, April 26, 2011

Polis berkas 3 ahli Geng Chellu, buru seorang yang lain

Polis berkas 3 ahli Geng Chellu, buru seorang yang lain
26/04/2011 6:59pm


JAWI 26 April — Polis kini memburu seorang lelaki berusia dalam lingkungan awal 20-an yang yang dikenali sebagai T.Sugunthan bagi membantu siasatan beberapa kes samun bersenjata oleh kumpulan ‘Geng Chellu’ di sekitar daerah Seberang Perai Selatan di sini.

Ketua Polis Daerah Jawi, Supt. Shafien Mamat berkata, lelaki yang menggelar dirinya sebagai ‘Veera’ dari Taman Merak Simpang Ampat itu dipercayai menganggotai kumpulan samun terbabit yang menjalankan kegiatan jenayah sejak tahun lepas.

"Geng itu dipercayai bergerak dalam dua kumpulan kecil yang menjadikan warga asing di kawasan itu sebagai mangsa mereka dengan menyamun wang dan telefon bimbit milik mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, geng terbabit dianggotai empat lelaki dan bergerak dengan menggunakan motosikal serta bersenjatakan pisau dan parang.


Tiga lelaki ahli kumpulan itu ditahan dalam serbuan di dua rumah, dekat Simpang Ampat pada 15 April lepas dan polis turut merampas tiga motosikal, sebuah komputer riba dan resit jual beli daripada ketiga-tiga lelaki yang berusia dalam lingkungan 18 tahun itu, katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Sugunthan diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Bernama

No comments:

Post a Comment