Tuesday, April 19, 2011

Geng curi kereta mewah tumpas

Geng curi kereta mewah tumpas


2011/04/19
PETALING JAYA: Dengan hanya bermodalkan kunci 'allen' yang diubah suai, sekumpulan lelaki melarikan pelbagai jenis kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit untuk dijual semula dengan harga lebih murah.

Difahamkan modus operandi kumpulan itu ialah dengan memecah masuk rumah mangsa menggunakan kunci ‘allen’, kemudian mengambil kunci kenderaan yang kebiasaannya di gantung di dalam rumah sebelum melarikannya. Malah, dalam kebanyakan kes, mangsa tidak sedar rumah mereka dipecah masuk dan kenderaan mereka dilarikan sehinggalah keesokan harinya dan ada juga beberapa kes mangsa tidak berada di rumah ketika kejadian. Selepas melarikan kereta, suspek akan menyewa bilik di hotel mewah di sekitar ibu negara dan Petaling Jaya untuk menyembunyikan kenderaan curi di kawasan letak kereta hotel berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata taktik kumpulan itu bagaimanapun berjaya dibongkar selepas polis menahan seorang anggota kumpulan ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Damansara Jaya, jam 2.35 pagi, pada 10 April lalu.

“Hasil soal siasat, polis berjaya menahan empat rakannya di sebuah hotel mewah di Petaling Jaya dan menemui enam kenderaan mewah serta sebuah kereta Proton Wira yang dicuri di tempat letak kereta sebuah apartmen di Damansara.

“Di sana, kita juga menemui semula beberapa kereta mewah dipercayai dicuri dengan nilai melebihi RM1.2 juta,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Tun Hisan berkata, semua suspek berusia 24 hingga 42 tahun itu mempunyai antara tiga hingga empat rekod jenayah membabitkan kesalahan dadah, pecah rumah, curi kenderaan dan terbabit dengan kegiatan gengster.

Difahamkan, salah sebuah kereta yang dirampas sudah ditukar nombor pendaftarannya dan sedia untuk dijual kepada pembeli.

No comments:

Post a Comment